Penyakit sifilis merupakan sejenis penyakit kelamin yang disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Treponema pallidum. Penyakit kelamin bermaksud penyakit yang disebarkan melalui hubungan seksual.
Pada ketika ini, kajian di Amerika Syarikat menunjukkan jumlah pesakit sifilis semakin meningkat dikalangan lelaki terutamanya yang mengamalkan hubungan sejenis manakala peratusan di kalangan wanita pula semakin menurun.
Antara tanda awal sifilis adalah kudis yang kecil dan tidak menyakitkan. Kudis ini boleh muncul pada alat kelamin, sekeliling dubur (rektum), atau di dalam mulut. Kudis ini juga dipanggil sebagai chancre. Selalunya kudis ini berlaku tanpa disedari.
Pengesanan sifilis agak mencabar kerana kadangkala pesakit tidak menunjukkan gejala selama bertahun-tahun setelah dijangkiti. Walaubagaimanapun semakin awal sifilis dikesan, kadar kesembuhan adalah lebih bagus. Sifilis yang tidak dirawat boleh menyebabkan kerosakan kepada organ-organ penting seperti jantung dan otak.
Sifilis hanya merebak melalui sentuhan terus dengan kudis chancre. Ianya tidak boleh berjangkit melalui perkongsian tandas, perkongsian pakaian atau menggunakan peralatan makan yang sama.
Tahap-tahap jangkitan sifilis
Terdapat empat tahap jangkitan sifilis iaitu:
- Sifilis primer
- Sifilis sekunder
- Sifilis laten
- Sifilis tertier
Tahap kebolehjangkitan adalah paling tinggi pada dua tahap yang pertama.
Apabila sifilis berada pada peringkat laten, ianya masih aktif tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala. Sifilis tertier merupakan tahap yang paling merbahaya terhadap kesihatan pesakit.
Sifilis primer
Sifilis primer berlaku untuk jangkamasa tiga ke empat minggu setelah pesakit dijangkiti bakteria. Ianya bermula dengan kudis yang kecil dan berbentuk bulat yang dipanggil chancre. Kudis ini tidak menyakitkan tetapi boleh menjangkiti orang lain. Ianya akan muncul pada kawasan seseorang itu mula dijangkiti seperi mulut, alat kelamin dan rektum.
Secara purata ianya akan muncul setelah 3 minggu dijangkiti namun boleh bermula seawal 10 hari sehinggalah 90 hari jangkitan. Kudis ini akan kekal selama dua ke enam minggu.
Sifilis boleh berjangkit secara sentuhan terus dengan kudis. Keadaan ini selalu berlaku ketika pesakit melakukan hubungan seksual termasuk secara oral dan melalui dubur.
Sifilis sekunder
Gejala yang sering berlaku ketika sifilis sekunder adalah ruam pada kulit dan sakit tekak. Ruam ini tidak gatal dan selalunya berlaku pada tapak tangan dan tapak kaki, namun ianya juga boleh berlaku pada mana-mana sahaja bahagian badan. Ada pesakit yang tidak perasan kemunculan ruam ini sehinggalah ianya hilang.
Antara gejala lain pula adalah seperti:
- Sakit kepala
- Kelenjar limfa membengkak
- Keletihan
- Demam
- Berat badan berkurang
- Rambut gugur
- Sakit sendi
Gejala-gejala ini akan hilang walaupun pesakit tidak mendapatkan rawatan. Walaupun gejala ini hilang tanpa rawatan, namun pesakit masih lagi menghidap sifilis.
Sifilis sekunder agak sukar dikesan kerana gejalanya yang pelbagai dan lebih umum.
Sifilis laten
Tahap ketiga adalah sefilis laten atau tersorok. Gejala-gejala ketika sifilis primer dan sekunder akan hilang dan pada tahap ini pesakit tidak mempunyai sebarang gejala. Namun sebenarnya bakteria masih lagi aktif di dalam badan. Tahap ini boleh kekal selama bertahun-tahun sebelum pergi ke tahap akhir iaitu sifilis tertier.
Sifilis tertier
Sifilis tertier merupakan tahap akhir bagi penyakit ini. Lebih kurang 15 ke 30 peratus pesakit yang tidak menerima rawatan akan memasuki tahap ini. Sifilis tertier boleh berlaku selepas bertahun-tahun pesakit mula mendapat jangkitan ataupun dari tempoh gejala pertama muncul.
Sifilis tertier boleh mengancam nyawa, antara komplikasinya termasuklah:
- Kebutaan
- Hilang pendengaran
- Sakit mental
- Hilang memori
- Kemusnahan tisu badan dan tulang
- Masalah neurologi seperti strok dan meningitis
- Penyakit jantung
- Sifilis neuro, iaitu jangkitan pada otak dan saraf tunjang
Pengesanan penyakit sifilis
Jika anda mempunyai gejala sifilis, jumpa doktor dengan segera. Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal serta ujian darah. Jika terdapat kudis, doktor mungkin akan mengambil sampel untuk menentukan kehadiran bakteria penyebab sifilis.
Jika doktor mengesyaki anda mempunyai masalah saraf akibat sifilis tertiari, doktor mungkin akan mengambil air tulang belakang (lumbar puncture). Dalam prosedur ini, jarum halus akan dimasukkan ke dalam ruang di antara tulang belakang untuk mengambil sampel cecair dan diuji untuk kehadiran bakteria sifilis.
Jika anda sedang mengandung, doktor juga akan melakukan ujian sifilis sebagai ujian saringan. Ini bagi mengelakkan janin dalam kandungan dijangkiti yang boleh menyebabkan kematian dan kecacatan bayi.
Rawatan sifilis
Sifilis primer dan sekunder adalah mudah dirawat dengan suntikan antibiotik penicillin. Penicillin adalah antibiotik yang sering digunakan dan berkesan dalam merawat sifilis. Mereka yang mempunyai alahan terhadap penicillin boleh menggunakan antibiotik seperti berikut:
- Doxycycline
- Azithromycin
- Ceftriaxone
Jika anda menghidap sifilis neuro, penicillin perlu diberikan setiap hari melalui suntikan intravena. Selalunya pesakit akan ditahan di wad untuk suatu tempoh masa.
Walaubagaimanapun kerosakan yang sudah berlaku tidak akan pulih. Rawatan hanya ditumpukan untuk membunuh bakteria, mengurangkan kesakitan dan memberikan keselesaan kepada pesakit.
Ketika sedang menerima rawatan, pesakit perlu mengelakkan dari melakukan hubungan seksual sehinggalah semua kudis pada badan hilang. Jika anda melakukan hubungan seksual secara aktif, pasangan anda juga perlu dirawat. Jangan lakukan hubungan seksual sehinggalah tamat rawatan.
Pencegahan sifilis
Cara terbaik mencegah sifilis adalah dengan mengamalkan seks secara selamat. Sila gunakan kondom ketika melakukan hubungan seksual. Selain itu, perkara berikut juga boleh membantu mencegah sifilis:
- Menggunakan dental dam (getah berbentuk segiempat) atau kondom ketika melakukan seks oral.
- Elakkan berkongsi peralatan seksual (sex toys).
- Sentiasa dapatkan pemeriksaan berkala dan kongsi keputusan pemeriksaan dengan pasangan anda.
Sifilis juga boleh dijangkiti melalui perkongsian jarum bagi penagih dadah, elakkan berkongsi jarum dengan orang lain.
Komplikasi sifilis
Wanita mengandung dan bayi baru lahir
Ibu mengandung yang dijangkiti sifilis berisiko tinggi untuk mengalami keguguran, kematian janin, dan kelahiran pramatang. Terdapat juga risiko ibu menjangkitkan sifilis kepada janin, ini dikenali sebagai sifilis kongenital.
Sifilis kongenital boleh membahayakan nyawa bayi, antara gejala lain pada bayi termasuklah:
- Kecacatan
- Perkembangan lambat
- Sawan
- Ruam
- Demam
- Hati dan limfa membengkak
- Anemia
- Jaundis
- Kudis yang boleh berjangkit
Jika bayi mempunyai sifilis kongenital yang tidak dikesan, mereka boleh mendapat sifilis tahap akhir yang boleh merosakkan organ seperti berikut:
- Tulang
- Gigi
- Mata
- Telinga
- Otak
HIV
Mereka yang menghidap sifilis juga berisiko tinggi untuk dijangkiti virus HIV. Kudis yang berlaku akan menyebabkan virus HIV mudah memasuki badan.
Mereka yang menghidap HIV akan mempunyai gejala sifilis yang berbeza berbanding pesakit sifilis yang tidak menghidap HIV. Jika anda mempunyai HIV, sila berbincang dengan doktor anda bagaimana untuk mengenalpasti gejala-gejala sifilis.
Bila perlu berjumpa doktor
Sifilis tahap pertama selalunya sukar dikesan. Gejala sifilis pada tahap kedua juga sama dengan kebanyakan penyakit yang lain. Oleh itu jika anda mempunyai faktor risiko seperti berikut, sila dapatkan pemeriksaan sifilis walaupun tidak mempunyai sebarang gejala:
- Melakukan hubungan seksual tanpa kondom dengan penghidap sifilis
- Mengandung
- Pekerja seksual
- Masuk ke dalam penjara
- Melakukan seks tanpa kondom dengan banyak pasangan
- Mempunyai pasangan yang melakukan hubungan seks tanpa kondom dengan orang lain
- Lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis
Jika keputusan adalah positif, adalah penting untuk menghabiskan rawatan. Pastikan antibiotik yang diberikan telah dihabiskan, walaupun anda mendapati gejala telah hilang. Elakkan juga dari melakukan hubungan seksual sehinggalah doktor mengesahkan ianya sudah selamat. Dapatkan ujian saringan HIV walaupun tidak bergejala.
Mereka yang telah positif sifilis juga perlu memaklumkan pasangan mereka supaya boleh mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera.
Tulis Komen