Koleksi Keputusan Fatwa Berkaitan Vaksin

Berikut merupakan koleksi keputusan jawatankuasa muzakarah fatwa mengenai vaksin yang telah dikumpulkan untuk rujukan.

Berikut merupakan koleksi keputusan jawatankuasa muzakarah fatwa mengenai vaksin yang telah dikumpulkan untuk rujukan.

Kajian Semula Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Monumune

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-105 yang bersidang pada 3-5 Februari 2014 telah membincangkan mengenai Kajian Semula Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Monumune. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Setelah meneliti formulasi dan proses terbaru dalam penghasilan Vaksin Menomune yang bebas daripada penggunaan sebarang sumber haiwan beserta fakta-fakta dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum penggunaan Vaksin Meningitis Menomune yang dikeluarkan oleh Sanofi Pasteur adalah diharuskan.
  2. Oleh yang demikian, status pengharaman terhadap vaksin tersebut yang telah diputuskan pada Muzakarah kali Ke-53 tarikh 27 November 2002 adalah dibatalkan.

Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

“Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dan meneliti keterangan, hujah-hujah serta pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum penggunaan Vaksin Meningitis Menveo adalah diharuskan”.

Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-53 yang bersidang pada 27 Nov 2002 telah membincangkan Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum menggunakan pelalian meningococcal meningitis mencevax yang diambil daripada sumber lembu adalah harus. Manakala vaksin pelalian meningococcal Miningitis Monumune yang mengandungi unsur daripada babi adalah haram. (Sila rujuk Kajian Semula Hukum Penggunaan Vaksin Meninggitis Monumen, 2014 untuk keputusan terkini)

Keterangan dan Hujah:

Penyakit Meningococcal Meningitis adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Nesseria Meningitides. Jangkitan penyakit ini menyebabkan radangan pada bahagian selaput otak dan saraf tunjang. Bakteria ini berjangkit melalui hubungan secara langsung (close contact) dengan titisan mulut dan hidung pesakit yang dijangkiti. Tempoh pengeraman jangkitan adalah di antara 2 hingga 10 hari.

Mereka yang mengidap jangkitan ini akan mengalami demam, loya, bisa kepala dan sakit tengkuk (neck stiffness).Antara 5 hingga 10% pengidap tidak menunjukkan tanda-tanda klinikal tetapi masih berupaya menularkan penyakit (symtomless carriers). Dengan rawatan awal, kadar kematian dari jangkitan penyakit ini adalah dari 5 hingga 15%, tetapi jika tanpa rawatan kadar kematian akan melebihi 50%. Diagnosa penyakit ini melibatkan ujian makmal khas seperti ujian cecair tulang belakang (cerebral spinal fluid).

Kejadian penyakit Meningococcal Meningitis di Malaysia berlaku secara sporadik dan pada kadar yang rendah (50 kes setahun). Walau bagaimanapun kejadian penyakit ini di Benua Afrika Utara adalah tinggi dan sering berlaku wabak. Langkah utama pencegahan penyakit ini adalah melalui penjagaan kesihatan diri yang baik serta mengelakkan ke tempat orang ramai yang sesak yang disyaki mempunyai jangkitan penyakit berkenaan. Jangkitan penyakit ini boleh dicegah melalui pelalian menggunakan Vaksin Meningococcal Meningitis. Pelalian boleh melindungi seorang dari jangkitan kuman penyakit tersebut bagi tempoh yang terhad mengikut jenis Vaksin Meninggococcal Meningitis yang digunakan.

Kerajaan Arab Saudi mendapati risiko jangkitan Meningococcal Meningitis di kalangan jemaah haji dan umrah semasa di Arab Saudi adalah tinggi dan atas sebab itu semua bakal haji dan umrah adalah diwajibkan mendapatkan pelalian ‘Meninggococcal Meningitis yang sah sebelum visa haji/umrah dikeluarkan. Peraturan mewajibkan pelalian Meninggococcal Meningitis ke atas bakal jemaah haji dan umrah oleh Kerajaan Arab Saudi telah bermula sejak tahun 1988 lagi. Pada mulanya jenis vaksin yang diwajibkan digunakan kepada bakal jemaah haji dan umrah adalah Vaksin Meningococcal Mengintis A, C.

Walaubagaimanapun disebabkan terdapat perubahan corak jenis kuman yang menyebabkan jangkitan penyakit, mulai tahun 2002 Kerajaan Arab Saudi mewajibkan penggunaan Vaksin Meninggococcal Meningitis jenis A, C, Y, W135 yang juga dikenali sebagai Vaksin Meningococcal Meningitis Quadrivalent (ACYW135). Satu suntikan Vaksin Meningococcal Meningitis (ACYW135) boleh memberi perlindungan kepada individu berkenaan selama 3 tahun dari jangkitan penyakit ‘Meninggococcal Meningitis yang disebabkan oleh kuman Nisseria Meningitidies dari SerotypeA, C, Y, dan W135.

Pada masa ini di Malaysia terdapat dua (2) jenama Vaksin Meninggococcal Quadrivalent dalam pasaran, yang didaftar dan diluluskan penggunaannya oleh Biro Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. Jenama tersebut adalah seperti berikut:

Jenama : Monumune Injection
Pengeluar : Syarikat Aventis Pharma, Malaysia

(Bahan mentah yang digunakan termasuk sumbersumber bovine (lembu), porsin (khinzir) dan Avian (itik). Bahagian yang digunakan termasuk susu, limpa dan bulu itik)

Jenama : Mencevax Injection

Pengeluar : Syarikat GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (Produk ini tidak mengandungi bahan dari sumber binatang kecuali laktosa daripada susu lembu)

Vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah dari jenama Mencevax yang dipasarkan oleh Syarikat GlaxoSmithKline Pharmaceutical.

Pada prinsipnya ulama sepakat bahawa makanan (termasuk perubatan) yang dibenarkan oleh Islam menggunakannya adalah bahan yang baik (toyyib) yang tidak mempunyai unsur-unsur yang merbahaya kepada kesihatan badan dan akal manusia. Al-Quran dan hadis telah memperakui bahawa setiap bahan yang asalnya halal dan bersih akan berubah hukum penggunaannya kepada haram jika wujud unsur-unsur najis ketika pemprosesan bahan tersebut dilakukan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

“Dan Allah mengharamkan atas mereka yang kotor-kotor”. (al-A`raf: ayat 156)

Bahan ubatan yang menggunakan bahan yang diragui kehalalannya adalah haram. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:

“Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara kesamaran yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia; apakah ia termasuk bahagian yang halal atau haram. Maka sesiapa yang menjauhinya kerana hendak membersihkan agama dan kehormatannya maka dia akan selamat. Dan sesiapa yang mengerjakan sedikitpun daripadanya hampir-hampir ia akan jatuh ke dalam haram, sebagaimana orang yang mengembala kambing di sekitar daerah larangan, dia hampir-hampir jatuh kepadanya. Ingatlah, bahawa tiap-tiap raja mempunyai daerah larangan. Ingat pula, bahawa daerah larangan Allah itu ialah semua yang diharamkan”.

Kefahaman dan penghayatan tentang aspek perubatan sangat penting kerana ia akan memberi kesan bukan sahaja aspek kejiwaan pesakit malah juga dari aspek ibadat pesakit tersebut. Umpamanya seseorang Islam yang memakan atau menggunakan bahan perubatan yang haram atau najis maka ibadatnya tidak akan diterima Allah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:

“Setiap daging yang tumbuh daripada (perkara) yang haram, maka api neraka lebih layak baginya”. (Riwayat al-Tabrani)

Walaubagaimanapun sekiranya tidak didapati oleh pesakit (atau orang yang memerlukan) melainkan dalam keadaan dharurat dan terpaksa menggunakan anggota haiwan yang tidak halal, maka tidak menjadi kesalahan kerana keperluan yang mendesak tersebut. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.:

Maksudnya: “Sesiapa yang terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka tidaklah berdosa baginya, kerana sesungguhnya Al lah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani”. ( al-Baqarah: ayat 173)

Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-92 yang bersidang pada 15 – 17 Disember 2010 telah membincangkan Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

1. Setelah mendengar taklimat daripada pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan serta pandangan dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam menggesa umatnya supaya menjaga kesihatan kerana penjagaan kesihatan seseorang individu akan menentukan tahap dan mutu kesihatan masyarakat secara umumya. Pemberian vaksin merupakan jalan pencegahan awal yang diambil oleh pihak Kerajaan dalam usaha mengelakkan penyebaran virus di kalangan wanita.

2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) yang telah dipastikan tiada unsur meragukan dalam kandungannya dan tidak mendatangkan kemudharatan adalah diharuskan bagi mencegah penyakit kanser pangkal rahim (servik) di kalangan wanita.

3. Muzakarah juga memutuskan bahawa pemvaksinan ini hendaklah tidak mengandungi unsur-unsur eksploitasi terhadap pengguna atau digunakan untuk tujuan yang bercanggah dengan syarak.

Keterangan dan Hujah:

1. Vaksin HPV merupakan kaedah pencegahan yang berkesan di Amerika Syarikat dan diberikan kepada kanak-kanak seawal usia 11 tahun. Vaksin ini akan memberi kesan setelah hampir 20 tahun untuk bertindak. Ia merupakan langkah pencegahan awal untuk mengelakkan seseorang perempuan daripada terkena penyakit kanser pangkal rahim yang mampu meragut nyawa. Pencegahan seawal belasan tahun akan membantu mengurangkan risiko menerima penyakit ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang terutama sekali bagi wanita yang melalui hubungan seksual secara sah di sisi syarak.

2. Malaysia merupakan salah sebuah negara di Asia yang mempunyai bilangan kes kanser servik tertinggi selepas kes kanser payudara. Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengenalpasti kanser servik sebagai kanser kedua tertinggi di kalangan wanita selepas kanser payudara, dan menyumbang kira-kira 12% daripada keseluruhan bilangan kes kanser di kalangan wanita Malaysia. Malah, mengikut nisbah kematian kepada minit, direkodkan sebanyak 1 kematian di kalangan wanita akibat penyakit ini dikenal pasti bagi setiap satu minit di dunia. Di Asia, 1 kematian direkodkan bagi setiap 4 minit.

3. Kajian menunjukkan, punca utama kanser ini berlaku adalah kerana jangkitan kuman Human Papilloma Virus (HPV) yang melata dan berkembang sehingga akhirnya berubah menjadi kanser. Human papilloma virus adalah daripada famili papillomaviridae yang mempunyai lebih 100 jenis virus. Daripada jenis-jenis ini, jenis 16 dan 18 adalah berisiko tinggi dan dikenal pasti sebagai punca utama kanser serviks.

Virus ini boleh berjangkit melalui aktiviti seperti hubungan kelamin, seks oral, sentuhan kulit kelamin, berkongsi pakaian dalam, berkongsi alat perubatan yang telah tercemar dengan virus ini dan pemindahan virus daripada seorang ibu kepada anak. Kanser ini juga berpunca daripada hubungan seks secara aktif pada usia muda, mengadakan hubungan seks dengan pasangan yang ramai atau mengadakan hubungan seks dengan lelaki yang mempunyai ramai pasangan.

4. Sistem imun dalam badan boleh mematikan virus ini, namun kerebakan dan pembiakannya boleh bertukar menjadi kanser serviks atau kanser di kawasan lain seperti di vagina, dubur dan mulut. Jangkitan virus ini mengambil masa 10-20 tahun untuk merebak dan membiak sebelum menampakkan kesannya yang sebenar. Kebimbangan pada virus ini ialah ia tidak mempunyai simptom atau tanda-tanda awal mengenai jangkitannya.

5. Pemvaksinan merupakan jalan pencegahan dan pencegahan adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam sesuai dengan kaedah Usul Fiqh iaitu الذري عة سد . Namun, sekiranya sesuatu yang diharuskan itu boleh membawa kepada perkara yang diharamkan, maka hukumnya adalah haram selaras dengan kaedah fiqh:

حرام فهوالحرام الىي ؤدى ما

6. Al-‘Aili Abdul Hakim dalam buku Mausu‘ah Huquq al-Insan fi al-Islam, menyifatkan kesihatan individu merupakan tuntutan agama dan kehidupan, di mana ia akan memberi manfaat kepada masyarakat. Dalam isu ini, vaksin HPV bukan lagi satu kehendak seseorang wanita, tetapi bahan pencegah ini kini menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya.

Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vaksin BioThrax dan RotaTeg adalah tidak dibenarkan kerana:

1. Situasi kini dianggap tidak dharurat;

2. Terdapat bahan atau ubat alternatif selain penggunaan unsur babi dalam pemprosesan kedua-dua vaksin; dan

3. Tiada data sokongan yang kuat untuk membuktikan rakyat negara ini memerlukan kedua-dua vaksin ini.

Keterangan dan Hujah:

i. Anthrax adalah sejenis penyakit berjangkit yang akut dan boleh menyebabkan kematian mengejut dan darah keluar dari semua rongga yang terbuka. Jangkitan anthrax boleh berlaku sama ada pada kulit (cutaneous anthrax), saluran usus (Gastrointestinal anthrax) atau serangan melalui pernafasan (inhalation anthrax). Vaksin BioThraxTMdigunakan sebagai imunisasi atau suntikan pelalian bagi membantu melindungi daripada jangkitan anthrax. RotaTeq pula ialah vaksin bagi mencegah kes rotavirus yang menyebabkan muntah dan cirit birit di kalangan kanak-kanak.

ii. Islam mengharuskan berubat dengan benda-benda yang diharamkan sekiranya dalam keadaan dharurat iaitu tiada ubat alternatif yang lain adalah berpandu kepada Firman Allah s.w.t.,

Maksudnya : Dan tidak ada sebab bagi kamu, yang menjadikan kamu tidak mahu makan sari sembelihan binatang-binatang halal yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan ke atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya. (Surah al-An’am : 119)

iii. Jumhur Fuqaha’ dari Mazhab Hanafi, al-Malikiyyah, pandangan sohih dari Mazhab Syafie dan Hanabilah berpendapat berubat dengan suatu yang najis seperti arak adalah haram dan tidak harus. Dalam konteks ini Prof. Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli berpandangan bahawa pada asasnya, haram kita berubat benda yang najis atau haram.

iv. Dalam mempertimbangkan hukum keharusan mengambil benda haram dalam situasi dharurat beberapa kaedah fiqhiyyah boleh dijadikan sandaran. Antaranya ialah kaedah “ Dharurat mengharuskan perkara yang dilarang” atau المح ضورات ت ب يح ال ضرورات. Dalam situasi sesebuah negara yang memerlukan perlindungan atau pelalian daripada ancaman serangan biologi seperti anthrax atau serangan cirit birit di kalangan kanak-kanak, kepentingan suntikan BioThraxTM dan RotaTeq tidak dinafikan sekiranya tiada alternatif lain.

Walaupun penggunaan BioThraxTM dan RotaTeq mungkin diharuskan namun pengambilan suatu yang haram semasa dharurat dibatasi dengan kaedah ب قدر اه ت قدر ال ضرورات (dharurat dinilai sekadar keperluan). Dalam masa yang sama orang Islam wajib berusaha bersungguh-sungguh keluar daripada situasi dharurat. Berdasarkan kaedah ini, menggunakan suatu yang haram dalam situasi bukan dharurat adalah dilarang.

v. Penggunaan Vaksin Biothrax dan Rotateq tidak diperlukan memandangkan Malaysia bukan dalam keadaan dharurat dan telah ada vaksin halal untuk kegunaan umat Islam di Malaysia.

vi. Setakat ini umat Islam di Malaysia mempunyai pilihan untuk menggunakan vaksin yang disahkan halal kerana pakar-pakar dalam bidang sains farmasi di Malaysia mampu menghasilkannya.

vii. Gesaan supaya menggunakan vaksin-vaksin yang mengandungi unsur-unsur yang tidak halal ini juga merupakan strategi musuh-musuh Islam untuk meracuni pemikiran dan daya ketahanan umat Islam apabila terlalu banyak sumber yang haram menjadi darah daging umat Islam.

Pandangan Islam Terhadap Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Difteria, Tetanus Dan Polio

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-24 yang bersidang pada 5-6 Jun 1989 telah membincangkan Pandangan Islam Terhadap Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Dipteria, Tetanus Dan Polio. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

1. Program imunisasi campak, tibi, batuk kokol, dipteria, tetanus dan polio مقدم الم فاسد درء adalah harus di segi syarak kerana berdasarkan kaedah menolak kerosakan adalah didahulukan daripada “الم صالح جلب علىmencari kemaslahatan ” dalam perundangan Islam.

2. Vaksin-vaksin yang digunakan dalam imunisasi bagi penyakit-penyakit tersebut hendaklah diambil daripada bahan yang suci, sekiranya vaksin daripada bahan suci tidak diperolehi atau sukar diperolehi, maka penggunaan vaksin yang sedia ada adalah diharuskan.

Keterangan dan Hujah:

Imunisasi adalah satu-satunya cara pencegahan yang dapat dilakukan bagi mengelakkan penyakit seperti campak, tibi, batuk kokol, dipteria, جلب علىمقدم الم فاسد درء tetanus atau polio. Mengikut kaedah fiqhiah iaitumenolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari“ الم صالح kemaslahatan”, maka program imunisasi bagi mengelak bahaya penyakit- penyakit yang berkenaan adalah sampai kepada peringkat hajat. Maka program tersebut adalah harus, kerana sesuatu kerosakan akan cepat berkembang dan bahayanya adalah lebih besar. Oleh hal yang demikian penggunaan vaksin dalam imunisasi itu adalah harus dari segi syarak.

Keharusan ini juga adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t. dalam surah Al- Baqarah, ayat 195 :

ال تهلكةالىولات لقوابأيدكم

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakan diri kamu kedalam bahaya kebinasaan”.

Imunisasi Hepatitis B

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-22 yang bersidang pada 24 Nov 1988 telah membincangkan Imunisasi Hepatitis B. Muzakarah telah memutuskan bahawa vaksin untuk Imunisasi Hepatitis B yang dihasilkan daripada ragi adalah tidak najis dan harus digunakan untuk tujuan tersebut kerana ragi adalah suatu bahan yang suci.

Keterangan dan Hujah:

Hepatitis B ialah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh sejenis virus yang dinamakan Virus Hepatitis B. Virus ini terdapat pada cecair badan seseorang pesakit seperti pada darah, air liur, air mani dan mana- mana keluaran atau bendalir. Seorang pesakit atau pembawa penyakit Hepatitis B akan merebakkan virus ini apabila cecair dari badan mereka masuk ke dalam tubuh orang lain melalui luka, persetubuhan, semasa proses kelahiran bayi, perkongsian jarum suntikan yang tercemar dan lain- lain lagi. Virus ini boleh menyerang segenap lapisan umur.

Seseorang yang mendapat jangkitan, kadar risiko untuk menjadi pembawa penyakit ini adalah bergantung kepada umur. Bagi bayi-bayi yang dijangkiti semasa lahir, risiko menjadi pembawa kronik ialah 90 hingga 95 peratus, manakala bagi golongan dewasa ialah 5 hingga 10 peratus. Kesan bahaya pesakit dan pembawa penyakit ini pada jangka masa panjang ialah penyakit kronik pada hati iaitu cirrhosis hati dan kanser hati yang boleh membawa kematian. Penyakit Hepatitis B ini boleh dicegah melalui vaksin yang digunakan untuk tujuan imunisasi.

Terdapat dua jenis vaksin bagi kegunaan imunisasi ini, iaitu vaksin yang diterbitkan dari plasma darah dan vaksin yang dihasilkan dari ragi untuk kegunaan program imunisasi ini. Tiga golongan akan diberi imunisasi ini, iaitu kepada bayi yang baru lahir, pekerja perubatan dan kesihatan, dan penagih-penagih dadah yang menggunakan suntikan.

Vaksin yang dihasilkan daripada ragi adalah lebih utama untuk kegunaan dalam imunisasi hepatitis B jika dibandingkan dengan vaksin yang dihasilkan oleh plasma darah. Ini adalah kerana ragi adalah bahan suci yang jelas dibenarkan oleh Islam.

Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-21 yang bersidang pada 12 Sep 1988 telah membincangkan Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela). Muzakarah telah memutuskan bahawa Vaksin Rubela yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada masa ini tidak najis dan hukumnya harus digunakan untuk suntikan dalam badan bagi mencegah penyakit rubela.

Keterangan dan Hujah:

Rubela ialah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus dan ia mempunyai banyak persamaan dengan penyakit campak. Penyakit Rubela amat merbahaya kepada bayi di dalam kandungan dan ia mudah berjangkit melalui saluran pernafasan atau pergaulan yang rapat. Jika seseorang ibu mengandung dijangkiti Rubela dalam tiga bulan pertama, bayi yang bakal dilahirkan mungkin mati dalam kandungan atau jika dilahirkan berkemungkinan akan mengalami terencat akal, cacat mata, jantung, hati, limpa dan jantung.

Ketika Malaysia diserang penyakit Rubela ini sekitar tahun 1978 dan 1981, sebanyak 43 hingga 63 kes kecacatan kelahiran dilaporkan akibat daripada penyakit ini dan ia meningkat dengan mendadak kepada 221 kes pada tahun 1982. Mulai April 1988 Kerajaan telah melaksanakan program suntikan Rubela kepada pelajar perempuan dan wanita yang berusia antara 15 dan 44 tahun.

Vaksin pelalian Rubela yang digunakan diimport dari Itali dan tidak mengandungi sebarang tisu binatang. Walaubagaimanapun vaksin tersebut diperbuat daripada tisu janin wanita yang mengalami keguguran dan telah melalui beberapa proses termasuk pencerakinan virus yang terdapat di dalam tisu janin tersebut. Vaksin yang terhasil daripada beberapa proses di dalam makmal ini digunakan bagi mencegah komplikasi kepada bayi sekiranya ibu yang mengandung dijangkiti Rubela.

Hasil kajian dan penelitian tersebut adalah didapati bahawa bahanbahan yang digunakan dan proses pembuatan, persediaan vaksin dan bahan penstabil dalam imunisasi Rubela adalah tidak najis. Keseluruhan proses yang digunakan dalam penyediaan vaksin ini tidak melibatkan gelatin. Oleh itu ianya harus digunakan.

Berdasarkan kepada kaedah fiqh “Dharurat Mengharuskan Tegahan” penggunaan suntikan rubela adalah atas asas hajat kerana bagi menghindarkan perkara bahaya iaitu penyakit rubela, maka ianya diharuskan oleh syarak.

Berdasarkan kepada prinsip al-dharuriyat al-Khams, menolak kemudharatan terhadap agama, jiwa, akal, keturunan dan harta adalah perlu diutamakan.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.