Dual Diagnosis: Penyakit Mental Yang Sering Dikaitkan Dengan Penyalahgunaan Dadah

Selain dual diagnosis, antara terma lain yang boleh digunakan adalah seperti co-occurring disorder dan juga comorbidity (lebih umum).
dual diagnosis penyakit

Pada artikel yang lepas telah diterangkan mengenai definisi Dual Diagnosis dan perkaitan antara penagihan dadah dan masalah kesihatan mental.

Selain dual diagnosis, antara terma lain yang boleh digunakan adalah seperti co-occurring disorder dan juga comorbidity (lebih umum). 

Kesemua masalah kesihatan mental yang dinyatakan hanya boleh disahkan oleh doktor perubatan atau pakar perubatan psikiatri sebelum rawatan yang sesuai diberikan termasuklah Terapi Kognitif, kaunseling dan ubat-ubatan.

Antara masalah kesihatan mental yang sering dikaitkan dengan penagihan dadah adalah seperti berikut:

Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)

ADHD merupakan satu kecelaruan tingkah laku yang biasa terjadi di kalangan kanak-kanak yang menyebabkan mereka kurang tumpuan, menjadi hiperaktif dan selalu menurut naluri.

Penghidap ADHD lebih cenderung untuk menyalahgunakan dadah bagi mengawal gejala mereka. Terdapat juga penghidap ADHD yang sememangnya dipreskripsi ubat stimulan oleh doktor tetapi kajian menunjukkan pemberian ubat stimulan dengan kawalan tidak menyebabkan ketagihan.

Bipolar disorder

Bipolar disorder bermaksud keadaan di mana pesakit mengalami episod kemurungan atau mood melampau sehingga mengganggu aktiviti harian pesakit.

Penghidap bipolar disorder selalu mengalami masalah ketagihan dadah disebabkan mereka lebih cenderung untuk merawat sendiri gejala yang dialami disebabkan takut dengan stigma masyarakat apabila menerima rawatan psikiatri.

Dadah dan alkohol digunakan sebagai penenang sementara apabila pesakit ini mengalami tekanan emosi ataupun episod psikosis yang selalu dialami pesakit bipolar.

Borderline personality disorder

Borderline Personality Disorder (BPD) bermaksud gangguan personaliti di mana mereka yang mempunyai BPD mempunyai hubungan yang tidak stabil dengan orang lain, ketidakstabilan imej diri yang ketara dan juga emosi yang tidak stabil.

Terdapat kajian menunjukkan bahawa masalah penagihan dan borderline personality disorder (BPD) mempunyai perkaitan. Lebih kurang dua pertiga mereka yang mempunyai borderline personality disorder (BPD) pernah menyalahgunakan dadah dalam hidup mereka.

Kemurungan

Masalah kemurungan bermaksud episod kesedihan atau kemurungan yang berlarutan dan teruk sehingga pesakit tidak dapat menjalankan fungsi hidup yang normal.

Dianggarkan satu dari 10 orang dewasa di Amerika Syarikat mengalami kemurungan. Pesakit ini juga selalu mengambil dadah dan alkohol untuk melupakan masalah yang dialami namun ia sebenarnya akan memburukkan lagi keadaan mereka. Apabila kesan alkohol atau dadah hilang, gejala penyakit ini akan menjadi lebih teruk.

Generalized anxiety disorder (GAD)

GAD ataupun masalah keresahan melampau adalah keadaan di mana pesakit berasa resah sehingga mengganggu fungsi harian mereka.

Pesakit ini juga selalunya cuba untuk merawat diri sendiri lalu berpaling kepada dadah dan alkohol untuk kelegaan sementara dan apabila kesan dadah ini hilang, keadaan mereka menjadi lebih teruk dan perlu meningkatkan dos dadah yang diambil.

Selain itu kesan sampingan daripada dadah sendiri juga boleh menyebabkan masalah keresahan seperti dadah psikedelik, ketamin dan lain-lain.

Post-traumatic stress disorder

Selalunya terjadi disebabkan sejarah hidup silam yang tidak dapat dilupakan sehingga pesakit ini selalu mengalami igauan ngeri dan keresahan.

Pesakit ini juga cenderung untuk menyalahgunakan dadah dan alkohol bagi melupakan kisah silam tersebut.

Schizophrenia

Schizophrenia merujuk kepada keadaan di mana pesakit sukar untuk membezakan antara realiti dan khayalan.

Pesakit ini boleh mempunyai gejala positif dan negatif. Contoh gejala positif adalah seperti mempunyai kepercayan yang luar biasa, mengalami delusi dan halusinasi. Gejala negatif pula adalah seperti  kelembapan aktiviti kognitif, tidak bermotivasi, kesukaran dalam bertutur dan lain-lain.

Adalah amat penting bagi mengenalpasti penagih yang mengalami dual diagnosis ini kerana rawatan kepulihan mereka tidak berkesan jika masalah kesihatan mental ini tidak dirawat pada masa yang sama.

Bacaan lanjut:

Sumber:

  1. https://www.addictioncenter.com/addiction/borderline-personality-disorder/

Print Friendly, PDF & Email
Staf Editorial
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.