Jenis Sakit Kepala – Punca dan Rawatan

Sakit kepala merupakan gejala yang pernah dialami hampir semua orang, sebenarnya terdapat pelbagai jenis sakit kepala yang disebabkan punca berbeza.

Kebanyakan daripada kita pasti pernah mengalami sakit kepala berdenyut, yang menyebabkan rasa tidak selesa dan mengganggu kehidupan. Sebenarnya terdapat banyak jenis sakit kepala. Artikel ini akan membincangkan mengenai 10 jenis sakit kepala yang kerap berlaku iaitu:

  1. Sakit kepala tekanan
  2. Sakit kepala kluster
  3. Sakit kepala migrain
  4. Sakit kepala alahan atau resdung
  5. Sakit kepala hormonal
  6. Sakit kepala kerana kafein
  7. Sakit kepala kerana penat
  8. Sakit kepala kerana tekanan darah tinggi
  9. Sakit kepala melantun
  10. Sakit kepala selepas trauma

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan bahawa hampir setiap orang pernah mengalami sakit kepala.

Walaupun sakit kepala boleh ditakrif sebagai sakit pada mana-mana bahagian kepala, punca, tempoh, dan tahap keterukan sakit kepala adalah berbeza mengikut jenis sakit kepala yang dialami.

Dalam kes tertentu, sakit kepala mungkin memerlukan rawatan kecemasan. Dapatkan pemeriksaan perubatan jika anda mengalami gejala-gejala berikut bersekali dengan sakit kepala:

  • sakit leher atau sukar menggerakkan leher
  • ruam
  • sakit kepala yang sangat teruk
  • muntah
  • menjadi keliru
  • percakapan sukar difahami
  • demam melebihi 38°C ke atas
  • lumpuh pada mana-mana bahagian badan atau hilang penglihatan

Jika sakit kepala tidak berapa teruk, adalah penting untuk cuba mengenalpasti jenis sakit kepala yang dialami supaya tindakan yang tepat boleh dilakukan bagi mengurangkan gejala.

Sakit kepala primer yang kerap berlaku

Sakit kepala primer bermaksud sakit kepala yang berlaku bukan disebabkan penyakit yang lain. Biasanya, sakit kepala merupakan satu-satunya gejala yang dialami.

Sakit kepala ini boleh berlaku sekejap-sekejap (episodik) atau berpanjangan (kronik):

  • Sakit kepala episodik boleh berlaku dengan kerap atau kadang-kadang. Ianya boleh berlaku untuk tempoh bawah setengah jam sehinggalah beberapa jam.
  • Sakit kepala kronik berlaku lebih lama. Ianya boleh berlaku beberapa kali dalam sebulan dan setiap kali serangan boleh bertahan selama beberapa hari. Dalam kes ini, pelan rawatan perubatan mungkin diperlukan.

1. Sakit kepala tekanan

Jika anda mengalami sakit kepala jenis tekanan, anda mungkin merasa sengal dan nyeri pada keseluruhan kepala. Ianya berlaku berterusan dan tidak berdenyut. Kadangkala terdapat juga kesakitan pada leher, dahi, kulit kepala atau otot bahu.

Sesiapa sahaja boleh mendapat sakit kepala tekanan, ianya selalu dicetuskan oleh perasaan tertekan (stres).

Pengambilan ubat tahan sakit yang dibeli di farmasi boleh mengurangkan gejala. Antara ubat ini termasuklah:

  • aspirin
  • ibuprofen (Advil)
  • naproxen (Aleve)
  • acetaminophen dan kafein

Jika ubat tahan sakit dari farmasi tidak dapat menghilangkan kesakitan, doktor mungkin akan memberikan ubat yang lebih kuat seperti indomethacin, meloxicam (Mobic), dan ketorolac.

Apabila sakit kepala tekanan berlaku berpanjangan, sila dapatkan pemeriksaan lanjut bagi memastikan ianya tidak disebabkan oleh penyakit yang lain.

2. Sakit kepala kluster

Sakit kepala kluster selalunya melibatkan sakit yang terasa seperti terbakar dan mencocok. Ianya berlaku dibelakang sebelah mata atau sebelah muka pada satu-satu masa. Kadangkala berlakunya bengkak, kemerahan, panas dan berpeluh pada sebelah bahagian yang mengalami sakit kepala ini. Hidung tersumbat dan mata berair juga kerap berlaku pada bahagian yang sama.

Sakit kepala ini selalunya bersiri. Setiap kali sakit kepala berlaku, ianya boleh bertahan dari 15 minit ke tiga jam. Selalunya pesakit akan mengalami sakit kepala tiga ke empat kali sehari, pada masa yang sama setiap hari pada setiap kali serangan. Apabila sakit kepala reda, ianya akan berlaku semula kemudian.

Siri serangan kluster sakit kepala ini boleh terjadi selama beberapa hari atau beberapa bulan. Setelah kluster tamat, biasanya pesakit tidak mengalami sebarang gejala sehinggalah serangan kluster seterusnya. Sakit kepala kluster selalunya berlaku di negara yang bermusim bunga dan luruh. Lelaki mengalami sakit kepala ini tiga kali ganda lebih ramai dari wanita.

Pengkaji masih mencari punca sakit kepala kluster, tetapi beberapa rawatan telah dikenalpasti untuk mengawal sakit kepala ini. Doktor mungkin akan mencadangkan terapi oksigen, sumatriptan (Imitrex) atau ubat bius setempat (lidocaine) bagi mengawal kesakitan.

Selepas diagnosis dilakukan, doktor akan mencadangkan pelan rawatan dan pencegahan kepada pesakit. Ubat seperti kortikosteroid, melatonin, topiramate (Topamax), dan penghalang laluan kalsium (CCB) mungkin boleh membantu dalam mengawal penyakit ini.

3. Sakit kepala migrain

Sakit kepala migrain selalunya menyebabkan sakit kepala yang berdenyut bermula dari bahagian dalam. Ianya boleh berlaku selama beberapa hari. Apabila migrain menyerang, seseorang itu sukar untuk menjalankan aktiviti harian. Migrain selalunya berlaku pada sebelah bahagian kepala dan mereka yang diserang juga menjadi sensitif terhadap cahaya dan bunyi. Kadangkala pesakit akan merasa mual dan muntah.

Sesetengah migrain bermula dengan gangguan penglihatan. Lebih kurang satu daripada lima pesakit migrain akan mengalami gejala berikut sebelum sakit kepala bermula. Ianya dikenali sebagai aura, antaranya adalah:

  • cahaya berkelip
  • cahaya bersinar
  • garisan zigzag
  • nampak bintang-bintang
  • titik buta

Aura juga termasuk rasa semut-semut pada sebelah bahagian muka, sebelah tangan atau kesukaran bercakap. Walaubagaimanapun, gejala penyakit strok juga boleh menyerupai migrain, jadi seseorang yang mengalami gejala ini perlu mandapat pemeriksaan perubatan dengan segera.

Serangan migrain juga mungkin disebabkan keturunan atau dikaitkan dengan penyakit berkaitan sistem saraf. Wanita tiga kali ganda lebih ramai mendapat migrain berbanding lelaki. Pesakit PTSD (post-traumatic stress disorder) juga lebih tinggi risiko untuk mendapat migrain.

Terdapat faktor-faktor persekitaran seperti gangguan tidur, dehidrasi, tidak makan, sesetengah jenis makanan, perubahan hormon, dan pendedahan kepada bahan kimia yang boleh menjadi pencetus kepada migrain.

Jika ubat daripada farmasi tidak dapat mengurangkan sakit kepala akibat serangan migrain, doktor mungkin akan memberikan ubat triptan. Triptan merupakan ubat untuk mengurangkan keradangan dan merubah aliran darah dalam kepala. Ianya boleh diambil dalam bentuk semburan hidung, pil dan juga suntikan.

Antara contoh ubat triptan adalah seperti:

  • sumatriptan (Imitrex)
  • rizatriptan (Maxalt)
  • rizatriptan (Axert)

Jika anda mengalami sakit kepala melebihi tiga hari sebulan pada setiap bulan, bincang dengan doktor anda bagi mendapatkan ubat harian bagi mencegah sakit kepala ini. Kajian menunjukkan ubat pencegah masih jarang digunakan pada pesakit migrain. Lebih kurang 3 ke 13 peratus sahaja pesakit migrain yang mengambil ubat pencegah di mana 38 peratus yang sepatutnya mendapat ubat ini.

Mencegah migrain dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit. Antara ubat pencegah migrain yang boleh diambil termasuklah:

  • propranolol (Inderal)
  • metoprolol (Toprol)
  • topiramate (Topamax)
  • amitriptyline

Sakit kepala sekunder yang kerap berlaku

Sakit kepala sekunder bermaksud sakit kepala yang disebabkan oleh penyakit atau masalah lain dalam badan seseorang. Jika penyakit tersebut tidak dirawat, gejala sakit kepala akan berterusan dan menjadi kronik. Jika penyakit yang menyebabkan sakit kepala sudah dirawat, biasanya sakit kepala akan hilang.

4. Sakit kepala alahan atau resdung

Sakit kepala kadangkala berlaku disebabkan oleh reaksi alahan. Sakit kepala jenis ini biasanya berlaku di kawasan sinus dan juga bahagian hadapan kepala. Mereka yang mempunyai alahan bermusim atau penyakit resdung selalu mengalami sakit kepala jenis ini.

Sakit kepala migrain boleh dikelirukan dengan sakit kepala sinus. Menurut kajian, lebih kurang 90 peratus mereka yang didiagnos dengan sakit kepala sinus sebenarnya mengalami migrain.

Sakit kepala sinus dirawat dengan membuang mukus yang terkumpul dan menyebabkan tekanan di dalam sinus. Ubat antikongestan seperti phenylephrine (Sudafed PE) atau antihistamin seperti cetirizine mungkin boleh membantu.

Sakit kepala sinus juga boleh menjadi gejala kepada jangkitan sinus. Dalam kes ini, doktor akan memberikan antibiotik untuk merawat jangkitan seterusnya melegakan sakit kepala dan gejala-gejala yang lain.

5. Sakit kepala kerana hormon

Wanita selalunya mengalami sakit kepala jenis ini yang dikaitkan dengan perubahan hormon. Kitaran haid, pil pencegah kehamilan dan kehamilan itu sendiri boleh merubah paras estrogen dan menyebabkan sakit kapala. Sakit kepala ini juga mungkin berkaitan dengan kitaran haid dan dikenali sebagai migrain datang bulan. Ianya boleh berlaku sebelum, semasa atau selepas datang bulan, termasuk ketika ovulasi.

Ubat tahan sakit seperti naproxen (Aleve) atau frovatripan (Frova) boleh membantu mengawal sakit kepala ini.

Adalah dianggarkan lebih kurang 60 peratus wanita yang mengalami migrain juga mengalami migrain datang bulan, jadi rawatan alternatif boleh memainkan peranan dalam mengawal sakit kepala ini pada setiap bulan. Teknik relaksasi, yoga, akupuntur dan diet yang sihat mungkin dapat membantu mencegah sakit kepala ini.

6. Sakit kepala kerana kafein

Kafein boleh menganggu pengaliran darah ke otak. Mengambil kafein terlalu banyak boleh menyebabkan sakit kepala, begitu juga apabila berhenti mengambil kafein secara tiba-tiba. Mereka yang menghidap migrain juga berisiko mencetuskan sakit kepala akibat pengambilan kafein.

Jika anda sudah terbiasa mengambil kafein yang merupakan sejenis stimulan pada setiap hari, anda mudah mendapat sakit kepala jika berhenti mengambil kafein. Ini mungkin disebabkan kafein telah merubah komposisi bahan kimia dalam otak, dan berhenti mengambil kafein secara tiba-tiba boleh menyebabkan sakit kepala berlaku.

Namun tidak semua yang berhenti mengambil kafein akan mengalami sakit kepala ini. Ambil kafein dalam jumlah yang sederhana atau berhenti mengambil kafein boleh mencegah seseorang dari mendapat sakit kepala jenis ini.

7. Sakit kepala kerana penat

Sakit kepala kerana penat boleh berlaku selepas seseorang melakukan aktiviti berat. Berlari, mengangkat berat, dan melakukan hubungan seksual merupakan antara pencetus sakit kepala jenis ini. Ianya mungkin berlaku kerana aktiviti ini meningkatkan pengaliran darah ke otak dan menyebabkan sakit kepala berdenyut.

Sakit kepala kerana penat selalunya tidak berlaku untuk tempoh yang lama. Selalunya ia akan hilang dalam masa beberapa minit ke beberapa jam. Ubat tahan sakit seperti aspirin dan ibuprofen (Advil) boleh melegakan gejala.

Jika anda mengalami sakit kepala jenis ini, sila dapatkan pemeriksaan doktor. Dalam sesetengah kes ianya boleh disebabkan penyakit lain yang lebih berbahaya.

8. Sakit kepala akibat tekanan darah tinggi

Tekanan darah tinggi juga boleh menyebabkan sakit kepala, dan selalunya ia menandakan keadaan kecemasan. Sakit kepala boleh berlaku akibat tekanan darah yang terlampau tinggi.

Sakit kepala kerana darah tinggi selalunya berlaku pada kedua-dua bahagian kepala dan menjadi lebih teruk ketika melakukan aktiviti. Ianya juga berdenyut dan pesakit boleh mengalami gangguan penglihatan, kebas dan semut-semut, hidung berdarah, sakit dada serta sesak nafas.

Jika anda rasa sedang mengalami sakit kepala akibat darah tinggi, dapatkan rawatan dengan segera. Seseorang itu lebih berkemungkinan mendapat sakit kepala ini jika menghidap penyakit darah tinggi.

Sakit kepala jenis ini selalunya akan berkurangan apabila tekanan darah semakin menurun. Ianya juga tidak akan berulang jika tekanan darah tinggi tinggi dapat dikawal.

9. Sakit kepala melantun

Sakit kepala melantun atau rebound adalah disebabkan oleh pengambilan ubat secara berlebihan. Ianya terasa seperti sebal dan menekan namun kadangkala boleh juga menjadi sakit yang kuat seperti migrain.

Anda lebih mudah mendapat sakit kepala jenis ini jika kerap mengambil ubat tahan sakit terutamanya tanpa pemantauan doktor. Penggunaan ubat tahan sakit akan menyebabkan sakit kepala menjadi lebih teruk.

Sakit kepala melantun ini lebih kerap terjadi untuk ubat tahan sakit yang boleh dibeli dari farmasi seperti acetaminophen, ibuprofen, aspirin, dan naproxen yang digunakan melebihi 15 hari pada setiap bulan. Ianya juga lebih kerap terjadi untuk ubat yang mengandungi kafein.

Rawatan untuk sakit kepala jenis ini adalah dengan mengurangkan atau berhenti mengambil ubat tahan sakit. Sakit kepala akan menjadi lebih teruk pada mulanya namun akan beransur pulih selepas beberapa hari.

Cara berkesan untuk mengelakkan sakit kepala jenis ini adalah dengan menukar atau mengambil ubat yang tidak boleh menyebabkan sakit kepala melantun. Dapatkan nasihat doktor berkenaan ubat yang lebih sesuai.

10. Sakit kepala selepas trauma

Sakit kepala selepas trauma boleh berlaku selepas apa-apa sahaja kecederaan kepala. Sakit kepala ini terasa seperti migrain atau sakit kepala jenis tekanan, dan selalunya boleh berlaku sehingga 6 ke 12 bulan dari hari kecederaan kepala. Kadangkala ianya menyebabkan sakit kepala yang kronik.

Ubat triptan, sumatriptan (Imitrex), penghalang beta, dan amitriptyline selalunya akan diberikan untuk mengawal sakit kepala jenis ini.

Bila perlu berjumpa doktor

Dalam kebanyakan kes, sakit kepala episodik akan hilang kurang dari 48 jam. Jika anda mengalami sakit kepala yang berlaku melebihi tempoh dua hari atau semakin teruk, dapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Jika anda mengalami sakit kepala melebihi 15 hari sebulan selama tiga bulan, anda mungkin mengalami sakit kepala kronik. Dapatkan pemeriksaan doktor bagi memastikan puncanya walaupun anda merasakan boleh mengawal sakit kepala itu dengan ubat farmasi.

Sakit kepala boleh menjadi gejala untuk penyakit yang lebih berbahaya, dan ada diantaranya yang memerlukan rawatan lanjut untuk pulih.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.