Ketumbit Pada Mata – Punca, Tanda dan Rawatan

Ketumbit merupakan benjolan pada mata yang boleh pulih dengan sendiri sekiranya kebersihan mata dijaga, jom ketahui lebih lanjut berkenaan ketumbit.

Ketumbit merupakan benjolan kecil berwarna merah dan menyakitkan pada kelopak mata. Ianya juga dikenali sebagai stye. Sama seperti jerawat, ketumbit terjadi apabila kelenjar minyak yang halus pada bulu mata tersumbat dan dijangkiti kuman.

Ketumbit adalah gejala yang kerap berlaku dan kebanyakannya akan pulih sendiri dengan rawatan di rumah. Walaubagaimanapun terdapat sesetengah kes yang memerlukan rawatan daripada doktor.

Jenis ketumbit

Ketumbit atau stye merupakan benjolan kecil yang menyakitkan dan berwarna merah pada hujung kelopak mata. Ianya kelihatan seperti jerawat. Ketumbit berlaku apabila kelenjar minyak yang halus pada bulu mata telah tersumbat dan dijangkiti kuman. Dari segi perubatan ketumbit dikenali sebagai hardeolum.

Terdapat dua jenis ketumbit:

  • Ketumbit luaran. Ini berlaku pada bahagian permukaan kelopak mata bawah atau atas. Ketumbit luaran adalah jenis yang paling kerap berlaku dan selalunya disebabkan jangkitan pada folikel yang terdapat di pangkal bulu mata.
  • Ketumbit dalaman. Ianya berlaku pada bahagian dalam kelopak mata yang melapisi bebola mata. Ia selalunya disebabkan oleh jangkitan pada kelenjar bahagian dalam kelopak mata yang menghasilkan minyak bagi mengekalkan kelembapan kelopak mata.

Ketumbit juga sama seperti sejenis lagi benjolan kelopak mata yang dikenali sebagai chalazion. Chalazion merupakan benjolan yang berlaku pada bahagian tengah kelopak mata. Bezanya dengan ketumbit adalah chalazion tidak menyakitkan dan bukan disebabkan oleh jangkitan kuman. Rawatan untuk kedua-dua masalah ini adalah sama.

Selalunya ketumbit berlaku pada sebelah kelopak mata, namun ianya boleh juga berlaku pada kedua-dua kelopak mata serentak.

Punca ketumbit

Ketumbit berlaku disebabkan jangkitan kuman pada kelenjar yang menghasilkan minyak di kelopak mata. Kelenjar ini berfungsi menghasilkan minyak bagi melancarkan pergerakan kelopak mata.

Ketumbit kerap berlaku dan risikonya sama untuk semua jantina dan etnik. Walaubagaimanapun, ianya lebih kerap berlaku pada orang dewasa berbanding kanak-kanak kerana kelenjar minyak pada orang dewasa lebih tebal dan dalam lalu menyebabkannya mudah tersumbat.

Jika anda ada penyakit tertentu seperti blepharitis, kelemumur, rosacea, kencing manis atau tinggi kolesterol, anda mungkin lebih berisiko mengalami ketumbit. Dalam kebanyakan kes, ketumbit akan hilang dengan sendiri selepas beberapa minggu. Jika ianya tidak hilang selepas dua minggu, sila dapatkan pemeriksaan doktor.

Tempoh

Ketumbit biasanya berlaku selama seminggu ke dua minggu. Ianya akan hilang dengan sendiri selalunya. Namun jika ianya tidak hilang, anda mungkin perlu berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut seperti ubat antibiotik.

Tanda dan gejala

Tanda dan gejala ketumbit termasuklah:

  • Benjolan kecil berwarna merah dan menyakitkan pada hujung kelopak mata berdekatan bulu mata
  • Bengkak pada kelopak mata, kadangkala berlaku pada keseluruhan kelopak
  • Kulit mengelupas pada kelopak mata
  • Sensitif terhadap cahaya
  • Rasa gatal dan sakit apabila disentuh
  • Mata berair
  • Rasa seperti ada sesuatu di dalam mata

Adakah ketumbit boleh berjangkit?

Selalunya ketumbit tidak berjangkit. Namun bakteria yang terdapat pada ketumbit kadangkala boleh merebak. Sebab itu anda perlu kerap membasuh tangan sebelum dan selepas menyentuh ketumbit dan basuh juga sarung bantal bagi mengelakkan jangkitan. Elakkan dari menyentuh kawasan ketumbit melainkan anda ingin membersihkan atau meletakkan tuaman suam bagi mengurangkan kesakitan.

Tiada masalah untuk pergi bekerja atau ke sekolah apabila sedang mengalami ketumbit kerana ianya sukar berjangkit.

Faktor risiko

Sesiapa sahaja boleh mendapat ketumbit, namun seseorang lebih berisiko mendapatnya jika:

Pengesanan

Sesetengah ketumbit tidak hilang dan memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor. Jika penglihatan anda terkesan disebabkan ketumbit atau ianya menjadi semakin teruk, jumpa doktor dengan segera. Doktor akan melakukan pemeriksaan pada kelopak mata dan bertanyakan berkenaan gejala-gejala yang anda alami.

Doktor juga mungkin akan memberikan ubat antibiotik jenis titis jika anda kerap mengalami ketumbit. Doktor juga boleh mencadangkaan untuk melakukan prosedur bagi membuang atau membersihkan kawasan jangkitan dengan menggunakan ubat bius setempat.

Kadangkala untuk kes yang lebih teruk doktor mungkin akan memberikan ubat antibiotik jenis makan bagi menghalang pembiakan bakteria.

Rawatan di rumah

Ketumbit selalunya akan hilang dengan sendiri dalam masa satu ke dua minggu. Untuk sembuh dengan lebih cepat dan melegakan kesakitan, anda boleh melakukan beberapa perkara di rumah. Antaranya adalah:

Lakukan:

  • Gunakan tuaman suam. Letakkan kain yang suam pada kelopak mata selama 10 ke 15 minit, tiga ke lima kali sehari. Panaskan semula kain dengan merendam ke dalam air suam, perah dan ulang. Ramai juga yang yakin bahawa penggunaan uncang teh hijau yang dilembapkan dengan air suam dan diletakkan pada ketumbit boleh mempercepatkan penyembuhan, ini kerana teh hijau ini mengandungi unsur antibakteria. Terdapat kajian menunjukkan antioksidan di dalam teh hijau boleh memusnahkan dinding sel bakteria dan membunuhnya.
  • Membersihkan kelopak mata. Bersihkan lelehan pada ketumbit dengan menggunakan sedikit sabun dan air. Anda juga boleh mendapatkan pencuci antiseptik dari farmasi.

Jangan lakukan:

  • Jangan cuba memecahkan ketumbit
  • Jangan menggosok atau menyentuh kelopak mata
  • Jangan memakai alat solek atau kanta lekap sehingga ketumbit hilang

Rawatan perubatan

Jika bengkak dan sakit menjadi semakin teruk selepas 48 jam, anda boleh mendapatkan pemeriksaan doktor.

Antara rawatan perubatan untuk ketumbit termasuklah:

  • Doktor boleh melakukan potongan kecil pada ketumbit bagi mengecutkannya menggunakan bius setempat.
  • Doktor boleh memberikan ubat antibiotik jenis sapu atau titis. Kadangkala ubat antibiotik jenis makan akan diberikan dalam kes yang teruk atau selepas prosedur mengecutkan ketumbit dilakukan.
  • Doktor juga boleh memberikan suntikan steroid ke dalam ketumbit bagi mengecutkan bengkak.

Pencegahan

Cara terbaik bagi mencegah ketumbit adalah dengan mengamalkan penjagaan kebersihan muka, ini termasuklah:

  • Kerap membasuh tangan sehingga bersih, terutamanya sebelum menyentuh bahagian muka dan mata.
  • Membasuh tangan sebelum dan selepas membuang kanta lekap dari mata. Bersihkan kanta lekap dengan cecair pembersih dan disinfektan. Jangan memakai semula kanta lekap jenis pakai buang melebihi had yang telah ditetapkan.
  • Bersihkan muka untuk membuang solekan dan kekotoran sebelum tidur.
  • Ganti semula alat solek berkaitan mata setiap dua ke tiga bulan sekali dan jangan kongsi alat solek anda dengan orang lain.

Elakkan juga dari menyapu alat solek pada ketumbit. Ianya boleh melambatkan proses penyembuhan atau boleh menyebabkannya menjadi lebih teruk kerana kelenjar akan menjadi lebih tersumbat. Kuman boleh terus membiak lalu menyebabkan gejala bengkak dan sakit menjadi lebih teruk.

Bila perlu berjumpa doktor

Jumpa doktor dengan segera jika:

  • Mata bengkak sehingga menjadi tertutup
  • Terdapat nanah atau darah daripada benjolan
  • Sakit atau bengkak yang semakin teruk selepas dua ke tiga hari
  • Terdapat lepuh pada kelopak mata
  • Terasa panas pada kelopak mata
  • Penglihatan menjadi kabur
  • Ketumbit kerap berulang semula. Jika ini berlaku, doktor mungkin akan mengambil sampel ketumbit untuk dihantar ke makmal bagi melihat jika terdapat masalah yang lain.

Walaupun ianya menyakitkan, kebanyakan ketumbit tidak membahayakan. Ketumbit akan hilang dengan syarat anda menjaga kebersihan pada mata dan sekitarnya. Anda atau anak anda masih boleh bekerja atau bersekolah sementara menunggu ketumbit hilang.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.