Sakit Dada – Punca, Pemeriksaan dan Rawatan

Sakit dada mungkin merupakan gejala serangan jantung, namun terdapat juga punca sakit dada yang disebabkan oleh penyakit-penyakit yang lain.

Sakit dada merupakan antara punca utama seseorang mendapatkan rawatan kecemasan. Sakit dada adalah berbeza pada setiap orang. Ianya boleh berbeza dari segi:

  • Tahap kesakitan
  • Kualiti atau kekuatan
  • Tempoh masa
  • Lokasi kesakitan

Ianya boleh terasa seperti dicucuk, menekan, tertarik atau terbakar. Sakit dada mungkin merupakan gejala serangan jantung, namun terdapat juga punca sakit dada yang disebabkan oleh masalah lain.

Punca sakit dada

Selalunya apabila seseorang mengalami sakit dada, perkara pertama yang akan difikirkan adalah serangan jantung. Walaupun sakit dada merupakan gejala utama serangan jantung, sakit dada juga boleh disebabkan masalah-masalah lain yang kurang berbahaya.

Menurut kajian, lebih kurang 13 peratus lawatan ke bahagian kecemasan hospital yang disebabkan oleh sakit dada menunjukkan ianya adalah berpunca dari serangan jantung yang serius.

Sakit dada disebabkan penyakit jantung

Berikut merupakan punca sakit dada yang disebabkan oleh penyakit jantung:

  • Serangan jantung, iaitu apabila saluran darah ke jantung tersumbat
  • Angina, juga disebabkan oleh penyempitan saluran darah ke jantung
  • Perikarditis, keradangan pada lapisan yang mengelilingi jantung
  • Myokarditis, keradangan pada otot jantung
  • Kardiomyopathy, penyakit yang melibatkan otot jantung
  • Aortic dissection, melibatkan koyakan pada salur darah aorta, salur darah utama yang bermula dari jantung

Sakit dada disebabkan penyakit saluran pencernaan

Berikut merupakan punca sakit dada yang disebabkan oleh masalah saluran pencernaan:

  • Asid refluks atau penyakit GERD
  • Masalah menelan yang dikaitkan dengan esofagus
  • Batu karang hempedu
  • Keradangan pada hempedu dan pankreas

Sakit dada disebabkan penyakit paru-paru

Berikut merupakan punca sakit dada yang disebabkan oleh masalah paru-paru:

  • Pneumonia
  • Bronkitis
  • Pneumothorax
  • Darah beku atau embolus pulmonari
  • Pengecutan salur pernafasan atau bronchospasm

Pengecutan saluran pernafasan selalunya berlaku pada pesakit asma dan penyakit COPD (chronic obstructive pulmonary disease).

Sakit dada berkaitan otot atau tulang dada

Berikut merupakan punca sakit dada yang berkaitan masalah otot atau tulang dada:

  • Tulang rusuk patah atau cedera
  • Otot tercedera disebabkan trauma
  • Tekanan pada saraf

Punca lain

Penyakit shingles atau kayap juga boleh menyebabkan sakit dada. Pesakit kayap selalunya akan mengalami sakit dada atau sakit belakang terlebih dahulu sebelum ruam mula muncul pada kulit.

Serangan panik juga boleh menyebabkan sakit dada.

Gejala lain yang mungkin berlaku ketika sakit dada

Mungkin juga terdapat gejala-gejala yang lain ketika berlakunya sakit dada. Tanda-tanda ini dapat membantu doktor membuat diagnosis yang lebih tepat. Antaranya termasuklah:

Gejala penyakit jantung

Walaupun sakit dada merupakan gejala utama, ada juga pesakit yang mempunyai gejala-gejala lain atau tidak mengalami sakit dada. Antara gejala-gejala lain yang disebabkan penyakit jantung selain sakit dada adalah:

  • Dada seperti ditekan atau merasa ketat di bahagian dada
  • Sakit belakang, rahang atau lengan
  • Keletihan
  • Rasa ingin pitam
  • Pening
  • Sesak nafas
  • Sakit abdomen
  • Mual
  • Sakit ketika melakukan aktiviti

Gejala-gejala yang bukan disebabkan penyakit jantung

Gejala-gejala lain yang menunjukkan sakit dada bukan berpunca daripada penyakit jantung adalah:

  • Rasa masam atau berasid di dalam mulut
  • Sakit apabila sedang menelan atau makan
  • Sukar menelan
  • Sakit yang berkurang dengan perubahan posisi badan
  • Sakit yang semakin teruk apabila menarik nafas dengan dalam atau batuk
  • Sakit yang diikuti dengan ruam kulit
  • Demam
  • Sakit-sakit badan
  • Menggigil
  • Selsema
  • Batuk
  • Panik atau keresahan
  • Bernafas dengan laju
  • Sakit belakang yang menjalar ke bahagian dada

Pemeriksaan sakit dada

Dapatkan rawatan segera jika anda merasakan sedang mengalami serangan jantung terutamanya jika ianya kali pertama berlaku, secara tiba-tiba dan dan tanpa sebab.

Doktor akan mengambil sejarah perubatan untuk mencari punca sakit dada tersebut. Sila beritahu doktor jika terdapat juga gejala-gejala yang lain selain sakit dada, penyakit yang lain, dan jika sedang mengambil apa-apa ubat.

Ujian pengesahan

Doktor akan melakukan beberapa ujian bagi mengesan punca sakit dada sama ada ianya berkaitan jantung atau disebabkan masalah yang lain. Antara ujian-ujian ini adalah:

  • Elektrokardiogram (ECG atau EKG), yang akan merekodkan aktiviti elektrik pada jantung
  • Ujian darah seperti ujian paras enzim jantung
  • X-ray dada untuk memeriksa jantung, paru-paru dan saluran darah
  • Imbasan MRI, untuk melihat jika terdapat kerosakan pada jantung atau aorta
  • Ujian stres, untuk melihat fungsi jantung ketika sedang melakukan aktiviti
  • Ujian angiogram, untuk melihat jika terdapat arteri yang tersumbat
Ujian elektrokardiogram (ECG).

Rawatan sakit dada

Doktor akan merawat sakit dada dengan menggunakan ubat-ubatan, prosedur tidak invasif, pembedahan ataupun dengan kombinasi rawatan-rawatan ini. Rawatan bergantung kepada punca dan tahap keterukan sakit dada yang dialami.

Antara rawatan yang boleh diberikan jika ianya berpunca daripada jantung termasuklah:

  • Ubat-ubatan seperti nitroglycerin yang boleh membuka semula saluran darah, ubat untuk menghancurkan darah beku dan ubat pencair darah.
  • Cardiac catheterization, iaitu prosedur yang menggunakan belon atau tiub penahan untuk membuka semula arteri yang tersumbat.
  • Pembedahan untuk memulihkan semula arteri seperti pembedahan pintasan jantung atau pembedahan CABG (coronary artery bypass grafting).

Rawatan untuk sakit dada yang bukan disebabkan penyakit jantung pula termasuklah:

  • Jika paru-paru didapati sedang mengecut, doktor boleh memasukkan tiub pada dada (chest tube) atau peralatan lain untuk mengembangkan semula paru-paru.
  • Ubat antasid atau prosedur untuk merawat asid refluks bagi mengurangkan gejala.
  • Ubat anti-depressan untuk merawat serangan panik.

Kesan jangka panjang

Rawatan lanjut boleh diberikan setelah punca sakit dada dikenalpasti. Antara punca-punca sakit dada yang mudah dirawat termasuklah asid refluks, keresahan, asma dan lain-lain lagi.

Namun sakit dada juga boleh disebabkan keadaan yang membahayakan nyawa seperti serangan jantung. Dapatkan rawatan segera jika anda merasakan sedang mengalami serangan jantung atau masalah-masalah jantung yang lain.

Jangan tunggu sehingga sakit berhenti, dapatkan bantuan orang terdekat atau terus hubungi ambulans. Rawatan awal untuk penyakit jantung mampu menyelamatkan nyawa.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.