Mengapa Berlakunya Putus Haid (Menopause)

Putus haid atau menopause adalah waktu pertengahan umur seseorang wanita itu di mana dia berhenti mengeluarkan haidnya disebabkan oleh perubahan hormon.

Putus haid atau menopause adalah waktu pertengahan umur seseorang wanita itu di mana dia berhenti mengeluarkan haidnya. Ia terjadi apabila ovari berhenti menghasilkan telur. Selalunya ia terjadi secara perlahan-lahan dalam suatu jangka waktu yang panjang. Namun begitu, ada juga kes dimana ia berlaku secara tiba-tiba dan cepat.

Jangka waktu yang diambil untuk mengalami putus haid secara terus dipanggil perimenopause. Ia akan mempengaruhi hormon, tubuh badan dan perasaan. Satu lagi istilah yang diberi kepada jangka waktu yang diambil oleh seorang wanita semasa perubahan dari tahap kesuburan tinggi kepada ketidaksuburan ialah ‘climateric’.

Semasa perimenopause, pengeluaran estrogen dari ovari semakin berkurangan dan perlahan. Ini menyebabkan paras hormon tidak stabil. Ketakstabilan paras hormon inilah yang menyebabkan beberapa perubahan tertentu dalam wanita yang putus haid. Masa selepas putus haid pula dipanggil postmenopause.

Terdapat juga kes dimana terdapatnya ‘artificial menopause’ iaitu putus haid yang berlaku secara bukan semulajadi. Misalnya di dalam kes pembedahan pembuangan ovari yang rosak ataupun terpaksa dibuang oleh sebab terdapatnya ketumbuhan. Dalam kes seperti ini, putus haid berlaku dengan cepat dan tiba-tiba tanpa melalui proses perimenopause.

Mengapa Berlakunya Putus Haid?

Organ yang bertanggungjawab dalam menghasilkan hormon ialah hipotalamus, pituitari dan ovari. Hipotalamus dan pituitari terletak di dalam otak manusia manakala ovari terletak di kedua-dua belah uterus. Keseluruhan sistem ini pula dipanggil sistem endokrin. Hipotalamus akan menyambungkan otak kita dengan sistem endokrin dan akan mengawal kitaran haid dengan bertindak ke atas pituitari. 

Kitaran haid selalunya mengambil masa purata 28 hari. Semasa 14 hari pertama dalam kitar, yang dikenali sebagai fasa folikel, (jika hari pertama diambil dari hari pertama pendarahan haid berlaku) hipotalamus akan menghantar isyarat kepada pituitari untuk merembeskan hormon perangsang folikel (FSH). FSH ini akan merangsang sel telur atau folikel di ovari untuk membesar.

Semasa folikel membesar, ia akan menghasilkan estrogen yang akan menyebabkan lapisan pada dinding uterus menebal dan seterusnya bersedia untuk pelekatan telur. 

Semasa setiap kitaran haid, satu folikel akan menjadi lebih dominan dan akan terus membesar dan sel telur yang lain akan mati. Semasa lebih kurang hari ke 14 kitaran, hipotalamus akan menghantar satu lagi isyarat ke pituitari untuk mengaruh pembebasan hormon luteinizing (LH). LH menyebabkan folikel yang dominan tadi dibebaskan dari ovari dan bergerak ke tiub Fallopian di mana ia akan menunggu untuk dipersenyawakan. Proses ini dikenali sebagai ovulasi. 

Pada folikel tersebut, sel yang ada akan mengganda dan berhubungan di antara satu sama lain untuk membentuk korpus luteum (jasad kuning). Korpus luteum akan berterusan menghasilkan estrogen pada kuantiti yang sedikit di samping menghasilkan satu lagi jenis hormon dalam kuantiti yang banyak iaitu progesteron.

Progesteron merangsang sel di dinding uterin untuk merembeskan nutrien yang akan menggalakkan pertumbuhan telur jika ianya dipersenyawakan. Jika telur tersebut tidak dipersenyawakan, korpus luteum akan menjadi semakin kecil dan berhenti merembeskan progesteron dan estrogen. Tanpa hormon-hormon ini, sel di dinding uterin akan mati dan bersama darah dan sedikit mukus, akan menghasilkan menstruasi. 

Level estrogen wanita mengikut umur

Sebelum haid bermula, paras rendah estrogen dan progesteron akan memberi isyarat kepada hipotalamus untuk memulakan kitaran semula. Hipotalamus kemudiannya akan menghantar isyarat ke pituitari dan kitaran bermula sekali lagi. 

Semasa kelahiran seorang bayi perempuan, ovarinya mempunyai lebih kurang 2 juta telur. Apabila dia mula untuk mempunyai haid, terdapat hanya kira-kira 75 ribu yang tinggal. Selepas akil baligh, 8-10 telur membesar setiap bulan. Selalunya salah satu daripadanya akan matang.

Kira-kira 10 tahun sebelum menopause, ovari akan mula ketiadaan telur, kesuburan berkurang, penghasilan estrogen berkurangan dan kitaran haid menjadi tidak normal. Pituitari akan terus merembeskan FSH dan LH dengan harapan untuk mengaruh ovari, jadi paras FSH dan LH meningkat. Apabila menopause semakin hampir, ovulasi berhenti, begitu juga penghasilan progesteron.

Semasa sebelum menopause, estrogen akan dihasilkan seperti biasa dan oleh kerana ketiadaan progesteron, penebalan dinding tidak dapat dikawal. Oleh itu, apabila pendarahan berlaku, ia menjadi lebih banyak dan menyebabkan kesakitan. Apabila menopause berlaku, ovari akan berhenti menghasilkan estrogen. 

Walaupun ovulasi telah berhenti, bahagian pusat ovari berterusan menghasilkan dua hormon iaitu androstenedione dan testosterone. Selain dari ovari, kelenjar adrenal yang terletak di atas ginjal, juga akan menghasilkan kedua-dua hormon tersebut termasuklah progesteron dan estrogen dalam kuantiti yang sedikit. Hati, ginjal, adrenal, otak dan sel lemak mengambil androstenedione di dalam peredaran dan menukarkannya kepada estrogen dan testosteron.

Jika bekalan estrogen adalah sentiasa stabil, kelenjar adrenal dapat menolong mengurangkan perubahan-perubahan yang dialami semasa menopause. Diet yang sihat dan senaman yang cukup juga akan membantu. Adalah penting untuk mengekalkan berat badan (15% sehingga 25% lemak) supaya terdapat lemak yang cukup untuk penukaran androstenedione kepada estrogen.

Bila Berlakunya Putus Haid?

Purata umur berlakunya menopause ialah 51.2 tahun. Ini bermakna setengah dari kesemua wanita akan mula berhenti mengeluarkan haid sebelum umur ini dan setengah lagi akan mula berhenti mengeluarkan haidnya selepas umur ini. Kira-kira 8% wanita akan mengalami putus haid sebelum umur 40 dan kebanyakannya akan mengalaminya pada umur 58 tahun. 

Penyebab putus haid awal (kurang dari 40 tahun): 

  • pembedahan pembuangan ovari 
  • terapi radiasi ke atas ovari 
  • beguk 
  • pengurangan kromosom 
  • malnutrisi teruk 
  • penyakit autoimun 
  • merokok 

Wanita juga boleh mengalami putus haid lewat, iaitu selepas umur 55 tahun. Jika ini berlaku, pastikan anda membuat ujian Pap Smear, pemeriksaan pelvik, mammogram dan pemeriksaan buah dada yang kerap. Doktor anda haruslah tahu yang anda masih mempunyai haid. Ini adalah kerana kadang-kadang, pendarahan abnormal dari vagina boleh berlaku. 

Selain itu, wanita yang merokok menopause 2 tahun lebih awal berbanding wanita yang tidak merokok. Secara amnya, masa untuk wanita mencapai menopause berbeza dari seorang individu ke individu yang lain.

Ianya tidak bergantung pada bangsa, kelas, mengandung atau tidak, menyusukan anak atau tidak, corak kesuburan, penggunaan pil perancang, ketinggian, umur semasa kedatangan haid pertama atau umur semasa mengandung kali terakhir. 

Adakah Terdapat Sebarang Ujian Untuk Memastikan Putus Haid?

Simptom-simptom yang dialami tidak semestinya menandakan seseorang wanita itu telah mengalami putus haid. Salah satu cara untuk memastikan samada anda putus haid ialah dengan menyukat paras FSH. Ini kerana apabila ovari gagal menghasilkan estrogen, paras FSH meningkat akibat rangsangan pituitari untuk penghasilan estrogen.

Jadi, paras FSH yang tinggi adalah suatu bukti yang menunjukkan bahawa anda telah putus haid. Doktor anda akan memberitahu samada anda mengalami perimenopausal atau menopause apabila melihat keputusan ujian ini.

Baca lagi berkenaan Putus Haid (Menopause):

  1. Tanda-tanda Putus Haid (Menopause)
  2. Perubahan dan Risiko Selepas Putus Haid
  3. Tips Pemakanan Selepas Putus Haid
  4. Rawatan Hormon Untuk Komplikasi Putus Haid
  5. Rawatan Alternatif Untuk Simptom Putus Haid

Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.