Pengenalan
Kolesterol adalah salah satu bahan yang menjadi punca utama kepada masalah penyakit jantung. Apabila kandungannya tinggi di dalam darah, ia berpotensi melekat pada dinding salur darah. Ini akan membuatkan salur darah mengecil dan akhirnya boleh tersumbat.
Proses ini dikenali sebagai atherosklerosis. Sekiranya berlaku pada arteri yang ke jantung, kesannya adalah penyakit jantung. Apabila berlaku di otak, kesannya adalah strok.
Selain dari jantung, kolesterol juga dikaitkan dengan masalah pendengaran, penglihatan dan juga kecerdasan minda seseorang. Semua ini berkaitan dengan atherosclerosis. Gangguan yang menyebabkan penyediaan nutrien dan oksigen yang tidak mencukupi untuk organ-organ tersebut.
Kolesterol, bersifat lembut dan berminyak, tidak berbau. Hadir pada setiap bahagian badan, terutamanya di dalam otak (dengan membentuk 11% dari berat keringnya), sistem saraf, kulit, hati, usus, limpa dan hormon sex. Jadi, manusia memerlukannya di dalam proses biologi. Cuma tak boleh pada jumlah yang terlalu banyak. Menjadi lumrah, setiap unsur pada makanan perlu ada had pengambilannya.
Di dalam badan manusia sendiri, kolesterol dihasilkan oleh hati di antara 800 hingga 1000 mg sehari. Pengambilan dari makanan dikatakan sangat kecil pengaruhnya terhadap peningkatan kepekatan kolesterol badan. Namun, mengikut apa yang disarankan oleh pakar kesihatan Amerika, pengambilan harian perlu dihadkan kepada 300 mg sahaja.
Pengukuran kepekatan kolesterol pada darah di buat dalam mm/dl. Seseorang yang berumur melebihi 20 tahun, paras kolesterol di antara 180 hingga 200 mm/dl adalah dianggap selamat.
Kurang dari 150 mm/dl dikatakan mempunyai kaitan dengan kanser hati, paru, pankreas, kemurungan, dan pendarahan otak. Tetapi kesan sebenar masih menjadi pertikaian. Paras di antara 200 hingga 230 mm/dl pula dianggap sempadan. Sementara melebihi 240 mm/dl dianggap tinggi.
Faktor-faktor lain akan lebih menambah kesan bahayanya kolesterol. Seseorang yang ada darah tinggi berada pada tahap ini mempunyai enam kali lebih merbahaya ancaman penyakit jantung, dan 20 kali ganda bahaya ancaman penyakit jantung oleh seorang perokok!
Kolesterol, triacyglicerol, dan lemak-lemak yang lain bergerak di dalam cecair badan dengan bantuan beberapa siri lipoprotein. Sejenis bahan yang berteraskan lemak hidrofobik dan dikelilingi oleh lemak polar dan kemudian di luarnya oleh apoprotein.
Di antara jenis yang paling diambil perhatian dalam penghantaran kolesterol adalah HDL (high density lipoprotein) dan LDL (low density lipoprotein). Kedua-duanya dihasilkan oleh hati di mana kolesterol akan bergabung dengannya. LDL membentuk 60 hingga 75 peratus dari jumlah kolesterol, sementara HDL membentuk 25 peratus.
LDL berperanan membawa kolesterol ke dalam arteri darah. Kepekatannya yang tinggi menyebabkan atherosclerosis, di mana kolesterol terpisah dari LDL dan melekat seterusnya mengeraskan dinding arteri. Sebaliknya HDL akan membawa kolesterol dari dalam darah bagi digunakan oleh hati. HDL dianggap “kolesterol baik”, sementara LDL adalah sebaliknya.
Oleh yang demikian, penilaian tahap merbahayanya kolesterol bergantung juga kepada pecahan kedua-dua jenis kolesterol ini. Di bawah paras 130 mm/dl bagi LDL adalah di anggap selamat, 130 hingga 159 mm/dl adalah sempadan. Apabila melebihi 160, seseorang itu berisiko atherosclerosis. Manakala kehadiran HDL perlu melebihi 45 mm/dl. Dengan itu, jumlah kolesterol secara keseluruhannya tidaklah membawa erti yang besar.
Apa yang penting diambil kira dalam menilai tahap kesihatan seseorang adalah berdasarkan pecahan jumlah kolesterol keseluruhan per jumlah HDL. Di mana nisbah kolesterol/HDL ini perlu kurang dari 4.5. Bererti lagi tinggi HDL, adalah lagi baik. Sekalipun jumlah LDL adalah tinggi, pecahan tidak boleh kurang dari nilai yang diberikan untuk seseorang berada di tahap yang selamat.
Keadaan Yang Merangsang Peningkatan Kolesterol Darah
Antara keadaan yang boleh menyebabkan peningkatan paras kolesterol termasuklah:
- Umur yang melepasi 25 tahun
- Seseorang yang terdapat di kalangan ahli keluarganya mempunyai rekod penyakit yang berkaitan dengan jantung
- Kelenjar tiroid yang kurang aktif
- Terlalu banyak makanan manis yang diambil dalam satu-satu masa
- Banyak mengambil makanan berlemak tepu
- Ketagihan arak
- Mengambil makanan berkolesterol tinggi
- Wanita menopouse atau pada keadaan haid
- Kerap mengalami tekanan emosi
- Kurangnya aktiviti bersenam
Cara Mengurangkan Kolesterol
Di antara keadah yang diketahui umum sebagai berkesan bagi mengurangkan kolesterol di dalam darah adalah:
- Elakkan diri dari mengambil terlalu banyak lemak tepu. Lemak tepu dikatakan meningkatkan paras kolesterol di dalam darah. Termasuk juga margerin dari kelapa sawit, keju kacang tanah. Kerana margerin atau keju merupakan merupakan minyak yang telah ditepukan (hydrogenated oil).
- Paling selamat adalah dari “mono” tak tepu (monounsaturated). Contohnya minyak conola atau zaitun. Kurangnya kesan penyakit jantung di kalangan masyarakat yang tinggal di kawasan Mediterranean berpunca dari penggunaan minyak jenis ini. Dua sudu teh lemak tak tepu ini sebenarnya sudah mencukupi untuk memenuhi keperluan minimum 30% tenaga oleh lemak dalam sehari.
- Pengambilan serat terutama dari jenis larut air terutama oat. Jika dilakukan selalu boleh menurunkan kandungan kolesterol di antara 3 hingga 9 peratus.
- Senaman pada sesetengah orang mampu meningkatkan HDL di dalam darah. Sebaliknya merokok menurunkan jumlahnya.
- Perlu mengurangkan pengambilan makanan dari sumber-sumber yang kaya kolesterol. Ia banyak terdapat pada sumber haiwan, tidak pada sumber tanaman. Antaranya seperti telur merah, daging, organ haiwan, ikan dan ayam. Sementara udang, ketam, tiram juga kaya dengan kolestrol, tetapi kaya juga dengan lemak “poli” tak tepu (polyunsaturated). Pengambilan ikan yang kaya dengan “polyunsaturated” yang menyumbang sehingga 5 hingga 6 gram minyaknya oleh masyarakat eskimo meninggikan HDL, mengurangkan kolesterol, LDL dan trigliserik sekalipun kandungan lemak di dalam darah adalah tinggi.
Tulis Komen