Penyakit Ketuat Kelamin – Punca, Tanda & Rawatan

Penyakit ketuat kelamin atau condyloma acuminata merupakan sejenis penyakit kelamin yang boleh menyebabkan pesakit menghadapi masalah daya seksual.

Penyakit ketuat kelamin atau condyloma acuminata merupakan sejenis penyakit kelamin yang boleh merebak melalui hubungan seksual. Penyakit ketuat kelamin ini boleh menyebabkan pesakit menghadapi masalah daya seksual.

Penyakit ketuat kelamin biasa didapati pada lelaki dan wanita yang aktif dalam hubungan seksual pada semua peringkat usia, bangsa dan kelas sosial di seluruh dunia dan dikaitkan dengan gangguan emosi. 

Pesakit ketuat kelamin mudah menjadi murung dan rendah diri serta kurang berminat terhadap hubungan seks. Sekiranya tidak dirawat, bagi pesakit wanita risiko mendapat barah pangkal rahim meningkat, sementara pesakit lelaki pula menghadapi risiko meningkatnya barah prostat. 

Cara Penyebaran Ketuat Kelamin 

Penyakit ketuat kelamin tersebar melalui sentuhan langsung dari kulit ke kulit ketika melakukan hubungan seks melalui faraj, dubur atau secara oral dengan seseorang yang telah pun dijangkiti penyakit tersebut. 

Selain itu jangkitan penyakit ini turut dikaitkan dengan perkongsian barangan penjagaan kulit, alat-alat yang diperbuat daripada logam seperti nikel pada tali jam dan duit syiling, aluminium di dalam teko atau kuali. 

Tanda-tanda Serangan Ketuat Kelamin

Tanda-tanda ketuat kelamin mula kelihatan dalam tempoh sekurang-kurangnya, tiga minggu selepas mengadakan hubungan kelamin dengan seseorang yang telah dijangkiti penyakit ini.

Oleh kerana tempoh pengeraman yang agak panjang, kadang-kala tanda-tanda ketuat kelamin hanya akan kelihatan dalam tempoh beberapa bulan atau tahun, dan ada kalanya ia tidak kelihatan langsung. 

Penyakit ketuat kelamin boleh berbentuk benjol atau rata, tunggal atau banyak dan pelbagai saiz. Ada kalanya, ia berkumpul dan berbentuk seperti bunga kobis. Simptom dan penyebab penyakit ini boleh dikaitkan dengan jangkitan sejenis virus yang dinamakan human papillomavirus (HPV). 

HPV (human papillomavirus) adalah nama yang diberikan kepada sekumpulan lebih 70 jenis virus yang berkait rapat tapi hanya dua daripada virus-virus itu, iaitu HPV6 dan HPV11 yang diketahui menyebabkan penyakit ini.

Penyakit ketuat kelamin boleh tumbuh sama ada di luar atau bahagian dalam tubuh. Ketumbuhan pada bahagian luar alat kelamin mudah dikenal pasti dan kebiasaannya ia tumbuh seperti ketumbuhan atau benjolan pada vulva (bibir faraj) di dalam dan di sekitar faraj atau dubur.

Bagi lelaki pula ketuat kelamin ini boleh dikesan pada zakar, kerandut zakar, ari-ari atau peha. Selain itu bahagian dijangkiti berasa gatal, atau berasa panas, perit dan seperti terbakar di bahagian jangkitan tersebut. 

Ketuat kelamin pada bahagian zakar

Tanda-tanda ketuat kelamin dalaman agak sukar dilakukan kerana ia mungkin terletak dalam saluran kencing atau faraj atau dalam dubur. Di samping itu, penyakit ketuat kelamin ini sering mengikut warna kulit dan tidak menyakitkan.

Bagi mereka yang mendapati terdapat walau sedikit kelainan kepada mana-mana bahagian kulit, dinasihatkan berjumpa doktor bagi mendapatkan penjelasan mengenai sebarang penyakit yang mungkin dijangkiti. 

Walau bagaimanapun, bukan semua orang yang dijangkiti HPV (human papillomavirus) ini menunjukkan tanda-tanda masalah ketumbuhan ketuat alat kelamin. Ini menyebabkan ramai yang tidak mengetahui langsung mereka mengidap penyakit tersebut. 

Ketuat kelamin pada wanita

Rawatan Ketuat Kelamin

Pilihan rawatan masalah ketuat kelamin yang ada sekarang kebanyakannya ditumpukan kepada tujuan untuk menghilangkan ketuat yang ketara dan bukan terus kepada penyebabnya. Rawatan yang diberikan kepada pesakit adalah berbeza mengikut saiz, lokasi dan bilangan ketuat serta jantina pesakit. 

Antara jenis rawatan yang dicadangkan ialah membekukan ketuat tersebut atau dikenali sebagai Cryotherapy, yang dianggap antara rawatan yang berkesan. Selain itu kaedah podophyllin iaitu menggunakan sejenis tumbuhan yang boleh memusnahkan tisu di tempat yang dijangkiti di permukaan kulit.

Rawatan lain ialah sapuan sejenis kimia di permukaan ketuat yang dikenali sebagai Asid Trichloracetic (TCA) bagi menyembuhkan penyakit ketuat kelamin ini. Terdapat juga doktor yang mungkin mencadangkan rawatan Electrocautery bertujuan menghapuskan tisu yang dijangkiti, dengan menggunakan terapi laser atau pembedahan. 

Suntikan ubat Interferon secara langsung kepada kawasan yang dijangkiti juga turut boleh digunakan untuk merawat penyakit ketuat kelamin ini.

Selain itu penggunaan sejenis krim yang dinamakan krim Imiquimod yang boleh dibeli di kebanyakan farmasi yang dikenali sebagai pengubah  tindak balas daya tahan (immune response modifiers) juga boleh digunakan. Pengunaan krim ini dikatakan kaedah rawatan alternatif terbaik berbanding terapi pemusnahan tisu kerana ia lebih selamat, berkesan dan mudah digunakan. 

Pencegahan Penyakit Ketuat Kelamin

Sebagaimana kebanyakan penyakit kelamin yang lain, penyakit ketuat kelamin boleh dielakkan dengan beberapa cara termasuk:

  1. Mengelak dari melakukan hubungan kelamin (bagi yang belum berkahwin)
  2. Mengamalkan hubungan yang sihat antara pasangan yang berkahwin.
  3. Mengelakkan hubungan rambang.
  4. Mengamalkan cara yang selamat ketika melakukan hubungan kelamin seperti menggunakan kondom dengan betul dan yang menutupi bahagian yang terkena jangkitan penyakit kelamin.

Selain itu adalah penting bagi wanita untuk menjalani pemeriksaan pap smear bertujuan mengesan sebarang kelainan kepada alat kelamin. Pengesanan awal perubahan yang diperoleh daripada ujian ini adalah langkah pencegahan terbaik bagi mengelakkan barah pangkal rahim. 

Ketuat kelamin di bawah mikroskop

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.