Masalah Penyalahgunaan Dadah di Malaysia

Dadah merujuk kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan fizikal dan mental seseorang pengguna apabila disalahgunakan. 

Dadah merupakan satu istilah khas kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi jasmani (fizikal), rohani (mental dan emosi) serta tingkah laku pengguna apabila digunakan. Akibat daripada kesan ini seseorang yang menggunakan dadah akan terus bergantung hidup kepada dadah tersebut dan menyebabkan ketagihan.

Definisi Dadah

Menurut buku-buku dan sumber yang diperolehi serta pandangan para ilmiah, dadah boleh dijelaskan dalam beberapa maksud. Antaranya adalah seperti yang berikut:

  • Dadah merupakan satu istilah khas yang merujuk kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi fizikal, mental dan emosi serta tingkah laku pengguna apabila digunakan. 
  • Selain itu, dadah juga bermaksud bahan yang digunakan untuk merawat penyakit, mengurangkan simptom atau mengubasuai proses kimia di dalam badan untuk tujuan- tujuan tertentu.

Secara umumnya, dadah bermaksud sebarang bahan kimia yang psikoaktif, samada berbentuk asli atau tiruan, apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan secara disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal atau mental.

Jenis-jenis Dadah

  1. Narkotik atau OpiatHeroin, Morfin, Candu, Kodein & Metadon
  2. Perangsang atau Stimulan – Amfetamin, Methamfetamin, Ecstasy & Kokain
  3. Penekanan atau Depressan – Barbiturat, Trankuilizer, Alkohol
  4. Halusinogen – LSD, PCP, Meskalin, Psilosibin
  5. KanabisGanja, Hashish dan Marijuana

Dadah Yang Sering Disaahgunakan

Morfin

Dikenali juga sebagai “M”, “White Stuff”, “White Powder”, “Monkey”, “Dreamer”, “Morpho”, “Tab”, “Morb”, “Cubes”, “Emsel” dan “Melter”. Morfin ialah sejenis alkaloid yang diperolehi dari candu mentah. Dalam pasaran gelap, ia selalunya diperolehi sebagai morfin mentah, bes morfin (morphine base) atau morfin sulfat atau morfin hidroklorid. Ia terdapat dalam bentuk blok, serbuk atau pil. Cara menggunakan morfin adalah dengan menyuntik larutan morfin atau menelan pil-pil morfin. 

Ganja

Ianya dikenali sebagai “Kanabis Herba”, “Marijuana/Grass”, “Pot/Weed”, “Bhang”, “Kif”, “Takrouri” dan “Dagga”. Kanabis herba atau ganja merujuk kepada bahagian daun dan pucuk berbunga pokok kanabis yang dikeringkan dan kadang-kadang dijadikan dalam bentuk blok atau ‘sate’. Ia menyerupai tembakau walaupun lebih kehijau-hijauan. Kandungan THC adalah antara 0.25%- 8%.

Kokain

Kokain berasal dari daun koka atau Erythroxylon coca dan lain-lain jenis pokok Erythroxylon yang terdapat di Peru, Bolivia, dan Colombia di pergunungan Andes, Amerika Selatan. Bahan ini kebanyakannya disalahgunakan di Amerika Syarikat. 

Penyalahgunaan Dadah

Penyalahgunaan dadah bukan perkara baru di dunia ini. Masalah ini telah berlaku sejak ratusan tahun lalu. Sebenarnya, dadah yang menjadi ubat penahan sakit sebenarnya tidak berbahaya jika tidak disalahgunakan. Masalah timbul apabila manusia menyalahgunakannya untuk kepuasan dan keseronokan diri mereka. Antara dadah yang sering disalahgunakan ialah heroin, marijuana, morfin, ganja dan syabu. 

Banyak negara menjadikan dadah sebagai musuh utama negara. Hal ini disebabkan penyalahgunaan dadah mengakibatkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara. Seorang penagih dadah yang hidup dalam ketagihan boleh mengakibatkan masalah jenayah seperti mencuri atau merompak semata-mata untuk mendapatkan wang untuk membeli dadah. Malah, ada penagih yang mendapat komplikasi serius seperti menghidap HIV atau mengalami penyakit mental.

Faktor-faktor Penyalahgunaan Dadah

Terdapat banyak sebab atau faktor yang menyebabkan seseorang itu terlibat dengan penagihan dadah. Antara sebabnya adalah seperti yang berikut:

  • Mudah terpengaruh dengan desakan atau pujukan rakan sebaya (pengaruh rakan sebaya).
  • Terperangkap dengan perasaan ingin tahu dan ingin mencuba. 
  • Tidak tahu menggunakan masa lapang dengan cara yang berfaedah.
  • Menghadapi tekanan dan tidak sanggup menghadapi tekanan itu sehingga memilih jalan mudah dengan mengambil dadah untuk melupakan segala masalah. 
  • Tidak mendengar atau mengikuti nasihat ibu bapa atau guru.
  • Kurang mengamalkan agama.

Kesan-kesan Penyalahgunaan Dadah

Kesan Kepada Penagih

Dadah memang banyak mendatangkan kesan negatif kepada penagih. Antaranya ialah :

  • Tubuh badan yang sihat menjadi lemah, kurus dan tidak bermaya kerana kurang nafsu makan yang menyebabkan kurang zat-zat makanan yang diperlukan.
  • Mudah tersinggung dan naik radang dengan perasaan yang bukan-bukan kerana mengesyaki dan khuatir masyarakat sentiasa menghina mereka. 
  • Mata selalu merah dan berair kerana fungsi mata tidak dapat dikawal sehingga mereka terpaksa memakai kaca mata gelap untuk melindunginya.
  • Terdapat parut dan kesan luka calar-calar, terutama di bahagian lengan (bagi mereka yang menggunakan jarum suntikan).
  • Dari masa ke semasa menggeletar seperti kesejukan yang amat sangat.
  • Suka menjauhkan diri dari khalayak ramai ke tempat-tempat yang sunyi atau gelap. 

Kesan Kepada Keluarga

  • Rumah tangga menjadi porak peranda dan berlaku perpisahan dalam kalangan ahli keluarga.
  • Kehilangan harta benda (penagih biasanya menggadaikan harta benda untuk mendapatkan wang).
  • Menjatuhkan maruah dan mencemarkan nama baik keluarga.
  • Menghancurkan harapan ibu bapa.
  • Keluarga dipulaukan.
  • Keluarga menjadi bertambah miskin kerana wang terpaksa dibelanjakan untuk pemulihan. 

Kesan Kepada Masyarakat

  • Menimbulkan perselisihan dan persengketaan antara satu keluarga dengan keluarga yang lain.
  • Melemahkan perpaduan, pembangunan dan kemajuan masyarakat.
  • Menimbulkan kecurigaan kepada para ibu bapa terhadap anak- anak mereka yang sedang meningkat remaja atau dewasa.
  • Masyarakat terpaksa mengalami kerugian kerana penagihan menyebabkan produktiviti yang rendah.
  • Produktiviti yang rendah menyebabkan pendapatan yang rendah.

Kesan Kepada Ekonomi Negara

  • Negara terpaksa membelanjakan wang beribu-ribu ringgit untuk membina pusat-pusat pemulihan serta menguruskannya. Tanpa masalah penyalahgunaan dadah, wang ini boleh digunakan untuk membina lebih banyak sekolah,jalan raya, empangan dan klinik.
  • Negara juga terpaksa menanggung kos bagi membiayai program-program penguatkuasaan, pencegahan, rawatan dan pemulihan.

Kesan Kepada Keselamatan Negara

  • Menyebabkan kedudukan kewangan musuh-musuh negara bertambah kukuh akibat penjualan dadah.
  • Melemahkan kekuatan pasukan keselamatan.
  • Menyebabkan rasuah yang seterusnya boleh menjejaskan keselamatan.
  • Menyebabkan tenaga rakyat menjadi lemah dan oleh itu, musuh negara berpeluang berusaha untuk mencapai tujuan-tujuan mereka.
  • Menyebabkan timbulnya perasaan bimbang dan cemas di kalangan penduduk negara kita.

Cara-cara Mengatasi Penagihan Dadah

  • Mengadakan ceramah mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
  • Melibatkan pelajar dalam hobi yang berfaedah seperti bersukan, membaca dan sebagainya.
  • Menggalakkan pelajar mengambil bahagian dalam permainan atau sukan.
  • Mengadakan pertandingan mengarang dan melukis poster yang bertemakan antidadah.
  • Melatih pembimbing rakan sebaya di kalangan pelajar kerana pelajar-pelajar berasa lebih mudah meluahkan masalah kepada rakan sedarjah. 
  • Mewujudkan pendidikan mengenai bahayanya dadah di sekolah atau di setiap institusi pendidikan.
  • Mengadakan kempen kesedaran untuk golongan remaja.

Undang-undang Berkaitan Penyalahgunaan Dadah

  1. Akta Dadah Berbahaya 1952
  2. Akta Racun 1952
  3. Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983
  4. Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985
  5. Akta Dadah Berbahaya (Perlucut Hakkan Harta) 1988

Majlis Dadah Kebangsaan

Bidang Tugas

  • Menggubal dan menentukan pelaksanaan dasar dadah negara berhubung dengan pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan kerjasama antarabangsa.
  • Memantau (monitoring) semua aktiviti dan rancangan yang berkaitan dengan pengawalan dan pencegahan dadah.

Objektif

  • Menghapuskan masalah dadah demi melahirkan masyarakat yang bebas dari dadah. 

Agensi Antidadah Kebangsaan

Bidang Tugas

  • Melaksanakan program pencegahan.
  • Melaksanakan program rawatan dan pemulihan.
  • Meningkatkan system pengumpulan maklumat mengenai dadah serta membuat penilaian akan keberkesanan program anti dadah negara.
  • Meningkatkan kerjasama serantau dan antarabangsa dengan lebih aktif lagi dalam usaha memerangi masalah dadah.
  • Menjadi urusetia kepada Majlis Dadah Kebangsaan.

Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM)

Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) telah ditubuhkan pada 26hb Mac, 1976. Gagasan penubuhan PEMADAM kebangsaan sebagai Badan Bukan Kerajaaan utama untuk memerangi ancaman dadah dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua ketika itu, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Hussein.

Perasmian Pelancaran Penubuhan PEMADAM Kebangsaan telah dilancarkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan pada tarikh dan masa yang sama mesyuarat Agung telah diadakan. Penaung bagi persatuan kebangsaaan ialah Yang Amat Berhormat Bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato Seri Dr Mahathir Mohammad.

Rumusan

Seluruh warganegara diseru agar saling bekerjasama dan sama-sama menitikberatkan masalah ini. Rakyat harus bekerjasama dengan kerajaan. Contohnya, rakyat boleh memberikan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya ada berlaku jenayah yang melibatkan dadah di sekeliling mereka. Setidak- tidaknya dapat juga membantu mengurangkan sedikit kes-kes penyalahgunaan dadah ini.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.