Krisis Tiroid: Punca, Tanda dan Rawatan

Badan tiba-tiba ‘overheat’? Jangan salahkan cuaca, mungkin ini amaran dari tiroid anda.

Krisis tiroid (juga dipanggil thyroid storm atau thyrotoxic crisis) berlaku apabila kelenjar tiroid melepaskan sejumlah besar hormon tiroid dalam tempoh yang sangat singkat.

Ianya merupakan komplikasi hipertiroidisme yang jarang berlaku. Krisis tiroid merupakan salah satu kes kecemasan dalam perubatan dan boleh mengancam nyawa.

Fungsi kelenjar tiroid

Kelenjar tiroid ialah kelenjar berbentuk rama-rama yang terletak di bahagian hadapan leher. Kelenjar ialah organ yang menghasilkan dan melepaskan hormon, iaitu bahan kimia yang membantu tubuh anda berfungsi dan membesar. Tiroid memainkan peranan besar dalam banyak fungsi penting di dalam tubuh.

Kelenjar tiroid menghasilkan dan melepaskan dua jenis hormon utama — triiodothyronine (T3) dan thyroxine (T4). Kedua-duanya dikenali sebagai hormon tiroid, dan hormon ini mengawal suhu badan, kadar denyutan jantung dan metabolisme badan anda.

Metabolisme ialah kadar tubuh anda memproses bahan, iaitu seberapa cepat makanan dalam badan dibakar untuk menghasilkan tenaga dan haba. Dalam krisis tiroid, tahap hormon tiroid yang sangat tinggi akan melonjakkan metabolisme badan ke tahap maksimum, yang boleh menjadi sangat berbahaya.

Aktiviti metabolik yang terlalu tinggi ini akan membuatkan tubuh seseorang memerlukan lebih banyak oksigen. Untuk memenuhi keperluan ini, jantung akan berdegup dengan sangat laju (tachycardia), yang boleh membawa kepada kegagalan jantung.

Faktor risiko

Krisis tiroid adalah komplikasi hipertiroidisme. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai keadaan yang menyebabkan hipertiroidisme seperti penyakit Graves atau adenoma tiroid toksik adalah lebih berisiko.

Seperti gangguan tiroid yang lain, wanita lebih kerap mengalaminya berbanding lelaki. Purata umur pesakit krisis tiroid ialah antara 42 hingga 43 tahun.

Kekerapan

Ianya jarang berlaku. Di Amerika Syarikat, hanya kira-kira 5 hingga 7 kes bagi setiap 1 juta orang berlaku setiap tahun.

Tanda & gejala

Oleh kerana hormon tiroid boleh mempengaruhi banyak bahagian tubuh, seseorang yang mengalami krisis tiroid akan berasa sangat tidak sihat dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Anda mungkin berasa:

  • Sangat panas dan berpeluh.
  • Seolah-olah jantung berdegup terlalu kuat.
  • Sangat gelisah atau cemas.
  • Menggigil.
  • Loya.
  • Hilang kawalan tubuh.
  • Keliru.

Gejala biasa termasuklah:

  • Demam yang sangat tinggi — antara 40–41°C.
  • Denyutan jantung yang sangat laju (tachycardia) melebihi 140 bpm.
  • Gelisah, mudah marah dan/atau cemas.
  • Delirium.
  • Kegagalan jantung kongestif.
  • Hilang kesedaran.

Gejala kurang biasa termasuk:

  • Loya dan/atau muntah teruk.
  • Cirit-birit.
  • Sakit perut.
  • Kulit atau mata menjadi kekuningan (jaundis).

Dapatkan rawatan di hospital dengan segera jika anda mengalami mana-mana gejala ini.

Punca

Krisis tiroid berlaku apabila tiroid menghasilkan dan melepaskan sejumlah besar hormon tiroid dalam masa yang singkat. Ianya merupakan keadaan yang boleh mengancam nyawa.

Pencetus krisis tiroid

Penyelidik masih belum pasti mengapa faktor tertentu boleh mencetuskan krisis tiroid. Walaupun ianya boleh berlaku akibat hipertiroidisme yang tidak dirawat atau tidak cukup rawatan, kebiasaannya ia dicetuskan oleh situasi atau peristiwa akut yang mendadak dan teruk.

Peristiwa yang boleh mencetuskan krisis tiroid termasuklah:

  • Berhenti mengambil ubat antitiroid secara tiba-tiba.
  • Pembedahan tiroid (thyroidectomy).
  • Pembedahan selain tiroid.
  • Trauma.
  • Jangkitan.
  • Penyakit akut seperti ketoasidosis diabetik (DKA), kegagalan jantung atau reaksi ubat.
  • Pendedahan mendadak kepada jumlah iodin yang besar, seperti bahan kontras beriodin untuk prosedur imbasan.
  • Bersalin.
  • Strok.

Diagnosis dan Ujian

Doktor boleh membuat diagnosis krisis tiroid apabila pesakit mempunyai gejala yang teruk dan mengancam nyawa seperti demam panas yang ekstrem dan juga masalah jantung, bersama paras hormon tiroid menjadi tinggi dan paras hormon perangsang tiroid (TSH) yang rendah dalam darah.

Oleh kerana ianya adalah kes kecemasan, rawatan biasanya dimulakan sebelum keputusan darah yang lengkap diperolehi.

Pemeriksaan fizikal mungkin menunjukkan:

  • Goiter (pembesaran tiroid).
  • Oftalmopati — komplikasi penyakit Graves yang melibatkan masalah mata seperti bengkak atau mata terbonjol.
  • Lid lag — kelopak mata atas tidak bergerak normal ketika melihat ke bawah.
  • Tangan menggeletar.
  • Kulit yang panas dan lembap.
  • Tachycardia atau fibrilasi atrium.

Pengurusan dan Rawatan

Krisis tiroid mesti dirawat dengan segera di hospital. Jika anda mengalami gejala krisis tiroid, pergi ke hospital terdekat secepat mungkin.

Rawatan biasanya merangkumi empat kategori:

  1. Menghentikan penghasilan dan pelepasan hormon tiroid.
  2. Merawat organ yang terkesan, terutamanya jantung.
  3. Merawat punca yang mencetuskan krisis tiroid.
  4. Rawatan sokongan untuk mengurangkan gejala.

Antara ubat dan rawatan termasuklah:

  • Ubat antitiroid (thionamides) untuk menghalang penghasilan hormon tiroid yang baru.
  • Larutan iodin untuk menghentikan pelepasan hormon tiroid.
  • Beta-blocker untuk mengawal gejala.
  • Bile acid sequestrants untuk mengurangkan penyerapan semula hormon tiroid dari usus.
  • Acetaminophen dan selimut penyejuk untuk menurunkan suhu badan.
  • Rawatan pernafasan seperti oksigen tambahan.

Pesakit biasanya ditempatkan di ICU untuk pemantauan rapi.

Pemulihan

Dengan rawatan yang betul, kebanyakan pesakit akan berasa lebih baik dalam masa 24 jam. Namun, merawat punca asas krisis tiroid mungkin mengambil masa sehingga seminggu.

Prognosis

Krisis tiroid boleh membawa maut jika tidak dirawat. Punca kematian termasuklah kegagalan jantung, aritmia jantung atau kegagalan pelbagai organ. Namun, dengan rawatan segera, kebanyakan pesakit menunjukkan pemulihan dalam masa 24 jam.

Faktor risiko prognosis yang buruk termasuklah:

  • Usia lanjut.
  • Masalah neurologi ketika tiba di hospital.
  • Tidak boleh diberi beta-blocker atau ubat antitiroid atas sebab kesihatan yang lain.
  • Memerlukan dialisis dan/atau ventilator.

Adakah krisis tiroid boleh membawa maut?

Ya. Ianya boleh mengancam nyawa. Tanpa rawatan, krisis tiroid hampir pasti akan membawa maut. Walaupun dengan rawatan, 10% hingga 30% kes berakhir dengan kematian.

Segera ke hospital jika anda mengalami gejala krisis tiroid. Jangan tunggu sehingga ianya bertambah teruk.

Komplikasi krisis tiroid

Jika rawatan ditangguhkan atau tidak diberikan, komplikasi serius boleh berlaku:

  • Kegagalan jantung.
  • Pembekuan darah.
  • Sawan.
  • Delirium.
  • Koma.

Pencegahan

Tidak semua kes krisis tiroid boleh dicegah, tetapi jika anda mempunyai masalah hipertiroidisme, langkah berikut dapat membantu mengurangkan risiko:

  • Ambil ubat seperti yang diarahkan.
  • Berjumpa doktor secara berkala.
  • Mengurus tekanan dengan baik.

Kerana pembedahan atau anestesia boleh mencetuskan krisis tiroid, doktor mungkin memberi ubat antitiroid sebelum pembedahan.

Bilakah saya perlu ke jabatan kecemasan?

Jika anda mengalami gejala seperti demam yang tinggi dan denyutan jantung sangat laju, pergi ke jabatan kecemasan terdekat dengan segera.

Kesimpulan

Krisis tiroid ialah keadaan perubatan yang serius dan boleh mengancam nyawa. Mujurlah, ianya jarang berlaku dan boleh dirawat. Jika anda mengalami gejala seperti demam yang sangat tinggi dan degupan jantung laju, segeralah ke hospital.

Jika anda menghidap hipertiroidisme seperti penyakit Graves, berbincanglah dengan doktor mengenai risiko krisis tiroid dan cara mencegahnya.

Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.