Telinga Berdesing – Punca, Pemeriksaan dan Rawatan

Telinga berdesing akan menyebabkan seseorang mendengar bunyi yang tidak boleh didengari orang lain. Jom ketahui punca, pemeriksaan dan rawatannya.

Telinga berdesing bermaksud terdapat bunyi di dalam telinga seseorang yang tidak boleh didengari oleh orang lain. Ianya merupakan gejala yang kerap berlaku dan memberi kesan kepada lebih 50 juta orang di Amerika Syarikat. Telinga berdesing boleh menjadi teruk sehingga mengganggu kehidupan harian.

Telinga berdesing atau berdengung ini bukanlah satu penyakit tetapi ianya merupakan gejala kepada penyakit-penyakit tertentu. Selalunya ia sukar untuk hilang sepenuhnya tetapi rawatan perubatan boleh membantu mengurangkan gejala ini.

Apakah itu tinnitus

Dalam bidang perubatan, telinga berdesing dikenali sebagai tinnitus. Ianya bermaksud terdapat bunyi di dalam telinga – seperti bunyi berdering, berdengung, wisel, klik atau mengaum – yang tidak boleh didengari orang lain. Kadangkala bunyi yang berlaku adalah lembut dan tidak disedari ataupun boleh juga terlampau kuat sehingga dirasakan bunyi tersebut berasal dari sekeliling.

Statistik

Telinga berdesing merupakan satu masalah yang telah memberi kesan kepada lebih 50 juta orang di Amerika Syarikat. Daripada jumalah itu, 12 juta orang mengalami telinga berdesing berterusan yang mengganggu kehidupan harian.

Mereka yang mengalami telinga berdesing juga boleh mengalami masalah sukar tidur dan menumpukan perhatian. Menghidap telinga berdesing boleh menyebabkan seseorang itu menjadi pemarah, kecewa dan murung.

Tanda awal

Selalunya telinga berdesing disedari kerana seseorang itu mengalami kehilangan pendengaran, kecederaan kepala atau masalah perubatan yang lain seperti jangkitan telinga.

Doktor boleh menyembuhkan telinga berdesing dengan merawat puncanya. Namun jika tidak hilang, terdapat cara bagi mengurangkan gangguan bunyi berdesing ini.

Punca telinga berdesing

Punca sebenar telinga berdesing masih belum diketahui. Ianya dipercayai berlaku disebabkan aktiviti yang tidak normal di dalam bahagian otak yang memproses bunyi. Namun bagaimana, kenapa dan cara mencegah aktiviti otak ini masih belum diketahui.

Penyakit yang menyebabkan telinga berdesing

Telinga berdesing merupakan gejala kepada lebih 75% penyakit berkaitan pendengaran. Kebanyakan mereka yang hilang pendengaran juga akan mengalami telinga berdesing. Berikut merupakan beberapa punca seseorang mengalami hilang pendengaran yang menyebabkan berdesing:

  • Penuaan. Hilang pendengaran akibat penuaan memberi kesan kepada 1 daripada 3 orang yang berumur melebihi 65 tahun.
  • Pendedahan kepada bunyi bising dan letupan. Ianya boleh berlaku dalam jangkamasa yang lama atau disebabkan oleh satu insiden sahaja. Pendedahan kepada bunyi muzik yang kuat atau bekerja dalam persekitaran yang bising boleh menyebabkan hilang pendengaran dan telinga berdesing.
  • Ubat ototoksik. Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh merosakkan telinga. Jika anda risau mengalami telinga berdesing, tanya doktor anda berkenaan kesan sampingan ubat yang diberikan dan jika terdapat alternatif lain.
  • Penyakit Ménière. Merupakan penyakit kronik yang memberi kesan kepada pendengaran dan keseimbangan.

Seseorang juga boleh mendapat telinga berdesing tanpa hilang pendengaran. Pengkaji telah menghubungkan telinga berdesing kepada lebih 200 jenis penyakit. Antaranya adalah:

  • Penyakit sendi temporomandibular (TMJ). Telinga berdesing merupakan gejala yang kerap berlaku dalam TMJ, iaitu keadaan yang disebabkan oleh keradangan atau iritasi kepada otot dan sendi.
  • Bendasing di dalam telinga. Kadangkala terdapat objek asing seperti pen atau pensil yang digunakan untuk mencuci telinga dan boleh menyebabkan gegendang telinga pecah.
  • Tahi telinga (serumen) terlampau banyak. Tahi telinga boleh menghalang laluan dalam telinga lalu menyebabkan masalah pendengaran.
  • Alahan. Alahan boleh menyempitkan tiub eustachian. Tiub ini menghubungkan bahagian tengah telinga kepada bahagian dalam hidung. Keradangan akibat alahan yang boleh menyempitkan tiub eustachian boleh menyebabkan bunyi tidak sampai kepada telinga.
  • Schwannoma vestibular (neuroma akustik). Ianya merupakan ketumbuhan bukan kanser (benign) yang memberi kesan kepada saraf yang menghubungkan telinga ke otak dan berfungsi mengawal pendengaran serta keseimbangan. Mereka yang menghidap neurofibromatosis jenis 2 selalunya mendapat schwannoma vestibular.
  • Otosklerosis. Iaitu ketumbuhan pada bahagian tengah telinga.

Kadangkala, seseorang boleh mendapat telinga berdesing apabila darah mengalir melalui arteri utama dan vena pada leher dengan cepat. Bunyi yang didengari selalunya selari dengan nadi seseorang.

Telinga berdesing yang selari dengan nadi ini juga boleh berlaku kepada penghidap anemia (kurang darah merah) atau atherosklerosis (arteri tersumbat). Penghidap penyakit darah tinggi juga lebih kerap mengalami telinga berdesing berkaitan nadi ini berbanding yang mempunyai tekanan darah normal.

Adakah telinga berdesing berbahaya?

Kadangkala, bunyi berdesing pada sebelah telinga mungkin menandakan terdapat ketumbuhan (glomus tympanicum) pada bahagian tengah telinga. Telinga berdesing bersama-sama dengan masalah percakapan, berjalan atau keseimbangan mungkin merupakan tanda seseorang itu mengalami masalah neurologikal. Sila dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera jika anda mengalami tanda-tanda tersebut.

Pemeriksaan

Telinga berdesing bukanlah satu penyakit tetapi ianya adalah gejala penyakit. Berikut merupakan beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi mengesan punca telinga berdesing.

  • Pemeriksaan fizikal. Doktor akan memeriksan telinga dan bahagian dalam telinga bagi melihat jika terdapat sebarang perubahan.
  • Sejarah perubatan. Doktor akan bertanyakan jika terdapat ahli keluarga yang mengalami hilang pendengaran, atau jika anda bekerja atau tinggal di kawasan yang bising. Selain itu, doktor juga akan bertanyakan berkenaan ubat yang sedang diambil.
  • Ujian pendengaran (audiometri). Ujian ini dilakukan bagi memeriksa tahap pendengaran berdasarkan beberapa julat tona bunyi, dan keputusan akan dipaparkan pada audiogram.
  • Tympanometri. Ianya dilakukan bagi memeriksa gegendang telinga dengan menggunakan alat khas dipanggil tympanometer yang akan memaparkan keputusan pada tympanogram.
  • Pengimejan MRI. Ujian ini dijalankan bagi mendapatkan imej gambar yang terperinci untuk bahagian dalaman badan.

Rawatan

Jika telinga berdesing bukan disebabkan masalah perubatan lain

Jika doktor sudah mengesahkan tiada masalah perubatan lain melainkan telinga berdesing atau hilang pendengaran, beberapa rawatan boleh diberikan bagi mengurangkan masalah ini. Antaranya adalah:

  • Alat bantu dengar. Kebanyakan orang yang mengalami telinga berdesing juga mengalami hilang pendengaran. Penggunaan alat bantu dengar boleh melegakan telinga berdesing dengan menjadikan bunyi lebih kuat dan bunyi berdesing akan menjadi lebih perlahan. Sebagai contoh, alat bantu dengar boleh menjadikan bunyi yang biasa daripada persekitaran seperti bunyi pendingin hawa lebih kuat. Ini akan menjadikan bunyi berdesing lebih perlahan dan boleh diabaikan.
  • Alat penghasil bunyi. Alat ini akan menghasilkan dan menghantar bunyi ke telinga seseorang bagi mengurangkan bunyi berdesing. Sebagai contoh ianya boleh menghasilkan bunyi seperti hujan atau hutan bagi membolehkan bunyi berdesing menjadi perlahan dan diabaikan. Terdapat juga alat bantu dengar yang boleh menghasilkan bunyi ini.
  • Penghasil bunyi persekitaran. Seseorang boleh menggunakan alat seperti pembesar suara untuk memainkan bunyi yang lembut seperti bunyi hujan atau hutan bagi mengurangkan tumpuan kepada bunyi berdesing. Boleh juga gunakan telefon atau komputer riba terutamanya ketika bekerja.
  • Teknik relaksasi. Telinga berdesing boleh menyebabkan tekanan dan kekecewaan seterusnya menyebabkan bunyi berdesing menjadi lebih teruk. Pelajari teknik bagi meningkatkan relaksasi dan meredakan tekanan bagi menghadapi masalah telinga berdesing dengan lebih baik.
  • Kaunseling. Sesetengah pesakit mendapat manfaat daripada rawatan kesihatan mental seperti terapi tingkahlaku kognitif (CBT) atau terapi penerimaan dan komitmen (ACT). Terapi ini dapat membantu pesakit belajar cara untuk mengabaikan bunyi telinga berdesing.

Pencegahan telinga berdesing

Melindungi pendengaran anda merupakan pencegahan terbaik kepada masalah telinga berdesing. Mulakan perlindungan telinga anda dengan memikirkan aktiviti anda pada setiap hari. Kadangkala tanpa disedari telinga anda terdedah kepada bunyi yang bising dan kuat.

Berikut merupakan beberapa aktiviti yang boleh memberi kesan kepada pendengaran.

  • Di tempat kerja. Pekerja tapak binaan, pekerja landskap atau pekerja kilang yang menggunakan mesin tertentu perlu memakai alat pelindung telinga atau plug telinga.
  • Di kelas senaman. Sesetengah gymnasium memainkan muzik dengan kuat bagi memotivasikan peserta untuk menjalankan senaman. Bagi yang duduk berdekatan dengan pembesar suara boleh menggunakan plug telinga bagi melindungi pendengaran atau cari kawasan yang kurang bising.
  • Di konsert atau panggung wayang. Boleh menggunakan plug telinga jika terlampau bising.
  • Bila-bila masa anda merasa telinga bingit sila perlahankan bunyi atau jauhkan diri dari sumber bunyi tersebut.

Rumusan

Telinga berdesing merupakan gejala yang agak kerap berlaku dan boleh menjadi tanda kepada penyakit yang lain termasuk hilang pendengaran. Telinga berdesing boleh menyebabkan seseorang sukar tidur dan menumpukan perhatian.

Ianya juga boleh mengganggu kehidupan harian dan membuatkan seseorang menjadi marah, kecewa dan murung. Ada kes di mana punca masalah ini tidak dapat dikesan dan disembuhkan sepenuhnya namun terdapat juga rawatan bagi membantu mengawal masalah telinga berdesing.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.