Penyakit ADHD – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit ADHD merupakan sejenis penyakit mental yang boleh memberikan kesan kepada tingkahlaku seseorang, namun gejalanya boleh dikawal.

Penyakit ADHD (Attention deficit hyperactivity disorder) merupakan sejenis penyakit mental yang boleh menyebabkan tahap tingkahlaku hiperaktif dan impulsif yang tinggi kepada penghidapnya. Pesakit ADHD juga sukar untuk menumpukan perhatian terhadap tugas atau tidak boleh duduk diam untuk tempoh yang lama.

Kedua-dua orang dewasa serta kanak-kanak boleh menghidap penyakit ADHD ini.

Tanda-tanda dan gejala ADHD

Terdapat beberapa tingkahlaku yang dikaitkan dengan penyakit ADHD. Antara yang kerap berlaku termasuklah:

  • masalah untuk menumpukan perhatian atau fokus terhadap sesuatu tugas
  • terlupa menyiapkan tugas
  • mudah terganggu
  • tidak boleh duduk diam
  • suka memotong percakapan orang lain

Jika anda atau anak anda menghidap ADHD, anda boleh mengalami sebahagian atau kesemua gejala di atas. Gejala yang dialami adalah bergantung kepada jenis ADHD.

Jenis-jenis ADHD

Untuk membolehkan pengesanan ADHD dilakukan secara konsisten, penyakit ini dibahagikan kepada tiga kategori atau jenis. Jenis-jenis ini termasuklah predominan inattentif, predominan hiperaktif-impulsif, dan gabungan kedua-duanya.

Jenis predominan tidak menumpukan perhatian (inattentif)

Mereka yang mengalami ADHD jenis ini mengalami kesukaran untuk menumpukan perhatian, menyiapkan kerja dan mengikut arahan.

Pakar juga berpendapat ramai kanak-kanak yang menghidap ADHD jenis ini kurang dikesan kerana mereka tidak membuat kekacauan di dalam kelas. ADHD jenis ini selalunya berlaku pada kanak-kanak perempuan.

Jenis predominan hiperaktif-impulsif

Mereka yang mengalami ADHD jenis ini selalunya mempunyai tingkahlaku hiperaktif dan impulsif. Ini termasuklah sentiasa menggerakkan badan, mengganggu percakapan orang lain dan tidak boleh menunggu giliran.

Walaupun tidak begitu teruk, penghidap ADHD jenis ini juga sukar untuk menumpukan perhatian.

Gabungan hyperaktif-impulsif dan inattentif

ADHD jenis ini merupakan jenis yang paling kerap berlaku. Penghidap akan menunjukkan kedua-dua gejala hiperaktif dan tidak boleh menumpukan perhatian. Ini termasuklah tidak boleh menyiapkan tugas, tingkahlaku impulsif serta tahap aktiviti dan tenaga yang melebihi daripada kanak-kanak normal.

Jenis ADHD yang dihidapi akan menentukan rawatan yang sesuai untuk anda atau anak anda. Selain itu jenis ADHD ini juga boleh berubah-ubah pada seorang pesakit, oleh itu rawatan juga mungkin akan berubah mengikut keadaan.

Perbezaan ADD dan ADHD

Terma ADD (attention deficit disorder) merupakan terma yang tidak lagi digunakan. Sebelum ini, ianya digunakan bagi merujuk kepada mereka yang mengalami gejala tidak dapat menumpukan perhatian tetapi tidak hiperaktif.

Kini, jenis ADHD yang dikenali sebagai ADHD Jenis Inattentif telah digunakan bagi menggantikan terma ADD.

Terma ADHD telah digunakan secara rasmi sejak tahun 2013 dengan penerbitan buku DSM-5 (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders). Buku ini merupakan buku rujukan doktor berkenaan diagnosis bagi penyakit-penyakit mental.

ADHD pada orang dewasa

Menurut kajian, lebih kurang 60% kanak-kanak yang menghidap ADHD masih mengalami gejala apabila dewasa. Namun pada kebanyakan pesakit, gejala ADHD ini akan semakin berkurang atau jarang berlaku dengan meningkatnya usia.

Walaubagaimanapun, rawatan masih dianggap penting kerana penghidap ADHD yang tidak dirawat akan mengalami banyak masalah dalam hidup apabila meningkat dewasa. Masalah seperti sukar menguruskan masa, kerap terlupa dan sering tidak sabar boleh menyebabkan masalah di tempat kerja, di rumah dan juga dalam perhubungan.

ADHD pada kanak-kanak

Satu daripada 10 kanak-kanak yang berusia diantara 5 ke 17 tahun mungkin mengalami ADHD, yang menjadikannya antara masalah ketika pembesaran kanak-kanak yang paling kerap berlaku di seluruh dunia.

Pada kanak-kanak, ADHD juga selalu dikaitkan dengan masalah ketika di sekolah. Kanak-kanak yang menghidap ADHD selalu menghadapi masalah untuk berjaya ketika di dalam kelas.

Menurut statistik, kanak-kanak lelaki adalah dua kali ganda lebih kerap dikesan menghidap ADHD. Ini kerana kanak-kanak lelaki selalunya mengalami gejala hiperaktif. Kanak-kanak perempuan lebih jarang mengalami gejala hiperaktif. Jika berlaku ADHD pada kanak-kanak perempuan, selalunya mereka akan:

  • kerap mengelamun
  • banyak bercakap namun jarang hiperaktif dari segi perbuatan

Banyak gejala ADHD dilihat sebagai tingkahlaku kebiasaan pada kanak-kanak, jadi agak sukar untuk mengenalpasti jika kanak-kanak itu betul-betul menghidap ADHD tanpa pemeriksaan oleh pihak profesional.

Punca ADHD

Walaupun ADHD kerap berlaku, pengkaji masih belum dapat mengenalpasti punca penyakit ini. Namun ianya dipercayai terjadi akibat masalah neurologikal, faktor genetik juga mungkin memainkan peranan.

Terdapat teori mengatakan pengurangan dopamine merupakan salah satu faktor berlakunya ADHD. Dopamine merupakan bahan kimia dalam otak yang membantu menyampaikan isyarat dari satu saraf kepada saraf yang lain. Ianya memainkan peranan dalam mencetuskan respon emosi dan pergerakan.

Teori lain mencadangkan terdapat perbezaan struktur dalam otak pada penghidap ADHD. Terdapat kajian yang menunjukkan penghidap ADHD mempunyai kurang jisim kelabu (grey matter) dalam otak. Jisim kelabu ini melibatkan bahagian otak yang menjalankan fungsi:

  • percakapan
  • kawalan diri
  • membuat keputusan
  • kawalan otot

Pengkaji masih lagi melihat punca-punca lain yang mungkin boleh menyebabkan ADHD, seperti merokok ketika hamil.

Pengesanan ADHD

Tidak ada satu ujian khusus yang boleh menentukan jika anda atau anak anda mengalami ADHD. Ramai doktor berpendapat diagnosis ADHD tidak boleh dibuat berdasarkan satu ujian sahaja. Untuk membuat diagnosis, selalunya doktor akan melihat gejala yang berlaku dalam tempoh enam bulan yang lepas.

Doktor juga mungkin akan cuba mendapatkan maklumat daripada guru dan ahli keluarga yang lain serta menggunakan senarai semak bagi menilai tahap keterukan setiap gejala. Doktor juga akan melakukan pemeriksaan fizikal untuk melihat jika terdapat masalah perubatan yang lain.

Jika anda merasakan anda atau anak anda menghidap ADHD, bincang dengan doktor bagi melakukan pengesahan. Bincang juga dengan guru kelas atau kaunselor sekolah bagi mengetahui aktiviti dan perkembangan anak anda ketika di sekolah.

Untuk memudahkan diagnosis dilakukan, anda boleh mencatatkan dapatan harian anda atau pandangan guru atau kaunselor sekolah untuk dinilai oleh doktor ketika pemeriksaan di klinik.

Jika doktor mengesyaki seseorang itu menghidap penyakit ADHD, doktor juga mungkin akan merujuk anda atau anak anda berjumpa pakar psikiatri atau pakar kanak-kanak. Setelah pengesahan dilakukan barulah rawatan akan dimulakan.

Rawatan ADHD

Rawatan ADHD selalunya melibatkan terapi tingkahlaku, ubat-ubatan atau kedua-duanya secara serentak.

Terapi yang boleh dilakukan adalah seperti psikoterapi atau terapi perbualan. Melalui terapi ini, anda atau anak anda akan berbincang mengenai bagaimana ADHD memberi kesan kepada kehidupan dan bagaimana cara untuk mengatasinya.

Selain itu terdapat juga terapi tingkahlaku. Terapi ini dapat membantu anda atau anak anda belajar cara untuk mengenalpasti dan mengawal tingkahlaku.

Ubat-ubatan juga mungkin diperlukan oleh pesakit ADHD. Ubat untuk ADHD akan memberi kesan kepada otak di mana pesakit boleh mengawal impuls dan tingkahlaku dengan lebih baik.

Ubat pesakit ADHD

Terdapat dua jenis ubat yang digunakan untuk merawat pesakit ADHD, iaitu ubat perangsang dan bukan perangsang.

Perangsang sistem saraf pusat (CNS) merupakan ubat yang sering digunakan pada pesakit ADHD. Ubat ini berfungsi dengan meningkatkan jumlah bahan kimia dalam otak seperti dopamine dan norepinephrine. 

Contoh ubat perangsang termasuklah methylphenidate (Ritalin) dan perangsang berasaskan amphetamine (Adderall).

Jika ubat perangsang tidak berkesan terhadap anak anda, atau jika ianya menyebabkan kesan sampingan yang teruk, doktor mungkin akan mencadangkan ubat bukan perangsang. Sesetengah ubat bukan perangsang berfungsi dengan meningkatkan paras norepinephrine dalam otak.

Antara contoh ubat ini termasuklah atomoxetine (Strattera) dan sesetengah ubat anti-depresan seperti bupropion (Wellbutrin).

Ubat merawat ADHD boleh membantu pesakit untuk mengawal gejala, namun kesan sampingannya juga perlulah dipantau dari semasa ke semasa.

Rawatan semulajadi untuk ADHD

Selain rawatan perubatan, beberapa rawatan alternatif lain telah dicadangkan bagi membantu mengawal gejala ADHD.

Untuk permulaan, perubahan gaya hidup mungkin boleh membantu anda atau anak anda mengawal gejala ADHD. Antara yang boleh dilakukan termasuklah:

  • pemakanan yang sihat dan seimbang
  • melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 60 minit sehari
  • tidur yang cukup
  • kurangkan masa di depan skrin seperti telefon, komputer dan TV

Kajian menunjukkan bahawa yoga, taichi dan meluangkan masa beriadah di luar dapat menenangkan minda seterusnya mengurangkan gejala ADHD.

Terapi kesedaran (mindfulness) atau meditasi juga boleh memberikan kesan positif terhadap keupayaan untuk pesakit fokus dan berfikir, serta mengurangkan perasaan resah dan kemurungan.

Selain itu, elakkan sesetengah allergen dan bahan perasa tambahan dalam makanan bagi mengurangkan gejala-gejala ADHD.

Adakah ADHD satu kecacatan?

ADHD merupakan satu masalah perkembangan neuro, dan bukanlah masalah pembelajaran. Walaubagaimanapun, gejala ADHD boleh menyebabkan seseorang itu lebih sukar untuk belajar. Selain itu, terdapat juga individu yang mengalami kedua-dua masalah ADHD dan masalah pembelajaran serentak.

Untuk mengurangkan impak masalah pembelajaran ke atas kanak-kanak, guru dan ibu bapa mungkin perlu memberikan sedikit kelonggaran kepada pesakit ADHD. Sebagai contoh memberikan lebih masa bagi mereka menyiapkan tugas yang diberikan dan memberikan hadiah sebagai motivasi.

Walaupun bukannya kecacatan, namun ADHD masih boleh memberikan kesan yang besar dalam hidup seseorang.

Berdasarkan tahap keterukan gejala dan pembelajaran seseorang kanak-kanak, pesakit ADHD boleh memohon untuk mendapatkan kad OKU selepas pengesahan doktor mengikut garispanduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

ADHD dan kemurungan

Mereka yang menghidap ADHD juga lebih berisiko mengalami kemurungan. Munurut kajian, kanak-kanak yang menghidap ADHD mempunyai risiko 5 kali ganda mendapat kemurungan berbanding kanak-kanak yang tiada ADHD. Lebih kurang 30 peratus orang dewasa di Amerika Syarikat yang menghidap ADHD juga mengalami kemurungan.

Pesakit perlu mendapatkan rawatan bagi kedua-dua keadaan ini, dan terdapat juga rawatan yang sama untuk kedua-dua penyakit. Sebagai contoh terapi perbualan adalah berkesan untuk ADHD dan juga kemurungan. Selain itu sesetengah ubat anti-depresan seperti bupropion juga boleh membantu mengawal gejala ADHD.

Namun begitu, tidak semua pesakit ADHD mengalami kemurungan, tetapi pesakit dan ahli keluarga perlu sentiasa peka terhadap perubahan diri.

Hidup dengan ADHD

Jika anda atau anak anda menghidap ADHD, jadual yang konsisten dan berstruktur serta ekspektasi yang tidak berubah boleh membantu untuk mengawal gejala. Bagi orang dewasa, menggunakan senarai, kalendar atau menetapkan peringatan seperti pada telefon boleh membantu pesakit hidup dengan lebih teratur.

Bagi kanak-kanak pula, mereka boleh mencatat setiap tugasan atau kerja rumah yang diberikan supaya lebih fokus dan meletakkan barangan harian seperti buku dan alat permainan di tempat yang sama.

Mendalami dengan lebih lanjut berkenaan masalah ADHD dapat membantu anda mengawal gejalanya dengan lebih baik. Bincang juga dengan doktor anda berkenaan tips-tips yang boleh dilakukan bagi mengawal gejala-gejala ADHD.

Kesan jangka panjang

Bagi kanak-kanak dan orang dewasa, ADHD yang tidak dirawat boleh memberikan kesan yang besar dalam kehidupan. Ianya boleh memberikan kesan terhadap prestasi di sekolah, tempat kerja dan juga perhubungan. Rawatan perubatan boleh membantu mengurangkan kesan akibat penyakit ini.

Sebenarnya telah ramai penghidap ADHD yang menjalani kehidupan dengan berkualiti dan tidak kurang juga yang telah berjaya dalam hidup serta dapat menyumbang kepada masyarakat.

Jika anda merasakan bahawa anda atau anak anda mengalami ADHD, langkah pertama adalah dengan berjumpa doktor bagi mendapatkan pandangan. Apabila penyakit ini telah disahkan, pelan rawatan boleh dirangka bagi membantu pesakit mengawal gejala sekaligus hidup dengan lebih berkualiti walaupun menghidap ADHD.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.