Penyakit Vena Varikos (Urat Simpul) – Punca, Tanda & Rawatan

Penyakit vena varikos ataupun disebut sebagai urat simpul oleh masyarakat Melayu merupakan penyakit yang melibatkan salur darah vena di bahagian kaki.

Penyakit vena varikos ataupun selalu disebut sebagai urat simpul oleh masyarakat Melayu merupakan penyakit yang melibatkan salur darah vena di bahagian kaki.

Salur darah ini akan mengembang, berbelit dan boleh disentuh walaupun berada di bawah kulit. Sebenarnya keadaan ini boleh berlaku di mana-mana sahaja bahagian badan tetapi lebih kerap di bahagian kaki kerana tarikan graviti.

Penyakit ini disebabkan oleh kesukaran pengaliran semula darah ke jantung menyebabkan darah berkumpul lalu salur darah menjadi bengkak. Injap yang terdapat di sepanjang saluran darah ini juga menjadi rosak.

Salur darah vena penyebab vena varikos

Faktor risiko

Faktor yang boleh meningkatkan risiko mendapat vena varikos termasuklah:

  • Sejarah keturunan
  • Kehamilan
  • Obesiti
  • Sejarah kerja (selalunya kerja yang berdiri lama)
  • Postur badan (berdiri atau duduk terlalu lama)
  • Pengambilan pil perancang keluarga bagi wanita
  • Pengambilan pil rawatan hormon

Tanda dan gejala

  • Lenguh dan sakit
  • Gatal-gatal
  • Bengkak kaki
  • Kekejangan otot kaki
  • Keresahan otot setempat

Terdapat sebahagian pesakit vena varikos tampil untuk rawatan kerana faktor kecantikan. Dianggarkan 3-6% pesakit vena varikos akan mengalami komplikasi ulser vena sepanjang hidup.

Tahap keterukan vena varikos

Komplikasi Vena Varikos

Komplikasi vena varikos berlaku sehingga 7% dan menyumbang kepada kemorosotan kualiti hidup:

  • Pendarahan – boleh berdarah jika terluka atau secara spontan kerana struktur salur darah yang telah rosak, kadang kala luka kerana menggaru
  • Keradangan – kerosakan kulit di kawasan vena varikos mendedahkan penghidap kepada jangkitan kuman dan keradangan, kulit juga akan selalu gatal
  • Ekzema vena – kulit menjadi kehitaman yang disebabkan oleh kehancuran sel darah merah di kawasan berkenaan
  • Lipodermatosklerosis – proses kematian sel dan pembinaan sel lemak baru di kawasan terlibat akan menyebabkan bengkak dan keradangan berterusan
  • Ulser – kerana selalu luka dan jangkitan lama kelamaan terjadinya ulser dan parut yang sukar sembuh
Ulser vena disebabkan vena varikos

Rawatan

Terdapat beberapa pilihan rawatan termasuklah:

Perubahan cara hidup

  • menurunkan berat badan
  • melakukan aktiviti fizikal yang ringan
  • menggerakkan kaki dari semasa ke semasa
  • mengelakkan faktor-faktor yang memburukkan gejala seperti berdiri terlalu lama

Membuang Salur Darah Yang Rosak

Rawatan membuang salur darah yang rosak perlu diberikan kepada pesakit yang mengalami komplikasi vena varikos yang teruk seperti yang dinyatakan di atas atau kepada pesakit yang mengalami gejala yang mengganggu kehidupan seharian.

Pengesahan penyakit vena varikos adalah melalui ujian duplex ultrasound dan rawatan termasuklah:

  • Endothermal ablation dan endovenous laser bagi yang melibatkan salur darah vena saphenous untuk memusnahkan salur darah yang rosak
  • Sekiranya endothermal ablation tidak sesuai, terapi sclero menggunakan ultrasound boleh digunakan
  • Sekiranya terapi sclero didapati tidak sesuai, pembedahan pembuangan vena varikos akan dilakukan
Sebelum dan selepas rawatan membuang salur darah rosak

Rawatan tanpa pembedahan

Penggunaan stoking tekanan amat sesuai bagi pesakit vena varikos yang tidak serius dan tiada komplikasi. Walabagaimanapun, pesakit selalunya jarang menggunakan stoking ini secara berterusan kerana rimas. Lagipun,kajian perubatan juga membuktikan bahawa penggunaan stoking tekanan gagal mengurangkan kadar kejadian berulang atau dapat menghalang kemerosotan vena varikos.

Maklumbalas dari pesakit menyatakan penggunaan stoking tekanan ini menyusahkan, terutama semasa memakai dan membuka stoking. Tahap kegagalan penggunaan stoking adalah setinggi 33%.

Kesan sampingan penggunaan stoking ini adalah rendah. Perhatian perlu diberikan kepada pesakit diabetes kerana penggunaan stoking boleh menyebabkan kematian sel- sel pada kulit lalu menyebabkan luka di kaki tanpa disedari.

Stoking tekanan untuk vena varikos

Pencegahan Vena Varikos

Pencegahan gejala vena varikos dari menjadi lebih teruk adalah penting. Pengurangan berat badan, aktiviti menggerakkan kaki dari semasa ke semasa bersama penggunaan stoking tekanan boleh membantu.

Amalan untuk pesakit:

  • Penggunaan sabun yang sesuai dan air suam dengan diikuti aplikasi krim pelembap petroleum-based pada kawasan kaki vena varikos sekali sehari boleh membantu mengurangkan kemerosotan gejala.
  • Elakkan penggunaan pakaian yang ketat.
  • Mengangkat kaki melepasi paras jantung selama 30 minit 4 kali sehari
  • Elakkan berdiri lama atau menggantung kaki di sisi katil/kerusi terlalu lama.
  • Senaman kaki melibatkan betis, membantu melancarkan aliran darah ke jantung seperti aktiviti berjalan mendaki bukit dan berjalan berjengket beberapa kali sehari.
Senaman untuk mengurangkan vena varikos

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.