Pantang Tradisional Selepas Bersalin – Bertungku, Berjadam, Berbarut, Mewangi Badan dan Pasir Hangat

Pantang bersalin tradisional merupakan perubatan alternatif yang mampu memberikan keselesaan kepada ibu-ibu selepas bersalin.
pantang tradisional selepas bersalin

Kita sudah memasuki era perubatan moden, namun budaya dan adat lama masih lagi diamalkan. Walaupun tiada kajian khusus yang membuktikan pantang tradisional ini mempunyai apa-apa kesan kesihatan jangka pendek dan panjang, tetapi ianya merupakan perubatan alternatif yang mampu memberikan keselesaan kepada ibu-ibu selepas bersalin.

Walaupun begitu, ibu berhak untuk memilih sama ada mahu melaksanakannya atau tidak selagi tidak menyalahi hukum agama dan tidak membahayakan kesihatan. Terdapat juga kes di mana pantang yang keterlaluan boleh membahayakan kesihatan seperti kurang minum air dan kurang bergerak menyebabkan ibu mengalami darah beku dan kemudiannya meninggal dunia.

Jadi kita mestilah berpada-pada dalam mengamalkan pantang di samping menghormati ibu yang memilih untuk tidak melaksanakannya. Berikut merupakan amalan pantang yang mampu memberikan keselesaan kepada ibu selepas bersalin.

Berurut

Urut bertujuan memulih kesegaran badan, melancarkan perjalanan darah, mempercepatkan pengeluaran nifas serta kekotoran dan melembutkan urat saraf agar tidak tegang dan tidak mudah masuk angin.

Dapatkan rawatan daripada bidan atau tukang urut berpengalaman bagi mengelakkan sebarang kecederaan. 

Mulakan rawatan berurut sekurang-kurangnya lima atau enam hari selepas bersalin. Sebaik-baiknya, mulakan urutan pada sebelah pagi antara jam 8 hingga 10. Elakkan gerakan kasar dan ganas.

Minyak urut yang digunakan boleh disediakan sendiri.

Ramuan minyak urut

  • Minyak kelapa (dibuat sendiri menggunakan santan daripada sebiji kelapa, dimasak hingga menjadi minyak)
  • 3 camca besar halba
  • Halia sebesar ibu jari
  • Kunyit hidup sebesar ibu jari
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah

Cara membuatnya

Tumbuk kasar halia, kunyit hidup, bawang putih dan bawang merah. Masak bersama halba dan minyak hingga panas. Sejukkan dan simpan di dalam bekas kering agar tahan lama. 

Posisi berurut yang selesa

Kaedah berurut

  1. Pakai kain batik dan jangan bercoli bagi memudahkan gerakan urut. Urutan dimulakan pada bahagian kepala dalam keadaan ibu meniarap.
  2. Ambil minyak angin dan sapu pada seluruh tapak tangan dan jari, urut seluruh kepala dengan gerakan seperti menggaru sambil tangan sebelah lagi memicit dengan lembut pangkal tengkuk. Lakukan antara lima hingga lapan minit.
  3. Menghereng ke kiri dan kanan (mengikut giliran) bagi mengurut bahu dan belikat. Selepas itu urut paha, betis dan tapak kaki. Selepas itu ibu menelentang untuk mengurut perut dan bersengkak.
  4. Duduk, urut dahi dan kedua-dua belah tangan. Akhiri urutan dengan menarik tangan ke belakang dan silangkan beberapa minit. Ini bertujuan menghilangkan lenguh kesan berurut. 

Sebaik-baiknya, berurutlah tiga pagi seminggu selepas bersalin, pada hari ke-42, ke-43 dan ke-44. Ulangi pada hari ke-60 dan ke-100. Setiap kali selepas berurut, elok mandi dengan air daun kayu. 

Bertungku

Bertungku bererti menuam bahagian tertentu badan dengan menggunakan batu atau besi yang dipanaskan. Batu yang digunakan ialah batu licin bulat atau bujur yang biasanya boleh didapati di sungai-sungai atau di tempat air terjun. Besi tungku boleh dibeli di kedai-kedai.

Bertungku dipercayai dapat mengeluarkan saki baki darah kotor, mengecutkan dan memulihkan rahim juga urat saraf di sekeliling peranakan dan bahagian-bahagian lain. Ketika bertungku badan akan berpeluh dan terasa hangat. Ini akan memudahkan pemulihan tenaga.

Bertungku dilakukan sebelum ibu mandi pada waktu pagi dan petang ketika ibu dalam keadaan berbaring, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu.

Kaedah bertungku

  1. Batu atau besi tungku dipanaskan selama lebih kurang 30 minit. 
  2. Balut dengan beberapa lapis kain (yang disusun di dalamnya daun mengkudu pada setiap lapis) menurut darjah kepanasan tungku yang dapat ditanggung oleh kulit.
  3. Untuk memudahkan kerja membungkus besi, kain diletakkan di atas lantai.
  4. Setelah dibalut rapi pangkal batu/besi diikat supaya kain tidak terburai.
Batu sungai sesuai digunakan untuk bertungku

Bahagian-bahagian badan yang perlu ditungku

Bahagian Peranakan

Bertujuan untuk mengecutkan peranakan yang membesar sewaktu mengandung. Peranakan juga perlu disangkak (dinaikkan) ke atas dengan menolak bahagian rahim dari bawah sehingga menghampiri bahagian pusat. Menyangkak hanya boleh dilakukan oleh orang yang mahir.

Peranakan yang tidak dinaikkan menyebabkan perut buncit dan terasa tidak selesa, seolah-olah adanya benda menonjol yang hendak keluar dari faraj. Bertungku di bahagian ini memakan masa lebih kurang 25 minit. Bertungku juga memerlukan kemahiran. Ada juga orang yang menaikkan peranakan dengan berurut terlebih dahulu.

Setelah itu barulah beralih ke bahagian lain, iaitu di bahagian kemaluan. Pada waktu ini ibu perlu berada dalam keadaan mencangkung, duduk di atas tungku dengan merapatkan kedua-dua belah peha supaya faraj terkena tungku. Ketika ini imbangan badan perlu, iaitu dengan meletakkan kedua belah tangan ke lantai terlebih dahulu. Dalam keadaan tertentu si ibu mungkin perlu dipegang supaya badannya tidak goyang, mengiring ke kiri atau ke kanan.

Bahagian Badan

Iaitu di bahagian dada, ulu hati, tengkok, ketiak, dan belikat. Bertungku di bahagian ini dilakukan ketika ibu dalam keadaan terbaring.

Tungku diletakkan di sekitar buah dada, supaya darah mengalir dengan baik, membolehkan air susu keluar dengan lancar. Selepas itu baru berpindah ke bahagian ulu hati, iaitu untuk memecahkan angin di bahagian perut dan ulu hati. Lakukan dalam masa lebih kurang 5 – 10 minit sahaja.

Setelah itu beralih ke bahagian ketiak kanan dan kiri. Kemudian barulah dilakukan di bahagian belikat kanan untuk beberapa minit, yang kemudiannya dipindahkan ke bahagian kiri.

Di bahagian tengkuk, bertungku dilakukan dengan meletakkan tungku di bawah tengkuk seperti orang berbantal. Bahagian ini perlu ditungku untuk memulihkan perjalanan darah di bahagian kepala dan leher.

Bahagian Bawah

Iaitu bahagian betis, peha, punggung, pinggang, pelipat, pergelangan kaki dan tapak kaki. Bertungku di bahagian-bahagian ini memerlukan masa antara 15 – 20 minit pada setiap bahagian.

Pada bahagian terakhir, iaitu di tapak kaki, kaki dirapatkan menjadi satu kemudian digerakkan ke hadapan dan ke belakang, atau dengan mengolek-golekkan tungku ke hadapan dan ke belakang sekiranya tungku itu berbentuk bulat atau bujur. Biarkan tungku berada di bahagian ini sehingga sejuk.

Waktu sesuai bertungku ialah pada waktu pagi, iaitu sebelum matahari naik dan pada waktu petang, selepas waktu asar.

Adalah lebih baik sekiranya ibu dibantu ketika bertungku, terutamanya pada hari pertama, kedua dan ketiga. Walaupun demikian, membakar tungku perlu dilakukan oleh orang lain kerana ia merupakan kerja berat bagi seorang ibu yang baru bersalin.

Selain daripada masa-masa yang dijelaskan, bertungku boleh dilakukan ketika badan terasa sejuk-sejuk, terasa tidak selesa akibat perjalanan darah tidak lancar. Tungku dibakar semula sekiranya telah sejuk, atau ditukar dengan tungku lain sekiranya tungku yang digunakan lebih daripada satu. 

Berjadam

Ada pelbagai ramuan untuk mengecutkan perut serta membuang angin di dalam badan sewaktu berbarut. Antara digemari ialah kapur, limau atau jadam.

Ramuan berjadam

  • Segenggam jadam
  • Halia sebesar ibu jari
  • Isi kunyit terus sebesar ibu jari
  • Dua, tiga ulas bawang putih
  • Asam jawa sebesar bola pingpong
  • Secawan air kosong
  • Periuk tembikar dan sudip kayu

Cara membuatnya

Masukkan jadam di dalam periuk tanah. Tumbuk halia, isi kunyit terus dan bawang putih selumat-lumatnya. Kemudian gaul dengan jadam dan campur perahan air asam jawa. Jerang di atas api perlahan hingga menggelegak. Kacau selalu agar tidak hangit dan berkerak.

Cara menyapu ramuan jadam

Biarkan jadam suam-suam kuku. Kemudian bentang barut dan baring di atasnya. Selepas itu sapu jadam pada seluruh perut hingga ke bahagian ariari. Tutup dengan kain kecil atau sapu tangan. Kemudian ikat barut kemas-kemas. Simpan lebihan jadam di tempat kering dan panaskan setiap kali ingin menggunakannya dengan menambah sedikit air asam jawa. Ulangi rawatan selama seminggu atau lebih.

Berbarut, Berbengkung dan Korset

Barut

Seelok-eloknya berbarut pada sebelah pagi, selepas tiga, empat hari bersalin ataupun apabila badan kembali segar dan luka pada bahagian sulit sembuh. 

Jika bersalin secara pembedahan, anda hanya boleh berbarut tiga atau empat bulan kemudian.

Biasanya, barut diperbuat daripada kain belacu atau kain cita kerana ia mudah menyerap peluh dan lebih selesa. Ukuran barut bergantung kepada tubuh si ibu sama ada kecil molek, sederhana, tinggi atau gemuk. Ia berbentuk segi empat tepat berukuran lebih kurang 130 cm panjang x 35 sm lebar dan antara enam hingga lapan tali pengikat.

Sapu ramuan khas pada seluruh permukaan perut sebelum berbarut bagi memastikan proses pengecutan rahim/kulit lebih cepat dan berkesan. Sebaik-baiknya, buat dua set barut agar boleh ditukar selalu bagi menjaga kebersihan dan mengelakkan gatal-gatal kulit.

Setiap kali mandi, bersihkan sisa jadam/kapur yang melekat pada kulit. Kemudian lap kering-kering sebelum menyapu ramuan baru. Usah kecewa jika anda dapati kulit perut berubah kehitaman kesan jadam. Ia akan pulih selepas selesai pantang.

Barut tradisional

Bengkung

Bengkung dipakai selepas beberapa minggu bersalin kerana ketika ini ibu semakin sihat. Terdapat beberapa jenis bengkung tetapi yang paling mudah dipakai ialah bengkung Jawa. 

Kebanyakan wanita di Indonesia masih berbengkung setiap hari agar kekal kurus/ramping dan menarik apabila berkebaya atau berbaju Kota Bharu dengan kain berwiron. 

Biasanya, bengkung diperbuat daripada fabrik lebih tebal dan kejap berbanding barut tetapi boleh melentur mengikut bentuk badan. Panjang antara enam hingga 10 meter dan lebar 20 cm. 

Biasanya, bengkung perlu dipakai dengan bantuan orang lain agar ikatannya lebih kemas tetapi bengkung lilit Jawa boleh dipakai sendiri. 

Mulakan lilitan pada paras pinggul (bawah pusat) dan dibelit ke atas (bawah buah dada). Tidak perlu menyapu jadam/kapur. Memadai minyak angin biasa sahaja.

Korset

Selepas tempoh berpantang berakhir, terus jaga bentuk badan dengan berkorset. Ia lebih mudah dipakai, selesa dan tidak mengganggu pergerakan. Pilih korset bercoli yang menutupi seluruh perut hingga ke bawah pusat. 

Mewangikan Badan

Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan untuk mewangikan air mandi ketika berpantang. Ia juga memberi khasiat kepada badan serta melancarkan perjalanan darah, menghilangkan gatal/ruam, membersihkan kulit serta menyegarkan badan. Mandian ini elok dilakukan selepas berurut.

Antara daun yang boleh digunakan:

  • Daun kunyit terus
  • Daun lenggundi
  • Daun secerek
  • Daun pandan
  • Daun lengkuas
  • Daun serai wangi
  • Daun pisang kelat
  • Daun capa
  • Daun inai
  • Daun bonglai
  • Daun mengkudu
  • Sedikit rempah halba


Cara menyediakan air mandi

  1. Ambil periuk tanah ukuran sederhana (anggaran untuk dua liter air). Sediakan semua jenis daun anggaran secekak. Basuh sebersih-bersihnya.
  2. Isi air di dalam periuk tanah dan masukkan semua daun kayu serta halba (anggaran segenggam). Jerang di atas api sederhana hingga air menggelegak. Kemudian tuang air rebusan di dalam besen besar.
  3. Tambah air pili dan kawal suhu air agar ia suam-suam kuku. Sebelum mandi air rebusan ini, basahkan badan dengan air biasa dahulu. Kemudian gosok daki terutama pada bahagian degil dan tersorok.
  4. Bilas dengan air biasa. Selepas itu, baru jirus air rebusan daun kayu dari kepala ke hujung kaki tiga kali.
  5. Kemudian ambil sedikit daun kayu dan gosok pada seluruh badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit. Selepas tiga empat minit, baru jirus lebihan air ke seluruh badan. Lap badan sekering-keringnya. Amal mandi daun kayu ini sekurang-kurangnya seminggu. Selepas mandi, berbarut.

Nota: Ketika mandi, cedok air sahaja kerana daun-daun ini masih boleh digunakan untuk mandi pada sebelah petang (rebus sekali lagi).

Pasir Hangat dan Batu Sungai

Amalan duduk di atas pasir hangat lebih ringkas dan selamat berbanding bertangas atau duduk di atas pangkin berbara. 

  1. Ambil pasir sungai anggaran sekilogram. Panaskan di dalam periuk (seperti memasak kerisik) lebih kurang 20 minit.
  2. Ambil kain tebal (tuala lama atau/kain batik) yang dijahit seperti sarung bantal. Masukkan pasir panas di dalam karung dan ikat kemas.
  3. Balut beberapa kali lagi dengan kain batik agar kehangatannya terkawal. Letak pasir hangat di atas kerusi (sebaik-baiknya kerusi kayu tanpa kusyen). Duduk di atas pasir 20 – 30 minit.

Bagi melengkapkan rawatan, hangatkan telapak kaki dengan memijak batu sungai hangat. Cara menyediakannya mudah. Ambil batu sungai berbentuk bulat sebesar telapak tangan. Panaskan batu di atas api 20 – 30 minit. Balut dengan daun mengkudu dan kain tebal. Pijak batu hingga kehangatannya hilang.

Print Friendly, PDF & Email
Staf Editorial
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.