Apakah Yang Dilakukan Ketika Lawatan Klinik Kehamilan?

Lawatan ke klinik bertujuan memastikan kandungan berkembang dengan normal. Berikut adalah antara ujian-ujian yang dilakukan oleh doktor ke atas ibu.

Lawatan pertama ibu ke klinik biasanya bila kehamilan masuk minggu ke 12. Selepas itu bakal ibu diminta ke klinik sebulan sekali hinggalah pada minggu ke 28.

Selepas itu, lawatan lebih kerap iaitu setiap dua minggu sekali sehinggalah kandungan masuk minggu ke 36 dan setiap seminggu pada bulan terakhir.

Lawatan ke klinik bertujuan memastikan kandungan berkembang dengan normal. Berikut adalah antara ujian-ujian yang dilakukan oleh doktor ke atas ibu.

Ujian air kencing

la diambil setiap kali lawatan ke klinik. Air kencing diuji untuk memastikan kesan gula. Jika setiap kali melakukan ujian ada kesan gula, kemungkinan ada kencing manis.

Jika ada kesan protein, ini menandakan buah pinggang ibu tadi tidak berfungsi dengan baik. Jika protein ini dikesan pada air kencing pada peringkat kehamilan seterusnya, anda mungkin mendapat pre-eklampsia yang akan terjadi apabila tekanan darah terlampau tinggi ketika hamil.

Tanda-tanda pre-eklampsia ialah:

  • tekanan darah melebihi 140/90
  • pertambahan berat badan yang berlebihan
  • buku lali, kaki atau tangan yang membengkak
  • serta kesan protein dalam air kencing
  • mata menjadi kabur
  • kurang kencing
  • pening dan muntah melampau

Ukur ketinggian

Ketinggian biasanya diambil pada lawatan pertama ke klinik. Tujuannya ialah untuk menjadi panduan kepada saiz pelvik. Pelvik yang kecil adakala membuatkan kelahiran sukar. Jika ketinggian anda melebihi 5 kaki (152 cm), anda berkemungkinan besar tidak mengalami kesukaran bersalin kecuali bayi yang dikandung besar.

Timbang berat badan

Doktor akan menimbang berat badan ibu setiap kali ke klinik. Ianya untuk memastikan berat bertambah dengan sempurna. Sebolehnya cuba pakai pakaian yang sama setiap kali membuat lawatan ke klinik untuk mendapatkan bacaan berat lebih tepat bila ditimbang.

Jangan bimbang sekiranya kehilangan berat badan pada tiga bulan kehamilan kerana mabuk hamil. Ia adalah perkara biasa yang berlaku kepada bakal ibu. Tetapi jika berat badan bertambah dengan tiba-tiba pada waktu kehamilan seterusnya, ia mungkin menandakan pre-eklampsia.

Kenaikan berat ideal ibu hamil

Ujian darah

la biasa diambil pada lawatan pertama ke klinik. Sedikit darah akan diambil dari lengan untuk tujuan pemeriksaan:

  • Kumpulan darah dan darah rhesus ibu
  • Anemia. Pada minggu ke 32, darah akan diperiksa sekali lagi untuk penyakit ini
  • Pengimunan terhadap rubela
  • Sekiranya ada penyakit kelamin seperti sifilis, mesti dirawat sebelum minggu ke 20 kerana mendatangkan kemudaratan kepada bayi yang dikandung

Tekanan darah

Berlainan dengan ujian darah, tekanan darah akan diambil setiap kali ke klinik. Kebiasaannya tekanan darah rendah sedikit pada waktu kehamilan dan diukur dengan kerap untuk mengesan kenaikannya secara tiba-tiba supaya dapat dikawal.

Tekanan darah yang normal ialah kira-kira 120/70 dan akan diberi perhatian sekiranya melebihi 140/90.

Tekanan darah boleh menandakan pelbagai masalah termasuklah preeklampsia. Namun begitu tekanan jiwa juga boleh menyebabkan tekanan darah naik.

Pemeriksaan umum

Doktor akan memeriksa keadaan fizikal dan mendengar degupan jantung dan paru-paru ibu. Begitu juga dengan payudara untuk memastikan kehadiran gumpalan dan puting yang tersongsang. Ibu juga digalakkan melakukan pemeriksaan gigi untuk kesihatan.

Kaki, buku lali dan tangan

Ini semua akan diperiksa setiap kali melakukan lawatan ke klinik. Bahagian bawah kaki dan tangan diperiksa untuk memastikan tidak terdapat bengkak atau edema. Sedikit bengkak pada minggu terakhir kehamilan adalah normal.

Namun begitu bengkak yang melampau mungkin menandakan preeklampsia. Kaki juga akan diperiksa sama ada terdapat vena varikos.

Pemeriksaan ultrasound

Pemeriksaan ultrasound akan dilakukan sejak awal kehamilan lagi. Pemeriksaan ultrasound kali pertama adalah untuk menentukan umur kehamilan dengan lebih tepat dengan mendapatkan ukuran janin.

Pemeriksaan ultrasound pada lawatan selepas itu adalah untuk memastikan perkembangan janin yang baik termasuk memeriksa organ seperti jantung, otak dan buah pinggang. Doktor juga boleh mengesan jantina janin menggunakan alat ultrasound.

Pemeriksaan ultrasound

Mendengar degupan jantung

la dilakukan setiap Iawatan, selepas minggu ke 14. Awal kehamilan ia mungkin dilakukan dengan menggunakan alat sonik yang akan menguatkan degupan jantung bayi supaya ibu juga dapat mendengarnya.

Selepas minggu ke 28, doktor mungkin akan menggunakan stetoskop fetus untuk mendengar degupan jantung bayi.

Alat memeriksa degupan jantung janin

Pemeriksaan dalaman

Doktor mungkin menjalankan pemeriksaan dalaman ke atas anda untuk memastikan tahap kehamilan. Ia juga bertujuan untuk memeriksa sama ada terdapat keadaan yang tidak normal pada tulang pelvik dan untuk memastikan pintu masuk ke dalam rahim tertutup rapat.

Pemeriksaan yang dilakukan tidak akan mencederakan ibu dan bayi yang dikandung. Ibu akan diminta berbaring dengan membengkokkan kaki dan lutut pula mengangkang dengan kedudukan yang selesa.

Doktor akan memasukkan dua jari kanannya ke dalam faraj sambil menekan abdomen dengan tangannya yang sebelah lagi.

Pemeriksaan abdomen

Doktor akan memeriksa abdomen untuk memastikan kedudukan bahagian atas rahim setiap kali lawatan ke klinik dilakukan. Ia akan memberi gambaran tentang kadar pertumbuhan bayi.

Pada akhir kehamilan, pemeriksaan akan dilakukan untuk memastikan bayi berpusing ke arah yang betul (kepala dahulu). Pada minggu terakhir, kepalanya akan turun ke dalam ruang pelvik.

Setiap kali pemeriksaan, selalulah bertanya keputusan pemeriksaan kepada doktor anda. Doktor yang merawat anda dapat memberikan nasihat kehamilan yang lebih tepat berbanding melontarkan soalan di internet dan media sosial tanpa pemeriksaan terperinci.

Pemeriksaan abdomen sedang dijalankan

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.