Penyakit Tibi atau Tuberkulosis – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit tibi aktif selalunya akan menyebabkan banyak gejala yang berkaitan dengan sistem pernafasan, seperti batuk yang berdarah atau berkahak.

Penyakit tibi atau tuberkulosis merupakan penyakit berjangkit yang mudah merebak dan selalunya menyerang paru-paru. Penyakit tibi juga dikenali sebagai batuk kering di Malaysia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tibi merupakan antara 10 punca kematian tertinggi di dunia, membunuh lebih 1.7 juta orang pada tahun 2016.

Penyakit tibi sering terjadi di negara-negara membangun namun ianya juga berlaku secara sporadik di negara-negara maju. Penyakit tibi boleh dielakkan jika langkah pencegahan diambil.

Tanda-tanda dan gejala tibi

Sesetengah mereka yang dijangkiti tibi tidak mengalami sebarang gejala. Keadaan ini dinamakan sebagai tibi laten. Tibi boleh kekal dorman atau tidak aktif di dalam badan selama bertahun-tahun sebelum menjadi aktif.

Tibi aktif selalunya akan menyebabkan banyak gejala yang berkaitan dengan sistem pernafasan, seperti batuk yang berdarah atau berkahak. Pesakit juga akan mengalami batuk melebihi tiga minggu dan sakit apabila sedang batuk atau bernafas.

Gejala-gejala yang lain termasuklah:

  • Letih tanpa sebab
  • Demam
  • Berpeluh pada waktu malam
  • Kurang selera makan
  • Berat badan menurun

Walaupun tibi selalunya menyerang paru-paru, ianya juga boleh menyerang organ yang lain seperti buah pinggang, tulang belakang dan otak. Gejalanya adalah berbeza bergantung kepada organ mana yang terlibat. Sebagai contoh tibi pada buah pinggang boleh menyebabkan seseorang mengalami kencing berdarah.

Faktor risiko tibi

Menurut data WHO, lebih 95 peratus kematian akibat tibi berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Mereka yang merokok, menggunakan tembakau, menyalahgunakan dadah dan meminum alkohol lebih mudah dijangkiti tibi, begitu juga mereka yang menghidap penyakit HIV atau mempunyai masalah sistem imun. Tibi merupakan antara pembunuh utama pesakit positif HIV. Faktor lain yang boleh meningkatkan risiko mendapat tibi adalah:

Ubat-ubatan yang menekan sistem imuniti juga boleh menyebabkan seseorang mudah mendapat tibi, terutamanya ubat yang digunakan selepas pemindahan organ bagi mengelakkan penolakan organ oleh badan. Ubat untuk penyakit berikut juga boleh meningkatkan risiko tibi:

Perjalanan ke negara yang tinggi kes tibi juga boleh meningkatkan risiko seseorang untuk dijangkiti. Antara kawasan tersebut adalah:

  • Sub-sahara Afrika
  • India
  • Mexico dan beberapa negara Amerika Latin
  • China dan beberapa negara Asia lain
  • Sesetengah kawasan di Rusia dan beberapa negara bekas Soviet Union
  • Kepulauan di Asia Tenggara
  • Mikronesia

Negara-negara ini kekurangan kemudahan untuk mencegah dan mengenalpasti jangkitan tibi yang menyebabkan risiko untuk jangkitan merebak menjadi lebih tinggi. Golongan gelandangan dan penghuni pusat tahanan juga berisiko lebih tinggi mendapat jangkitan tibi.

Punca tibi

Tibi disebabkan oleh sejenis bakteria iaitu Mycobacterium tuberculosis. Terdapat beberapa jenis strain bakteria ini dan sesetengahnya sudah menjadi kebal kepada beberapa jenis ubat.

Bakteria Mycobacterium tuberculosis di bawah mikroskop.

Bakteria tibi berjangkit melalui titisan di udara. Apabila ianya berada di udara, orang yang berdekatan boleh menyedut bakteria ini ke dalam paru-paru mereka. Mereka yang dijangkiti tibi boleh menyebarkan penyakit ini melalui cara:

  • Bersin
  • Batuk
  • Bercakap
  • Menyanyi

Mereka yang mempunyai sistem imuniti normal mungkin tidak mengalami sebarang gejala walaupun telah dijangkiti. Ianya dikenali sebagai tibi tidak aktif atau tibi laten. Menurut WHO, lebih kurang suku daripada penduduk dunia ini mempunyai tibi laten.

Tibi laten tidak boleh berjangkit, tetapi lama-kelamaan boleh menjadi tibi aktif semula. Tibi aktif inilah yang menyebabkan gejala dan boleh menjangkiti orang lain.

Pengesanan tibi

Ujian pada kulit

Doktor boleh menjalankan ujian pada kulit dengan menggunakan purified protein derivative (PPD) bagi menentukan jika seseorang telah dijangkiti bakteria tibi. Ujian ini juga dinamakan sebagai ujian Mantoux.

Ujian ini dijalankan dengan menyuntik sebanyak 0.1 milliliter PPD (jumlah protein yang kecil) pada bahagian permukaan kulit. Selepas dua atau tiga hari, doktor akan membaca keputusan ujian ini pada kulit. Jika terdapat reaksi ruam bersaiz melebihi 5 milimeter (mm) di tempat suntikan, anda mungkin positif tibi. Ujian ini menentukan jika anda ada jangkitan tibi tetapi tidak boleh menentukan sama ada tibi tersebut aktif atau laten.

Ujian Mantoux sedang dijalankan.

Reaksi ruam di antara 5 ke 15 mm boleh dikatakan positif bergantung kepada faktor risiko, kesihatan dan sejarah perubatan seseorang. Semua reaksi ruam melebihi 15 mm akan dikira positif walaupun tiada faktor risiko.

Walaubagaimanapun ujian ini tidak sempurna kerana ada sesetengah orang yang tidak memberikan reaksi walaupun mereka mempunyai tibi dan ada yang memberikan reaksi walaupun tiada tibi. Mereka yang baru menerima vaksin tibi berkemungkinan akan positif walaupun sebenarnya tiada jangkitan tibi.

Ujian darah

Doktor boleh menjalankan ujian darah selain ujian pada kulit. Sesetengah orang lebih sesuai menggunakan ujian darah disebabkan kerana keadaan atau penyakit tertentu. Antara ujian darah yang boleh dijalankan adalah Quantiferon dan T-Spot. Keputusan ujian darah ini boleh menunjukkan tanda tibi positif, negatif atau tidak dapat ditentukan. Seperti juga ujian pada kulit, ujian darah ini tidak boleh menentukan jika tibi tersebut aktif atau laten.

X-ray dada

Jika ujian pada kulit atau ujian darah anda positif, doktor akan melakukan x-ray dada untuk mellihat jika terdapat perubahan pada paru-paru. Jangkitan tibi akan menyebabkan perubahan seperti tompokan pada paru-paru kerana badan orang yang dijangkiti akan cuba untuk mengasingkan kawasan jangkitan ini dari kawasan sihat. Jika tiada apa-apa perubahan pada x-ray, anda mungkin mendapat tibi laten. Berkemungkinan juga keputusan ujian tidak tepat atau memerlukan ujian selanjutnya.

Jika x-ray menunjukkan jangkitan aktif, rawatan tibi akan dimulakan. Jika tiada perubahan x-ray, anda mungkin akan dirawat untuk tibi laten bagi mengelak bakteria tibi menjadi aktif pada masa akan datang.

X-ray dada pesakit tibi.

Ujian lain

Doktor juga akan menjalankan ujian kahak atau mukus yang dihasilkan oeh paru-paru bagi melihat jika terdapat bakteria tibi. Jika kahak anda positif, anda boleh menjangkiti orang lain dan perlu memakai topeng muka sehinggalah rawatan dimulakan dan kahak menjadi negatif semula.

Ujian pengimejan seperti imbasan CT bahagian dada, bronkoskopi, dan biopsi paru-paru boleh dilakukan jika perlu terutamanya jika ujian lain tidak memberikan keputusan yang jelas sama ada seseorang itu dijangkiti tibi.

Rawatan tibi

Kebanyakan jangkitan bakteria lain selalunya boleh dirawat selama seminggu atau dua minggu sahaja, tetapi tidak bagi tibi. Mereka yang dijangkiti tibi perlu mengambil kombinasi ubat selama enam hingga sembilan bulan. Regimen ubat ini perlu dihabiskan oleh setiap pesakit. Jika tidak, jangkitan tibi boleh kembali semula dan menjadi lebih teruk kerana ianya boleh menjadi kebal terhadap ubat-ubatan yang telah diberikan dan akan lebih sukar dirawat.

Doktor akan memmberikan gabungan beberapa jenis ubat kerana terdapat strain tibi yang telah kebal terhadap sesetengah ubat. Gabungan yang biasa diberikan untuk jangkitan tibi aktif adalah:

  • Isoniazid
  • Ethambutol
  • Pyrazinamide
  • Rifampin
  • Rifapentine

Ubat-ubatan ini boleh memberi kesan sampingan kepada hati, jadi mereka yang mengambil ubat tibi perlu peka dengan gejala kecederaan hati seperti:

  • Hilang selera makan
  • Warna kencing yang gelap
  • Demam melebihi tiga hari
  • Kuning pada kulit atau jaundis
  • Sakit pada abdomen

Sila beritahu doktor anda dengan segera jika anda mengalami gejala di atas semasa menerimma rawatan tibi. Doktor juga akan sentiasa memantau fungsi hati melalui ujian darah sepanjang rawatan dijalankan.

Kesan jangka panjang tibi

Rawatan tibi selalunya berjaya jika pesakit menurut semua arahan dan menghabiskan regimen rawatan yang telah diberikan.

Jika pesakit mempunyai penyakit lain, jangkitan tibi mungkin lebih sukar untuk dirawat. Sebagai contoh penyakit HIV akan melemahkan sistem imun badan dan badan akan sukar melawan bakteria tibi serta jangkitan yang lain.

Jangkitan kuman yang lain dan keadaan kesihatan yang tidak memuaskan juga boleh menyukarkan pemulihan dari tibi, begitu juga dengan kekurangan kemudahan untuk merawat tibi. Secara umumnya, pengesanan dan rawatan awal termasuk menghabiskan regimen rawatan merupakan peluang terbaik untuk pulih sepenuhnya.

Pencegahan tibi

Kebanyakan mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi di seluruh dunia telah menerima vaksin tibi ketika masih kanak-kanak. Vaksin ini dinamakan sebagai Bacillus Calmette-Guerin, atau BCG, dan boleh melindungi seseorang dari beberapa strain tibi.

Jika anda menghidap tibi laten pula, doktor mungkin akan mencadangkan regimen antibiotik yang lebih sekejap bagi mengelakkan tibi laten ini menjadi aktif pada masa hadapan. Regimen yang selalu diberikan adalah isoniazid, rifampin, dan rifapentine, yang perlu diambil selama tiga ke sembilan bulan bergantung kepada kombinasi yang diberikan.

Mereka yang telah disahkan menghidap tibi aktif perlu mengelak untuk pergi ke kawasan orang ramai sehinggalah mereka menerima rawatan dan tidak boleh menjangkiti orang lain. Menurut data WHO, penghidap tibi aktif boleh menjangkiti sehingga 10 ke 15 orang melalui kontak rapat jika tiada langkah pencegahan yang diambil.

Mereka yang dijangkiti tibi perlu memakai topeng muka n95 bagi mengelakkan bakteria tibi tersebar ke udara dan menjangkiti orang lain. Adalah lebih baik sekiranya penghidap tibi yang aktif mengelakkan diri dari keluar dan terus memakai topeng muka sehingga telah disahkan tidak boleh lagi menjangkiti orang lain oleh doktor.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.