Sakit Lutut – Punca, Pemeriksaan & Rawatan

Sakit lutut boleh disebabkan pelbagai punca dan kadangkala akan hilang dengan sendiri, jom ketahui punca sakit lutut dan rawatan yang boleh dilakukan.

Sakit lutut tidak semestinya disebabkan oleh penyakit yang serius. Terdapat banyak punca sakit lutut yang bermula daripada keregangan otot atau keradangan tendon kepada yang lebih teruk seperti arthritis. Kadangkala punca sakit lutut tidak dapat dikenalpasti.

Sakit lutut selalunya boleh dirawat di rumah dan akan pulih selepas beberapa hari.

Apabila meningkat tua, gejala sakit lutut mungkin menjadi lebih kerap. Seseorang juga lebih berisiko untuk sakit lutut jika berlebihan berat badan. Selain itu sakit lutut juga boleh terjadi akibat kecederaan ketika bersukan dan aktiviti yang lain.

Struktur pada lutut

Lutut merupakan sendi terbesar pada badan manusia. Ianya terdiri daripada tulang, kartilaj, ligamen dan tendon.

Tulang lutut

Sendi lutut terdiri daripada pertemuan tiga tulang, iaitu:

  • tulang peha, yang dikenali juga sebagai femur
  • tulang keting, yang dikenali juga sebagai tibia
  • kepala lutut, yang dikenali juga sebaga patella

Ligamen

Ligamen berfungsi untuk menghubungkan tulang kepada tulang yang lain. Terdapat empat ligamen pada lutut. Ianya bertindak seperti tali yang kuat untuk menetapkan tulang lutut pada kedudukan masing-masing.

Ligamen yang terdapat pada lutut adalah:

  • Ligamen kolateral – yang terdapat pada bahagian tepi lutut. Satu pada tepi sebelah luar dan satu lagi pada tepi sebelah dalam. Ianya mengawal pergerakan sisi pada sendi lutut.
  • Ligamen cruciate – yang terdapat di dalam sendi lutut. Terdapat dua ligamen pada setiap lutut dalam kedudukan bersilang membentuk X. Ligamen ini mengawal pergerakan lutut ke depan dan ke belakang.

Kartilaj

Terdapat dua jenis kartilaj pada sendi lutut:

Kartilaj artikular

Kartilaj ini meliputi bahagian hujung tulang peha dan tulang keting, termasuk bahagian belakang kepala lutut. Ianya merupakan tisu yaang licin dan membantu tulang bergerak dengan lancar ketika seseorang membengkokkan atau meluruskan lutut.

Kartilaj meniskus

Ianya merupakan bahagian berbentuk baji yang bertindak sebagai penyerap hentakan di antara tulang peha dan tulang keting.

Meniskus medial terletak pada sebelah dalam sendi lutut manakala meniskus lateral terletak pada sebelah luar sendi lutut.

Meniskus juga bertindak sebagai kusyen bagi menstabilkan lutut, oleh sebab itu ianya kuat dan elastik. Apabila seseorang menyatakan mereka mengalami koyak pada kartilaj, selalunya yang dimaksudkan adala meniskus ini.

Tendon

Tendon menghubungkan otot kepada tulang

Punca sakit lutut

Kecederaan lutut

Keregangan, terseliuh dan terkoyak merupakan antara contoh kecederaan lutut. Ini boleh disebabkan oleh kecederaan ketika bersukan dan aktiviti-aktiviti yang lain.

Tendonitis

Lutut yang sakit dan pedih boleh menandakan berlakunya tendonitis.

Ini berlaku apabila tendon membengkak dan menyebabkan kesakitan – sebagai contoh, selepas seseorang mengalami kecederaan lutut.

Penyakit Osgood-Schlatter

Penyakit ini boleh memberi kesan kepada kanak-kanak dan orang muda. Penyakit ini menyebabkan ketulan tulang di bawah kepala lutut menjadi sakit dan bengkak ketika atau selepas bersenam.

Sindrom kesakitan patellofemoral

Ianya merupakan masalah lutut yang kerap berlaku, terutamanya kepada kanak-kanak dan orang muda. Mereka yang mengalami masalah ini selalunya akan merasa sakit di belakang atau disekeliling kepala lutut.

Sakit akan dirasai apabila penghidap sedang menaiki tangga, berlari, mencangkung, berbasikal atau duduk dengan membengkokkan lutut.

Terapi senaman boleh membantu mengawal masalah ini.

Arthritis pada lutut

Sakit lutut juga boleh berlaku sedikit demi sedikit, secara tiba-tiba atau datang dan pergi. Tidak kira bagaimana corak kesakitan tersebut, selalunya jarang sakit lutut yang berlaku akibat arthritis, melainkan pada sesetengah orang.

Penyakit osteoarthritis merupakan sejenis arthritis yang paling kerap berlaku. Ianya boleh dialami pada semua peringkat umur, tetapi lebih banyak berlaku pada pesakit berumur melebihi 50 tahun.

Jika seseorang itu mengalami osteoarthritis pada lutut, lutut boleh merasa sakit dan sukar digerakkan kadangkala. Ianya boleh menyerang pada sebelah atau kedua-dua belah lutut.

Sakit lutut yang dirasai selalunya lebih teruk pada waktu malam, atau apabila lutut digerakkan dan berkurang apabila sedang berehat. Lutut mungkin sukar digerakkan pada waktu pagi, namun selalunya akan berfungsi seperti normal kurang dari setengah jam selepas mula bergerak.

Sakit akibat osteoarthritis boleh dirasai di sekitar sendi lutut, atau pada kawasan tertentu sahaja seperti di depan atau tepi lutut. Ianya juga boleh menjadi lebih teruk jika lutut berada pada posisi tertentu, seperti ketika sedang menaiki atau menuruni tangga.

Mengawal sakit lutut

Dapatkan rehat dan senaman yang cukup

Dalam 24 ke 48 jam pertama bermula kesakitan, anda boleh:

  • merehatkan lutut, tetapi elakkan terlalu lama tidak bergerak
  • apabila bangun, gerakkan lutut perlahan-lahan selama 10 ke 20 saat pada setiap jam

Selepas 48 jam:

  • Cuba untuk bergerak lebih banyak, kerana senaman boleh membantu mengawal kesakitan jangka panjang.
  • Apabila naik tangga, kaki yang normal didahulukan, gunakan pemegang tangga.
  • Apabila turun tangga, kaki yang sakit didahulukan, gunakan pemegang tangga.
  • Cuba untuk lakukan aktiviti harian seperti biasa, kerana ianya dapat membantu pemulihan. Ini termasuklah ketika berada di rumah atau ketika di tempat kerja.

Elakkan mengangkat barang berat sehinggalah kesakitan itu berkurang dan pergerakan sendi lutut menjadi semakin baik.

Senaman berimpak rendah, seperti mengayuh basikal dan berenang amat berguna dalam membantu pemulihan kecederaan lutut.

Kawalan berat badan

Berat badan berlebihan boleh menyebabkan seseorang mudah mendapat sakit lutut kerana beban yang berlebihan pada sendi lutut. Jika sesorang itu sudah mempunyai sakit sendi, ianya boleh menjadi lebih teruk jika berat badan semakin bertambah. Pengurangan berat badan walaupun sedikit boleh membantu dalam mengawal sakit lutut.

Tuaman panas atau sejuk

Tuaman panas

Haba merupakan rawatan yang efektif dan selamat untuk kebanyakan sakit badan dan sakit sendi. Anda boleh menggunakan bekas guni, pad panas, krim panas, air botol panas atau lampu panas.

Mandian panas juga boleh membantu – namun harus berhati-hati bagi mengelakkan melecur jika suhu terlalu panas. Anda juga perlu kerap memeriksa kulit anda, dan cuba letakkan tuala di antara alat pemanas dan kulit.

Namun tuaman panas ini tidak boleh digunakan pada kecederaan baru kerana ianya boleh meningkatkan pendarahan di bawah kulit dan menyebabkannya menjadi semakin teruk.

Lakukan tuaman panas pada kulit untuk tempoh tidak melebihi 20 minit pada setiap sesi.

Tuaman sejuk

Ramai juga yang mendapat kelegaan dengan menggunakan ais batu bagi mengawal sakit lutut. Pek ais boleh dihasilkan dengan meletakkan kiub ais di dalam beg plastik atau tuala kecil. Anda juga boleh menggunakan kacang pea yang dibekukan, atau membeli pek sejuk daripada farmasi.

Sapukan sedikit minyak pada kawasan yang ingin diletakkan pek ais. Jika kulit tercedera atau dijahit, jangan letakkan minyak. Gantikan dengan beg plastik bagi mengelakkan kawasan tersebut menjadi basah.

Kemudian letakkan kain lembap di atas minyak tersebut. Ini tidak perlu dilakukan jika menggunakan lapik plastik.

Letakkan pek ais di atas kain lembap tersebut. Periksa warna kulit anda selepas 5 minit. Jika ianya menjadi merah atau merah jambu, alihkan pek ais tersebut. Jika tidak, terus letakkan selama 5 ke 10 minit lagi.

Pek ais boleh diletakkan sehingga 20 ke 30 minit – namun jika dibiarkan lebih lama, terdapat risiko ianya boleh merosakkan kulit anda. Ulang sesi yang sama setiap 2 ke 3 jam.

Kasut yang sesuai

Kasut yang sesuai merupakan kasut yang selasa dan menyokong tapak kaki anda terutamanya jika anda mempunyai masalah tapak kaki rata.

Ubat tahan sakit

Paracetamol

Jika anda memerlukan ubat tahan sakit, anda boleh mula dengan mengambil paracetamol untuk beberapa hari.

NSAIDs (Non-steroidal anti-inflammatory drugs) – jenis tablet

Ubat ini boleh membantu mengawal kesakitan, keradangan dan bengkak. Terdapat banyak jenis dan jenama di pasaran seperti ibuprofen yang tidak memerlukan preskripsi dan boleh didapati terus dari farmasi.

Terdapat juga ubat tahan sakit anti keradangan yang memerlukan preskripsi doktor terlebih dahulu. Ubat ini boleh memberikan beberapa kesan sampingan, jadi sila tanya dahulu dengan doktor atau ahli farmasi jika ianya sesuai untuk anda. Anda juga boleh membaca pamplet ubat yang disediakan.

NSAIDs (Non-steroidal anti-inflammatory drugs) – jenis sapu

Ianya juga dikenali sebagai ubat tahan sakit topikal. Sesetengahnya boleh dibeli di farmasi dan ada yang memerlukan preskripsi doktor. Kadangkala ianya lebih berkesan berbanding ubat NSAIDs jenis tablet. Walaubagaimanapun jumlah ubat ini yang meresap ke dalam darah adalah kurang berbanding ubat tablet jadi risiko untuk mendapat kesan sampingan juga berkurang.

Bila perlu berjumpa doktor

Sakit lutut kadangkala boleh hilang dengan sendiri tanpa apa-apa rawatan perubatan dan hanya dengan berehat di rumah.

Jika ianya berpanjangan, dapatkan nasihat dan pemeriksaan daripada doktor atau ahli fisioterapi.

Anda boleh terus pergi ke pusat fisioterapi bagi menjalankan pemeriksaan dan seterusnya menerima rawatan yang sesuai bagi sakit yang biasa. Namun jika sakit yang teruk atau berpanjangan, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor terlebih dahulu.

Jumpa doktor juga jika anda mengalami gejala berikut:

  • kesakitan yang teruk
  • lutut membengkak
  • sakit yang tidak hilang selepas beberapa minggu
  • lutut tidak boleh digerakkan
  • tidak boleh berdiri pada sebelah yang sakit
  • lutut berbunyi, rasa tersangkut atau seperti terhayun – jika lutut berbunyi tetapi tidak sakit anda tidak perlu risau

Adalah penting untuk berjumpa doktor jika terdapat keadaan di atas bagi mencari punca sakit lutut tersebut seterusnya mendapatkan rawatan yang tepat.

Pengesanan

Doktor akan bertanyakan berkenaan gejala sakit lutut yang berlaku dan juga gejala-gejala lain yang berkaitan sebelum pemeriksaan lutut dilakukan. Jika perlu, doktor akan mencadangkan beberapa ujian seperti x-ray lutut dan juga MRI.

Jika masalah lutut adalah serius, doktor mungkin akan merujuk anda kepada pakar tulang atau pakar lain yang berkaitan.

Rawatan

Jika sakit lutut tidak berkurangan, doktor mungkin akan mencadangkan beberapa rawatan lanjut untuk merawat punca sakit lutut. Ini mungkin melibatkan rawatan bagi menguatkan otot sekitar lutut dan pinggang yang boleh memberi kesan kepada sendi lutut.

Doktor akan mencadangkan rawatan berdasarkan punca sakit lutut yang dialami.

Ubat tahan sakit yang lebih kuat

Jika anda mengalami sakit lutut yang teruk, doktor boleh memberikan ubat tahan sakit yang lebih kuat seperti kodein. Walaubagaimanapun ianya mempunyai lebih banyak kesan sampingan dan hanya diberi untuk jangkamasa pendek sementara doktor merawat punca sakit lutut tersebut.

Rawatan selanjutnya yang boleh diberikan termasuklah fisioterapi, terapi perbualan dan program mengawal kesakitan, suntikan atau pembedahan.

Fisioterapi

Fisioterapi boleh membantu mengurangkan sakit lutut, bergantung kepada punca dan bahagian lutut yang terlibat. Ahli fisioterapi akan memberikan nasihat berdasarkan diagnosis dan tahap kesihatan individu tersebut.

Rawatan fisioterapi yang boleh diberikan termasuklah:

  • Program senaman yang sesuai bergantung kepada punca sakit lutut seperti senaman menguatkan otot dan sebagainya.
  • Meletakkan pita pada kepala putut bagi memperbetulkan semula kepala lutut ketika seseorang itu sedang duduk atau bergerak.
  • Memakai pendakap lutut – yang boleh dibeli dari farmasi atau kedai alatan sukan, namun penggunaan pendakap ini tidak sesuai untuk semua jenis sakit lutut. Dapatkan nasihat ahli fisioterapi atau doktor terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Terapi perbualan dan program mengawal kesakitan

Sakit lutut juga boleh memberikan kesan kepada mood seseorang terutamanya jika ia berlaku untuk tempoh yang panjang. Jika pesakit merasa resah dan murung, adalah penting untuk bercakap dengan seseorang seperti ahli keluarga, rakan, jiran doktor atau orang yang boleh dipercayai. Terapi perbualan boleh membantu ketika proses pemulihan.

Selain itu program mengawal kesakitan juga ada disediakan di sesetengah hospital yang boleh membantu anda mengurangkan gejala kesakitan dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup.

Suntikan dan pembedahan

Suntikan atau pembedahan tidak disarankan untuk semua jenis sakit lutut. Ini kerana kebanyakan punca sakit lutut boleh pulih tanpa rawatan yang invasif.

Suntikan selalunya tidak menyembuhkan sakit lutut tetapi dapat membantu mengawal gejala sakit lutut. Ianya juga mempunyai kesan sampingan yang tersendiri.

Jika anda menghidap osteoarthritis pada lutut dan menyebabkan kesakitan yang teruk atau kesukaran untuk melakukan aktiviti harian, anda mungkin akan dirujuk kepada pakar bedah untuk melakukan pembedahan gantian lutut. Sendi lutut akan dibuang dan diganti dengan sendi buatan.

Hidup dengan sakit lutut

Jika anda masih bekerja, adalah penting untuk mendapatkan rawatan bagi mengawal gejala sakit lutut. Bincang juga masalah anda dengan majikan dan rakan sekerja supaya limitasi anda dapat difahami.

Selain itu, anda juga mungkin boleh mencadangkan beberapa perubahan seperti bekerja dari rumah jika dibenarkan, perubahan skop kerja dan sebagainya. Selain itu, bincang juga mengenai pelan rawatan dan tarikh rawatan supaya tidak mengganggu aktiviti kerja anda.

Jangan memaksa diri anda dan dapatkan rehat secukupnya supaya sakit lutut tidak menjadi lebih teruk.

Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.