Jenis-jenis Dadah, Ketagihan Dadah dan Kesannya

Daya tahan atau toleransi kepada dadah dikatakan meningkat apabila dos dadah yang biasa diambil tidak dapat memberi kepuasan.

Istilah Drug dalam Bahasa Inggeris diertikan sebagai ubat-ubatan menurut Kamus Dewan. Untuk memberi takrif penyalahgunaan kepada drug, perkataan use, misuse atau abuse perlu digunakan bersama-sama dengan perkataan drug.

Manakala dalam pengertian Bahasa Malaysia, definisi dadah berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pula adalah seperti berikut:

  1. ubat-ubatan
  2. bahan (spt ganja, he­roin, marijuana, dsb) yg merosakkan atau membinasakan orang yg menggunakannya ber­­lanjutan (merosakkan kesihatan, mem­bawa maut, dll); pendadah tempat menyimpan dadah (ubat-ubatan)

Dalam hal ini, perkataan penyalahgunaan atau penagihan adalah perkataan yang sesuai digunakan bagi menggambarkan masalah penggunaan dan juga masalah-masalah yang lain berkaitan dadah.

Jenis-jenis dadah

Dadah boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti berikut:

  1. OpiatHeroin, morfin, candu dan kodein. Opioid sintetik pula seperti methadone dan fentanyl
  2. KanabisGanja dan hashish
  3. Depresan atau penekan – Dadah jenis sedatif, hipnotik, barbiturat dan bukan barbiturat serta tranquilizer
  4. Stimulan atau perangsang – Dadah jenis amfetamin, ekstasi dan kokain
  5. HalusinogenLyseregic acid diethylamide (LSD), meskalin, psilosibin dan disosiatif
  6. Dadah Rekaan – Satu kumpulan analog kepada bahan kimia yang telah terbukti mempunyai kesan farmakologi

Takrif dadah tidak meliputi bahan-bahan pelarut seperti gam dan petrol, alkohol dan tembakau walaupun bahan-bahan ini mempunyai banyak persamaan dengan dadah dari segi kesannya.

Kebergantungan kepada dadah

Terdapat dua jenis kebergantungan kepada dadah apabila ianya digunakan secara kerap dan berterusan iaitu:

Kebergantungan Secara Mental atau Psikologi

Kebergantungan secara mental atau psikologi merupakan satu keadaan di mana penagih mengalami gian atau mengidam untuk menggunakan dadah supaya dapat berfungsi secara normal serta mencapai ketenangan jiwa.

Kebergantungan Secara Fizikal

Kebergantungan secara fizikal ialah satu keadaan di mana badan penagih memerlukan dadah untuk proses fisiologi yang biasa dan jika penggunaan dadah dihentikan akan menimbulkan gejala-gejala tarikan.

Gejala-gejala tarikan ialah tanda-tanda tertentu dari segi tingkahlaku dan fizikal seseorang penagih dadah yang ditunjukkan semasa tidak menggunakan dadah dalam masa yang tertentu.

Antara tanda-tanda kebergantungan ialah sakit perut, muntah-muntah, menggeletar dan sebagainya.

Toleransi kepada dadah

Daya tahan atau toleransi kepada dadah dikatakan meningkat apabila dos dadah yang biasa diambil tidak dapat memberi kepuasan atau memberi kelegaan dalam mengatasi gejala tarikan. Dos dadah terpaksa ditambah untuk mencapai tahap kepuasan atau kelegaan yang sama seperti peringkat awal mengambil dadah. Peningkatan daya tahan tidak semestinya berlaku kepada seseorang yang bergantung kepada dadah.

Ketagihan dadah

Seseorang dikatakan ketagih kepada dadah apabila:

  • Penggunaan dadah menjadi bahagian penting dalam kehidupan seharian
  • Penggunaan dadah mengatasi lain-lain keperluan hidup seperti makan dan minum
  • Toleransi atau daya tahan kepada dadah meningkat
  • Mengalami gejala tarikan apabila tidak mengambil dadah
  • Merasa terdesak atau gian untuk menggunakan dadah, lebih-lebih lagi apabila cuba mengurangkan atau berhenti menggunakan dadah dan tidak dapat mengawal jumlah dan kekerapan penggunaan
  • Terdapat gejala tarikan atau kecenderungan menagih semula setelah berhenti menggunakan dadah untuk beberapa waktu

Faktor-faktor mempengaruhi ketagihan dadah   

Kesan dadah ke atas seseorang berbeza mengikut individu dan bergantung kepada beberapa faktor seperti berikut:

Jenis Dadah

Perbezaan dari kesan ke atas fungsi sistem saraf pusat iaitu samada ia menekan (contohnya heroin) atau merangsangkannya (contohnya amfetamin dan kokain) atau kedua-dua kesan menekan dan merangsang (contohnya ganja).

Jumlah Digunakan

Kesan daripada dos kecil adalah berbeza daripada kesan dos besar. Contohnya dos kecil heroin mungkin menyebabkan rasa mengantuk atau euforia berbanding dengan dos besar yang mana akan menyulitkan pernafasan dan membawa maut.

Cara Penggunaan

Kesan dadah bergantung kepada cara pengambilannya samada ditelan, suntik, hidu, hisap atau diguna bersama dadah lain, jangkamasa dan kekerapan mengguna.

Keadaan Individu

Kesan adalah bergantung kepada umur, jantina, berat badan, kesihatan, daya tahan, pengalaman penggunaan dadah, mood dan aktiviti penagih.

Situasi Ketika Mengguna

Keadaan atau tempat menggunakan dadah dan samada ada atau tiada orang lain hadir bersama.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.