Barah Pangkal Rahim – Punca, Tanda & Pencegahan

Barah pangkal rahim atau juga dikenali sebagai Kanser Serviks merupakan barah yang kedua paling tinggi kejadiannya di kalangan wanita di Malaysia.

Barah pangkal rahim atau juga dikenali sebagai kanser serviks merupakan barah yang kedua paling tinggi kejadiannya di kalangan wanita di Malaysia. Kes barah pangkal rahim semakin meningkat setiap tahun. Jika barah pangkal rahim tidak dikesan dan dirawat awal barah pangkal rahim boleh membawa maut.

Mengenal Barah Pangkal Rahim

Serviks adalah pangkal rahim. Rahim merupakan bahagian badan di mana janin berkembang. Serviks berhadapan dengan saluran yang dipanggil faraj.

Lokasi kedudukan serviks di rahim (uterus)

Dalam barah pangkal rahim (Kanser Serviks), sel-sel di serviks tumbuh secara tidak normal. Sel-sel terus membesar dan membentuk satu ketumbuhan atau tumor. Jika tidak dirawat sel-sel barah ini bolek merebak ke bahagian badan yang lain melalui sistem darah atau limfa anda.

Barah pangkal rahim (Kanser Serviks) mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang. Sebelum barah pangkal rahim berkembang, perubahan awal berlaku di dalam sel pada permukaan pangkal rahim (serviks). Ini disebut peringkat pra-kanser.

Tanda-Tanda dan Gejala

  • Lelehan faraj yang berair dan berbau busuk
  • Rasa sakit semasa melakukan perhubungan seks
  • Perdarahan dari faraj antara haid (tengah bulan)
  • Pendarahan selepas perhubungan seks
  • Sebarang perdarahan dari faraj selepas putus haid (menopos)

Punca Barah Pangkal Rahim

Ia disebabkan oleh virus human papilloma yang berjangkit melalui hubungan seks. Apabila wanita terdedah kepada HPV, sistem imun badan selalu dapat menangkis serangan virus ini dari menjangkiti wanita tetapi, bagi sebahagian kecil wanita, virus berpeluang hidup bertahun-tahun sehingga ia menukar sel yang terdapat pada permukaan serviks kepada sel kanser. Separuh dari kanser ini terjadi pada mereka yang berusia 35-55 tahun.

Dengan ujian saringan pap smear, kadar kematian kanser serviks berkurangan dengan banyaknya. Walaubagaimanapun ia masih merupakan pembunuh ke 2 terbanyak selepas kanser payudara.

Faktor Risiko

Antara faktor risiko barah pangkal rahim termasuklah:

  • Tabiat seks
    •  memulakan perhubungan seks pada usia muda atau mempunyai pasangan seks yang ramai (bertukar pasangan).
    • aktiviti seks sebelum umur 18 tahun.
  • Agen jangkitan
    • terdapat bukti yang mengkaitkan barah pangkal rahim (Kanser Serviks) dengan jangkitan virus Human Papilloma.
    • Mengalami jangkitan kuman lain seperti syphilis, gonorhoea, chalmydia atau HIV.
  • Kurang daya tahan imun
  • Tidak menjaga kebersihan diri
  • Menghisap rokok

Lindungi Diri Anda Dari Barah Pangkal Rahim

Oleh kerana wanita yang aktif seks boleh mengidap barah pangkal rahim, adalah penting untuk mengesannya awal-awal lagi.

Ini boleh dilakukan melalui Ujian Pap Smear. Ia merupakan ujian yang mudah dan tidak menyebabkan sebarang kesakitan. Ujian Pap Smear ini boleh mengesan barah pangkal rahim pada peningkat awal. Rawatan yang mudah pada peringkat ini boleh membawa penyembuhan sepenuhnya.

Pengesanan Barah Pangkal Rahim

  1. Ujian Pap
    Doktor akan mengambil sedikit tisu pada permukaan serviks dan menghantar ke makmal. Ujian ini akan mengesan sebarang ketidaknormalan pada serviks seperti sel pra-barah. Digalakan untuk mengambil ujian ini setiap tahun untuk mengesan kanser peringkat awal. Pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa.
  2. Ujian HPV
    Ujian ini boleh mengesan kuman HPV yang specifik terhadap kanser serviks seperti strain 16 dan 18, iaitu penyebabkan utama kanser pangkal rahim.
  3. Kolposkopi
    Doktor akan mengunakan mikroskop yang khas untuk memeriksa pangkal rahim anda untuk sebarang ketidaknormalan. Sekiranya ada, sedikit biopsi akan diambil dan dihantar kemakmal. Kadang-kadang biopsi kon akan dibuat sekiranya didapati sel barah sudah merebak lebih dalam.

Rawatan

Rawatan bergantung kepada keterukkan kanser tersebut dan sejauh mana ia sudah merebak. Sekiranya di peringkat awal pembedahan buang rahim akan disarankan dan pembedahan yang lebih radikal akan dilakukan sekiranya kanser sudah merebak keorgan organ berdekatan. Rawatan sampingan lain termasuk radiasi dan kemoterapi.

Pencegahan Barah Pangkal Rahim

Anda boleh mengurangkan risiko untuk mendapat kanser pangkal rahim dengan mencegah jangkitan kuman HPV. HPV merebak melalui hubungan seks, jadi pengunaan kondom boleh mengurangkan risiko HPV.

Selain dari itu, anda juga boleh mengurangkan jangkitan HPV dengan: 

  1. Berhubungan seks dengan 1 pasangan sahaja
  2. Elakkan hubungan seks pada usia muda
  3. Tidak merokok
  4. Mendapat imunisasi terhadap jangkitan HPV
  5. Suntikan Vaksin 

Vaksin terhadap HPV

Sekarang sudah terdapat vaksin yang boleh mencegah kebanyakan dari strain HPV yang menjadi punca kepada kanser serviks. Gadis seawal usia 13 tahun adalah digalakan untuk mengambil vaksin ini. Ia boleh mencegah sehingga 70% dari jangkitan HPV dan walaupun ia lebih efektif sekiranya diberikan sebelum gadis menjadi aktif secara seksual, ia juga disarankan kepada semua wanita sehingga usia 46 tahun. 

Cara mendapatkan suntikan vaksin ini

Vaksin boleh didapati dimana mana-mana klinik swasta dan kerajaan atau klinik pakar berdekatan.

Prosedur Ujian PAP Smear

Sel-sel diambil secara berhati-hati dari permukaan rahim “servik” dan diletakkan di atas slaid kaca seterusnya dihantar ke makmal untuk pemeriksaan mikroskopik.

Cara pengambilan Pap Smear

Keputusan Ujian Pap Smear

Bagi kebanyakan wanita, sel-sel ini adalah normal sepenuhnya. Pada sesetengah wanita sel-sel ini mungkin tidak kelihatan normal dan mungkin menunjukkan peringkat awal kanser.

Apabila ini terjadi ujian berkenaan diulangi dan jika perlu pemeriksaan seterusnya dilakukan.

Tahap kanser pangkal rahim

Apakah Tindakan-Susulan Yang Akan Diambil?

Jika terdapat sebarang keluarbiasaan, seseorang itu akan dirawat atau dirujuk untuk penyiasatan dan rawatan selanjutnya.

Cara Mendapatkan Ujian PAP Smear

 Ujian ini boleh didapati di:

  • Pusat Kesihatan Kerajaan
  • Klinik Perancang Keluarga
  • Hospital/Klinik Swasta

Siapa Yang Harus Menjalani Ujian PAP Smear?

Wanita berumur antara 20 – 65 tahun, yang aktif seks atau pernah aktif seks dahulu, perlu menjalani Ujian PAP Smear.

Kekerapan Ujian PAP Smear

Ujian PAP Smear hendaklah dilakukan 3 tahun sekali.

Masa Yang Terbaik Untuk Menjalani Ujian PAP Smear

Ujian PAP Smear terbaik sekali dijalankan pada pertengahan pusingan haid atau 10 hari selepas kedatangan haid.

Rumusan

Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.