Tanda-tanda Hamil Yang Anda Perlu Tahu

Kehamilan akan menyebabkan banyak perubahan berlaku pada badan seseorang wanita, jom ketahui kesemua tanda-tanda kehamilan untuk lebih bersedia.

Perubahan hormon yang mendadak berlaku ketika kehamilan. Ini akan mencetuskan pelbagai tanda dan gejala kepada wanita hamil. Sesetengah wanita mengalami banyak gejala ketika mengandung, dan ada yang hanya mengalami sedikit gejala.

Tanda-tanda awal kehamilan termasuklah tidak datang bulan, perubahan payudara, kepenatan, kerap kecing, serta mual dan muntah (morning sickness). Walaubagaimanapun, tanda-tanda ini mungkin disebabkan oleh faktor lain dan tidak semestinya berkaitan dengan kehamilan, jadi jika anda mengesyaki anda hamil, lakukan ujian kehamilan atau boleh pergi ke klinik untuk pemeriksaan.

Pelbagai perubahan boleh berlaku pada badan di peringkat penghujung kehamilan, termasuklah sakit belakang, sakit kepala, kaki kejang atau vena varikos, kegatalan dan semut-semut, sembelit, buasir atau senak perut, vaginitis atau keputihan, atau perubahan mood serta kemurungan.

Jika anda risau berkenaan tanda dan gejala di atas, dapatkan pemeriksaan doktor. Dapatkan pemeriksaan segera jika anda mengalami gejala seperti pendarahan dari vagina, pecah air ketuban, sakit kronik, demam panas, sakit kepala yang teruk dan hilang penglihatan.

Tanda-tanda awal kehamilan

Tanda-tanda awal kehamilan termasuklah:

  • tidak datang bulan
  • mual dan muntah (dikenali juga sebagai morning sickness tetapi boleh berlaku pada bila-bila masa)
  • payudara sakit dan membesar
  • keletihan
  • kerap kencing daripada biasa, terutamanya pada waktu malam
  • mengidam makanan, menolak makanan yang selalunya digemari, dan rasa masam atau seperti besi dalam mulut walaupun tidak makan (dysgeusia)

Kebanyakan tanda-tanda awal kehamilan seperti tidak datang bulan, mual dan kepenatan juga boleh disebabkan tekanan dan penyakit yang lain. Jadi jika anda mengesyaki diri anda mengandung, sila lakukan ujian kehamilan (ujian air kencing) atau pergi ke klinik bagi melakukan ujian urin, darah serta imbasan ultrasound.

Tidak datang bulan

Tidak datang bulan selalunya merupakan tanda pertama kehamilan. Walaubagaimanapun sesetengah wanita mengalami sedikit pendarahan pada awal kehamilan yang dikenali sebagai spotting akibat proses pelekatan janin pada rahim.

Mual dan muntah

Mual dan muntah berlaku kepada lebih kurang separuh wanita yang hamil. Ianya juga dikenali sebagai morning sickness. Walaubagaimanapun ianya tidak hanya berlaku pada waktu pagi tetapi pada waktu yang lain juga sepanjang hari.

Mual dan muntah selalunya bermula pada minggu keempat sehingga ke minggu keenam kehamilan dan semakin berkurang pada minggu ke 12, walaupun pada sesetengah wanita ianya boleh berpanjangan atau berulang pada minggu ke 32.

Perubahan payudara

Ketika mengandung, payudara akan menjadi penuh, bengkak dan sakit apabila disentuh. Perubahan ini adalah sama seperti yang berlaku beberapa hari sebelum datang bulan. Ketika mengandung, kulit disekeliling puting juga akan menjadi lebih gelap dan salur vena pada payudara akan lebih jelas kelihatan.

Cepat letih

Kepenatan melampau adalah tanda biasa ketika awal kehamilan. Ia selalunya disebabkan oleh peningkatan mendadak hormon seksual progesteron. Progesteron diperlukan untuk mengekalkan kehamilan dan membantu bayi dalam kandungan untuk membesar, di samping bagi menurunkan metabolisma ibu hamil.

Cuba dapatkan lebih tidur atau rehat selagi boleh pada peringkat awal kehamilan. Tahap tenaga ibu hamil selalunya akan meningkat semula pada bulan keempat kehamilan apabila uri telah terbentuk sepenuhnya.

Selain itu kepenatan ketika hamil juga boleh disebabkan kurangnya darah merah (anemia) yang selalunya disebabkan oleh kekurangan zat besi. Memakan makanan yang kaya dengan zat besi dapat mencegah anemia ini ketika kehamilan. Rawatan bagi anemia ketika hamil melibatkan pengambilan suplemen zat besi. Kadangkala zat besi ini perlu diberikan secara terus ke dalam saluran darah. Jadi ibu perlu dimasukkan ke dalam wad selama beberapa jam.

Kerap kencing

Kehamilan boleh meningkatkan paras cecair dalam badan dan peningkatan kecekapan buah pinggang. Selain itu rahim yang semakin membesar juga akan memberikan tekanan kepada pundi kencing. Ini menyebabkan wanita hamil lebih kerap kencing terutamanya pada beberapa minggu awal kehamilan.

Mengidam makanan

Mengidam makanan tertentu merupakan tanda biasa ketika kehamilan, terutamanya makanan yang membekalkan lebih tenaga dan kalsium seperti susu dan produuk tenusu yang lain. Ibu hamil juga kadangkala menjadi tidak suka kepada makanan yang selalunya digemari.

Sesetengah wanita hamil pula mengidam makanan dan rasa yang pelik seperti tanah dan kertas. Ini dikenali sebagai ‘pica’ dan boleh bermaksud kekurangan zat dalam badan. Bincang dengan doktor anda jika sedang mengalami gejala ini.

Tanda-tanda lain ketika hamil

Kebanyakan tanda-tanda ini juga boleh disebabkan penyakit yang lain. Jika anda risau, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.

Sakit belakang

Sakit belakang ketika mengandung berlaku kepada 1 dari 3 wanita. Ianya disebabkan oleh perlonggaran ligamen dan perubahan postur badan kerana janin sedang membesar.

Anda boleh melegakan sakit belakang ini dengan memakai kasut yang mempunyai tapak yang rata, duduk di atas kerusi dengan sokongan belakang yang bagus, elakkan dari mengangkat barang berat, dan melakukan senaman ringan. Senaman dalam air boleh dilakukan bagi melegakan sakit belakang ketika mengandung. Fisioterapi dan akupuntur juga mungkin boleh membantu.

Susah bernafas

Ketika bermulanya kehamilan, hormon progesteron akan meningkatkan kapasiti paru-paru ibu hamil. Ini membolehkan lebih banyak oksigen dibawa kepada bayi di dalam rahim di samping untuk membuuang bahan kumuh seperti gas karbon dioksida yang dihasilkan oleh ibu dan bayi. Setiap kali pernafasan, terdapat peningkatan udara yang disedut dan dihembus keluar, dan ibu akan terasa seperti sedang mengalami sesak nafas.

Selain itu pada penghujung kehamilan, tekanan yang disebabkan oleh rahim dan bayi yang semakin membesar kepada organ diafram juga boleh menyebabkan pernafasan menjadi sedikit sukar.

Jumpa doktor dengan segera jika anda mengalami sesak nafas secara tiba-tiba bersama-sama gejala di bawah:

  • sakit
  • jantung berdegup kuat
  • kepenatan melampau
  • ketika bersenam

Sembelit

Sembelit merujuk kepada pembuangan air besar yang jarang, dan najis yang keras serta susah untuk keluar. Sembelit merupakan antara masalah utama ketika kehamilan yang mungkin disebabkan oleh hormon yang memperlahankan pergerakan usus, atau disebabkan oleh tekanan daripada rahim kepada rektum.

Jika anda mengalami sembelit ketika hamil, anda dinasihatkan untuk:

  • minum lebih banyak air setiap hari
  • meningkatkan pengambilan fiber harian (buah-buahan, sayur, gandum dan lain-lain)
  • melakukan senaman ringan dan berimpak rendah seperti berenang, berjalan atau yoga

Jangan ambil ubat julap yang dibeli sendiri tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor. Jika perubahan pemakanan dan gaya hidup tidak dapat melegakan sembelit, jumpa doktor untuk mendapatkan ubat julap yang selamat untuk kehamilan.

Buasir

Buasir boleh berlaku akibat meneran disebabkan sembelit atau tekanan daripada kepala bayi dalam rahim. Selalunya buasir akan hilang selepas melahirkan anak.

Jika anda mengalami sembelit yang berdarah, gatal, tidak selesa atau sakit, anda dicadangkan untuk:

  • mencegah sembelit dengan minum air yang cukup dan meningkatkan pengambilan fiber
  • duduk di dalam air bergaram selama 15 minit terutamanya selepas membuang air besar (sitz bath)
  • menyapu krim buasir

Jika pendarahan berterusan, dapatkan pemeriksaan doktor.

Sakit kepala

Sila berjumpa doktor jika anda mengalami sakit kepala ketika mengandung yang tidak hilang dengan mengambil paracetamol (seperti Panadol) terutamanya selepas pertengahan kehamilan.

Sakit kepala berterusan mungkin disebabkan oleh pre-eklampsia – penyakit yang boleh memberikan kesan kepada buah pinggang dan meningkatkan tekanan darah serta mengurangkan aliran darah kepada bayi dalam rahim.

Sakit ulu hati dan senak perut

Sakit ulu hati, asid refluks dan senak perut merupakan kesakitan dan rasa tidak selesa yang dikaitkan dengan asid daripada perut yang masuk semula ke dalam esofagus.

Senak perut lebih kerap berlaku ketika hamil disebabkan tekanan daripada rahim yang membesar kepada organ di dalam abdomen dan juga kesan hormon progesteron yang merehatkan otot diantara esofagus dan perut.

Jika anda mengalami sakit ulu hati, refluks dan senak perut, anda dicadangkan untuk:

  • makan dalam jumlah yang sedikit tetapi lebih kerap
  • elakkan makan sebelum tidur
  • tidur dengan bantal tambahan untuk menaikkan kepala
  • memakai pakaian longgar
  • elekkan pengambilan makanan yang boleh mencetuskan gejala – seperti makanan berlemak (makanan bergoreng, daging dan pastri), makanan pedas (termasuk kari dan cili), alkohol dan kafein (termasuk teh, kopi, coklat dan kola)
  • mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil ubat antasid

Jika strategi di atas tidak berkesan untuk melegakan gejala, dapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor bagi mendapatkan ubat yang selamat untuk mengurangkan penghasilan asid dalam perut.

Kulit gatal

Kegatalan pada seluruh badan jarang berlaku ketika hamil tetapi ianya boleh menyebabkan rasa tidak selesa, tidak boleh tidur dan tekanan. Kulit kering dan ekzema adalah antara punca utama kegatalan namun kadangkala tiada sebarang punca khusus. Kadangkala, gatal pada tapak tangan dan tapak kaki boleh menandakan penyakit hati yang serius – ujian darah boleh dijalankan bagi memeriksa penyakit ini.

Kegatalan dan ruam pada penghujung kehamilan boleh disebabkan oleh reaksi badan terhadap kulit yang menegang. Ianya dikenali sebagai PUPPS. Kegatalan boleh dikawal dengan menggunakan krim pelembap dan ubat antihistamin. Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu mengenai ubat antihistamin yang selamat ketika kehamilan.

Kaki kejang

Kaki kejang berlaku disebabkan pengumpulan asid yang menyebabkan pengecutan luar kawalan pada otot kaki. Ini dialami oleh separuh daripada wanita hamil, selalunya pada wakti malam. Kaki kejang lebih kerap berlaku pada trimester kedua dan ketiga.

Jika anda mengalami kejang pada kaki, anda dinasihatkan untuk:

  • berjalan-jalan
  • meregang dan mengurut otot yang terlibat untuk mengurangkan pengumpulan asid
  • meletakkan tuaman suam pada otot yang terlibat

Dapatkan pemeriksaan doktor jika kejang kaki kerap berlaku, doktor boleh memberikan suplemen magnesium laktate atau citrate untuk diambil pada waktu pagi dan petang.

Perubahan mood

Sesetengah ibu mengandung mengalami perubahan mood seperti cepat marah. Ada juga wanita yang kerap merasa gembira. Perubahan mood ini adalah disebabkan oleh hormon kehamilan yang mempengaruhi aktiviti dan bahan kimia di dalam otak.

Ketika mengandung, 1 daripada 10 wanita juga mengalami gejala kemurungan. Kemurungan boleh dirawat, jadi jika anda merasa murung atau tiada mood ketika mengandung, dapatkan pertolongan dan pemeriksaan daripada doktor secepat mungkin.

Kebas dan semut-semut pada tangan (sindrom karpal tunnel)

Sindrom karpal tunnel – rasa semut-semut pada tangan – memberi kesan kepada lebih kurang 60 peratus wanita hamil. Ianya disebabkan oleh tekanan ke atas saraf median disebabkan oleh peningkatan cecair dalam tisu badan ketika kehamilan.

Sindrom karpal tunnel boleh jadi ringan, sederhana atau teruk sehingga menyebabkan lumpuh pada ibu jari atau hilang deria rasa. Gejala ini selalunya akan hilang selepas melahirkan anak.

Jika anda mengalami rasa kebas, semut-semut atau sakit pada tangan, beritahu pada doktor dan jururawat ketika temujanji kehamilan. Dalam kes yang teruk, doktor mungkin akan mencadangkan suntikan kortikosteroid atau pembedahan.

Peningkatan keputihan

Peningkatan keputihan dari vagina juga kerap berlaku ketika kehamilan. Jika terdapat gejala gatal, sakit, bau busuk atau pedih ketika kencing ianya mungkin disebabkan jangkitan. Dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera jika lelehan vagina berlaku bersama-sama gejala tersebut.

Vaginitis

Vaginitis adalah keradangan pada vagina, dan merupakan gejala yang merungsingkan ramai wanita. Ianya lebih kerap berlaku ketika hamil. Sesetengah viginitis adalah disebabkan oleh jangkitan kulat pada vagina seperti bakterial vaginosis, trikomoniasis dan klamidia. Dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera untuk rawatan lanjut.

Vena varikos dan bengkak kaki (edema)

Vena varikos atau urat simpul pada kaki kerap berlaku ketika kehamilan disebabkan gabungan beberapa faktor termasuk peningkatan jumlah aliran darah ketika kehamilan, dan tekanan rahim yang membesar ke atas vena utama. Peningkatan tekanan ini juga boleh menyebabkan bengkak pada kaki (edema) yang boleh menyebabkan rasa sakit, kaki menjadi berat, kejang (terutama waktu malam) dan perasaan pelik pada kaki.

Jika anda mengalami vena varikos, anda dinasihatkan untuk:

  • memakai sarung kaki sokongan
  • mengelakkan berdiri untuk jangkamasa yang lama
  • melakukan senaman ringan dan kerap berjalan atau berenang
  • baring dengan menaikkan kaki (letakkan bantal di bawah kaki)
  • melakukan urutan pada kaki
  • tunjukkan pada doktor atau jururawat ketika temujanji kehamilan

Bila perlu berjumpa doktor

Adalah disarankan untuk anda mendapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital jika anda risau ataupun jika anda mengalami gejala-gejala berikut ketika hamil:

  • pendarahan dari vagina
  • bayi kurang bergerak seperti biasa
  • sakit perut yang teruk
  • sakit yang tidak hilang-hilang
  • air ketuban keluar
  • demam panas
  • muntah tanpa henti
  • sakit kepala yang tidak berkurang
  • hilang penglihatan atau mata menjadi kabur
  • gatal seluruh badan
  • bengkak yang tiba-tiba pada muka, tangan dan kaki

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.