Batuk – Punca, Pemeriksaan dan Rawatan

Batuk merupakan antara gejala yang paling kerap berlaku, batuk boleh disebabkan pelbagai punca dan ada diantaranya yang membahayakan nyawa.

Batuk merupakan tindakan refleks semulajadi badan bagi membuang sebarang bahan iritasi daripada saluran udara bawah (paru-paru) dan atas (tekak). Batuk dapat membantu dalam pemulihan dan penyembuhan badan kita.

Jenis-jenis batuk

Sebenarnya terdapat banyak jenis batuk. Ianya boleh dibahagikan mengikut tempoh batuk, bunyi dan keadaan batuk serta punca-punca batuk tersebut berlaku.

  • Batuk akut berlaku secara tiba-tiba dan boleh berlaku sehingga dua ke tiga minggu.
  • Batuk subakut pula adalah batuk yang masih kekal walaupun selepas seseorang sembuh dari jangkitan dan boleh berlaku sehingga tiga ke lapan minggu.
  • Batuk kronik merupakan batuk yang berlaku melebihi tempoh lapan minggu. Ianya juga dipanggil sebagai batuk berterusan.
  • Batuk refraktori pula adalah batuk kronik yang tidak hilang walaupun selepas menerima rawatan perubatan.
  • Batuk produktif, atau batuk berkahak ialah batuk yang mengeluarkan kahak atau mukus.
  • Batuk tidak produktif atau batuk kering pula tidak menghasilkan sebarang mukus atau kahak.
  • Batuk kokol atau pertussis merupakan sejenis jangkitan yang menyebabkan batuk mengeluarkan bunyi ‘whoop’.
  • Batuk seperti menyalak (barking) merupakan salah satu tanda penyakit croup.
  • Batuk lelah merupakan batuk yang berlaku apabila saluran pernafasan tersumbat. Ianya boleh dikaitkan dengan jangkitan, seperti selsema atau penyakit kronik seperti asma.
  • Batuk siang
  • Batuk malam (nokturnal)
  • Batuk dengan muntah, selalunya berlaku pada kanak-kanak. Batuk kadangkala boleh menjadi terlalu teruk sehingga mengaktifkan refleks gag lalu menyebabkan muntah.

Faktor risiko

Sesiapa sahaja boleh mengalami batuk. Ianya merupakan antara gejala yang paling kerap dilihat oleh doktor di klinik pada setiap hari.

Namun begitu, terdapat sesetengah orang yang lebih cenderung mendapat batuk dari orang lain. Antara mereka yang berisiko adalah:

  • Merokok, termasuk tembakau dan ganja
  • Menghisap vape
  • Menghidap penyakit kronik terutamanya yang melibatkan paru-paru dan sistem saraf
  • Mempunyai alahan
  • Kanak-kanak, kerana terdedah terhadap jangkitan di tadika atau sekolah

Punca batuk

Terdapat banyak perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu batuk, antaranya adalah:

Alergen atau bahan iritasi

  • Asap
  • Bau yang kuat seperti bahan pencuci dan minyak wangi
  • Kulat
  • Habuk
  • Debunga
  • Bulu haiwan
  • Mukus
  • Sesetengah ubat seperti ubat ACEi untuk pesakit darah tinggi

Penyakit yang boleh menyebabkan batuk akut dan sub-akut

Penyakit yang boleh menyebabkan batuk kronik

  • Bronkitis kronik
  • Asma
  • Alahan
  • Penyakit COPD (Chronic obstructive pulmonary disease) atau penyakit paru-paru yang lain
  • GERD (Gastroesophageal reflux disease)
  • Sakit tekak termasuk peti suara
  • Lelehan dari hidung
  • Kegagalan jantung dan penyakit jantung yang lain

Cara melegakan atau mengawal batuk

Rawatan batuk adalah bergantung kepada punca batuk tersebut berlaku. Jika anda sedang mengalami jangkitan, doktor mungkin akan memberikan ubat antibiotik dan ubat antiviral, namun tidak semua batuk yang disebabkan virus memerlukan ubat antiviral. Untuk penyakit GERD, doktor mungkin akan mencadangkan perubahan diet atau memberikan ubat PPI (proton pump inhibitor) atau penghalang H2.

Meminum air juga boleh melegakan batuk yang disebabkan oleh iritasi dan kekeringan pada tekak. Selain itu menggunakan alat pengewap atau mandian stim juga boleh membantu mengawal batuk.

Berhenti merokok dan mengelakkan sesetengah bahan iritasi juga mampu mengurangkan batuk. Antara bahan iritasi ini termasuklah sesetengah ubat, bahan pewangi atau lilin wangi, asap dan juga alergen.

Rawatan di rumah

Terdapat banyak ubat batuk jenis sirap dan pil yang boleh didapati dari farmasi. Selain itu, anda juga boleh mencuba mengambil madu. Ubat batuk jenis titis dan lozenge juga boleh digunakan bagi melegakan sakit tekak yang menyebabkan batuk. Meminum minuman panas seperti teh dengan madu juga dapat membantu.

Jangan berikan ubat batuk anda kepada kanak-kanak di bawah umur 6 tahun tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.

Cara mencegah batuk

Terdapat batuk yang boleh dicegah dengan mengelakkan bahan iritasi yang anda sudah kenalpasti boleh menyebabkan batuk seperti asap dan bulu binatang.

Selain itu, batuk yang disebabkan jangkitan juga boleh dicegah dengan melakukan perkara-perkara berikut:

  • Mengambil vaksin untuk penyakit influenza, COVID-19 dan pneumonia
  • Mengelakkan dari mendekati orang yang sedang sakit
  • Elakkan dari menyentuh bahagian mata, hidung dan mulut
  • Kerap membasuh tangan menggunakan sabun atau cecair nyahkuman

Bila perlu berjumpa doktor

Jika anda atau anak anda menghidap penyakit kronik, anda perlu berjumpa doktor bagi melakukan pemeriksaan.

Secara umumnya, sila berjumpa doktor jika anda mengalami batuk yang tidak berhenti beserta gejala-gejala berikut:

  • Nafas berbunyi (wheezing)
  • Demam melebihi 38°C atau demam melebihi dua hari
  • Rasa sejuk
  • Batuk dengan kahak, terutamanya jika kahak berwarna kuning, hijau atau berdarah

Dapatkan rawatan kecemasan jika anda mengalami batuk beserta gejala berikut:

  • Rasa tercekik
  • Sasak nafas
  • Berdarah banyak apabila batuk
  • Sakit dada yang teruk

Pemeriksaan

Untuk mengenalpasti punca batuk, doktor akan mengambil sejarah perubatan, melakukan pemeriksaan fizikal dan mungkin perlu melakukan beberapa ujian.

Doktor akan memeriksa tanda kehidupan, seperti suhu dan kadar pernafasan. Doktor juga akan memeriksa paras oksigen, melakukan ujian spirometri dan mungkin melakukan ujian seterusnya seperti x-ray dada, atau ujian fungsi paru-paru jika anda mengalami batuk berpanjangan.

Antara soalan yang boleh ditanya oleh doktor:

  • Adakah anda merokok, menghisap vape atau mengambil ganja
  • Apakah pekerjaan anda
  • Berapa lama anda batuk
  • Adakah anda sesak nafas ketika berehat atau melakukan aktiviti
  • Adakah batuk menyebabkan sukar tidur
  • Adakah terdapat kahak atau darah ketika batuk
  • Apakah ubat yang telah anda ambil
  • Adakah nafas berbau dan sukar dihilangkan
  • Adakah terdapat rasa pelik di dalam mulut anda
  • Adakah anda mengalami sakit di sekitar muka
  • Adakah anda kehilangan berat badan secara tiba-tiba

Batuk dan kehamilan

Selalunya kehamilan tidak menyebabkan gejala batuk, tetapi terdapat perubahan pada sistem imuniti badan ketika hamil. Ini boleh menyebabkan ibu hamil lebih mudah mendapat batuk disebabkan jangkitan seperti selsema. Selain itu jangkitan ini juga mungkin berlaku lebih lama daripada biasa.

Dapatkan pemeriksaan doktor jika sakit anda berlaku lebih lama daripada biasa atau jika anda mengalami masalah pernafasan, makan atau tidur.

Batuk selepas makan

Jika anda batuk selepas makan, mungkin makanan yang ditelan telah pergi ke saluran yang salah iaitu saluran pernafasan. Dalam keadaan normal, saluran pernafasan bahagian atas akan tertutup ketika seseorang sedang makan atau minum bagi mengelakkan ianya masuk ke dalam paru-paru.

Namun kadangkala laluan ini boleh terbuka lalu makanan tersebut masuk ke saluran pernafasan dan menyebabkan batuk. Ini kerana badan kita cuba untuk mengeluarkan semula bahan makanan tersebut.

Keadaan ini dipanggil sebagai aspirasi dan kerap berlaku kepada mereka yang mempunyai masalah menelan atau masalah saluran pencernaan atau paru-paru. Jika anda kerap mengalami batuk disebabkan aspirasi ini, sila dapatkan pemeriksaan doktor.

Batuk dan COVID-19

Batuk merupakan salah satu gejala COVID-19, ianya juga boleh menjadi sebahagian dari gejala sindrom pasca-COVID (long COVID).

Selepas sembuh daripada COVID, batuk ini boleh berterusan sehingga beberapa minggu atau bulan. Gejala lain juga boleh berlaku seperti badan berasa sangat penat, sukar menumpukan perhatian atau mengingat dan masalah pernafasan.

Jumpa doktor dengan segera jika anda mengalami batuk dan kontak rapat kepada mereka yang telah disahkan menghidap COVID-19. Ikut pelan rawatan yang diberikan terutamanya jika anda seorang yang berisiko tinggi.

Kesimpulan

Batuk tidak semestinya menandakan penyakit yang serius. Ianya berlaku kepada semua orang dalam keadaan tertentu. Batuk juga adalah tindakbalas badan bagi mengeluarkan bahan iritasi dari saluran pernafasan yang boleh menyebabkan sesak nafas.

Jika anda mempunyai gejala-gejala lain seperti sesak nafas, demam, masalah makan dan tidur, atau batuk yang berkahak atau berdarah, sila dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera. Jika anak anda mengalami batuk, pemeriksaan perubatan juga amat penting bagi menentukan punca batuk tersebut.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.