Contoh Penyakit Berjangkit dan Cara Mencegahnya

Kuman yang menyebabkan penyakit berjangkit boleh merebak melalui pelbagai cara seperti melalui udara, sentuhan atau dari gigitan haiwan dan serangga.

Penyakit berjangkit adalah penyakit yang boleh merebak dari seseorang kepada orang yang lain, atau dari haiwan kepada manusia. Penyakit ini disebabkan oleh pathogen seperti virus, bakteria, dan kulat.

Artikel ini akan membincangkan mengenai maksud penyakit berjangkit, gejala dan bagaimana mencegah penularannya.

Maksud penyakit berjangkit

Penyakit berjangkit merupakan apa-apa penyakit yang boleh merebak diantara manusia atau haiwan. Ianya boleh disebabkan oleh beberapa jenis kuman seperti bakteria, kulat, virus dan protist.

Seseorang boleh menghidap penyakit berjangkit apabila dijangkiti oleh pathogen ini. Ianya boleh berlaku melalui:

  • Sentuhan terus dengan mereka yang telah dijangkiti
  • Sentuhan dengan cecair badan yang tercemar, seperti darah, mukus dan air liur
  • Menyedut titisan yang mengandungi kuman dari pesakit yang batuk atau bersin
  • Digigit oleh binatang atau serangga yang mengandungi kuman
  • Meminum atau memakan air dan makanan tercemar

Apabila kuman telah memasuki badan seseorang, ianya akan membiak. Mereka yang dijangkiti akan mula mengalami gejala-gejala tertentu.

Sesetengah gejala adalah akibat dari kuman yang sedang merosakkan sel badan. Sesetengah gejala pula berlaku kerana reaksi sistem imun badan terhadap pencerobohan kuman tersebut.

Gejala penyakit berjangkit kebanyakannya ringan dan akan hilang selepas beberapa hari. Namun terdapat juga penyakit berjangkit yang merbahaya dan boleh mengancam nyawa.

Jenis penyakit berjangkit dan gejala

Terdapat empat jenis pathogen yang boleh menyebabkan jangkitan: Virus, bakteria, kulat dan protist.

Virus

Virus merupakan pathogen halus yang mengandungi bahan genetik. Tidak seperti pathogen yang lain, ianya tidak mempunyai struktur sel yang kompleks. Untuk membiak, ianya perlu memasuki sel hidupan yang lain. Apabila telah berjaya masuk, virus akan menggunakan fungsi-fungsi sel tersebut untuk membiak dan menghasilkan virus yang lain.

Antara contoh-contoh virus termasuklah:

Rhinovirus

Rhinovirus merupakan kumpulan virus yang menyebabkan selsema. Gejala penyakit selsema termasuklah:

  • Hidung berair atau tersumbat
  • Sakit tekak
  • Sakit kepala

Seseorang boleh dijangkiti rhinovirus dengan menyedut titisan yang dicemari daripada batuk atau bersin pesakit yang lain.

Selain itu, ianya juga boleh tersebar apabila seseorang itu menyentuh hidung, mata, atau mulut selepas menyentuh objek atau permukaan yang dicemari virus ini.

Influenza

Influenza merupakan jangkitan virus yang menyerang sistem pernafasan. Antara gejalanya termasuklah:

  • Demam dan sejuk
  • Hidung berhingus atau tersumbat
  • Sakit tekak
  • Batuk
  • Sakit kepala
  • Sakit badan atau otot
  • Keletihan

Seseorang boleh dijangkiti virus influenza sama seperti rhinovirus.

HIV

HIV menyerang sistem imun mereka yang dijangkiti. Ini akan menyebabkan pesakit HIV terdedah kepada pelbagai jangkitan dan penyakit.

Seseorang boleh dijangkiti HIV melalui darah atau cecair badan lain yang mengandungi virus melalui pelbagai cara seperti perkongsian jarum, hubungan seksual tanpa perlindungan dan lain-lain.

Gejala penyakit HIV akan berlaku perlahan-lahan mengikut peringkat. Antara gejalanya termasuklah:

  • Demam
  • Sejuk
  • Ruam
  • Kudis dalam mulus
  • Sakit tekak
  • Kelenjar limfa membengkak
  • Berpeluh waktu malam
  • Sakit otot
  • Keletihan

Satu-satunya cara untuk mengesan penyakit HIV adalah melalui ujian darah.

Walaupun sehingga kini belum ada rawatan yang mampu menyembuhkan HIV, namun rawatan perubatan boleh mengawal gejala penyakit ini dan pesakit boleh hidup secara normal. Rawatan juga boleh mencegah pesakit dari mengalami AIDS.

Bakteria

Bakteria merupakan organisma mikroskopik yang terdiri dari satu sel. Bakteria boleh hidup dalam semua persekitaran di atas muka bumi ini termasuk di dalam badan manusia.

Kebanyakan bakteria adalah tidak berbahaya dan sesetengahnya membantu dalam fungsi badan. Namun, terdapat juga bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan yang merosakkan badan.

Antara contoh-contoh bakteria termasuklah:

Salmonella and Escherichia coli

Salmonella dan Escherichia coli (E. coli) merupakan dua jenis bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan pada sistem pencernaan.

Ianya boleh merebak melalui makanan tercemar seperti daging yang tidak dimasak dan sayur serta buah yang tidak dicuci.

Antara gejalanya termasuklah:

  • Sakit dan kejang abdomen
  • Cirit-birit
  • Demam
  • Sakit kepala

Tuberkulosis

Tuberkulosis (TB) merupakan jangkitan bakteria yang selalunya menyerang paru-paru. Ianya boleh menyebabakan gejala-gejala seperti berikut:

  • Batuk melebihi 3 minggu
  • Hilang selera makan
  • Kurang berat badan secara tiba-tiba
  • Demam
  • Sejuk
  • Berpeluh pada waktu malam

Seseorang boleh dijangkiti TB dengan menghidu titisan atau aerosol daripada batuk atau bersin orang yang telah dijangkiti. Walaubagaimanapun kadar jangkitannya tidak semudah virus selsema.

Kulat

Kulat merupakan sejenis organisma yang meliputi yis, kulapuk, dan cendawan. Terdapat berjuta-juta kulat yang wujud namun hanya lebih kurang 300 jenis kulat yang boleh menyebabkan penyakit.

Jangkitan kulat boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan namun selalunya pada kulit dan membran mukus. Antara contoh-contoh jangkitan kulat termasuklah:

Cacing cincin (Ringworm) 

Cacing cincin merupakan jangkitan kulat yan biasa berlaku pada kulit. Antara gejalanya adalah ruam berbentuk cincin berwarna merah atau perak. Kulit yang terlibat juga akan menjadi kering, gatal dan berkuping.

Seseorang boleh dijangkiti cacing cincin melalui sentuhan dengan mereka yang telah dijangkiti. Selain itu, jangkitan juga boleh berlaku melalui perkongsian tuala, tempat tidur, atau barangan peribadi yang lain dengan oran yang telah dijangkiti.

Tanpa rawatan, cacing cincin boleh merebak ke bahagian badan yang lain.

Kulat pada kaki

Kulat pada kaki atau kaki atlet adalah jangkitan kulat yang biasa berlaku pada kulit kaki. Ianya akan menyebabkan kesakitan atau kegatalan dengan tompokan putih pada celah jari kaki.

Seseorang boleh dijangkiti melalui sentuhan dengan kulat sama ada dari pesakit yang lain atau dari objek yang mengandungi kulat ini.

Sebagai contoh mereka yang berkaki ayam dan berjalan di sekitar bilik persalinan, bilik mandi atau kolam renang.

Kulat pada kaki.

Protist

Protist merupakan organisma halus yang biasanya terdiri dari satu sel.

Sesetengah protist merupakan parasit, yang bermaksud ianya hidup pada atau di dalam organisma yang lain dan akan menggunakan nutrien dari organisma tersebut untuk hidup. Protist jenis parasit boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit.

Protist Plasmodium boleh menyebabkan penyakit malaria. Ianya juga boleh berjangkit dari seseorang kepada orang lain melalui gigitan nyamuk.

Malaria boleh menyebabkan gejala seperti:

  • Demam dan sejuk
  • Sakit kepala
  • Muntah
  • Cirit-birit
  • Sakit otot

Tanpa rawatan segera, malaria boleh mengancam nyawa.

Cara mencegah penularan

Risiko mendapat atau menyebarkan penyakit berjangkit boleh dikurangkan dengan melakukan langkah-langkah berikut:

  • Membasuh tangan dengan betul dan kerap
  • Menyahkuman permukaan rumah dan pejabat dengan kerap, seperti tombol pintu dan tempat makan
  • Mengamalkan kebersihan ketika memasak dan menyediakan makanan
  • Elakkan memakan makanan yang telah rosak
  • Elakkan menyentuh binatang liar
  • Mendapatkan vaksin seperti yang disarankan
  • Mengambil ubat anti-malaria jika ingin mengembara ke kawasan yang tinggi kes malaria

Rawatan

Sesetengah penyakit berjangkit hanya menyebabkan gejala ringan dan akan hilang tanpa rawatan. Namun terdapat juga penyakit yang boleh menyebabkan gejala yang teruk dan membahayakan nyawa.

Rawatan adalah bergantung kepada jenis kuman sama ada ianya bakteria, virus ataupun kulat.

Jangkitan virus

Vaksin merupakan langkah berkesan bagi mencegah sesetengah jangkitan virus.

Apabila seseorang menerima vaksin, mereka selalunya menerima virus yang telah mati atau dilemahkan. Sistem imuniti badan akan bertindak dengan menghasilkan antibodi yang mampu membunuh virus tersebut dengan cepat pada masa hadapan.

Jika seseorang telah dijangkiti virus, ubat anti-virus boleh diberikan untuk mengawal jangkitan dan mengurangkan gejala.

Jangkitan bakteria

Mereka yang dijangkiti bakteria mungkin memerlukan rawatan antibiotik untuk mengawal jangkitan dan gejala. Antibiotik bertindak dengan membunuh bakteria dan menghalangnya dari membiak.

Jangkitan kulat

Jangkitan kulat yang teruk atau kronik meungkin memerlukan pengambilan ubat anti-fungal yang boleh dibeli di farmasi atau diberi oleh doktor. Ianya terdapat dalam bentuk ubat sapu dan makan.

Rumusan

Penyakit berjangkit merupakan penyakit yang boleh merebak dari seseorang kepada orang yang lain. Pathogen yang menyebabkan penyakit ini boleh merebak melalui pelbagai cara, seperti melalui udara, sentuhan pada cecair atau permukaan, atau dari gigitan haiwan dan serangga.

Kebanyakan penyakit berjangkit hanya menyebabkan gejala ringan dan boleh sembuh tanpa rawatan. Manakala terdapat penyakit berjangkit yang memerlukan rawatan lanjut bagi mengelakkannya menjadi parah.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan jangkitan dan penularan penyakit berjangkit. Antaranya adalah menerima vaksinasi, kerap mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.