Kanser Kolon – Punca, Tanda dan Rawatan

Kanser kolon (usus besar) dan kanser rektal boleh terjadi tanpa mengira usia dan boleh dirawat dengan membuang bahagian usus yang terlibat.

Kanser kolon ataupun dikenali juga sebagai kanser usus besar merupakan kanser yang terjadi di dalam usus besar (kolon) iaitu bahagian bawah sistem pencernaan. Kanser rektal atau kanser dalam punggung pula terjadi pada hujung lapan hingga 10 inci terakhir bahagian kolon. Apabila kedua-dua kanser ini bergabung, ianya dikaitkan dengan kanser kolorektal dan menjadi punca kedua kematian yang melibatkan kanser di Malaysia terutamanya bagi kaum lelaki.

Bahagian kolon (usus besar) dan rektum.

Di seluruh dunia, terdapat lebih kurang 655,000 kematian setiap tahun disebabkan kanser kolon dan ianya juga merupakan punca kematian keempat tertinggi yang disebabkan oleh penyakit kanser. Kanser kolon juga boleh berpunca daripada polyps adenomatous yang terdapat di dalam kolon. Polyps ini berbentuk cendawan dan pada mulanya hanyalah ketumbuhan biasa dan bukannya kanser tetapi lama kelamaan boleh menjadi kanser.

Tanda dan gejala kanser kolon

Seperti kebanyakan pesakit kanser kolorektal, seseorang mungkin tidak mempunyai sebarang gejala pada peringkat awal penyakit ini. Tanda-tanda dan gejala adalah berbeza bergantung kepada saiz dan kedudukan kanser di dalam usus besar.

Dalam beberapa kes, gejala-gejala ini mungkin terjadi bukan disebabkan kanser tetapi penyakit radang usus, sindrom usus rengsa (irritable bowel syndrome) dan kadangkala divertikulitis.

Berjumpalah doktor sekiranya ada mengalami gejala seperti berikut:

  • Perubahan di dalam tabiat membuang air besar termasuk cirit-birit atau sembelit yang bersilih ganti.
  • Perubahan tabiat membuang air besar selama beberapa minggu.
  •  Pergerakan najis yang sukar dan terasa ‘sempit’.
  •  Pendarahan dari punggung atau berak berdarah.
  •  Rasa tidak selesa pada abdomen yang berterusan seperti kekejangan, angin atau rasa sakit.
  •  Abdomen sakit apabila membuang air besar.
  •  Rasa seperti usus tidak dikosongkan sepenuhnya.

Faktor risiko

  • Kanser kolon dan rektal boleh merebak tanpa mengira usia, dan tiada siapa yang terlalu muda untuk mendapat kanser kolorektal. Kira-kira 90 peratus pesakit berusia lebih 50 tahun.
  •  Jika seseorang pernah mempunyai kanser kolorektal atau polyps jenis adenomatous, mereka berisiko lebih tinggi untuk menghidap kanser kolorektal pada masa akan datang.
  •  Kebarangkalian seseorang menghidap kanser kolorektal adalah tinggi sekiranya ada ahli keluarga mempunyai penyakit tersebut.
  • Kanser kolon dan rektal mungkin dikaitkan dengan diet yang rendah fibernya dan tinggi kandungan lemak serta kalori.
  •  Apabila seseorang tidak aktif, sisa-sisa buangan akan berada di dalam kolon dengan lebih lama. Dengan melakukan aktiviti fizikal secara teratur akan mengurangkan risiko kanser berlaku.
  •  Pesakit diabetes mempunyai sehingga 40 peratus risiko kanser kolorektal.
  •  Terdapat lebih 1:10 penyakit kanser kolorektal yang mengakibatkan maut berpunca daripada merokok. Jika seseorang itu didiagnosis dengan penyakit kanser kolorektal, mereka yang merokok mempunyai 30 hingga 40 peratus lebih risiko untuk meninggal dunia disebabkan penyakit kanser kolorektal ini.
  •  Terlalu banyak mengambil alkohol.

Bila perlu berjumpa doktor

Jika terdapat tanda-tanda kanser kolorektal seperti darah di dalam najis atau perubahan yang berterusan dalam tabiat membuang air besar, sila berjumpa doktor dengan segera.

Pengesanan kanser kolon

Penyaringan adalah amat penting untuk mengesan polyps sebelum ia bertukar kanser. Pesakit juga mempunyai peluang yang baik untuk pulih jika kanser berjaya dikesan pada peringkat awal.

  • Pemeriksaan rektum atau dalaman punggung menggunakan jari (secara digital), di mana doktor akan menggunakan jari yang bersarung tangan getah untuk memeriksa beberapa inci pertama rektum untuk polyps bersaiz besar dan kanser.
  • Ujian darah di dalam najis di mana sampel najis akan diuji untuk melihat jika terdapat darah.
  • Ujian darah untuk carcinoembryonic antigen (CEA). Jika keputusan menunjukkan kandungan CEA tinggi, berkemungkinan besar terdapat kanser kolon.
  • Sigmoidoskopi fleksibel. Doktor akan menggunakan kamera berbentuk tiub yang fleksibel, halus dan berlampu di hujungnya untuk memeriksa bahagian dalam rektum dan sigmoid yang terletak lebih kurang dua kaki terakhir pada kolon.
  • Enema barium. Ujian diagnostik ini membenarkan doktor membuat penilaian keseluruhan pergerakan makanan dalam usus besar dengan menggunakan sinar-X (x-ray).
  • Kolonoskopi. Mirip kepada sigmoidoskopi fleksibel tetapi peralatan yang digunakan iaitu kolonoskop merupakan satu tiub yang panjang dan halus yang akan disambungkan kepada kamera. Doktor akan dapat melihat keseluruhan kolon dan rektum pada paparan skrin untuk pemeriksaan lanjut.
  • Ujian genetik. Jika ahli keluarga mempunyai latar belakang sejarah kanser kolorektal, seseorang lebih berisiko tinggi untuk mendapat kanser ini.
Polyps pada kolon (usus besar) dan rektum.

Rawatan

Jenis rawatan yang dicadangkan oleh doktor bergantung kepada tahap kanser yang dialami. Tiga pilihan rawatan utama adalah pembedahan, kemoterapi dan radiasi. Pembedahan (kolektomi) adalah rawatan utama bagi kanser kolorektal.

Berapa panjang kolon yang perlu dibuang atau sama ada terapi-terapi lain seperti radiasi atau kemoterapi diperlukan adalah bergantung kepada sejauh mana kanser itu menembusi dinding usus dan sama ada ia telah merebak ke bahagian kelenjar limfa atau bahagian tubuh yang lain.

Prosedur Pembedahan

Doktor bedah akan membuang bahagian kolon yang mengandungi kanser bersama sedikit lapisan tisu normal di mana-mana bahagian kanser tersebut untuk memastikan tiada sel kanser yang tertinggal.

Jika kanser bersaiz kecil, berbentuk polyps dan berada pada tahap awal, doktor bedah boleh membuang kanser tersebut sewaktu melakukan kolonoskopi. Jika ahli patologi mendapati bahawa kanser di dalam polyps tidak membabitkan bahagian dasar di mana polyps tersebut melekat di dinding usus, ini merupakan petanda baik bahawa kanser tersebut telah disingkirkan sepenuhnya.

Jika kanser sudah berada pada tahap akhir atau tahap kesihatan pesakit agak lemah, doktor akan membuang sebahagian kecil sahaja kolon atau rektum.

Pencegahan kanser kolon

Antara perkara yang boleh dillakukan bagi mencegah kanser kolon termasuklah:

  • Melakukan ujian saringan iaitu memeriksa kadar carcinoembryonic antigen (CEA) dalam darah.
  • Banyakkan makan buah-buahan, sayur dan bijirin.
  • Hadkan makanan berlemak lebih-lebih lagi lemak tepu.
  •  Ambil vitamin dan zat galian seperti kalsium, magnesium, pyridoxine (vitamin B-6) dan vitamin B-9.
  •  Hadkan pengambilan alkohol dan berhenti merokok.
  •  Jalani kehidupan fizikal yang aktif dan kekalkan berat badan yang sihat.
  •  Mempertimbangkan pengambilan statin untuk masalah kolestrol tinggi.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.