Penyakit Apnea Bayi

Apnea dikalangan bayi merujuk kepada keadaan di mana terdapat tanda-tanda pernafasan terhenti, kebiruan dan degupan jantung perlahan.

Apakah apnea bayi

Apnea dikalangan bayi merujuk kepada keadaan di mana terdapat tanda-tanda seperti berikut:-

  • Pernafasan terhenti melebihi 15 saat. 
  • Berhubung-kait dengan warna kulit bayi bertukar menjadi pucat, lebam, kebiru-biruan. 
  • Berhubung-kait dengan degupan jantung menjadi perlahan. (Bradycardia)

Penyakit Apnea boleh dihidapi oleh semua peringkat usia daripada kanak-kanak, orang dewasa,  sehingga mereka yang lanjut usia. Dikalangan kanak-kanak, Apnea pra-matang merupakan sebab utama Apnea dikalangan bayi pra-matang. Bagaimanapun Apnea juga boleh disebabkan oleh jangkitan, kandungan gula dalam darah yang rendah, patent ductus arteriosus, sawan, suhu badan melampau (yang terlalu rendah atau tinggi), kerosakan otak, atau kekurangan oksigen.

Punca apnea bayi

Bayi pra-matang paling biasa mengalami Apnea disebabkan pusat kawalan pernafasan di otak yang tidak matang. Pesakit biasanya bernafas dengan kuat dan dalam sebelum diikuti dengan pernafasan yang perlahan atau langsung berhenti.

Alat memantau apnea bayi

Apnea lebih kerap berlaku ketika bayi tidur. Apnea pra-matang akan beransur menghilang apabila bayi semakin membesar. Jangka masa yang diperlukan adalah berbeza antara bayi, tetapi pada kebiasaannya Apnea akan menghilang apabila bayi mencapai usia tempoh kelahiran yang sepatutnya.

Rawatan apnea bayi

Terdapat beberapa rawatan untuk mengatasi Apnea, antaranya adalah seperti berikut:

  • Ubat-ubatan untuk mengalakkan pernafasan seperti theophylline, aminophylline, atau caffeine.
  • CPAP (continuous positive airway pressure) Tekanan Salur Udara Berterusan. Bekalan udara bertekanan tinggi di pamkan secara berterusan melalui saluran kedalam hidung bayi.
  • Mesin pernafasan (Mechanical ventilation). Sekiranya tahap Apnea yang dihadapi adalah teruk, mesin pembantu pernafasan mungkin digunakan secara berkala atau apabila bayi mengalami Apnea.
  • Perangsang berkala atau katil bergoyang.

Apnea pra-matang disebabkan organ dalaman yang tidak matang. Apabila bayi sudah pun mampu bernafas dengan sempurna, pada kebiasaannya Apnea tidak lagi berulang. Sekiranya Apnea masih berlaku, ia disebabkan oleh faktor-faktor lain dan perlu dirawat oleh doktor. Keadaan ini amat jarang berlaku.

Apnea dan sindrom kematian bayi mengejut atau Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) tidak mempunyai kaitan dan merupakan dua keadaan yang berlainan sama sekali. Kebanyakan bayi yang mengalami sindrom kematian bayi mengejut (SIDS) dilahirkan pada masa yang normal. Bayi yang memerlukan rawatan rapi diatas apa sebab sekalipun mempunyai risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS) yang lebih tinggi. Apnea pra-matang tidaklah dianggap sebagai satu daripada faktor penyumbang sindrom kematian bayi mengejut.

Cara tidur bayi yang betul
Print Friendly, PDF & Email
Staf Editorial
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.