Masalah Keputihan – Punca, Tanda dan Rawatan

Masalah lelehan lendir dari vagina sering berlaku kepada wanita dan mungkin akan menyebabkan rasa tidak selesa di kalangan mereka yang mengalaminya.

Keputihan bermaksud lelehan lendir yang keluar dari vagina. Ramai yang menganggap semua keputihan adalah disebabkan penyakit, namun sebenarnya ada juga lelehan vagina yang terjadi dalam keadaan normal.

Masalah lendir atau discharge dari vagina sering berlaku kepada wanita dan mungkin akan menyebabkan rasa tidak selesa di kalangan mereka yang mengalaminya.

Keputihan vagina yang normal

Berikut merupakan keadaan di mana boleh terdapat lelehan secara normal dari vagina:

  • Kebanyakan wanita menghasilkan mukus pada pertengahan kitaran haid, iaitu lebih kurang dua minggu selepas haid habis. Ini bertepatan dengan waktu ovulasi (pengeluaran telur) dari ovari. Ini boleh menyebabkan sedikit kelembapan pada bahagian sulit wanita tersebut dan banyak bergantung kepada jumlah hormon oestrogen yang dikeluarkan.
  • Semasa mengandung, lelehan yang keluar mungkin lebih kerap dan banyak. 
  • Begitu juga, pengambilan pil perancang boleh menyebabkan anda mengalami cervical erosion dan merasa ‘basah’. Pengguna alat IUD juga lebih terdedah kepada keputihan.
  • Sewaktu wanita terangsang secara seksual dan waktu selepas hubungan kelamin juga didapati ada cecair vagina yang keluar. 
  • Keadaan yang sama boleh juga berlaku ketika menghadapi tekanan perasaan atau stres.
  • Wanita yang menghidap kencing manis lebih kerap mengalami masalah ini.
  • Keputihan juga boleh berlaku apabila vagina mengalami alahan kepada bahan-bahan seperti pembunuh sperma (spermicides), pewangi dan lain-lain lagi.

Pengeluaran lelehan dalam keadaan di atas adalah perkara yang normal. Selalunya cecair tersebut agak jernih (atau sedikit putih), lembut (licin) dan tidak berbau. Cecair ini berubah warna menjadi sedikit kuning apabila terdedah kepada udara atau bila ia kering. Sebenarnya keadaan ini menyebabkan vagina sihat dan berupaya mengekalkan keasidan vagina.

Contoh keputihan dari vagina.

Lelehan yang tidak normal

Tanda yang mudah dilihat untuk menentukan cecair yang tidak normal ialah dengan adanya perubahan pada warna, jumlah dan bau cecair tersebut. Ia juga selalunya menyebabkan rasa gatal yang amat sangat, di samping vagina menjadi merah, rasa pedih atau rasa terbakar semasa kencing.

Penyebab utama keputihan adalah jangkitan kuman seperti bakteria, parasit atau kulat.

Jangkitan kulat Candida (Thrush)

Ia adalah masalah yang paling kerap terjadi. Selalunya ia disebabkan oleh sejenis kulat yang dipanggil Candida seperti Candida albicans. Selalunya lelehan yang dikeluarkan adalah pekat berwarna putih. Pesakit akan mengalami kegatalan di bahagian sulit di samping menghadapi masalah tidak selesa semasa membuang air kecil atau semasa mengadakan hubungan kelamin.

Kulat ini biasanya ada secara semulajadi di bahagian sulit wanita dan ia tidak menyebabkan apa-apa masalah. Ini adalah kerana pertumbuhannya dikawal oleh bakteria yang juga menduduki tempat yang sama.

Masalah akan mula timbul contohnya, apabila anda mengambil antibiotik yang membunuh bakteria tetapi tidak membunuh kulat. Ini akan menyebabkan kulat tersebut membiak dengan cepat kerana tiada lagi saingan daripada bakteria. 

Ubat yang berkesan untuk masalah ini adalah ubat anti-kulat yang boleh diambil secara oral (melalui mulut) seperti Diflucan dan lain-lain. Ada juga dari jenis pessary (yang dimasukkan ke dalam vagina) seperti Canesten, Trosyd dan lain-lain. Ubat pessary hendaklah dimasukkan sedalam yang boleh – selalunya ia datang dengan alat khas – pada waktu malam sebelum tidur.

Jangkitan bakteria seperti Gardnerella

Ia sama seperti jangkitan kulat tetapi lelehan selalunya berwarna putih atau kekuningan dan berbau seperti bau ikan. Antara rawatan yang kerap digunakan ialah penggunaan antibiotik jenis makan seperti Bactrim, Flagyl (metronidazole) atau pessary seperti Talsutin dan lain-lain lagi.

Jangkitan disebabkan hubungan kelamin (STD)

Jangkitan yang disebabkan oleh hubungan kelamin memerlukan rawatan yang perlu dilakukan kepada kedua-dua pasangan (sama ada pasangan ada menunjukkan tanda-tanda terkena jangkitan atau tidak, dia tetap perlu dirawat). Sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan jangkitan pada saluran kencing dan juga kemandulan. 

Antara penyebab STD ini ialah jangkitan parasit Trichomonas, Chlamydia, virus Herpes dan bakteria Gonorrhoea. Trichomonas dan Chlamydia menyebabkan rasa gatal dan pedih. Selain daripada itu, lelehan tidak berwarna tetapi berbau busuk. Jangkitan kuman Gonorrhoea pula menyebabkan lelehan yang berwarna kehijauan ataupun gelap. 

Langkah-langkah pencegahan

Berikut merupakan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mencegah lelehan vagina yang tidak normal:

  • Kebersihan diri hendaklah diutamakan. Basuh tangan sebelum dan selepas menyentuh alat kelamin anda.
  • Bagi yang tidak menggunakan air untuk mencuci selepas membuang air besar, sapu dari bahagian depan ke bahagian belakang. Sekiranya ia dilakukan dari belakang ke hadapan, ada kemungkinan jangkitan akan berlaku. 
  • Ambil probiotik setiap hari. Ia boleh didapati di dalam yogurt ataupun tablet / kapsul yang dijual di farmasi-farmasi. Pengambilan garlic (bawang putih) mungkin juga membantu. 
  • Kurangkan pengambilan gula dan karohidrat yang diproses. Oleh itu makanan seperti mee, roti, dan kek hendaklah dikurangkan.
  • Pengaliran udara di bahagian sulit dapat dikekalkan dengan penggunaan pakaian dari cotton ataupun pakaian yang tidak terlalu ketat.

Bila perlu berjumpa doktor

Jumpa doktor dengan segera jika anda mengalami gejala seperti berikut:

  • Lelehan disertai dengan rasa sakit perut. Kemungkinan berlakunya PID (pelvic inflammatory disease) perlu ditentukan. 
  • Lelehan berlaku pada kanak-kanak yang belum akil baligh lagi. 
  • Lelehan disebabkan oleh pengambilan ubat terutamanya antibiotik.  
  • Tidak pulih dalam masa 2 minggu, atau ia menjadi semakin teruk. 
  • Anda mengesyaki jangkitan kelamin.
  • Anda menggunakan IUD, kerana ada risiko jangkitan kuman.
  • Ada darah semasa membuang air kencing.

Rawatan yang lain

Berikut merupakan rawatan-rawatan yang lain untuk keputihan:

  • Masalah keputihan ini pernah dikaitkan dengan kekurangan vitamin B di dalam badan. Oleh itu pengambilannya mungkin membantu.
  • Kekurangan zat besi (anemia) dan tahap imuniti yang rendah juga dikaitkan dengan kejadian keputihan yang lebih kerap. Stress yang berlarutan juga boleh mengurangkan daya imuniti anda.
  • Wanita yang sudah menopause mengalami kekeringan vagina. Ia menjadi lebih nipis dan lembut, menyebabkannya cenderung kepada masalah seperti luka dan lain-lain. Perkara ini berlaku kerana perubahan hormon di dalam badan mereka. Keputihan yang terjadi dipanggil atrophic vaginitis. Rawatan hormon (HRT) mungkin diperlukan.
  • Bagi yang merasa pedih semasa membuang air kencing, ada kemungkinan saluran kencing dijangkiti kuman. Pengambilan antibiotik adalah perlu di samping ubat yang meng’alkali’kan air kencing seperti Citravescent. ‘Urine alkalinizer’ ini membantut perkembangan bakteria yang tidak terkawal.
  • Bahan asing seperti tampon yang tertinggal di dalam vagina juga boleh menyebabkan masalah ini.
  • Kegatalan di bahagian sulit juga boleh disebabkan oleh kutu (pubic lice).
  • Penggunaan pessary tidak digalakkan untuk ‘anak dara’ kerana ia boleh merosakkan selaput dara.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.