Penyakit Rabies atau Anjing Gila – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit rabies atau anjing gila adalah disebabkan oleh virus rabies yang merosakkan sistem saraf pusat dan menyebabkan keradangan di dalam otak.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga 59,000 orang diseluruh dunia meninggal dunia akibat rabies setiap tahun. 99 peratus daripadanya adalah akibat gigitan anjing yang dijangkiti rabies atau dipanggil juga anjing rabid (anjing gila). Walaubagaimanapun, kewujudan vaksin rabies untuk haiwan dan juga manusia telah mengurangkan kadar jangkitan virus rabies ini.

Penyakit rabies sering dikaitkan dengan gigitan oleh anjing rabid yang ganas, dengan mulut berbuih dan air liur yang meleleh.

Penyakit rabies adalah disebabkan oleh virus yang merosakkan sistem saraf pusat dan menyebabkan keradangan di dalam otak. Haiwan domestik seperti anjing, kucing, arnab dan juga haiwan liar seperti kelawar dan serigala boleh menyebarkan virus tersebut kepada manusia melalui gigitan dan cakaran. Rawatan awal amat penting dalam membantu pemulihan pesakit rabies.

Anjing rabid atau anjing gila dengan air liur meleleh.

Tanda-tanda dan gejala

Tempoh di antara gigitan haiwan dan kemunculan gejala dikenali sebagai tempoh inkubasi. Ia selalunya mengambil masa selama 4 ke 12 minggu untuk seseorang mengalami gejala setelah dijangkiti virus rabies. Walaubagaimanapun, tempoh inkubasi boleh berbeza-beza dalam julat beberapa hari sehingga enam tahun.

Tanda-tanda dan gejala awal rabies termasuklah:

  • Demam
  • Lemah badan
  • Rasa semut-semut

Tempat gigitan haiwan juga terasa seperti terbakar. Apabila virus mula menyerang sistem saraf pusat, akan terdapat dua jenis penyakit yang boleh berlaku.

Penyakit rabies gila

Mereka yang mendapat penyakit rabies gila akan menjadi hiperaktif, bertenaga dan cenderung melakukan sesuatu di luar kawalan. Antara gejalanya adalah:

Penyakit rabies lumpuh

Rabies jenis ini mengambil masa lebih lama untuk berlaku tetapi gejalanya juga agak teruk. Penghidap akan menjadi lumpuh dan lama-kelamaan akan koma. Lebih kurang 30 peratus pesakit rabies adalah dari jenis ini.

Jangkitan rabies

Haiwan yang dijangkiti virus rabies boleh menjangkitkan haiwan lain dan manusia melalui air liur secara menggigit atau mencakar. Selain itu, sentuhan pada membran mukus atau luka juga boleh menjangkitkan virus ini. Penyebaran penyakit ini adalah dari haiwan kepada manusia atau haiwan kepada haiwan sahaja.

Penyebaran secara manusia kepada manusia amat jarang berlaku, dan dalam sejarah pernah dicatatkan berlaku melalui pemindahan kornea mata. Selalunya jangkitan kepada manusia berlaku selepas digigit oleh anjing yang belum divaksin.

Setelah digigit, virus ini akan menyerang sistem saraf dan seterusnya pergi ke bahagian otak. Gigitan yang berlaku pada bahagian leher dan kepala akan lebih cepat menyebabkan gejala berbanding gigitan pada kawasan lain kerana jaraknya yang lebih dekat dengan otak.

Selepas digigit, virus ini akan bergerak melalui sistem saraf. Apabila tiba di otak ianya akan membiak dengan cepat. Aktiviti ini akan menyebabkan keradangan pada otak dan saraf tunjang di mana kesihatan seseorang itu akan merosot dengan cepat sehinggalah meninggal dunia.

Haiwan yang boleh menyebarkan rabies

Kedua-dua haiwan domestik dan liar boleh menyebarkan virus rabies. Haiwan berikut merupakan punca utama penyebaran rabies ke atas manusia:

  • Anjing
  • Kelawar
  • Ferret
  • Kucing
  • Lembu
  • Kambing
  • Kuda
  • Arnab
  • Memerang
  • Koyote
  • Musang
  • Monyet
  • Rakun
  • Skunk
  • Woodchuck

Mereka yang berisiko

Pada kebanyakan orang, risiko mendapat rabies adalah rendah. Namun terdapat sesetengah situasi yang boleh meningkatkan risiko ini, antaranya adalah:

  • Tinggal di kawasan yang banyak kelawar.
  • Melawat negara-negara mundur atau membangun.
  • Tinggal di kawasan terpencil dan terdedah kepada banyak haiwan liar dan sukar mendapatkan vaksin.
  • Sering berkhemah dan terdedah kepada haiwan liar.
  • Berumur bawah 15 tahun (penyakit rabies sering berlaku kepada pesakit berumur bawah 15 tahun).

Selain anjing, kelawar juga merupakan antara punca utama berlakunya rabies dan merupakan punca yang tertinggi di Amerika.

Pengesanan rabies

Tiada ujian untuk mengesan rabies pada peringkat awal jangkitan. Apabila berlakunya gejala, sampel darah atau tisu akan diuji untuk membantu mengesahkan penyakit ini. Jika anda telah digigit oleh haiwan liar termasuk anjing liar, doktor akan memberikan vaksin pencegahan rabies bagi menghentikan jangkitan sebelum ianya terjadi.

Rawatan rabies

Apabila sudah terdedah kepada virus rabies, anda boleh mendapatkan beberapa suntikan bagi mencegah jangkitan daripada berlaku. Immunoglobulin rabies, yang memberikan antibodi segera untuk melawan jangkitan boleh mengelakkan virus rabies membiak di dalam badan. Selepas itu, vaksin rabies perlu diberikan bagi menggalakkan badan menghasilkan antibodi melawan virus rabies. Ianya boleh diberi sebanyak 5 kali dalam tempoh 14 hari.

Jabatan haiwan akan mencari binatang yang mengigit anda supaya ianya boleh diuji jika telah dijangkiti rabies.Jika ianya tidak rabid, suntikan vaksin rabies mungkin tidak perlu diberikan. Namun jika haiwan itu tidak dapat ditemui, adalah lebih selamat untuk mengambil suntikan pencegahan rabies.

Mendapatkan suntikan pencegahan dengan segera adalah cara terbaik mencegah jangkitan rabies. Staf perubatan juga akan mencuci luka gigitan selama sekurang-kurangnya 15 minit dengan sabun, detergen dan juga iodin. Selepas itu barulah immunoglobulin rabies akan diberikan diikuti dengan vaksin. Rawatan ini dikenali sebagai “pencegahan selepas pendedahan kepada virus”.

Kesan sampingan rawatan rabies

Vaksin dan immunoglobulin rabies boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan yang jarang berlaku seperti:

  • Sakit, bengkak dan gatal pada tempat suntikan
  • Sakit kepala
  • Pening
  • Sakit perut
  • Sakit otot
  • Loya

Pencegahan rabies

Penyakit rabies boleh dicegah. Terdapat beberapa cara mudah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan penyakit ini:

  • Dapatkkan vaksinasi rabies sebelum melawat negara-negara berisiko, bekerja dengan haiwan atau bekerja di makmal yang perlu mengendalikan virus rabies.
  • Vaksinkan haiwan peliharaan anda.
  • Elakkan haiwan peliharaan anda bermain di luar tanpa pemantauan.
  • Laporkan haiwan liar kepada pihak kawalan haiwan.
  • Elakkkan menyentuh dan bermain dengan haiwan liar.
  • Elakkan kelawar dari memasuki kawasan tempat tinggal anda.

Jika anda mengesyaki haiwan di kawasan anda dijangkiti rabies, sila telefon jabatan kawalan haiwan dengan segera.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.