Penyakit Kayap – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit kayap berlaku kepada mereka yang pernah mendapat penyakit cacar air disebabkan virus varicella zoster yang menjadi aktif semula dalam badan.

Penyakit kayap merupakan sejenis jangkitan yang disebabkan oleh virus varicella-zoster, iaitu virus yang sama menyebabkan cacar air (chickenpox). Walaupun jangkitan cacar air sudah berakhir, virus masih lagi boleh kekal dorman di dalam sistem saraf sebelum menjadi aktif semula beberapa tahun kemudian sebagai kayap.

Kayap juga dipanggil sebagai herpes zoster. Jangkitan virus ini akan menyebabkan ruam merah pada kulit yang menyebabkan kesakitan dan pedih. Kayap selalunya muncul sebagai jalur lepuh (blister) pada sebelah bahagian badan, selalunya pada dada, leher atau muka.

Kebanyakan kes kayap akan hilang dalam masa tiga ke lima minggu. Lebih kurang satu daripada tiga orang akan mengalami kayap sepanjang hidup. Kayap juga boleh berulang semula pada pesakit yang sama, terutamanya jika mempunyai faktor risiko, namun ianya jarang berlaku.

Artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan penyakit kayap, termasuk gejala, rawatan dan komplikasinya.

Tanda-tanda dan gejala

Antara gejala pertama kemunculan kayap adalah rasa sakit dan pedih. Sakit ini selalunya berlaku pada sebelah bahagian badan, pada kawasan kulit yang tertentu dikenali sebagai dermatom.

Dermatom pada badan manusia

Kemudian ruam merah akan muncul. Walaubagaimanapun, ruam ini kadangkala tidak berwarna merah bergantung kepada tona kulit sesorang. Kadangkala ianya berwarna merah jambu gelap, coklat gelap atau ungu.

Antara ciri-ciri ruam yang disebabkan kayap termasuklah:

  • ruam yang muncul pada sebelah bahagian badan seperti pada dada, abdomen, belakang atau muka
  • ruam pada muka dan telinga
  • gatal
  • lepuh yang mengandungi cecair dan senang pecah
  • rasa pedih
Ruam kayap pada dada

Sesetengah pesakit kayap mengalami gejala lain selain sakit dan ruam. Antara gejala-gejala ini termasuklah:

Komplikasi berbahaya tetapi jarang berlaku yang disebabkan oleh kayap termasuklah:

  • Sakit atau ruam yang melibatkan mata, dan perlu dirawat segera bagi mengelakkan hilang penglihatan kekal
  • Hilang pendengaran atau sakit pada sebelah telinga, kepeningan dan hilang deria rasa pada lidah yang merupakan gejala sindrom Ramsay Hunt dan perlu dirawat dengan segera
  • Jangkitan bakteria yang akan menyebabkan kulit menjadi merah, membengkak dan panas apabila disentuh

Kayap pada muka

Kayap selalunya berlaku pada bahagian belakang atau dada pada sebelah badan, namun ruam juga boleh muncul pada sebelah bahagian muka.

Jika ruam ini berlaku berdekatan atau di dalam telinga, ianya boleh menyebabkan jangkitan dan komplikasi berikut boleh berlaku:

  • hilang pendengaran
  • sukar menyeimbangkan badan
  • lemah pada otot muka

Kayap di dalam mulut boleh menjadi sangat menyakitkan. Apabila berlaku, seseorang akan sukar untuk makan dan mungkin akan memberi kesan kepada deria rasa.

Kayap pada kulit kepala pula boleh menyebabkan rasa sensitif apabila menyikat rambut. Tanpa rawatan, kayap pada kulit kepala boleh menyebabkan tompokan botak yang kekal.

Kayap pada mata

Pada sesetengah pesakit, kayap juga boleh berlaku di dalam dan sekeliling mata. Ianya dikenali sepagai herpes zoster oftalmik atau herpes zoster oftalmikus.

Ruam berair juga boleh muncul pada kelopak mata, dahi dan kadangkala pada hidung atau sekeliling hidung.

Kayap pada mata boleh menyebabkan gejala seperti:

  • pedih atau berdenyut pada mata
  • mata merah dan berair
  • bengkak
  • mata menjadi kabur

Selepas ruam hilang, sakit mungkin akan berpanjangan disebabkan kerosakan pada saraf. Sakit ini biasanya akan hilang selepas beberapa waktu.

Ruam kayap pada dan sekeliling mata

Tanpa rawatan, kayap pada mata boleh menyebabkan komplikasi berbahaya, termasuklah hilang penglihatan dan parut kekal disebabkan kornea yang membengkak.

Jika anda mengsyaki berlaku kayap pada atau sekeliling mata, jumpa doktor dengan segera.

Kayap pada belakang

Selalunya kayap akan terjadi pada bahagian sisi pinggang, namun ianya juga boleh berlaku pada sisi belakang atau pinggang belakang.

Kayap pada punggung

Seseorang juga boleh mengalami ruam kayap pada punggung. Kayap selalunya akan muncul pada sebelah bahagian badan sahaja, begitu juga jika ia muncul pada punggung.

Seperti kayap pada bahagian badan yang lain, kayap pada punggung juga akan menyebabkan gejala gatal, sakit dan kebas pada peringkat awal.

Selepas beberapa hari, ruam merah dan lepuh mungkin berlaku. Sesetengah pesakit akan merasa sakit tetapi tiada ruam.

Perkembangan penyakit kayap

Menurut kajian, kebanyakan kes kayap boleh berlaku antara tempoh tiga ke lima minggu. Sebaik sahaja virus varicella-zoster aktif semula, kulit anda mungkin akan:

  • rasa nyeri dan semut-semut
  • pedih
  • kebas
  • gatal

Kayap selalunya terjadi pada sebelah sahaja bahagian badan, dan kebanyakannya pada pinggang, belakang atau dada.

Selepas lebih kurang 5 hari, ruam mungkin akan muncul pada kawasan tersebut. Selepas itu lepuh yang mengandungi cecair akan muncul beberapa hari kemudian di tempat yang sama. Pesakit mungkin akan mengalami gejala-gejala seperti demam, sakit kepala atau lenguh.

Selepas lebih kurang 10 hari, lepuh ini akan mengering dan berkuping. Kuping ini akan hilang selepas beberapa minggu. Selepas kuping tersebut hilang, kadangkala gejala kesakitan akan berterusan. Ini dikenali sebagai neuralgia postherpetic.

Punca penyakit kayap

Kayap adalah disebabkan oleh jangkitan virus varicella-zoster, atau dikenali juga sebagai cacar air (chickenpox). Jika anda pernah dijangkiti cacar air, anda boleh mendapat kayap apabila virus ini aktif semula di dalam badan.

Punca sesetengah orang mengalami kayap berbanding orang yang lain masih belum dapat dipastikan. Ianya juga lebih kerap berlaku pada umur yang lebih tua disebabkan imuniti yang semakin berkurangan terhadap jangkitan.

Antara kemungkinan faktor risiko mendapat kayap termasuklah:

  • sistem imun yang lemah
  • stres dan tekanan
  • penuaan
  • mendapat rawatan untuk penyakit kanser atau menjalani pembedahan besar

Vaksin penyakit kayap

Sejenis vaksin dikenali sebagai Shingrix sudah diluluskan oleh FDA (Food and Drug Administration) bagi mencegah kayap. Adalah dicadangkan individu berusia melebihi 50 tahun untuk menerima dua dos Shingrix dalam sela masa 2 ke 6 bulan. Vaksin ini dikatakan berkesan sebanyak 90 peratus dalam mencegah kayap.

Antara kesan sampingan vaksin ini termasuklah reaksi alahan tetapi ianya jarang berlaku. Sehingga kini masih tiada lagi rekod kes jangkitan varicella-zoster yang berlaku disebabkan pengambilan vaksin ini.

Faktor risiko

Kayap boleh berlaku pada sesiapa sahaja yang pernah dijangkiti penyakit cacar air. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa faktor risiko terjadinya kayap pada seseorang, antaranya adalah:

  • berusia 60 tahun ke atas
  • mendapat penyakit yang boleh melemahkan sistem imun badan seperti HIV atau kanser
  • menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi
  • mengambil ubat yang boleh menyebabkan sistem imun menjadi lemah seperti steroid atau ubat yang diambil selepas pemindahan organ
  • pernah mendapat kayap sebelum ini

Adakah kayap boleh berjangkit?

Kayap tidak boleh berjangkit, tetapi virus varicella-zoster yang menyebabkan kayap boleh merebak dari seseorang kepada orang lain yang belum pernah mendapat cacar air (chickenpox).

Jadi anda tidak boleh mendapat kayap dari pesakit kayap tetapi boleh dijangkiti cacar air.

Virus varicella-zoster ini merebak apabila seseorang menyentuh lepuh yang masih belum kering. Ianya tidak berjangkit jika lepuh tersebut belum pecah atau sudah kering dan berkuping.

Untuk mencegah virus varicella-zoster ini dari merebak jika anda menghidap kayap, pastikan ruam pada kulit adalah bersih dan bertutup. Jangan sentuh lepuh pada kulit dan basuh tangan dengan kerap.

Elakkan bertemu dengan orang lain yang berisiko seperti wanita yang hamil atau seseorang yang mempunyai masalah lemah sistem imuniti badan.

Bila perlu berjumpa doktor

Adalah penting untuk berjumpa segera dengan doktor jika anda mengesyaki penyakit kayap, terutamanya jika anda seorang yang berisiko mendapatnya.

Jumpa doktor dalam masa tiga hari bermula gejala bagi mengelakkan komplikasi jangka panjang.

Kayap selalunya akan surut dalam masa beberapa minggu dan jarang berulang semula. Jika gejala masih tidak berkurang selepas 10 hari, hubungi doktor semula untuk pemeriksaan lanjut.

Pengesanan

Doktor selalunya akan membuat diagnosis melalui pemeriksaan pada ruam dan lepuh yang muncul. Doktor juga akan bertanyakan lebih lanjut berkenaan sejarah kesihatan anda.

Kadangkala, doktor mungkin akan mengambil sampel kulit atau cecair pada kulit untuk dihantar ke makmal bagi menguji kehadiran virus jika doktor mengesyaki penyakit yang lain. Selalunya sampel akan diambil menggunakan alat sapuan swab.

Rawatan

Tiada ubat bagi menyembuhkan kayap, namun rawatan segera dapat mencegah komplikasi dan mempercepatkan pemulihan. Sebaik-baiknya, dapatkan rawatan dalam masa 72 jam dari bermulanya gejala. Doktor mungkin akan memberikan beberapa jenis ubat bagi mengurangkan gejala dan memendekkan tempoh jangkitan.

Ubat-ubatan

Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh digunakan pada pesakit kayap, ini termasuklah:

JenisTujuanKerapanCara
Ubat antiviral, termasuklah acyclovir, valacyclovir, dan famcicloviruntuk mengurangkan kesakitan dan mempercepatkan pemulihan2 ke 5 kali sehari seperti yang diarahkan doktormakan
Ubat anti-keradangan, termasuk ibuprofenuntuk mengurangkan sakit dan bengkaksetiap 6 ke 8 jammakan
Ubat tahan sakituntuk mengurangkan sakitsekali atau dua kali seharimakan
Ubat anti-sawan atau antidepresan jenis tricyclicuntak merawat sakit yang berpanjangansekali atau dua kali seharimakan
Antihistamine, seperti diphenhydramine (Benadryl)mengurangkan kegatalansetiap 8 jammakan
Krim kebas, gel, atau patch, seperti lidocaineuntuk mengurangkan kesakitanbila perlusapu
Capsaicin (Zostrix)untuk membantu mengurangkan sakit saraf yang dikenali sebagai neuralgia postherpetic, yang boleh berlaku setelah sembuh dari kayapbila perlusapu

Rawatan di rumah

Rawatan di rumah boleh membantu mengurangkan gejala kayap. Antara rawatan ini termasuklah:

  • mandi dengan air sejuk bagi melegakan dan membersihkan kulit
  • tuam dengan tuaman sejuk pada ruam bagi mengurangkan sakit dan gatal
  • menyapu losyen calamine atau membuat pes campuran air dan baking soda atau cornstarch bagi mengurangkan gatal
  • memakan makanan yang kaya dengan vitamin A, vitamin B12, vitamin C, dan vitamin E
  • mengambil suplemen L-lysine untuk menguatkan sistem imun

Pencegahan penyakit kayap

Kajian menunjukkan pengambilan vaksin dapat mencegah seseorang mendapat penyakit kayap tahap teruk atau komplikasi kayap. Semua kanak-kanak patut mendapat 2 dos vaksin cacar air, yang dikenali juga sebagai imunisasi varicella. Orang dewasa yang belum pernah mendapat cacar air juga patut mendapatkan vaksin ini.

Mengambil vaksin tidak bermaksud anda langsung tidak akan dijangkiti penyakit cacar air, tetapi ianya dapat mencegah 9 daripada 10 orang yang mengambil vaksin ini dari dijangkiti.

Orang dewasa yang berusia melebihi 50 tahun patut mendapatkan vaksin kayap, yang dikenali juga sebagai imunisasi varicella-zoster. Vaksin ini dapat mencegah gejala kayap yang teruk dan juga komplikasi berkaitan penyakit kayap.

Terdapat sejenik vaksin kayap yang dikenali sebagai Shingrix (vaksin zoster rekombinan).

Komplikasi penyakit kayap

Kayap merupakan penyakit yang menyakitkan dan mengganggu kehidupan, selain itu pesakit kayap juga perlu berwaspada terhadap komplikasi seperti berikut:

  • Kerosakan mata jika ruam atau lepuh berlaku terlalu hampir dengan mata. Kornea merupakan bahagian mata yang paling terdedah.
  • Jangkitan bakteria pada kulit mudah berlaku apabila lepuh telah pecah dan boleh menjadi teruk.
  • Jangkitan paru-paru atau pneumonia
  • Sindrom Ramsay Hunt boleh berlaku jika kayap merosakkan saraf di dalam kepala dan boleh menyebabkan lumpuh pada sebelah muka serta hilang pendengaran jika tidak dirawat. Jika dirawat dalama masa 72 jam, pesakit boleh pulih dengan sepenuhnya.
  • Keradangan pada otak atau saraf tunjang, seperti encephalitis atau meningitis boleh berlaku. Keadaan ini amat berbahaya dan boleh mengancam nyawa.

Penyakit kayap pada warga tua

Kayap lebih kerap berlaku pada warga tua. Lebih kurang 1 daripada 3 orang yang pernah mengalami kayap mendapatnya pada usia melebihi 60 tahun. Ini kerana sistem imuniti badan pada warga tua lebih lemah dan mudah diserang.

Warga tua yang menghidap kayap juga lebih mudah mendapat komplikasi dari pesakit yang lebih muda, termasuk ruam yang lebih meluas dan jangkitan bakteria daripada kulit yang melepuh. Mereka juga senang mendapat jangkitan paru-paru dan keradangan pada otak. Jadi adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan awal oleh doktor bagi memulakan rawatan antiviral.

Untuk mencegah kayap, dicadangkan untuk mereka yang berumur melebihi 50 tahun untuk mendapatkan vaksin kayap.

Penyakit kayap ketika hamil

Kayap ketika hamil jarang berlaku, namun ibu yang hamil masih perlu berwaspada. Jika ibu hamil terdedah kepada seseorang yang sedang dijangkiti kayap atau cacar air, mereka juga masih boleh dijangkiti jika masih belum menerima vaksin atau tidak pernah dijangkiti sebelum ini.

Bergantung kepada usia trimester kandungan, jangkitan cacar air ketika hamil boleh menyebabkan kecacatan janin kongenital. Mendapatkan vaksin cacar air sebelum hamil merupakan satu langkah penting bagi melindungi bayi anda.

Kayap selalunya tidak menyebabkan komplikasi ketika mengandung, namun ianya boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada ibu. Dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera jika anda mengalami ruam ketika hamil.

Ubat antiviral untuk merawat kayap adalah selamat digunakan ketika hamil. Ubat antihistamin juga dapat membantu mengurangkan kegatalan dan ubat acetaminophen (Tylenol) boleh mengurangkan kesakitan. Bincang dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum mengambil ubat-ubat ini ketika hamil.

Beza kayap dan gegata

Seseorang yang mengalami kayap, iaitu penyakit yang disebabkan oleh virus varicella-zoster, selalunya akan berasa gatal atau mengalami ruam merah dengan kulit yang melepuh pada sebelah bahagian badan. Seseorang hanya boleh mendapat kayap jika pernah mengalami penyakit cacar air.

Kayap tidak sama dengan gegata, iaitu kulit yang gatal dan ternaik. Gegata selalunya disebabkan oleh reaksi alahan contohnya alahan kepada ubat, makanan atau sesuatu pada persekitaran seperti debunga.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.