Melasma – Punca, Tanda dan Rawatan

Melasma merupakan masalah kulit yang kerap berlaku pada wanita dan boleh disebabkan pelbagai punca, jom ketahui cara pencegahan dan rawatannya.

Melasma merupakan antara masalah kulit yang kerap berlaku. Ianya menyebabkan tompokan gelap dan perubahan warna pada kulit.

Ianya juga dikenali sebagai kloasma, dan kerap juga berlaku ketika seseorang wanita sedang hamil. Melasma lebih kerap berlaku pada wanita berbanding lelaki. Menurut statistik, lebih kurang 90 peratus kes melasma berlaku pada wanita.

Tanda-tanda dan gejala

Melasma boleh menyebabkan tompokan dan perubahan warna pada kulit. Selalunya warna tompokan ini adalah lebih gelap dari warna asal kulit. Ianya banyak berlaku pada bahagian kulit muka, dengan corak yang sama pada kedua-dua belah bahagian dan juga mempunyai bentuk yang simetri.

Melasma juga boleh berlaku pada bahagian badan yang lain terutamanya jika kerap terdedah kepada cahaya matahari.

Tompokan berwarna coklat selalunya berlaku pada:

  • pipi
  • dahi
  • batang hidung
  • dagu

Ianya juga boleh berlaku pada leher dan lengan. Perubahan warna ini tidak menyebabkan apa-apa bahaya, namun seseorang mungkin merasa tidak selasa dengan kehadiran melasma.

Jika anda menyedari gejala melasma ini, anda boleh mendapatkan nasihat daripada doktor. Anda mungkin akan dirujuk kepada pakar kulit untuk pemeriksaan lanjut.

Punca dan faktor risiko melasma

Punca terjadinya melasma belum dapat dikenalpasti. Individu yang berkulit gelap lebih berisiko berbanding mereka yang berkulit cerah.

Sensitiviti terhadap hormon estrogen dan progesteron juga dikaitkan dengan melasma. Ini bermaksud pil perancang, kehamilan dan terapi hormon boleh mencetuskan kepada terjadinya melasma. Tekanan dan penyakit tiroid juga dikaitkan sebagai antara punca berlakunya melasma.

Selain itu, pendedahan terhadap cahaya matahari juga boleh menyebabkan melasma kerana sinaran ultraviolet boleh menjejaskan sel yang mengawal pigmen warna kulit (melanosit).

Pengesanan

Pemeriksaan secara luaran pada bahagian yang terlibat biasanya sudah cukup untuk doktor membuat diagnosis. Kadangkala doktor akan melakukan beberapa ujian bagi memastikan ianya bukan penyakit lain yang lebih berbahaya.

Salah satu ujian yang dilakukan adalah pemeriksaan menggunakan lampu Wood. Ianya merupakan lampu khas yang akan disuluh pada kulit. Ianya membolehkan doktor memeriksa jika terdapat jangkitan bakteria atau kulat dan boleh juga membantu doktor melihat berapa lapisan kulit yang terkesan oleh melasma.

Kadangkala, doktor akan melakukan biopsi dengan mengambil sampel kulit yang terlibat untuk dihantar ke makmal.

Rawatan melasma

Pada sesetengah wanita, melasma boleh hilang dengan sendiri. Selalunya ia melibatkan melasma yang berpunca daripada kehamilan dan pil perancang.

Terdapat krim yang boleh diberikan oleh doktor untuk mencerahkan kembali kulit yang terlibat. Krim steroid juga boleh diberikan untuk mengurangkan melasma. Jika tidak berkesan, prosedur seperti kupasan kimia, dermabrasion dan mikrodermabrasion juga boleh dilakukan.

Rawatan ini akan membuang lapisan teratas kulit dan boleh membantu mencerahkan semula bahagian yang terlibat. Walaubagaimanapun kesemua ubat dan prosedur di atas tidak dapat menjamin melasma tidak akan kembali semula. Kadangkala tidak semua melasma dapat dihilangkan.

Anda mungkin memerlukan rawatan lanjutan atau menyambung rawatan bagi mengurangkan risiko melasma berlaku semula. Ini termasuk mengelakkan kulit terdedah dengan cahaya matahari dan memakai sunscreen pada setiap hari.

Rawatan di rumah

Jika melasma tersebut berlaku akibat kehamilan atau pengambilan pil perancang, ianya boleh hilang semula setelah beranak atau berhenti pengambilan pil tersebut.

Walaubagaimanapun anda boleh mencuba beberapa bahan berikut di rumah bagi menghilangkan melasma.

Aloe vera 

Terdapat kajian pada wanita mengandung yang menunjukkan penggunaan bahan aloe vera secara luaran dapat mengurangkan berlakunya melasma.

Polypodium leucotomos

Ianya merupakan sejenis tumbuhan pakis yang tumbuh di Amerika Selatan dan Tengah. Juga dikenali sebagai kalaguala dan anapsos. Terdapat kajian menunjukkan pengambilan tumbuhan ini secara oral dapat mengurangkan melasma.

Asid tranexamic

Asid tranexamic juga mungkin dapat membantu dalam merawat melasma, ianya merupakan ubat sintetik berdasarkan asid amino lysine.

Glutathione

Glutathione merupakan sejenis antioksidan yang terdiri dari tiga asid amin (cysteine, glutamic acid, dan glycine). Ianya boleh ditemui pada kebanyakan mamalia.

Menurut kajian, glutathione dapat membantu mengurangkan melanin pada penghidap melasma dengan pengambilan secara oral. Melanin berlebihan boleh menyebabkan hiperpigmentasi.

Perlindungan dari cahaya matahari

Lindungi kulit anda. Pakai sunscreen setiap hari, dan sapu semula setiap dua jam. Anda boleh juga memakai pakaian pelindung serta topi apabila keluar.

Rawatan perubatan

Anda mungkin akan dirujuk kepada pakar kulit (dermatologis). Dermatologis boleh mengesahkan diagnosis anda dan memulakan rawatan bagi menghilangkan melasma.

Salah satu rawatan adalah dengan menggunakan hydroquinone. Ubat sapu ini boleh mengurangkan hiperpigmentasi. Ianya terdapat secara preskripsi dalam bentuk losyen, krim atau cecair. Rawatan lain pula termasuklah:

  • tretinoin
  • kortikosteroid
  • krim triplet (gabungan hydroquinone, tretinoin, dan kortikosteroid)
  • asid azelaic
  • asid kojic

Jika ubat sapu tidak berkesan, dematologis mungkin akan mencadangkan prosedur tertentu bagi merawat melasma, antaranya adalah:

  • kupasan kimia (chemical peel)
  • dermabrasion
  • microdermabrasion
  • rawatan lazer
  • prosedur menggunakan cahaya
  • jarum mikro (microneedling)

Hidup dengan melasma

Walaupun tidak semua kes melasma hilang selepas rawatan, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi memastikan keadaan ini tidak menjadi lebih teruk atau untuk mengurangkan perubahan pada warna kulit.

Antaranya termasuklah:

  • menggunakan alat solek bagi menutup bahagian yang terlibat
  • mengambil ubat yang diberikan oleh doktor
  • memakan sunscreen setiap hari dengan SPF 30
  • memakai pakaian pelindung badan dan topi bagi melindungi muka

Memakai pakaian pelindung dari cahaya matahari adalah amat penting jika anda perlu berada di bawah cahaya matahari untuk tempoh yang lama.

Jika anda risau dengan kehadiran melasma pada kulit, anda boleh terus mendapatkan nasihat doktor dan dapatkan juga sokongan dari ahli keluarga serta rakan-rakan jika keadaan ini menjejaskan kesihatan mental serta keyakinan diri anda.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.