Virus chikungunya menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk. Ianya menyebabkan demam dan juga sakit sendi. Walaupun jarang membawa maut, simptomnya boleh menjadi teruk, berpanjangan, dan melemahkan mereka yang dijangkiti.
Penyakit ini dahulunya dianggap hanya berlaku di kawasan tropika, namun kini kes chikungunya telah direkodkan di lebih satu per empat negara di seluruh dunia. Artikel ini akan membincangkan mengenai virus chikungunya, punca, tanda dan gejala, rawatan, cara diagnosis serta langkah pencegahan.
Virus chikungunya kebanyakannya disebarkan melalui gigitan nyamuk betina yang dijangkiti. Secara umumnya, ia tidak dianggap mudah berjangkit antara manusia; bagaimanapun, dalam kes yang jarang berlaku, virus ini boleh merebak melalui sentuhan dengan darah individu yang telah dijangkiti.
Tanda dan Gejala
Virus chikungunya menyebabkan demam selama beberapa hari dan sakit sendi yang boleh berlarutan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.
Tanda-tandanya mirip dengan penyakit lain seperti demam denggi. Simptom biasanya muncul beberapa hari selepas seseorang digigit nyamuk yang dijangkiti virus. Gejala yang paling lazim termasuklah:
- demam (kadangkala setinggi 40°C)
- sakit sendi
- sakit kepala
- sakit otot
- ruam
- bengkak pada sendi
Dalam kes yang jarang berlaku, simptom ini boleh disertai dengan ruam makulopapular (mirip campak atau ruam panas), konjunktivitis, loya, dan juga muntah.
Pengesanan
Ujian darah diperlukan untuk mengesahkan jangkitan chikungunya kerana simptomnya boleh menyerupai penyakit lain.
Adalah penting untuk menolak kemungkinan demam denggi secepat mungkin kerana kadar kematiannya jauh lebih tinggi — sehingga 50% jika tidak dirawat, berbanding kira-kira 0.1% bagi chikungunya.
Jika seseorang mempunyai simptom seperti di atas dan baru sahaja melawat kawasan yang banyak kes chikungunya ataupun denggi, mereka harus mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
Rawatan
Virus ini jarang membawa maut, namun simptomnya boleh menjadi teruk dan menjejaskan rutin harian seseorang. Kebanyakan pesakit pulih daripada demam dalam masa seminggu, tetapi sakit sendi boleh berterusan selama berbulan-bulan. Malah selepas setahun, sekitar 20% pesakit melaporkan sakit sendi yang berulang.
Tiada ubat khusus untuk merawat chikungunya; rawatan hanya tertumpu kepada rehat dan pengambilan air yang mencukupi.
Ubat dari farmasi dapat membantu mengurangkan demam dan sakit sendi, ini termasuklah:
- naproksen
- ibuprofen
- acetaminophen
Untuk sakit yang berpanjangan, fisioterapi mungkin boleh membantu.
Vaksin Chikungunya
Pada masa ini, tiada vaksin atau rawatan antiviral untuk chikungunya. Namun secara umumnya, penyakit ini bersifat sementara dan jarang membawa maut.
Rawatan lebih memfokuskan kepada melegakan simptom berbanding merawat punca.
Institut Kesihatan Nasional (NIH) kini membiayai ujian klinikal fasa 2 untuk vaksin chikungunya. Vaksin ini menggunakan zarah mirip virus (virus-like particles, VLP), bukan virus dilemahkan atau dinyahaktif.
VLP mampu merangsang tindak balas imun serupa dengan imuniti semula jadi selepas jangkitan virus tetapi ianya tidak berjangkit dan tidak boleh membiak. Kerana tiada virus sebenar digunakan, ia tidak memerlukan kemudahan biokeselamatan tinggi untuk dihasilkan.
Komplikasi Chikungunya
Komplikasi yang boleh berlaku termasuklah:
- Uveitis – keradangan pada lapisan mata di antara retina dan lapisan luar (sklera & kornea)
- Retinitis – keradangan retina
- Myocarditis – keradangan otot jantung
- Hepatitis – keradangan hati
- Nephritis – keradangan buah pinggang
- Pendarahan
- Meningoensefalitis – keradangan lapisan otak dan tisu otak
- Myelitis – keradangan saraf tunjang
- Sindrom Guillain-Barré – penyakit saraf periferi yang menyebabkan kelemahan otot
- Kelumpuhan saraf kranial
Pencegahan
Oleh kerana cara penularan utama chikungunya ialah melalui gigitan nyamuk, pencegahan terbaik adalah dengan mengurangkan pendedahan kepada nyamuk.
Langkah-langkah pencegahan termasuklah:
- Menggunakan penyembur serangga yang mengandungi DEET atau picaridin pada kulit dan pakaian
- Memakai pakaian berlengan panjang dan menutup badan
- Mengurangkan aktiviti luar terutama pada awal pagi dan lewat petang
- Mengelakkan perjalanan ke kawasan yang mengalami wabak
- Menggunakan produk berasaskan minyak lemon eucalyptus atau PMD
- Menggunakan penghawa dingin untuk menghalang nyamuk memasuki bilik
- Tidur di bawah kelambu
- Menggunakan lingkaran nyamuk dan pengewap racun serangga
Walaupun chikungunya jarang membawa maut, simptomnya boleh menyebabkan ketidakselesaan yang teruk dan berpanjangan. Mengelakkan gigitan nyamuk adalah faktor paling penting.
Sejarah
Perkataan “chikungunya” berasal daripada bahasa Makonde (Kimakonde) yang dituturkan di dataran tinggi Makonde tempat penyakit ini pertama kali dikenal pasti. Ia bermaksud “yang membengkok”, “menjadi melengkung,” atau “berjalan membongkok,” merujuk postur pesakit yang mengalami sakit sendi.
Chikungunya ialah virus RNA daripada keluarga Togaviridae. Penyakit ini pertama kali dikesan selepas satu wabak di Tanzania pada tahun 1952. Selepas wabak awal tersebut, banyak kajian saintifik yang diterbitkan, namun minat pengkaji terhadapnya merosot sehingga berlaku wabak yang lebih besar di sekitar Lautan Hindi pada tahun 2005.
Dahulunya chikungunya dianggap penyakit tropika kerana ia hanya direkodkan di Afrika, Asia, dan India. Bagaimanapun, sejak 2007, wabak ini telah dicatatkan di Itali, Perancis, Croatia, dan kepulauan Caribbean. Secara keseluruhan, lebih 60 negara pernah melaporkan kes chikungunya.
























Tulis Komen