Sakit Tengkuk – Punca, Pemeriksaan & Rawatan

Sakit tengkuk boleh berlaku disebabkan pelbagai punca dan kadangkala sehingga bertahun-tahun, ketahui punca dan cara rawatan sakit tengkuk.

Sakit tengkuk boleh berlaku selama beberapa hari sehingga beberapa tahun, bergantung kepada puncanya. Antara punca sakit tengkuk termasuklah osteoarthritis, stenosis tulang belakang, disk hernia, saraf tersepit, tekanan fizikal dan mental, keregangan, postur yang tidak betul, tumor dan masalah kesihatan yang lain.

Sakit tengkuk merupakan kesakitan pada tulang belakang yang bersambung dengan kepala, yang dikenali juga sebagai tulang belakang servikal. Sakit tengkuk merupakan gejala yang boleh disebabkan oleh pelbagai jenis kecederaan dan penyakit.

Seseorang boleh mendapat sakit tengkuk jenis axial (lebih dirasai pada bahagian belakang tengkuk) atau sakit tengkuk jenis radikular (sakit boleh menular ke bahagian lain seperti bahu dan lengan). Ianya boleh berlaku secara akut (tempoh beberapa hari sehingga 6 minggu) atau kronik (sakit yang melebihi 3 bulan sehingga bertahun-tahun).

Sakit tengkuk boleh mengganggu aktiviti harian dan mengurangkan kualiti hidup jika tidak dirawat.

Jenis sakit tengkuk

Sesetengah pesakit mengalami kesakitan pada tengkuk seperti berikut:

  • Sakit yang berterusan
  • Sakit seperti ditikam atau pedih
  • Berasa sensitif apabila bahagian tengkuk ditekan
  • Sakit tengkuk bersekali dengan sakit kepala dan kebas atau semut-semut pada sebelah atau kedua-dua belah lengan
  • Otot pada leher meregang dan sakit apabila digerakkan

Sakit tengkuk merupakan antara gejala yang kerap berlaku. Ianya terjadi pada satu pertiga orang pada setiap tahun. Ianya lebih kerap berlaku pada wanita berbanding lelaki, dan risiko mendapat sakit tengkuk juga semakin meningkat dengan peningkatan umur.

Punca sakit tengkuk

Terdapat banyak masalah perubatan dan kecederaan yang boleh menyebabkan sakit tengkuk. Antara punca-punca sakit tengkuk termasuklah:

  • Penuaan: Keadaan degeneratif seperti osteoarthritis (kehausan pada kartilaj di dalam sendi) dan stenosis tulang belakang (penyempitan ruang di dalam tulang belakang) boleh menyebabkan sakit tengkuk apabila seseorang semakin berumur. Tekanan dan pergerakan semakin lama akan menyebabkan kerosakan disk tulang belakang, lalu terjadinya disk hernia, disk terkeluar (slip disc) atau saraf tersepit.
  • Kecederaan: Trauma akibat pergerakan secara tiba-tiba pada tengkuk dan kepala atau pergerakan berlawanan arah (kecederaan whiplash) boleh menyebabkan kecederaan dan kesakitan. Otot, ligamen, disk, sendi vertebra dan akar saraf daripada saraf tunjang pada tengkuk boleh terkesan akibat kecederaan traumatik ini.
  • Tekanan mental: Keregangan pada otot tengkuk yang disebabkan oleh tekanan mental juga boleh menyebabkan sakit tengkuk terutamanya apabila tengkuk digerakkan.
  • Ketegangan fizikal: Penggunaan otot leher secara berulang-ulang ketika melakukan aktiviti berat juga boleh menyebabkan sakit tengkuk dan sukar menggerakkan tengkuk.
  • Kehilangan keseimbangan badan: Postur yang teruk (seperti duduk untuk tempoh yang lama, posisi yang salah ketika menggunakan komputer dan lain-lain), berat badan berlebihan, dan otot abdomen yang lemah merupakan antara punca sakit tengkuk yang disebabkan oleh ketidakseimbangan postur leher.
  • Pembesaran: Kadangkala, ketumbuhan seperti tumor, cyst dan cebisan tulang boleh menyebabkan sakit tengkuk.
  • Penyakit yang lain: Seperti meningitis, arthritis rheumatoid, kanser dan lain-lain.

Pemeriksaan sakit tengkuk

Pemeriksaan bagi mencari punca sakit tengkuk bermula dengan pengambilan sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal. Doktor akan memeriksa bahagian tengkuk bagi mencari lokasi kesakitan dan melihat pergerakan tengkuk. Doktor juga akan menguji kekuatan otot dan refleks badan pesakit.

Doktor akan bertanyakan berkenaan kecederaan yang pernah dialami sebelum ini yang boleh menyebabkan kesakitan seperti kecederaan whiplash atau disk hernia. Doktor juga akan bertanyakan mengenai kerja atau aktiviti yang dilakukan sebelum kesakitan berlaku.

Selepas itu, doktor mungkin akan menjalankan beberapa ujian pengimejan seperti X-ray, imbasan MRI, atau imbasan CT. Ujian ini boleh menunjukkan jika terdapat kerosakan pada tulang dan tisu di dalam serta sekeliling tengkuk

Antara ujian lain yang boleh dilakukan termasuklah: elektromyografi, ujian konduksi saraf, myelogram dan ujian akar saraf. Ujian ini diperlukan jika doktor ingin mengetahui berkenaan fungsi tulang belakang, disk tulang belakang dan juga saraf serta keadaan otot tengkuk yang menyebabkan kesakitan.

Rawatan sakit tengkuk

Rawatan sakit tengkuk adalah bergantung kepada puncanya. Tujuan rawatan adalah untuk melegakan kesakitan dan memulihkan fungsi badan. Antara rawatan yang selalu dilakukan termasuklah:

  • Pemberian ubat-ubatan seperti NSAIDs (nonsteroidal anti-inflammatory drugs) bagi melegakan kesakitan dan keradangan. Ubat bagi merehatkan otot juga boleh diberikan bagi membantu proses pemulihan.
  • Terapi fizikal seperti senaman dan regangan otot serta tendon pada tengkuk.
  • Terapi TENS (transcutaneous electrical nerve stimulation) bagi mengurangkan sakit dengan mengganggu isyarat kesakitan menggunakan arus elektrik bervoltan rendah yang diletakkan pada kulit berdekatan saraf pada lokasi tengkuk yang sakit.
  • Meregangkan sendi tengkuk bagi mengurangkan kesakitan dengan menggunakan alat khas.
  • Suntikan steroid berdekatan akar saraf bagi melegakan kesakitan dan keradangan.
  • Pembedahan bagi memperbaiki disk yang tertekan atau rosak pada tulang belakang atau pembedahan untuk menggabungkan beberapa tulang belakang.

Rawatan di rumah

Doktor atau ahli terapi fizikal boleh mencedangkan beberapa langkah yang boleh diambil di rumah bagi melegakan sakit tengkuk. Antara langkah ini adalah:

  • Menggunakan tuaman sejuk atau panas
  • Melakukan senaman dan regangan secara perlahan-lahan
  • Mengambil ubat tahan sakit bagi melegakan kesakitan atau keradangan seperti aspirin atau ibuprofen
  • Berehat di rumah
  • Berhenti dahulu dari melakukan sebarang aktiviti

Strategi jangka panjang bagi mengurangkan sakit tengkuk termasuklah:

  • Berhenti merokok kerana rokok boleh merosakkan struktur tulang dan melambatkan pemulihan
  • Mengurangkan berat badan jika obes
  • Mengurangkan tekanan mental dengan melakukan aktiviti seperti beriadah, mengurut, yoga dan bersukan
  • Melakukan senaman bagi menguatkan otot pada tengkuk dan bahu

Bila perlu berjumpa doktor

Jumpa doktor jika sakit tengkuk menganggu pekerjaan dan aktiviti harian anda.

Kadangkala, sakit tengkuk boleh menandakan keadaan kecemasan. Dapatkan rawatan segera jika:

  • Sakit tengkuk berlaku selepas kemalangan
  • Sakit tengkuk dengan kebas atau semut-semut pada bahu, lengan atau kaki
  • Sakit tengkuk dengan lemah pada kaki atau hilang koodinasi pada tangan dan kaki
  • Sakit tengkuk bersekali dengan sakit kepala, pening, mual atau muntah
  • Melibatkan hilang kawalan berak dan kencing
  • Leher tidak boleh digerakkan
  • Bersekali dengan demam, sejuk atau hilang berat badan secara tiba-tiba
  • Masih sakit walaupun selepas berehat atau bergerak
  • Tidak hilang selepas mengambil ubat tahan sakit
  • Tidak hilang selepas seminggu

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.