Ubat Sildenafil (Viagra) – Fungsi dan Kesan

SILDENAFIL citrate adalah nama saintifik bagi Viagra. Ia diambil daripada kumpulan ubat-ubatan yang dipanggil Phosphosiesterase inhibitors.

SILDENAFIL citrate adalah nama saintifik bagi Viagra. Ia diambil daripada kumpulan ubat-ubatan yang dipanggil Phosphosiesterase inhibitors. 

Fungsinya adalah untuk menghalang aktiviti sesuatu enzim. Secara umumnya, ubat tersebut diuji guna untuk merawat tekanan darah tinggi yang tidak teratur. Setakat ini tidak ada sebarang ubat daripada kumpulan Phosphosiesterase inhibitors yang boleh digunakan di Amerika Syarikat kerana ia cenderung menghasilkan kesan sampingan.

Struktur kimia sildenafil

Namun begitu, pada masa sildenafil gagal menunjukkan kesannya mengawal ketidaknormalan tekanan darah tinggi, didapati pula kebanyakan pesakit yang mengamalkan kumpulan ubat ini yang kebetulan mempunyai masalah mati pucuk, dilaporkan mengalami ketegangan zakar.

Bagaimana Sildenafil berfungsi 

Sildenafil berfungsi dengan menghalang enzim yang terdapat di dalam zakar yang secara semula jadinya menghasilkan bahan kimia dipanggil cyclic GMP. Cyclic GMP terhasil apabila berlakunya rangsangan seksual.

Ia amat penting dalam mewujud dan mengekalkan ketegangan zakar secara normal. Lebih lama cyclic GMP berada di dalam zakar, peluang untuk mencapai dan mengekalkan ketegangan zakar adalah lebih baik. Sildenafil membolehkan lebih banyak cyclic GMP berada lama di dalam zakar tanpa meningkatkan pengeluaran kimia dalam badan.

Justeru itu, rangsangan seksual amat penting kerana tanpa rangsangan seksual bermakna tidak ada pengeluaran cyclic GMP. Kesannya tidak akan berlaku ketegangan zakar.

Keberkesanan Sildenafil

Secara umumnya, sildenafil berjaya ke atas 65 peratus hingga 70 peratus lelaki lemah tenaga batin. Lebih besar darjah kerosakan ke atas mekasnisme ketegangan biasa, lebih rendah kadar kejayaan keseluruhan.

Lelaki yang mempunyai masalah lemah tenaga batin disebabkan oleh psikologi atau psikogenik mendapati tindak balas terbaik dengan 84 peratus menunjukkan pencapaian dalam ketegangan zakar dan 70 peratus berjaya dalam percubaan melakukan hubungan seksual.

Di antara 59 hingga 60 peratus pesakit kencing manis dan kecederaan tulang belakang dilaporkan berjaya dengan rawatan sildenafil. Kadar tindak balas yang paling teruk adalah bagi pesakit yang mengalami lemah tenaga batin selepas menerima pembedahan kanser prostat. Sunggahpun, kumpulan ini sukar dirawat, 43 peratus dilaporkan mencapai ketegangan.

Cara pengambilan Sildenafil

Sildenafil boleh didapati di dalam tiga dos: Pil 25 mg, pil 50 mg dan pil 100 mg. Ia perlu dimakan ketika perut kosong lebih kurang satu jam sebelum hubungan seksual dilakukan walaupun ia mungkin bertindak dalam tempoh 30 minit sehingga empat jam selepas pil ditelan. Saranan yang selalu disyorkan kepada kebanyakan pesakit ialah dengan mula memakan pil percubaan di rumah iaitu 50 mg.

Jika terjadi kesan sampingan, dos yang lebih rendah akan disyorkan. Jika tidak berlaku sebarang kesan sampingan, pesakit boleh memakan dos 100mg. Pesakit yang lebih tua dan sesiapa yang mempunyai masalah hati dan buah pinggang dinasihatkan memulai dengan pil 25 mg.

Hanya satu biji pil sahaja boleh dimakan sehari. Meningkatkan jumlah dos melebihi 100 mg sehari tidak akan memperbaiki tindak balas ketegangan sebaliknya boleh menyebatkan kesan-kesan sampingan. 

Kesan sampingan Sildenafil

Sakit Kepala

Kesan sampingan yang biasa berlaku. Satu daripada 10 lelaki mengalami sakit kepala dan tambah teruk lagi apabila mengambil dos yang lebih tinggi.

Gangguan visual (buta warna)

Kehilangan kebolehan untuk membezakan antara biru dan hijau. Ini kerana mata mengandungi enzim yang lebih kurang sama dengan enzim yang dikeluarkan oleh sildenafil. Lebih kurang tiga peratus pengguna mengalami masalah penglihatan

Tekanan darah rendah

Secara tiba-tiba tekanan darah rendah boleh berlaku jika sildenafil diambil bersama nitroglycerin atau ubat anti-hypertensive yang berisiko menyebabkan jatuh pengsan atau tekanan darah rendah.

Priapism

Walaupun ia tidak pernah berlaku dalam ujian, mengikut teori, lelaki yang mempunyai penyakit anemia, leukemia atau urethral inflammation menghadapi risiko mendapat priapism (ketegangan yang tidak normal selama empat Jam atau lebih). Tanpa rawatan, priapism akan menyebabkan kerosakan tisu dan menyebabkan lemah tenaga batin. 

Koronari Koital

Kadangkala lemah tenaga batin adalah petanda awal penyakit jantung, kencing manis dan beberapa jenis kanser. Mengambil sildenafil mungkin boleh mengancam jiwa. Lelaki yang mempunyai masalah koronari dan tidak melakukan hubungan seksual beberapa tahun perlu berjumpa doktor.

Pergantungan

Tidak siapa tahu kesan-kesan jangka panjang pengambilan sildenafil yang terlalu banyak terutama kepada lelaki yang menyalahgunakannya. Walaupun secara relatifnya ia merupakan ubat yang selamat, terdapat kemungkinan pengguna secara psikologi akan terlalu bergantung kepadanya dan tidak boleh mencapai ketegangan tanpa sildenafil.

Kesan sampingan sildenafil

Pengambilan bersama ubat lain

Pesakit yang mengambil sebarang jenis ubat nitrat organik tidak boleh mengambil sildenafil. Sildenafil tidak boleh dimakan oleh pesakit yang memakan ubat-ubatan yang mengandungi NITRAT. Jika anda memakan sebarang ubat nitrat seperti ISORDIL, NITROPASTE, NITROPRESS, NITROLSTAT atau NITROGLYCERIN, anda tidak boleh memakan sildenafil.

Pesakit yang mengambil ubat untuk tekanan darah tinggi boleh mengambil sildenafil tetapi adalah lebih bijak untuk memeriksa semula tekanan darah selepas rawatan. Sildenafil diproses secara kimia di dalam hati. Ubat-ubat yang mengganggu aktiviti tersebut akan menyebabkan peningkatan tahap darah oleh sildenafil dan mengakibatkan kesan-kesan sampingan lain.

Contoh-contoh ubat-ubat tersebut adalah seperti Tagamet, Erythromycin dan ubat anti-fungal seperti Nizoral (ketoconazole). Pesakit yang mengamalkan ubat-ubat tersebut hanya boleh mengambil dos 25mg atau menghabiskan penggunaan ubat-ubat lain sebelum mengambil sildenafil.

Ujian sebelum mengambil Sildenafil

Lemah tenaga batin lazimnya merupakan simptom kepada penyakit yang berkaitan. Pesakit mestilah dirawat untuk penyakit-penyakit tersebut. Sejarah perubatan dan seksual serta pemeriksaan fizikal adalah penting.

Tekanan darah harus diperiksa terutama ke atas pesakit yang menghidap darah tinggi. Senarai mengenai semua jenis ubat yang dimakan oleh pesakit mestilah lengkap. Ujian darah akan dilakukan untuk memeriksa tahap hormon lelaki (testosterone), hati dan keadaan buah pinggang dan kemungkinan menghidap kencing manis.

Untuk mengetahui dengan mendalam mengenai penyakit berkaitan yang menyebabkan masalah ketidakupayaan ketegangan zakar, ujian-ujian lain juga diperlukan seperti Snap Gauge (ujian Rigiscan untuk mengetahui gerak balas ketegangan), ujian pengaliran darah dalam zakar dan beberapa ujian berkaitan. Dengan mengetahui punca-puncanya maka rawatan yang sempurna mudah dijalankan.

Fakta mati pucuk

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.