Prostat Bengkak (BPH) – Punca, Tanda & Rawatan

Prostat bengkak atau BPH merupakan masalah pembesaran kelenjar prostat yang akan menyebabkan penghidapnya mengalami masalah berkaitan kencing.

Lebih daripada 50% lelaki yang berusia 45 tahun dan 90% lelaki berusia 53 tahun mengalami masalah berkaitan dengan kencing. Kebanyakan daripada mereka ini berpendapat bahawa ia hanyalah disebabkan oleh faktor usia yang semakin meningkat.

Oleh itu mereka mungkin keberatan untuk mendapatkan bantuan profesional. Walaupun keadaan ini tidak menyebabkan kematian, ia boleh menyebabkan masalah-masalah yang lebih berat sekiranya tidak dirawat.

Ada banyak jenis penyakit yang boleh menyebabkan masalah berkaitan dengan kencing ini, antaranya ialah:

  • Benign Prostatic Hyperplasia (BPH) atau prostat bengkak
  • Keradangan prostat (Prostatitis)
  • Keradangan pundi kencing (Cystitis)
  • Kanser Prostat
  • Salur kencing tersumbat
  • Masalah pundi kencing

Kelenjar Prostat

Prostat adalah organ yang terletak betul-betul di bawah pundi kencing. Ia berbentuk seperti donut yang mengelilingi saluran kencing. Prostat sebahagiannya diperbuat daripada serat-serat otot.

Kelenjar prostat ini menghasilkan cecair mani, manakala otot-ototnya itu akan menolak cecair ini semasa ejakulasi (pancutan semasa hubungan seks).

Selain daripada itu, otot-otot ini juga berkerja bersama-sama dengan otot pundi kencing untuk mengawal pengaliran air kencing.

Kedudukan kelenjar prostat dalam bulatan merah

Dalam kes prostat bengkak, prostat yang semakin membesar akan menekan saluran kencing dan pundi kencing. Ini menyebabkan air kencing di dalam pundi kencing tidak dapat dikeluarkan secara berkesan sepenuhnya.

Keadaan ini menyebabkan pesakit-pesakit yang tua membuang air kencing lebih kerap, pengaliran tidak kuat, dan sebagainya seperti yang telah diterangkan di atas.

Tanda dan gejala

Antara tanda-tanda seseorang itu menghidap penyakit berkaitan dengan prostat ialah:

  • Kerap kencing, contohnya kencing setiap 30 minit atau kurang terutamanya pada waktu malam. Selalunya jumlah air kencing adalah sedikit sahaja.
  • Rasa ingin kencing yang datang secara mendadak.
  • Pancutan air kencing tidak kuat walaupun diteran dengan kuat.
  • Sukar untuk memulakan kencing.
  • Kencing tidak lawas (masih ada air kencing menitis keluar walaupun anda rasa sudah kencing sehingga habis).
  • Meneran untuk mengeluarkan air kencing.
  • Perasaan bahawa anda perlu kencing lagi walaupun baru sahaja melakukannya.

Sebab utama masalah kencing ini ialah prostat bengkak. Prostat bengkak adalah sejenis keadaan di mana kelenjar prostat membesar dengan cepat. Keadaan ini bukanlah sejenis kanser.

Prostat bengkak atau BPH

BPH adalah nama perubatan bagi prostat bengkak iaitu Benign Prostatic Hyperplasia yang bermaksud:

  • Benign = bukan kanser
  • Prostatic = kelenjar
  • Hyperlasia = pertumbuhan yang tinggi

Punca BPH atau prostat bengkak ini berlaku masih belum diketahui. Namun para penyelidik mendapati bahawa prostat bengkak semakin kerap berlaku apabila umur seseorang lelaki meningkat. Sebahagiannya mungkin disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku pada seseorang lelaki yang semakin berumur.

Selepas akil baligh, kandungan hormon testosterone turun manakala hormon-hormon lain seperti prolaktin, estradiol, hormon perangsang folikel, hormon lutenizing dan sebagainya naik.

Hormon-hormon ini menggalakkan penukaran testosterone kepada dihydrotestosterone (DHT). DHT inilah hormon yang bertanggung jawab menyebabkan berlakunya prostat bengkak.

“Benign” dalam nama penyakit ini bermaksud ia bukan barah. Oleh itu BPH bukanlah barah prostat. Walaubagaimanapun perlulah dipastikan yang ketumbuhan itu bukan barah. BPH adalah ketumbuhan bukan barah yang paling lazim berlaku di kalangan kaum lelaki.

Prostat bengkak berlaku apabila bilangan sel di dalam prostat mula bertambah dan mengakibatkan kelenjar prostat menjadi lebih besar. Pembesaran ini berlaku sedikit demi sedikit dan mengambil masa agak lama.

Sebenarnya, kebanyakan lelaki tidak sedar akan masalah ini sehingga prostat cukup besar untuk menimbulkan simptom yang berkaitan, terutamanya selepas umur 50 tahun.

Kelenjar prostat membesar dalam BPH

Kesan-kesan BPH

Sekiranya tidak dirawat, BPH boleh menyebabkan masalah-masalah lain seperti:

  • Sukar untuk tidur, menyebabkan penurunan di dalam konsentrasi semasa bekerja, dsb.
  • Dikhuatiri airi kencing akan naik semula ke bahagian buah pinggang melalui saluran kencing, dan menyebabkan kerosakan buah pinggang yang kekal.
  • Air kencing yang tidak dibuang di dalam pundi kencing mungkin terdedah kepada jangkitan kuman, oleh itu risiko jangkitan kuman kepada pundi kencing meningkat. Ini akan memburukkan lagi BPH.
  • Teranan yang berpanjangan ke atas pundi kencing (untuk membuang air kencing) boleh menebalkan dinding pundi kencing dan melemahkan otot-ototnya. Ini boleh menyebabkan pundi kencing tidak berfungsi.

Pengesanan BPH

Pemeriksaan dubur (Digital rectal examination – DRE)

Doktor akan melakukan pemeriksaan melalui dubur untuk mendiagnosa berkaitan prostat. Doktor akan menggunakan sarung tangan dan pelincir semasa memasukkan jari ke dalam dubur pesakit. Sekiranya kelenjar prostat yang bengkak itu lembut dan licin, kemungkinan ia disebabkan oleh pembengkakkan prostat yang bukan kanser. Sekiranya ia keras dan berbiji, berkemungkinan jangkitan prostat atau kanser.

Pemeriksaan prostat melalui dubur

Pemeriksaan yang lain:

  • Ujian darah untuk memeriksa paras PSA (prostate specific antigen) iaitu sejenis protein yang dikeluarkan oleh kelenjar prostat ke dalam darah.
  • Pemeriksaan air kencing dilakukan untuk memastikan sama ada pendarahan berlaku atau pun jangkitan.
  • Ujian aliran air kencing (UROFLOW) – pesakit akan kencing dan air kencing itu akan disalurkan pada satu alat di mana ia akan mengukur kelancaran perjalanan air kencing itu. Sekiranya aliran air kencing itu lambat, kemungkinan pesakit menghidap pembengkakan kelenjar prostat.
  • Pemeriksaan X-ray abdomen juga akan dilakukan untuk melihat keadaan pundi kencing kerana batu karang dalam pundi kencing kerap berlaku di kalangan kaum lelaki di Malaysia – yang menghidap BPH.

Komplikasi BPH

  • Jangkitan pundi kencing juga boleh berlaku disebabkan oleh saluran kencing yang tersumbat. Jangkitan yang berulang boleh mengakibatkan terjadinya batu karang dalam pundi kencing. Jangkitan juga boleh merebak kepada buah zakar.
  • Kelenjar yang sangat besar dan penuh dengan pembuluh darah boleh menyebabkan pendarahan dan kadang kala darah beku boleh menyumbat saluran kencing.
  • Penyumbatan yang berpanjangan akan menyebabkan kedua-dua buah pinggang membengkak. Dalam keadaan ini, pesakit yang mengalami retensi urin tidak akan mengalami kesakitan seperti mana pesakit dengan retensi urin akut. Fungsi buah pinggang akan terjejas dan pesakit akan mendapat kegagalan buah pinggang melainkan penyumbatan diperbetulkan.
  • Otot dinding pundi kencing perlu mengecut kuat untuk mengatasi penyumbatan yang berlaku. Sekiranya keadaan ini berpanjangan, otot dinding pundi kencing akan menipis seterusnya menyebabkan otot pundi kencing tidak boleh mengecut.

Rawatan BPH

Pembedahan prostat

BPH tidak boleh disembuhkan melainkan dengan cara pembedahan, di mana tisu yang terlebih itu dibuang. Kaedah pembedahan ini telah lama diamalkan dan oleh itu kelebihan dan risikonya memang sudah diketahui umum.

Cara paling lazim dan berkesan untuk merawat BPH ialah pembedahan yang disebut Pembuangan Transuretral Prostat atau TURP (Transurethral Resection of the Prostrate).

Dalam pembedahan ini, pesakit akan dibius dan doktor akan memasukkan satu alat khas ke dalam salur kencing melalui zakar. Doktor kemudian akan membuang sebahagian daripada bahagian dalam prostat. Biasanya pesakit perlu tinggal dihospital selama 3 hari.

Prosedur TURP melalui salur kencing

Pembedahan jenis lain adalah Insisi Transuretral Prostat atau TUIP (Transurethral Incision on the Prostate) dan Prostatektomi Terbuka (Open Prostatectomy). Pembedahan TUIP boleh dijalankan jika prostat tidak terlalu besar.

Sejenis alat akan dimasukkan ke dalam salur kencing untuk membuat satu atau dua potongan pada prostat. Hasilnya, tekanan pada salur kencing akan berkurang dan dengan itu pesakit lebih mudah kencing.

Pembedahan Prostatektomi Terbuka boleh digunakan jika prostat sudah menjadi sangat besar. Sebahagian daripada bahagian dalam prostat akan dibuang.

Rawatan-rawatan lain yang ada kini bagaimanapun dapat membantu mengatasi simptom-simptom BPH. Antara yang sering digunakan ialah:

Ubat-ubatan

Ubat-ubat konvensional seperti: 

  • Finasteride yang menahan enzim 5-alpha reductase. Oleh itu testosterone tidak boleh bertukar kepada DHT.
  • Terazosin, doxazosin, dsb. Produk jenis ini mengendurkan otot-otot prostat. Ini akan mengurangkan tekanan yang diberikan kepada saluran kencing.

Perubatan herba yang mengandungi Saw Palmetto dan Pumpkin Seed:

  • Produk ini telah digunakan dan didapati sangat berkesan. Saw Palmetto diambil secara berasingan atau bersama-sama dengan Pumpkin seed, Nettle root atau Pygeum. 
  • Saw Palmetto (Serenoa serrulata) adalah pokok sawit kecil yang tumbuh di Pinggiran Pantai Atlantik. Ia adalah herba yang paling popular dalam rawatan masalah prostat. Kajian klinikal mendapati herba ini sangat berkesan dalam mengawal pembesaran kelenjar prostat. Saw Palmetto mengandungi sterol, terutamanya beta-sitosterol yang mampu menghalang enzim 5-alpha reductase. Oleh itu, DHT tidak boleh melekat kepada kelenjar prostat. Sebaliknya ia akan di hancurkan dan kemudiannya dikumuhkan (dibuang) dari dalam badan.
  • Pumpkin seed (Cucurbita pepo) juga telah digunakan sejak lama dulu dalam menangani masalah prostat. Ia banyak diamalkan di Eropah. Ia dikatakan berkesan kerana mempunyai kandungan “asid lemak perlu”, zink dan sterol.
  • Pengambilan kedua-dua produk di atas sekaligus didapati selamat dan sangat berkesan. Kesan baik pulih dapat dilihat dalam masa 4 minggu.

Pencegahan

Pembedahan, walaupun merupakan satu penyelesaian segera, tidak mengambil kira tentang sebab penyakit ini berakar umbi. Ini bermakna masih ada kemungkinan ia akan berlaku semula bila keadaan mengizinkan, seperti bila berlakunya perubahan hormon dan sebagainya.

Penggunaan ubat-ubatan moden pula merupakan satu cara yang sangat efektif. Bagaimanapun ada orang yang akan mengalami kesan-kesan sampingan tertentu.

Pengubahsuaian cara hidup adalah penting untuk membantu mengurangkan simptom-simptom BPH: 

  • Pengambilan alkohol akan menghilangkan kandungan zink dan vitamin B6 yang penting untuk prostat yang sihat. Oleh itu, berhentilah mengambilnya. Zink sangat penting kepada fungsi kelenjar prostat. Prostat menggunakan zink 10 kali ganda berbanding organ yang lain. Zink membantu mengurangkan kandungan prolaktin di dalam darah. Prolaktin didapati meningkatkan penukaran hormon testosterone kepada DHT.
  • Kurang senaman akan menyebabkan perjalanan darah tidak begitu lancar. Ini memberikan kesan yang tidak baik kepada prostat. Anda digalakkan bersenam mengikut jadual.
  • Tekanan perasaan boleh menyebabkan perubahan pada hormon badan anda. Ia mungkin mengaktifkan 5-alpha reductase dan kandungan DHT akan meningkat.
  • Merokok akan menyebabkan pengumpulan toksin radikal bebas di dalam badan. Ia boleh memburukkan lagi keadaan pesakit BPH.
  • Makanan yang kaya dengan karbohidrat dan kolesterol boleh memburukkan lagi keadaan. Sebaliknya diet yang kaya dengan protin didapati membantu mengurangkan simptom-simptom BPH.
  • “Asid lemak perlu” seperti Omega-3 dan Omega-6 adalah penting untuk pembikinan pelbagai jenis hormon lelaki. Kebanyakan lelaki yang mengalami masalah BPH didapati mengambil “asid lemak perlu” ini dalam kuantiti yang tidak mencukupi.
  • Perubatan herba memberikan satu alternatif untuk membantu merawat BPH secara semulajadi.

Penutup

Sekiranya anda syak anda menghidap BPH dan masalah prostat yang lain, dapatkan nasihat doktor anda untuk memastikan bahawa anda tidak menghidap kanser prostat kerana tanda-tandanya sama dengan BPH. Selain itu amalkan cara-cara berikut :

  • Tambah pengambilan sayur-sayur hijau yang kaya dengan vitamin, mineral dan serat
  • Berhenti meminum alkohol
  • Senaman yang berjadual dapat meningkatkan perjalanan darah ke bahagian prostat
  • Minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong sehari untuk membuang toksin dari badan
  • Kurangkan pengambilan daging dan lemak haiwan. Kandungan lemak tepu yang tinggi diakitkan dengan risiko kanser prostat yang lebih tinggi
  • Genistein yang terdapat di dalam protin soya dikatakan dapat mengurangkan risiko kanser prostat
  • Ambil sekurang-kurangnya 30mg zink sehari
  • Ambil Omega-3 dan Omega-6
  • Amalkan pengambilan herba Saw Palmetto dan Pumpkin seed 3 kali sehari selepas makan. Kesan baiknya akan dapat dilihat dalam masa 4 minggu. Selepas itu dos boleh dikurangkan kepada sebiji sehari.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.