Asid refluks berlaku apabila kandungan dalam perut masuk semula ke dalam esofagus. Ianya juga dikenali sebagai regurgitasi. Jika gejala asid refluks berlaku melebihi dua minggu, anda mungkin mengalami penyakit gastroesophageal reflux disease atau GERD.
Menurut kajian lebih kurang 20% penduduk dunia mengalami masalah ini. Jika tidak dirawat ianya boleh menyebabkan komplikasi serius.
Tanda dan gejala asid refluks
Asid refluks boleh menyebabkan perasaan tidak selesa di bahagian dada yang boleh menjalar ke atas atau bahagian leher. Ianya juga dikenali sebagai sakit ulu hati.
Apabila asid refluks berlaku, seseorang mungkin mengalami rasa masam atau pahit di dalam mulut. Mungkin juga terdapat cecair atau makanan ketika keadaan itu berlaku.
Dalam sesetengah keadaan, GERD boleh menyebabkan kesukaran menelan dan masalah pernafasan seperti batuk dan sesak nafas.
Punca asid refluks
Pada bahagian hujung esofagus terdapat bukaan yang dikawal oleh otot sekeliling dinding esofagus. Ianya akan terbuka apabila makanan sedang ditelan dan tertutup semula selepas itu.
Asid refluks berlaku apabila bahagian ini tidak berfungsi dengan sempurna dan menyebabkan kandungan dari perut masuk semula ke dalam esofagus untuk naik ke kawasan mulut.
Rawatan asid refluks
Untuk mencegah dan mengurangkan gejala GERD, doktor akan menggalakkan perubahan tabiat makan dan pengambilan ubat.
Antara ubat yang boleh melegakan asid refluks adalah:
- Antasid
- H2 reseptor blocker
- Proton pump inhibitors (PPIs)
Dalam sesetengah kes, doktor akan memberikan ubat H2 receptor blockers atau PPIs yang lebih kuat. Jika masih tidak berkesan, pembedahan boleh dilakukan.
Pembedahan
Dalam kebanyakan kes, perubahan gaya hidup sudah cukup untuk mencegah dan mengurangkan gejala GERD. Walaubagaimanapun kadangkala pembedahan masih diperlukan.
Sebagai contoh, pembedahan boleh dilakukan jika perubahan gaya hidup dan ubat masih tidak mengurangkan gejala atau jika berlaku komplikasi disebabkan GERD.
Pengesanan asid refluks
Jika doktor mengesyaki anda mengalami GERD, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dan bertanya mengenai gejala yang berlaku.
Antara prosedur yang boleh dilakukan untuk mengesahkan diagnosis atau memeriksa komplikasi GERD termasuklah:
- Barium swallow: pesakit perlu meminum cecair barium dan X-ray akan dilakukan untuk memeriksa fungsi esofagus.
- Endoskopi bahagian atas: tiub dengan kamera akan dimasukkan melalui mulut ke dalam esofagus untuk memeriksa bahagian dalaman dan mengambil sampel jika perlu.
- Manometri esofagus: tiub fleksibel akan dimasukkan ke dalam esofagus untuk memeriksa kekuatan otot esofagus.
- Pemeriksaan pH esofagus: sejenis alat akan dimasukkan ke dalam esofagus untuk menentukan jika terdapat cecair dari perut yang masuk ke dalam esofagus.
Asid refluks pada kanak-kanak
Lebih kurang dua pertiga kanak-kanak berumur 4 bulan mengalami GERD. Lebih kurang 10 peratus bayi berumur 1 tahun mengalami masalah ini.
Adalah normal untuk bayi muntah atau mengeluarkan makanan namun jika berlaku dengan kerap mungkin bayi tersebut mengalami GERD.
Antara tanda-tanda dan gejala lain pada kanak-kanak termasuklah:
- Tidak mahu makan
- Susah menelan
- Tercekik
- Tersedu
- Marah semasa atau selepas makan
- Membengkokkan belakang semasa atau selepas makan
- Berat badan berkurang atau masalah pertumbuhan
- Kerap batuk dan mengalami jangkitan paru-paru
- Sukar tidur
Kebanyakan gejala di atas juga berlaku pada bayi yang mengalami lidah terikat, keadaan yang menyukarkan mereka makan.
Sila bawa bayi atau anak anda berjumpa doktor jika mengalami gejala di atas.
Faktor risiko GERD
Sesetengah keadaan boleh meningkatkan risiko mengalami GERD termasuk:
- Obesiti
- Mengandung
- Hiatal hernia
- Masalah connective tissue
Gaya hidup berikut juga boleh meningkatkan risiko menghidap GERD:
- Merokok
- Makan dengan banyak
- Berbaring atau tidur selepas makan
- Makan sesetengah makanan seperti makanan bergoreng
- Minum minuman tertentu seperti soda, kopi atau alkohol
- Menggunakan nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDS), seperti aspirin atau ibuprofen
Jika anda mempunyai sebarang faktor risiko, bolehlah mengambil langkah untuk mengubah gaya hidup anda bagi mencegah GERD.
Komplikasi GERD
Dalam kebanyakan kes, GERD tidak menyebabkan komplikasi serius. Namun ianya boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa jika tidak dirawat.
Komplikasi yang boleh berlaku termasuk:
- Esofagitis, keradangan pada esofagus
- Esofageal stricture, dinding esofagus menjadi semakin sempit
- Esofagus Barrett, perubahan pada lapisan dalaman dinding esofagus
- Kanser esofagus, boleh terjadi pada mereka yang mengalami esofagus Barrett
- Asma, batuk kronik dan masalah pernafasan yang berlaku apabila asid dari perut memasuki paru-paru
- Hakisan gigi, penyakit gusi dan masalah mulut yang lain
Untuk mengurangkan komplikasi, adalah penting untuk merawat GERD dari peringkat awal.
Kawalan diet
Untuk sesetengah orang, terdapat makanan yang boleh mencetuskan gejala GERD. Antara makanan tersebut adalah seperti:
- Makanan tinggi lemak
- Makanan pedas
- Coklat
- Buah sitrus
- Nenas
- Tomato
- Bawang
- Bawang putih
- Mint
- Alkohol
- Kopi
- Teh
- Soda
Setiap orang mempunyai makanan pencetus yang berbeza.
Rawatan sendiri
Terdapat beberapa rawatan sendiri yang boleh dilakukan untuk mengurangkan gejala GERD.
Antara contohnya termasuklah:
- Berhenti merokok
- Mengurangkan berat badan
- Makan sedikit demi sedikit
- Mengunyah gula-gula getah selepas makan
- Tidak berbaring selepas makan
- Elakkan makanan pencetus gejala
- Tidak memakai pakaian ketat
- Mengamalkan teknik relaksasi
Terdapat rawatan herba yang boleh mengurangkan gejala seperti:
- Chamomile
- Akar licorice
- Akar marshmallow
- Slippery elm
Terdapat juga sesetengah pesakit yang mendapat kelegaan apabila mengambil suplemen atau herba-herba tertentu yang lain. Sila bincang dengan doktor anda jika anda ingin mengambil mana-mana herba atau suplemen.
Asid refluks dan keresahan
Penyakit anxiety atau keresahan juga boleh menyebabkan gejala asid refluks menjadi lebih teruk. Antara perkara yang boleh dilakukan termasuklah:
- Kurangkan berjumpa dengan orang ramai atau pergi ke kawasan yang boleh menimbulkan keresahan.
- Mengamalkan teknik relaksasi seperti meditasi dan teknik pernafasan.
- Merubah tabiat tidur, bersenam dan mengubah gaya hidup.
Beritahu doktor anda jika anda selalu mengalami keresahan. Anda mungkin akan dirujuk untuk rawatan lanjut. Rawatan penyakit anxiety seperti ubat-ubatan dan kaunseling mungkin dapat mengurangkan juga gejala GERD.
Asid refluks ketika mengandung
Mengandung boleh meningkatkan risiko mengalami asid refluks. Jika anda penghidap GERD, gejala penyakit ini mungkin akan menjadi bertambah teruk.
Perubahan hormon ketika mengandung boleh menyebabkan otot esofagus menjadi lebih kendur. Selain itu kandungan janin yang semakin membesar akan menambahkan tekanan kepada bahagian perut. Kedua-dua faktor ini akan meningkatkan lagi risiko asid dari perut memasuki esofagus.
Bincang dengan doktor anda jika anda mengalami gejala asid refluks ketika mengandung.
Asid refluks dan asma
Dilaporkan lebih kurang 75 % penghidap asma juga menghidap GERD. Walaubagaimanapun kajian lanjut diperlukan untuk mengkaji kaitan antara asma dan GERD termasuk jika terdapat ubat asma yang boleh menyebabkan GERD. Kedua-dua masalah ini perlu diberitahu kepada doktor anda jika ada.
Asid refluks dan IBS
Irritable bowel syndrome (IBS) merupakan keadaan yang melibatkan usus besar. Antara gejala yang berlaku termasuklah:
- Sakit abdomen
- Kembung perut
- Sembelit
- Cirit-birit
Menurut kajian, gejala GERD lebih kerap berlaku dikalangan pesakit IBS. Sila beritahu doktor anda jika anda mengalami gejala yang disebutkan.
Perbezaan asid refluks dan sakit ulu hati
Sakit ulu hati merupakan salah satu gejala asid refluks dan GERD. Kebanyakan orang pernah merasa sakit ulu hati sepanjang hidup namun jika jarang berlaku anda tidak perlu risau. Namun jika ianya berlaku pada hampir setiap minggu mungkin anda memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor.
Tulis Komen