Penyakit Buasir – Punca, Tanda dan Rawatan

Buasir jenis luaran lebih kerap berlaku dan lebih menyusahkan kerana akan menyebabkan gejala kesakitan, kegatalan, dan kesukaran untuk duduk.

Buasir merupakan pembengkakan saluran darah vena di bahagian dubur (anus) atau bahagian bawah rektum. Lebih kurang 50 peratus orang dewasa pernah mengalami gejala buasir apabila mencapai umur 50 tahun.

Buasir boleh terjadi di bahagian dalaman atau luaran. Buasir dalaman terbentuk di dalam saluran dubur dan rektum. Buasir luaran pula terbentuk di luar lubang dubur. Buasir juga dikenali dalam perubatan sebagai hemorrhoid.

Buasir jenis luaran lebih kerap berlaku dan lebih menyusahkan kerana akan menyebabkan gejala kesakitan, kegatalan, dan kesukaran untuk duduk. Namun kesemua jenis buasir boleh dirawat.

Buasir jenis luaran dan dalaman.

Tanda-tanda dan gejala buasir

Antara tanda-tanda dan gejala buasir termasuklah:

  • Kegatalan pada atau sekitar dubur
  • Rasa sakit pada atau sekitar dubur
  • Ada bonggolan atau bengkak berdekatan dubur
  • Najis senang terkeluar
  • Sakit ketika membuang air besar
  • Kesan darah ketika mencuci najis
  • Darah menitis ketika membuang air besar

Walaupun buasir adalah menyakitkan, ianya tidak berbahaya dan boleh pulih dengan sendiri tanpa rawatan jika tidak serius.

Namun jika terdapat darah atau najis berwarna hitam pekat, anda perlu berjumpa doktor dengan segera. Pendarahan ini boleh disebabkan penyakit yang lain selain buasir dan perlu diperiksa dengan lebih lanjut.

Punca buasir

Buasir berlaku apabila terdapat tekanan yang tinggi pada salur darah vena di sekeliling dubur. Antara puncanya adalah:

  • Meneran ketika membuang air besar
  • Komplikasi sembelit yang kronik
  • Duduk untuk jangkamasa yang lama, terutamanya ketika di dalam tandas
  • Sejarah keluarga yang menghidap buasir

Faktor risiko

Buasir boleh berlaku disebabkan faktor genetik iaitu jika ada ahli keluarga yang menghidap buasir terutamanya ibu atau bapa. Faktor luaran juga boleh meningkatkan risiko buasir seperti selalu mengangkat berat, obesiti, atau kerap meneran.

Meneran selalu berlaku akibat penyakit sembelit kronik yang menyukarkan seseorang membuang air besar. Ianya juga boleh disebabkan masalah cirit-birit atau duduk terlalu lama di dalam tandas. Melakukan hubungan seksual melalui dubur juga boleh meningkatkan risiko mendapat buasir.

Wanita yang sedang mengandung juga senang mendapat buasir. Rahim yang semakin membesar akan memberi tekanan berlebihan pada saluran darah vena di sekitar usus dan menyebabkannya mengembang.

Pengesanan buasir

Pemeriksaan fizikal di bahagian dubur amat penting bagi mengesahkan penyakit buasir. Doktor juga akan melihat jika terdapat sebarang perubahan atau komplikasi yang disebabkan masalah buasir ini.

Pemeriksaan ini dikenali sebagai pemeriksaan lubang dubur mengunakan jari. Doktor akan memakai sarung tangan dan memasukkan jari yang telah diletakkan pelincir ke dalam lubang dubur.

Doktor juga mungkin akan melakukan ujian tambahan seperti anoskopi, sigmoidoskopi atau kolonoskopi bergantung kepada gejala dan faktor risiko seseorang.

Ujian ini mellibatkan penggunaan tiub dengan kamera kecil yang akan dimasukkan melalui lubang dubur bagi melihat sebarang keadaan tidak normal di dalam anus, rektum dan juga kolon.

Anoskopi hanya melibatkan saluran anus, sigmoidoskopi melibatkan hujung 40 sentimeter bahagian kolon dan kolonoskopi pula melibatkan keseluruhan kolon.

Doktor dapat melihat sebarang perubahan dengan jelas pada skrin paparan dan doktor juga boleh mengambil sampel untuk ujian makmal jika perlu.

Rawatan buasir

Buasir boleh dirawat di rumah atau klinik. Ianya boleh dirawat dengan cara berikut:

Melegakan kesakitan

Untuk melegakan kesakitan, dubur boleh direndam di dalam air suam selama kira-kira 10 minit setiap hari. Anda boleh duduk di dalam air suam untuk melegakan kesakitan akibat buasir jenis luaran.

Jika sakit bertambah teruk anda boleh mendapatkan ubat tahan sakit melalui dubur (suppositori), atau krim untuk melegakan kesakitan dan kegatalan. Ubat ini boleh dibeli di farmasi berdekatan.

Suplemen fiber

Jika anda mengalami sembelit , anda boleh membeli suplemen fiber untuk melembutkan najis dan memudahkan anda membuang air besar. Antara suplemen yang boleh dibeli termasuklah psyllium dan methylcellulose.

Rawatan sendiri

Ubat farmasi seperti hydrokortison atau krim buasir mampu mengurangkan ketidakselesaan dan kesakitan akibat buasir.

Merendam dubur anda di dalam sitz bath selama 10 ke 15 minit setiap hari juga boleh membantu.

Amalkan kebersihan di bahagian dubur dan basuh dengan air atau rendaman setiap hari. Jangan gunakan sabun pada buasir kerana ianya boleh menyebabkan iritasi dan gejala akan menjadi lebih teruk. Elakkan juga penggunaan kertas tisu yang kasar untuk mencuci najis.

Penggunaan tuaman sejuk pada dubur boleh mengurangkan bengkak akibat buasir. Ubat tahan sakit seperti acetaminophen, ibuprofen, atau aspirin juga boleh membantu menjadikan anda lebih selesa.

Prosedur perubatan

Jika rawatan di rumah tidak berkesan untuk menghilangkan buasir, doktor boleh melakukan prosedur membuang buasir dengan mengikat buasir tersebut menggunakan getah. Prosedur ini akan menghalang aliran darah ke bahagian buasir seterusnya ianya akan mengecut dengan sendiri.

Prosedur ini perlu dilakukan di klinik atau hospital kerana ianya boleh menyebabkan komplikasi pendarahan dan jangkitan jika tidak dilakukan dengan betul menggunakan peralatan yang lengkap.

Selain itu, doktor juga boleh memberikan rawatan skleroterapi di mana doktor akan menyuntik bahan khas ke dalam salur darah bahagian dubur untuk mengecutkan buasir.

Pencegahan buasir

Untuk mencegah buasir atau mengelakkannya menjadi lebih teruk, elakkan meneran secara berlebihan ketika membuang air besar. Tingkatkan pengambilan air masak untuk mengelakkan najis menjadi terlampau kering dan menyebabkan sembelit.

Buang air besar dengan segera dan elakkan dari menahan untuk membuang air besar. Lakukan senaman dengan kerap bagi mengelakkan sembelit dan elakkan juga duduk untuk jangkamasa yang lama di atas permukaan yang keras seperti simen dan jubin.

Makan makanan yang mengandungi fiber yang tinggi untuk mencegah sembelit. Antara contoh makanan tersebut adalah:

  • Gandum whole
  • Beras perang
  • Oatmeal
  • Buah pear
  • Lobak
  • Buckwheat
  • Bran

Makanan ini akan membantu membentuk najis yang lebih lembut dan mudah keluar ketika membuang air besar.

Komplikasi buasir

Komplikasi buasir jarang berlaku tetapi boleh menyebabkan:

  • Darah beku di dalam salur darah vena
  • Pendarahan
  • Kekurangan darah merah atau anemia akibat kehilangan darah

Rumusan

Dengan rawatan yang lengkap, penyakit buasir boleh pulih sepenuhnya. Ikut nasihat doktor anda berkenaan ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup seperti pemakanan dan senaman serta elakkan duduk untuk suatu jangkamasa yang lama.

Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.