Cara Menjaga Bayi Baru Lahir Dengan Betul

Artikel ini akan membantu anda dalam memberi pelbagai panduan berguna agar anda lebih mahir dan yakin dalam menjaga dan mengasuh anak anda.

Jika bayi anda merupakan cahayamata pertama, tingkah laku bayi anda pada sekitar minggu pertama mungkin menjadi satu misteri kepada anda. Namun, lambat-laun anda akan mula memahami sikap dan tingkah lakunya. Kebanyakan ibu bapa, terutamanya bapa, berasa gentar untuk memegang bayi yang baru lahir kerana takut bayi akan terlepas dari pegangannya.

Jadi , anda haruslah bersikap tenang kerana naluri dan sifat kasih sayang anda terhadap bayi akan menjadi panduan dalam membantu anda mengharungi pengalaman yang baru dan indah ini. Sebenarnya tidak sukar untuk menguasai asas-asas kemahiran penjagaan bayi.

Justeru itulah, artikel ini akan membantu anda dalam memberi pelbagai panduan berguna agar anda lebih mahir dan yakin dalam menjaga dan mengasuh anak anda.

Cara memegang bayi dengan betul

Ia merupakan naluri semulajadi seorang ibu untuk mendukung bayinya rapat kea rah tubuh badannya, bercakap dengan lembut sambil merenung wajah dan matanya dengan penuh kasih sayang. Bayi yang baru lahir ini akan berasa lebih selesa apabila dia sentiasa didakap, belai dan dipeluk mesra.

Pastikan anda mendakap erat dirinya, terutamanya pada minggu-minggu awal kehidupannya kerana ini akan membuatnya berasa selamat dan selesa (sama ada dalam pelukan anda, pakaian atau kain selimut).

Jangan berasa takut untuk memegang bayi anda. Dia sebenarnya lebih kuat dari yang anda sangkakan. Yang perlu anda beri perhatian adalah kepalanya yang masih lagi lembut. Sehinggalah dia berusia lebih kurang 4 minggu, bayi tidak berupaya mengawal pergerakkan kepalanya.

Jadi, pastikan anda sentiasa menyokong kepalanya. Apabila anda hendak meletakkannya pula, pastikan keseluruhan lengan anda menyokong tulang belakang, tengkuk dan kepalanya sehingga dia telah diletakkan dalam keadaan selamat di atas katilnya.

Berikan sokongan kepada kepala bayi.

Tingkah laku dan kemahiran semulajadi bayi

Semua bayi yang baru lahir mempunyai tindakbalas refleks atau tingkah laku semulajadi yang bertujuan untuk melindungi mereka. Tindakbalas refleks ini akan berlaku sehingga bayi dapat belajar dengan sendirinya, iaitu setelah bayi berusia 3 bulan. Ada beberapa jenis tindakbalas refleks yang dapat dilihat dengan jelas sekali.

Refleks Mencari (Rooting)

Jika anda menyentuh pipi bayi dengan hujung jari anda, dia akan memalingkan kepalanya ke arah rangsangan ini dan mulutnya juga akan turut terbuka. Refleks ini  memberi panduan kepada bayi untuk memudahkannya mencari puting payudara anda untuk memulakan penyusuan.

Refleks Menghisap (Sucking)

Setiap bayi yang baru dilahirkan mempunyai keupayaan untuk menghisap. Bayi akan cuba menghisap apabila sesuatu cuba dimasukkan ke dalam mulutnya atau jika anda cuba menyentuh lelangitnya dengan hujung jari anda.

Refleks Genggaman (Grasp)

Bayi yang baru lahir akan mengenggam dengan kuat apabila sesuatu diletakkan di tapak tangannya secara automatik. Jika anda cuba menyentuh kakinya pula, dia turut membalas seperti mahu menggenggam sesuatu.

Refleks Terkejut (Moro)

Sebagai tindakbalas terhadap bunyi yang kuat atau hentakan yang mengejut, kedua-dua belah kaki bayi akan terangkat dan kedua-dua belah tangannya akan turut terlempar kea rah sisi badannya. Jika ini terjadi, dakaplah bayi dengan erat agar dia berasa selamat dan selesa.

Penjagaan tali pusat

Pangkal tali pusat akan kering dan tertanggal 1-3 minggu selepas bayi lahir. Anda harus memastikan bahagian tersebut sentiasa bersih dan kering. Anda mungkin dinasihatkan untuk hanya mengelap pangkal tali pusat tersebut dengan lembut iaitu dengan menggunakan ubat antiseptik dan kapas yang bersih.

Anda tidak perlu menunggu hingga pangkal tali pusat itu tertanggal untuk memandikannya, asalkan anda sentiasa memastikan kawasan tersebut benar-benar telah dikeringkan sebaik sahaja anda selesai memandikannya.

Jika pangkal tali pusat itu merah dan membengkak, mintalah nasihat daripada doktor. Adalah perkara biasa jika terdapat sedikit pendarahan atau cecair keluar, tetapi ia sepatutnya hanya untuk beberapa hari sahaja.

Memandikan dan membersihkan bayi

Sebahagian daripada rutin harian anda ialah memastikan bayi anda sentiasa bersih. Dengan badannya yang masih kecil dan kelihatan halus dan lemah, pastinya pengalaman memandikan bayi buat pertama kalinya merupakan sesuatu yang mencabar.

Namun, jika anda cuba memperuntukkan masa selama stengah jam, menyediakan segala kelengkapan yang diperlukan dengan lebih awal dan cuba bertenang, anda mungkin berasa seronok melakukannya. Lambat laun, ia akan menjadi rutin yang begitu mudah dan anda berasa amat yakin dan tidak kekok untuk melakukannya lagi.

Panduan memandikan bayi:

1. Seelok-eloknya gunakan sebuah besen kecil. Sebelum meletakkan bayi di dalam air, periksa suhu air dengan siku anda. Ia tidak seharusnya terlalu panas atau terlalu sejuk.

2. Kesemua kelengkapan untuk mandi hendaklah diletakkan di tempat yang mudah dicapai seperti:

  • Sabun dan syampu bayi
  • Sehelai kain untuk mengelap bayi 
  • Gumpalan kapas yang bersih untuk membersihkan mata bayi
  • Sehelai tuala
  • Pakaian dan lampin yang bersih

3. Pastikan bilik mandi atau bilik anda sentiasa hangat. Tutup semua tingkap untuk mengelakkan tiupan angina yang kuat. Tanggalkan semua pakaiannya dan balutkannya dengan tuala.

4. Cuci mata dan basuh mukanya terlebih dahulu. Celupkan gumpalan kapas di dalam air suam yang telah dimasak dan bersihkan kedua-dua belah matanya.

Dengan lembut, usaplah mata bayi anda bermula dari bahagian sebelah hidung kearah bahagian pinggir luar mata. Kemudian, gunakan gumpalan kapas bersih yang lain untuk mencuci mukanya.

5. Seterusnya basuh rambut bayi. Gunakan tapak tangan anda untuk menyokong kepala dan bahagian bahu bayi. Rapatkan kepalanya dengan air mandi. Dengan lembut, cedokkan air mandi ke atas kulit kepala bayi dengan tangan anda.

Tuangkan sedikit syampu tanpa pewangi atau sabun bayi dan bilas dengan bersih. Pastikan rambutnya dikeringkan dengan baik.

6. Seterusnya tanggalkan tuala. Pangku bayi anda dengan menggunakan lengan. Pegang bahagian atas lengannya dengan ibu jari dan jari telunjuk anda. Sebenarnya, cara pegangan ini adalah untuk memastikan anda masih dapat memegang lengan bayi sekiranya bayi terlepas dari lengan anda.

7. Letakkan bayi dalam posisi separuh tegak agar bahagian bawah tubuhnya terendam di dalam air dan pastikan kepala serta bahuya tidak berada di dalam air. 

Gunakan tangan anda untuk membersihkan bayi. Mulakan dengan bahagian tubuh yang paling bersih kepada yang paling kotor. Berbual-bual dan senyum dengannya ketika memandikannya.

8. Setelah bayi anda benar-benar bersih, pastikan anda sentiasa menyokong bahagian lehernya dan letakkan tangan anda di bawah punggungnya dan dengan perlahan-lahan angkat bayi anda dan balutkannya dengan tuala. Keringkannya dengan lembut.

9. Anda harus mengeringkan kawasan sekitar pangkal tali pusatnya dengan baik. Kemudian cuci pangkal tali pusat dengan ubat antiseptik atau alkohol (spirit). Biarkan kawasan sekitar pangkal tali pusat terdedah dan elakkannya dari tergesel dengan kain lampin dengan memakaikan lampin di bawah pangkal tali pusat tersebut.

Amalan pemakanan bayi

Ingatlah bahawa asas atau tujuan pertama yang perlu anda ingat mengenai pemberian makanan kepada bayi adalah untuk memastikan yang bayi anda mendapat segala khasiat makanan yang diperlukan dan sentiasa sihat. Susu ibu merupakan makanan unggul untuk bayi. Namun, jika anda tidak dapat melakukannya atas sebarang alas an sekalipun, anda boleh memberinya susu melalui susu botol.

Jangan berasa bersalah sekiranya anda telah membuat keputusan untuk memberinya susu botol, kerana apa jua pilihan anda samada menyusu badan atau menyusu botol adalah hak peribadi anda sendiri. Asalkan anda selesa dan yakin tentang pilihan anda, pengalaman memberi bayi anda makan adalah satu perkara yang amat inda dan membahagiakan.

Penyusuan susu ibu

Penyusuan susu ibu adalah suatu anugerah alam semulajadi dan memang tidak dapat dinafikan bahawa susu ibu adalah sumber makanan yang terbaik bagi bayi. Malah, ia bukan sahaja mengandungi khasiat pemakanan yang sempurna untuk bayi, bahkan ia juga dapat melindungi bayi daripada jangkitan penyakit dan mengukuhkan jalinan kasih sayang antra ibu dan anak.

Ini semua adalah amat penting untuk perkembangan psikologi bayi yang sihat. Kandungan susu ibu pula berubah setiap hari mengikut keperluan bayi, sejajar dengan perkembangan dan tumbesarannya.

Apabila anda memangku bayi anda dan sebaik sahaja mulutnya melekap di sekeliling kawasan puting payudara (areola), bayi pun akan mula menyusu. Merujuk kepada gambarajah, anda dapat melihat yang mulut bayi anda seakan-akan memicit di kawasan pengumpulan susu tersebut ketika menghisap susu badan anda. Ini akan membolehkan putting payudara anda menjadi panjang sedikit dan susu akan mengalir keluar.

Penyusuan secara duduk.

Panduan menyusu badan

Bayi yang menyusu badan harus disusukan apabila sahaja dia menginginkannya. Bayi menyusu lebih kurang 8-10 kali sehari. Lambat laun, bayi dapat menetapkan jadual penyusuannya sendiri di mana bilangan penyusuan setiap hari akan semakin berkurangan kepada 6-8 kali sehari.

Walaubagaimanapun, setiap bayi mempunyai keperluan dan selera masing-masing. Maka, anda haruslah memerhatikan sebarang tanda yang menunjukkan bayi anda telah pun kenyang atau masih lapar. Misalnya, bayi yang telah kenyang akan kelihatan selesa, ceria dan tidak meragam selepas setiap penyusuan pada kedua-dua belah payudara selama 5-20 minit, membasahkan lampinnya sebanyak 6-8 kali sehari dan mempunyai pertambahan berat badan yang baik.

Jika bayi anda tidak mahu menghisap susu sebagaimana biasanya pada waktu pagi, maka anda haruslah memerah susu tersebut. Ini akan memastikan susu badan anda terus dapat dihasilkan dengan sempurna sepanjang hari itu. Jika anda tidak sihat atau tidak berada dirumah untuk menyusukan bayi, anda juga harus memerah susu agar susu dapat terus dihasilkan dengan sempurna.

Menyusu secara berbaring.

Pemberian susu melalui botol atau susu formula

Apabila anda telah membuat keputusan untuk memberi bayi anda susu botol, teruskannya dan jangan berasa bersalah. Walaubagaimanapun, adalah disarankan agar anda meminta nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memilih susu formula untuk bayi anda.

Sentiasa pastikan susu dengan cara memegang dengan betul. Jika tidak, bayi akan menyedut udara bersama-sama dengan susu.

Penyediaan susu formula

Setelah anda memilih untuk menggunakan susu formula untuk bayi anda, ada beberapa perkara yang perlu anda patuhi, misalnya kebersihan dan cara penyediaan susu formula tersebut. Kesemua perkakas termasuklah botol, putting susu perlu dibersihkan dan disteril dengan sempurna.

Anda harus mematuhi arahan yang ditunjukkan dalam jadual yang terdapat pada tin susu tersebut dalam menyediakan susu formula untuk  bayi anda. Sebaik sahaja anda telah membancuhnya, berikan susu tersebut kepada bayi anda dengan segera.

Susu yang tidak habis diminum, haruslah dibuang. Susu yang telah dibancuh dan diletakkan dalam suhu bilik lebih daripada 1 jam adalah tidak digalakkan kerana ia boleh merangsang pertumbuhan bakteria.

Bercerai susu

Selain dari susu, bayi juga memerlukan makanan pejal, di mana ini adalah peringkat pemberian makanan seterusnya yang dipanggil bercerai susu. Bercerai susu bermaksud mencampurkan susu dengan sebarang makanan pejal. Namun, susu masih merupakan sebahagian penting dalam diet harian bayi anda.

Makanan pejal haruslah diperkenalkan secara perlahan-lahan. Kebanyakan bayi selamat untuk diberi makanan pejal seawall usianya 4 bulan. Namun, tidak ada kebaikan jika anda mula memberi bayi anda makanan pejal pada usia kurang 4 bulan. Bukan sahaja makanan tersebut tidak dapat dihadam dengan baik, malah akan memberi tekanan kepada ginjal bayi yang masih belum cukup matang.

Kajian terbaru mengatakan bayi mungkin kurang mendapat alahan terhadap makanan jika pemberian makanan pejal ditangguhkan sehingga bayi mencecah usia 6 bulan.

Setiap bayi merupakan individu yang berbeza dan istimewa. Usah risau jika bayi anda makan lambat atau lebih cepat daripada yang dijadualkan ATAU dia makan sedikit atau lebih banyak dari bayi lain.

Berilah bayi anda makan mengikut ketetapan dan keupayaannya yang tersendiri. Jangan sekali-sekali memaksa bayi anda mengikut kemahuan anda dan memaksanya makan. Makanan baru perlu diperkenalkan secara perlahan-lahan dan tidak harus diberikan sekaligus.

Ini adalah untuk memberi peluang bayi menyesuaikan dirinya dengan makanan baru dan juga memudahkan anda untuk mengesan kembali makanan yang menyebabkan alahan kepadanya. Mulakan dengan memberi 1-2 sudu the makanan disamping terus memberikannya susu seperti mana biasa. Lambat laun, jumlah susu yang diminumnya akan berkurangan apabila anda meningkatkan pemberian makanan pejal kepadanya.

Adalah sesuatu yang sukar untuk menentukan banyak mana bayi anda perlu makan kerana setiap bayi mempunyai selera dan keperluan yang brbeza. Anda adalah orang yang terbaik untuk menilai sebanyak mana yang bayi anda mahukan.

Panduan untuk memperkenalkan makanan pejal

Makanan pejal yang ideal mengikut umur:

UmurJenis MakananCara Penyediaan
Pada peringkat awal-4 bulanBuah-buahan dan sayur-sayuran dimasak; bijirin nasi tanpa gluten (diperkaya dengan zat besi)Dikisar dan dipotong halus, ditapis, mkanan lembik dan lembut ( separa cecair)
5-6 bulanPerkenalkan kanji atau bubur nasi yang lembik dicampur dengan daging atau kacang panjang, tauhu dan kacang pis. Jus buah-buahan yang telah dicairkan. Biskut rusk dan roti lembut ( untuk merangsang dia supaya mengunyah)Dilenyek, dipotong nipis dan halus.Apabila gigi telah tumbuh, perkenalkan makanan yang boleh dikunyah.
7-8 bulanPerkenalkan bubur nasi yang lebih kasar, mee , macaroni atau meehoon yang telah dilenyek, ikan bilis yang ditumbuk lumat. Hati , daging ayam tanpa kulit, ikan bilis yang dimasak, kuning telur ( apabila usianya 8 bulan)Tekstur makanan yang lebih kasar. Dilenyek dan ditumbuk lumat.
9-12 bulanMula memperkenalkan makanan yang boleh dipegang, misalnya potongan kecil buah-buahan atau sayur-sayuran yang telah dimasak.Apabila usianya mencecah 10 bulan, bayi boleh memakan makanan yang sama seperti ahli keluarga lain.Makanan yang mudah dipegang dengan jarinya, kepingan-kepingan kecil, emping. Makanan tidak perlu lagi dilenyek.

Membuang air besar

Najis pertama bayi dipanggil mekonium. Ia berwarna hijau pekat kehitam-hitaman. Apabila bayi anda telah mula menyusu atau makan, najisnya akan bertukar kepada kuning, coklat atau hijau.

Jika bayi anda sihat, ceria dan berat badannya bertambah dengan baik, jangan terlalu resah memikirkan tentang masalah pembuangan air besarnya. Kekerapan bayi membuang air besar adalah amat berbeza antara bayi-bayi yang lain, tetapi kekerapannya akan berkurangan apabila dia semakin membesar.

Najis bayi biasanya cair. Bayi yang menyusu badan akan membuang air besar dengan lebih kerap dan najisnya lebih cair dan berwarna kuning. Kadang-kadang bayi tidak membuang air besar selama 1-3 hari kerana dia telah menyerap kesemua susu ibunya, maka dia tidak perlu membuang air besar dengan kerap.

Namun, perkara ini tidak harus disalahertikan dan mengatakan bayi anda mengalami sembelit. Walaubagaimanapun, jika najis bayi anda terlalu cair, berwarna hijau dan berbau busuk, ini mungkin tanda-tanda dia menghidap cirit-birit. Segeralah berjumpa doktor.

Najis bayi yang menghisap susu botol pula adalah lebih keras, berwarna lebih coklat, berbau lebih busuk berbanding bayi yang diberi susu ibu. Untuk melembutkan najis, adalah amat penting bayi diberi minum lebih banyak air di antara masa penyusuan. Jus buah-buahan yang telah dicairkan boleh diberi kepada Bayi yang telah berusia beberapa bulan.

Sembelit atau dengan perkataan lainnya najis yang keras akan menyebabkan bayi jarang membuang air besar. Sembelit sebenarnya adalah perkara biasa dalam kehidupan awal bayi. Bayi yang jarang membuang air besar bermaksud dia tidak membuang air besar lebih daripada 3-4 hari dan najisnya sangat keras dan menyebabkan dia berasa tidak selesa dan sakit.

Biasanya jika bayi kelihatan sangat sukar untuk meneran ketika membuang air besar dan berasa sakit, berjumpalah dengan doktor dan ketahui sama ada ubat julap diperlukan atau tidak. Walaubagaimanapun,dalam kebanyakan kes, masalah ini dapat diatasi dengan memberi lebih banyak air atau cecair kepada bayi anda.

Corak tidur bayi

Bayi yang baru lahir menghabiskan kebanyakan masanya dengan tidur. Namun, apabila dia semakin membesar, dia dapat menentukan corak tidurnya secara tetap. Melainkan bayi anda berasa lapar, sejuk atau tidak selesa, dia akan menghabiskan masa di antara waktu penyusuannya dengan tidur. Ini mungkin mengambil masa selama 22 jam dalam satu hari. Namun, setiap bayi mempunyai corak tidu yang berbeza dan sesetengah bayi yang baru lahir akan terjaga pada tempoh yang lebih lama dan tidak akan meragam.

Walaupun bayi anda akan mempunyai corak tidurnya yang tersendiri, adalah penting untuk anda membantu bayi agar dapat membezakan antara siang dan malam; dengan menggunakan lampu malap di dalam bilik ketika bayi sedang tidur.

Cuba tidurkan bayi anda pada masa yang sama pada setiap hari. Ini dapat membantu bayi menyesuaikan dirinya dengan rutin yang tetap dan lambat laun bayi anda akan terjaga dari tidur pada waktu yang sama setiap hari. Adalah disyorkan agar bayi anda tidur mengiring atau melenting untuk mengurangkan risiko bayi lemas. Bayi yang baru lahir tidak seharusnya diberikan bantal.

Asalkan bayi anda hendak menyusu dan membesar dengan normal, ini bermakna dia telah mendapat tidur yang secukupnya.

Punca bayi menangis

Bentuk komunikasi pada bayi yang baru lahir adalah sangat terhad. Maka, satu-satunya bentuk komunikasi yang paling awal adalah menangis.

Bagaimana bayi menangis adalah berbeza antara satu sama lain, tetapi mengapa mereka menangis adalah sentiasa disebabkan oleh alasan yang serupa, iaitu mereka memerlukan sesuatu. Berikut adalah beberapa sebab mengapa bayi anda menangis:

  • Lapar 
  • Tidak sihat
  • Kembung perut
  • Lampin basah atau kotor
  • Tidak berasa selesa
  • Terlalu panas atau sejuk
  • Rasa sunyi, atau bosan, ingin dibelai dan didakap
  • Penat, ingin tidur
  • Terkejut atau takut

Ibu bapa adalah dinasihatkan untuk belajar memahami corak tangisan bayi, kerana ia merupakan langkah yang amat penting untuk memahami keperluan bayi.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.