(Video) Gangguan Sihir, Mistik atau Psikiatri – Rawatan Tradisional vs Moden

Stigma masyarakat terhadap pesakit mental merupakan suatu cabaran besar yang dihadapi oleh pesakit selain daripada penyakit itu sendiri.

Stigma masyarakat terhadap pesakit mental merupakan suatu cabaran besar yang dihadapi oleh pesakit selain daripada penyakit itu sendiri. Pengaruh budaya dalam masyarakat juga merupakan suatu halangan dalam pemulihan disebabkan kepercayaan tertentu terhadap sesuatu yang mistik (seperti sihir) dan sukar dijelaskan secara logik.

Dalam video ini, Dr. Rustam yang merupakan seorang pakar psikiatri tetapi telah mengkaji perawatan tradisional mengupas berkenaan topik ini. Ikuti sesi perkongsian yang menarik ini dan sila kongsi kepada semua ahli masyarakat.

Kepercayaan Yang Salah

Penyakit mental adalah gangguan otak yang menyebabkan terganggunya emosi, proses berfikir, tingkahlaku, dan persepsi. Penyakit mental ini menimbulkan stres dan penderitaan bagi pesakit (dan keluarganya). Penyakit mental boleh melibatkan mana-mana orang, tanpa mengenal umur, bangsa, agama, mahupun status sosioekonomi. Penyakit mental bukan disebabkan oleh kelemahan peribadi. 

Dalam masyarakat kita, banyak beredar kepercayaan atau mitos yang salah mengenai penyakit mental. Ada yang percaya bahawa penyakit mental disebabkan oleh gangguan roh jahat, ada yang menuduh bahawa itu akibat guna-guna (santau), atau kerana kutukan atau hukuman atas dosanya. Kepercayaan yang salah ini hanya akan merugikan pesakit dan keluarganya kerana penghidap penyakit jiwa tidak mendapat rawatan secara cepat dan tepat.

Mendidik Masyarakat

Mendidik masyarakat berkenaan sesuatu stigma merupakan cabaran besar yang dihadapi oleh perawat. Kadangkala pesakit menjadi bertambah teruk disebabkan kegagalan masyarakat untuk memahami keadaan sebenar pesakit lalu pesakit disisihkan dan diberi label ‘gila’. Hal ini amat menyedihkan kerana penyakit mental bergantung kepada sokongan orang terdekat dan masyarakat dalam proses pemulihan mereka.

Pentingnya Memahami Pesakit Mental

Pesakit mental samada mereka dari kalangan yang mengidap neurosis, psikosis ataupun kecelaruan personaliti mengalami tanda-tanda dan gejala yang berbeza. Ahli keluarga atau masyarakat yang hendak memberi penjagaan hendaklah mempunyai pengetahuan mengenai tanda dan gejala penyakit, kaedah rawatan serta  pemulihan yang teratur dan berterusan.

Ini untuk mengelak penyakit berulang dan menimbulkan tekanan kepada penjaga. Ini bermakna penjaga harus sentiasa sedar hakikat keadaan pesakit agar dapat berinteraksi dan memberi reaksi yang betul dan rasional untuk mengelakkan konflik dengan pesakit.

Print Friendly, PDF & Email
Staf Editorial
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.