Pembelajaran di sekolah sahaja tidak mencukupi, pelajar-pelajar perlu mengulangkaji pelajaran di rumah. Bagi memastikan keberkesanan pembelajaran di rumah, penyediaan jadual sangatlah perlu.
Para pelajar dan ibu bapa harus berusaha menyesuaikan masa dan cara hidup mereka di rumah agar anak-anak dapat belajar dengan tekun pada masa-masa yang tertentu.
Satu rangka jadual pembelajaran perlu dibuat untuk membantu ibubapa memberi didikan agama, menonton TV, masa rehat, dan sebagainya, sekaligus bagi membolehkan anak-anak mengamalkan pembelajaran di rumah dengan cara yang lebih teratur dan terkawal.
Matlamat utama penjadualan ini ialah memastikan agar anak-anak belajar tiap-tiap hari secara lebih tersusun dan terkawal. Masa belajar mestilah ditentukan dan anak itu digesa, dijaga dan dibantu mematuhi waktu-waktu yang telah ditentukan, begitu juga waktu untuk anak bermain, menonton TV, dan pergaulan dengan rakan.
Kemesraan dan dorongan daripada ibu bapa, abang dan kakak
Jagaan dan kawalan biasanya menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan anak-anak, lebih-lebih lagi jika jagaan dan kawalan itu keterlaluan.
Namun ia perlu demi memastikan adanya disiplin terhadap anak-anak di rumah. Ini memandangkan anak-anak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang mungkin merosakkan pemikiran, tanggungjawab dan kerja-kerja yang memerlukan ketekunan.
Amat penting bagi ibu bapa mewujudkan suasana jagaan dan kawalan yang berlandaskan kemesraan, kasih sayang dan dorongan. Dengan adanya suasana yang positif itu, besar kemungkinan anak-anak akan mematuhi jagaan dan kawalan tersebut dengan perasaan yang lebih senang, tenteram dan riang. Perasaan-perasaan tersebut amat mustahak bagi menyelesaikan beberapa masalah yang mungkin timbul antara anak-anak dan ibubapa mereka.
Sekatan-sekatan dan cara-cara kawalan berikut tidak akan mudah dilaksanakan (tanpa timbulnya ketegangan di kalangan keluarga) sekiranya hubungan di antara ibu bapa dengan anak-anak mereka tidak mesra atau tidak berlandaskan perasaan saling hormat menghormati di antara kedua-dua pihak, dan di kalangan keluarga seluruhnya.
- Terus pulang ke rumah selepas waktu sekolah.
Nasihatkan anak-anak supaya tidak berjalan-jalan di tempat-tempat hiburan, beli-belah dan lain-lain selepas waktu sekolah. - Pulang ke rumah sebelum waktu Maghrib.
Walaupun mereka dibolehkan bermain atau bersukan pada waktu petang. - Kawal waktu menonton TV dan jenis program yang ditonton.
Menonton TV yang tidak terhad akan menjejas waktu pembelajaran mereka.
Sama juga dengan penggunaan telefon yang tidak terhad. Selain daripada perbincangan hal-hal pelajaran dan sekolah, anak kita mestilah dihalang menggunakan telefon hanya untuk berbual-bual dengan kawan-kawan mereka secara berpanjangan atau keterlaluan.
Semasa waktu belajar, mereka janganlah berebut-rebut menjawab panggilan telefon apabila mendengar bunyi berdering, kerana hal ini akan mengganggu konsentrasi pembelajaran mereka. - Wajibkan anak-anak sembahyang lima waktu.
Memandangkan bahawa sembahyang itu fardhu ain dan anak-anak meningkat usia “akil baligh”. Amalan sembahyang juga akan menguatkan keazaman mereka belajar dan menuntut ilmu. Insya-Allah.
Penjagaan dan kawalan perlu dikuatkuasakan oleh ibu bapa sendiri, serta abang dan kakak kepada anak itu. Tetapi mereka (ibu bapa, abang dan kakak) sendiri mestilah mengawal masa dan kehendak mereka supaya, di kalangan semua ahli keluarga, terjalin suatu cara kawalan yang setara, bertimbangrasa dan penuh kemesraan.
Hal ini amat penting kerana marah yang berterusan atau kekerasan yang keterlaluan akan menimbulkan perasaan benci terhadap pelajarannya, persekolahan, amalan sembahyang dan hal-hal lain yang dianjurkan oleh ibu bapa.
Sehubungan dengan itu terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam suasana hidup berkeluarga dan sekitaran rumah dalam pendidikan mereka. Antaranya:
Sering berbual dan bertanya
Ibu bapa, abang dan kakak haruslah berbual dengan para pelajar dan bertanya tentang persekolahan mereka, serta kegiatan-kegiatan luar sekolah.
Anak-anak harus didampingi semasa mereka belajar di rumah dan disertai dengan dorongan dan galakan yang membina.
Curahkan doa dan nasihat
Semasa mereka bangun dari tidur, sambutlah mereka dengan ucapan Assalamualaikum dan sertakan dengan doa kesyukuran. Semasa mereka hendak tidur pula, dampingilah mereka dan doakan agar istirehat mereka itu akan mendatangkan keselesaan dan ketenteraman kepada mereka.
Apabila mereka hendak keluar ke sekolah, doakan keselamatan mereka serta ingatkan mereka agar selalu berbaik-baik dan belajar dengan tekunnya. Sepulangnya mereka dari sekolah, sambutlah mereka dengan ikhlas dan kemesraan, serta tanyakan yang baik-baik.
Tumpukan perhatian semasa di kelas
Sering ingatkan anak-anak supaya selalu berikan perhatian yang sepenuhnya semasa mengikuti pelajaran-pelajaran di dalam kelas kerana inilah satu-satu cara yang akan membantu anak kita menguasai pembelajaran mereka dengan baik. Hal ini juga akan memudahkan anak kita membuat ulangkaji semasa di rumah.
Anak-anak harus digesa mengulangkaji sejurus selepas selesainya sesuatu pelajaran di kelas. Amalan ini boleh memperkukuhkan pengertian dan hafalan mereka tentang bahan-bahan pelajaran yang baru diajarkan oleh guru-guru mereka.
Selalu bertanya jika ada kemusykilan
Anak-anak harus digalakkan bertanya jika mereka tidak mengerti sesuatu tentang pelajaran mereka. Ibu bapa, guru-guru atau rakan-rakan harus membantu dan memberi sokongan. Tetapi, anak kita itu perlu diajar memberanikan diri untuk bertanya.
Kerja rumah dan ulangkaji
Kerja-kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru sekolah bertujuan untuk memperkukuhkan pembelajaran yang telah diajarkan di sekolah pada hari-hari yang tertentu. Amatlah penting bagi anak kita membuat dan selesaikan kerja rumah pada hari itu juga selepas pulang ke rumah.
Jika ia melambat-lambatkan kerja rumah tersebut, kesan baiknya tidak akan diperolehi. Justeru itu, perkara yang harus diutamakan selepas pulang ke rumah (selepas makan, beristirehat dan sembahyang) ialah mengerjakan kerja rumah yang telah diberikan oleh guru-guru mereka.
Selepas itu, mereka perlu mengulangkaji perkara-perkara yang telah diajar oleh guru-guru mereka pada hari itu di sekolah. Amalan ini akan memperkukuhkan dan mengekalkan pemahaman mereka.
Belajar tanpa rehat ada buruknya
Janganlah memaksa anak-anak kita terus belajar tanpa rehat, bermain dan bergaul dengan kawan-kawan. Ini akan membosankan anak dan mewujudkan desakan peribadi yang tidak sihat – dari segi mental dan juga fizikalnya. Mereka haruslah diberikan kebebasan dengan sewajarnya, dengan cara yang teratur dan terhad, berdasarkan jadual yang ditentukan lebih awal lagi.
Pergaulan di sekolah dan di sekitar kejiranan
Biasanya anak yang bergaul dengan rakan yang minat dengan pelajaran dan yang tekun dalam membuat kerja-kerja sekolah atau pembelajaran akan beruntung kerana pengaruh rakan-rakan karib itu membawa kesan yang membina.
Sebaliknya, rakan-rakan yang hanya suka bersiar-siar dan lalai tentang hal persekolahan mereka biasanya akan merosakkan anak itu. Oleh itu penting bagi ibu bapa memberikan perhatian dan kawalan rapi serta mengenali siapakah rakan-rakan karib anak-anak kita di sekolah dan di sekitar kejiranan rumah.
Kesimpulan
Pelajaran anak-anak harus dilaksanakan dengan penglibatan dan harus pula dilakukan dengan jagaan dan kawalan yang tertentu, tetapi dengan suasana mesra dan yang berasaskan kasih sayang dan dorongan, bukan dengan kekerasan atau desakan yang keterlaluan!
Insya Allah, anak yang disayangi dan yang beramalan baik serta rajin mendirikan sembahyang akan menjadi anak yang berjaya. Lebih-lebih lagi jika mereka diajar, diasuh dan dibantu melakukan ikhtiar sendiri untuk belajar dengan tekunnya sewaktu di rumah.
Peranan guru-guru di sekolah (dan juga di kelas-kelas bimbingan) ialah menyampai dan menerangkan sesuatu yang perlu dipelajari oleh anak. Sumbangan mereka mesti diperkukuhkan dengan cara memperbanyakkan usaha sendiri menerusi kerja-kerja mengulangkaji dan belajar sendiri di rumah. Di sini peranan ibu bapa, abang dan kakak amat penting.
Tulis Komen