Penyakit Apnea Tidur – Punca, Tanda & Rawatan

Mereka yang menghidap apnea tidur tidak bernafas dengan sempurna ketika tidur dan akibatnya tidak mendapat oksigen yang secukupnya.

Berdengkur dengan kuat mungkin satu petanda bahawa terdapat masalah pernafasan ketika tidur. Berdengkur menunjukkan bahawa saluran udara tidak terbuka dengan sempurna, dan bunyi dengkuran adalah akibat cubaan memaksa udara mengalir melalui aluran yang sempit.

Dianggarkan 10% sehingga 30% orang dewasa tidur berdengkur, dan kebanyakan mereka tidak mempunyai masalah perubatan yang serius, sekadar tahap sederhana. Dianggarkan lima dari setiap seratus orang yang berdengkur, biasanya lebih berat badan, berusia separuh abad, berdengkur dengan amat kuat. Ini adalah tanda-tanda awal masalah yang boleh mengancam nyawa iaitu apnea tidur tersumbat.

Apnea merupakan dari perkataan Yunani yang membawa maksud “tanpa nafas”. Mereka yang menghidap apnea tidur tidak bernafas dengan sempurna ketika tidur dan akibatnya tidak mendapat oksigen yang secukupnya. Otak akan mengejutkan penghidap apnea seketika agar terus bernafas untuk mendapatkan oksigen yang secukupnya, tetapi kesan sampingannya adalah tidur yang terganggu dan tidak berkualiti.

Sebab apnea tidur adalah otot yang kendur ketika tidur termasuk otot yang yang bertanggung jawab untuk membuka salur pernafasan. Dalam kebanyakan orang, proses ini tidak mendatangkan masalah. Bagaimanapun, bagi sesetengah orang, otot kerongkong kendur melampau menyebabkan masalah pernafasan dan menyebabkan tidur sebagai aktiviti berisiko.

Apnea tidur menyumbang kepada perasaan mengantuk yang amat sangat pada siang hari, dan mampu menyebabkan tekanan darah tinggi, sakit jantung, dan strok. Berdengkur setiap malam walau apapun kedudukan sedang tidur, memerlukan pemeriksaan doktor yang boleh mencadangkan rawatan yang bersesuaian. Rawatan yang betul boleh menghalang dan memperbaik (reverse) kesan apnea tidur yang berpotensi untuk mengancam nyawa.

Tanda-tanda Apnea Tidur

Tanda-tanda awal apnea tidur adalah bunyi dengkuran yang kuat sehingga boleh didengar oleh jiran. Dengkuran yang terhenti-henti, diikuti dengan tercungap-cungap, tanda pernafasan yang terhenti. Sesetengah orang berhenti bernafas berulang-kali ketika tidur. Gangguan tidur sebegini mampu mengakibatkan rasa mengantuk yang melampau pada siang hari yang mengganggu kerja dan kehidupan harian.

Penghidap apnea tidur mampu tertidur pada waktu yang tidak sesuai seperti ketika sedang bekerja, atau ketika sedang memandu kenderaan. Kajian menunjukkan penghidap apnea tidur adalah dua hingga lima kali lebih kerap mengalami perlanggaran berbanding orang biasa.

Masalah menumpukan fikiran, cepat lupa, mudah marah, resah, atau tertekan merupakan simtom apnea tidur. Masalah ini mungkin timbul secara tiba-tiba ataupun secara perlahan-lahan selama beberapa tahun.

Kadang kala penghidap apnea tidur mendapatkan rawatan kerana masalah tidur. Penghidap apnea tidur mungkin sedar bahawa mereka kerap terjaga tercungap-cungap untuk mendapatkan udara dan menggelepur ketika tidur.

Mereka mungkin mengadu pening kepala pada pagi hari, sakit tekak, dan hilang minat untuk hubungan kelamin. Lelaki mungkin menghadapi masalah ketegangan alat kelamin. (erectile dysfunction). Bayi pra-matang juga berkemungkinan mengalami apnea tidur.

Jenis-jenis Apnea Tidur

Terdapat tiga jenis apnea iaitu:

  1. Apnea tidur tersumbat (Obtructive Sleep Apnea – OSA)
  2. Apnea tidur pusat (Central Sleep Apnea)
  3. Apnea bercampur

Diantara ketiga jenis apnea ini, apnea tidur tersumbat (obstructive) merupakan yang paling biasa dialami. Walaupun mempunyai punca yang berlainan bagi setiap jenis apnea, dalam ketiga-tiga jenis, penghidap apnea yang tidak dirawat berhenti bernafas berkali-kali ketika tidur.

Kadang-kala mencapai beratus-kali setiap malam dan biasanya melebihi satu minit setiap kali berhenti bernafas.

Apnea Tidur Tersumbat (Obtructive Sleep Apnea)

Apnea tidur tersumbat (Obtructive Sleep Apnea – OSA) disebabkan oleh salur udara yang tersumbat oleh tisu lembut di bahagian belakang kerongkong yang kendur dan tertutup ketika tidur. Apnea tidur tersumbat juga dikenali sebagai apnea salur udara atas (upper airway apnea).

Otot palate lembut terletak dipangkal lidah dan anak tekak (uvula), kendur dan melendut, menghalang salur udara, menyebabkan sesak pernafasan dan berbunyi. Apabila dinding salur udara turut kendur, salur pernafasan tersumbat sepenuhnya. Apabila pernafasan terhenti secara berkala, bunyi dengkuran akan terhenti.

Apabila tekanan meningkat, otot diafragma dan dada terpaksa bekerja lebih kuat. Tidur akan terganggu seketika. Gangguan ini mengaktifkan otot kerongkong dan membuka salur pernafasan.

Gambaran apnea tidur tersumbat

Usaha untuk bernafas sama seperti cubaan menyedut air menggunakan straw lembik. Penghidap apnea akan tercungap-cungap dan setiap cungapan menyedarkan penghidap apnea.

Biasanya ia berlaku terlalu singkat sehinggakan penghidap apnea tidak mengingati  apa-apa keesokan harinya. Penghidap apnea tidur mungkin berhenti bernafas selama 10 saat atau lebih, beratus-ratus kali sepanjang malam.

Setiap kali pernafasan terhenti, aras oksigen dalam darah menurun dan jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengalirkan darah. Tekanan darah meningkat dan mungkin kekal selepas pernafasan bersambung. Jantung kadang-kala berdegup tidak sekata dan mungkin berhenti untuk beberapa saat.

Gangguan jantung ini mungkin bertanggungjawab kepada kematian bagi sesetengah mereka yang tidur dalam keadaan sihat. Alkohol, ubat tidur, dan ubat penenang yang diambil sebelum tidur menggalakkan pengenduran otot menyebabkan salur udara lebih mudah tersumbat (collapse).

Sesetengah orang mempunyai kecacatan kecil yang mungkin menambahkan risiko menghidap apnea tidur seperti orang yang mempunyai rahang yang kecil daripada biasa, saiz lidah yang besar, tonsil yang membengkak, atau tisu yang menghalang laluan udara. Beberapa keadaan ini mungkin terdapat pada orang yang sama.

Apnea tidur tersumbat kebanyakannya berlaku di kalangan lelaki gemuk. Hormon wanita dan bentuk salur pernafasan yang berbeza mungkin melindungi wanita sehingga putus haid (menopause). Selepas itu perbezaan antara jantina menurun sehingga terdapat juga wanita yang berdengkur dan menghidap apnea tidur. 

Apnea Tidur Pusat (Central Sleep Apnea)

Bagi apnea tidur pusat (Central Sleep Apnea), saluran udara tidak tersumbat, tetapi otak gagal memberi isyarat kepada otot untuk menyedut udara. Saluran udara masih kekal terbuka tetapi otot diafragma dan otot dada berhenti berfungsi menyebabkan sesak nafas.

Kadar oksigen yang rendah memberi isyarat kepada otak untuk mengejutkan penghidap apnea dan terus bernafas, tetapi pada masa yang sama jantung terpaksa bekerja lebih keras untuk menggantikan oksijen yang telah digunakan oleh badan.

Apnea tidur pusat lebih kerap berlaku kepada mereka yang berusia, dan 25% daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas mengalaminya. Pada kebanyakan kes ia adalah sederhana. Ia lebih kerap dan teruk dikalangkan mereka yang menghidap sakit jantung atau masalah saraf (neurological disorders). Penghidap apnea tidur pusat terjaga lebih kerap berbanding mereka yang menghidap apnea tidur tersumbat.

Terdapat juga masalah bayi yang baru lahir yang menghadapi masalah apnea tidur pusat yang selalu berlaku dikalangan bayi pra-matang disebabkan otak mereka masih belum terbentuk dengan sempurna.

Dalam setiap kejadian apnea, penghidap apnea akan berhenti bernafas ketika tidur. Otak akan mengejutkan penghidap apnea seketika untuk mereka terus bernafas, tetapi akibat sampingannya adalah tidur yang terganggu dan tidak berkualiti.

Apnea tidur adalah satu keadaan biasa yang dihadapi oleh ramai orang, sehingga 12 juta penduduk Amerika, menurut Institute Kesihatan Negara Amerika (National Institutes of Health). Faktor risiko termasuk lelaki, gemuk, dan berusia lebih daripada empat puluh tahun.

Bagaimanapun apnea tidur boleh membabitkan dari semua golongan usia, termasuk kanak-kanak. Bagaimanapun disebabkan kurangnya kesedaran umum dikalangkan orang ramai dan ahli perubatan, kebanyakan penghidap apnea tidur tidak didiagnosis dan kekal tanpa rawatan, walaupun masalah ini mempunyai kesan yang berat.

Kesan Apnea Tidur

Sekiranya tidak dirawat, apnea tidur mampu menyebabkan tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular, masalah ingatan, pertambahan berat badan, kemandulan, dan pening kepala.

Tambahan lagi, apnea tidur yang tidak dirawat boleh menyebabkan kerja tidak sempurna, dan penghidapnya berlanggar sekiranya mereka tertidur ketika memandu. Penyakit apnea tidur dapat di kesan dan dirawat dengan berkesan. Terdapat beberapa pilihan rawatan yang boleh digunakan dan beberapa rawatan lain sedang dalam penyelidikan.

Kesan apnea tidur

Rawatan Apnea Tidur

Terdapat pelbagai jenis rawatan yang direka khusus untuk merawat penghidap apnea tidur agar mereka dapat bernafas dengan normal dan menghilangkan masalah tidur mereka. Di antara jenis rawatan yang boleh digunakan untuk merawat apnea tidur dan memastikan penghidap apnea tidur dapat tidur dengan nyenyak adalah:

1. CPAP (Continuous Positive Airway Pressure)

Tekanan Salur Udara Berterusan. Bekalan udara bertekanan tinggi dipamkan secara berterusan melalui saluran ke dalam hidung melalui topeng pernafasan. Ini akan menghalang saluran udara daripada tersumbat ketika sedang tidur.

Paras tekan udara yang bersesuaian dengan seseorang individual untuk memastikan saluran pernafasannya kekal terbuka ditentukan dalam pemerhatian yang dilakukan ketika penghidap apnea sedang tidur. Apabila aras CPAP telah ditetapkan, pesakit berterusan menggunakan CPAP di rumah, pola tidur kembali normal dan paras oksigen dalam darah bertambah baik, tanda dan simptom mengantuk yang melampau pada siang hari akan hilang.

Kajian juga mendapati pertambahan dalam kebolehan berfikir (kognitif), daya ingatan, daya tumpuan, dan fungsi psikologi.

Pesakit apnea tidur menggunakan CPAP

2. Tekanan Positif Laluan Udara Dua Arah (Bilevel Positive Airway Pressure – BiPAP)

Rawatan ini juga menggunakan topeng pernafasan yang diletakkan pada hidung yang membolehkan kawalan tekanan udara tinggi ketika menyedut dan tekanan udara tinggi rendah ketika menghembus nafas. Ini juga bertujuan untuk menghalang saluran pernafasan daripada tersumbat (collapse).

Tekanan udara ini akan memastikan penghidap apnea dapat bernafas dengan normal ketika sedang tidur dan tidak lagi menghadapi masalah untuk tidur dengan nyenyak.

3. Peranti mulut (Mouthpiece)

Rawatan ini menggunakan penjaga mulut, biasanya diperbuat daripada plastik, untuk mengekang rahang atau lidah ke hadapan, dengan itu memastikan saluran pernafasan sentiasa terbuka.

Peranti mulut untuk apnea tidur

4. Ubat-ubatan

Untuk menggalakkan pernafasan seperti theophylline, aminophylline, atau caffeine.

5. Mesin pernafasan (Mechanical Ventilation)

Bagi bayi pra-matang yang menghadapi masalah apnea tidur yang teruk, mesin pembantu pernafasan mungkin digunakan secara berkala atau apabila bayi mengalami apnea.

6. Perangsang berkala

Atau katil bergoyang untuk bayi yang menghidap apnea tidur. 

Rawatan lain seperti mengurangkan berat badan, penggunaan oksigen tambahan, dan ubat-ubatan tambahan tidak menunjukkan reaksi yang begitu baik disebabkan yang berikut:

  • Kehilangan berat badan mengurangkan bilangan dan tahap apnea tetapi pada kebiasaannya penghidap apnea juga pada tahap teruk juga mempunyai saluran pernafasan yang tidak normal, yang tidak dapat diatasi dengan mengurangkan berat badan semata-mata.
  • Bekalan oksigen tambahan menunjukkan kejayaan yang tidak menentu. Hanya sebahagian pesakit mencapai kejayaan dengan kaedah rawatan ini. Rawatan oksigen tambahan perlu dilakukan secara percubaan, di bawah penyeliaan doktor.
  • Secara keseluruhannya ujian menggunakan ubat-ubatan untuk mengawal apnea tidur tersumbat mendapat kejayaan terhad walaupun sesetengah pesakit yang menghadapi apnea disebabkan hidung tersumbat dapat dibantu dengan penggunaan ubat pelega hidung (nasal decongestants)

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.