Penyakit Narkolepsi – Punca, Tanda & Rawatan

Narkolepsi (serangan tidur) ialah masalah tidur yang menyebabkan rasa mengantuk melampau pada waktu siang dan sering tertidur pada masa tidak sesuai.

Narkolepsi juga dikenali sebagai ‘serangan tidur’ merujuk kepada masalah tidur yang menyebabkan rasa mengantuk melampau pada waktu siang dengan kecenderungan untuk terlelap pada waktu yang tidak sesuai.

Narkolepsi biasa terjadi, tetapi kesan dalam kehidupan seharian seseorang penghidap narkolepsi amat mendalam. Mereka tidak boleh memandu, melakukan perkara-perkara merbahaya, sering disalah anggap sebagai masalah mental, dan tersingkir oleh masyarakat.

Ubat bagi menyembuhkan narkolepsi masih belum didapati tetapi dengan kemajuan teknologi, perubatan, dan farmasi masa kini, penghidap narkolepsi mampu menjalani kehidupan hampir normal.

Tanda-tanda Narkolepsi

Terdapat empat tanda narkolepsi iaitu:

  • Rasa mengantuk melampau pada waktu siang
  • Cataplexy
  • Lumpuh tidur (sleep paralysis)
  • Khayalan hypnagogic

Dalam kebanyakan kes, tanda narkolepsi pertama yang paling mengganggu adalah rasa mengantuk melampau pada waktu siang. Tanda-tanda narkolepsi boleh muncul secara serentak atau perlahan-lahan.

Rasa mengantuk melampau pada waktu siang

Rasa mengantuk melampau pada waktu siang merupakan tanda pertama disedari oleh penghidap narkolepsi. Penghidap narkolepsi bukan sahaja terlelap seperti orang normal seperti selepas makan, atau semasa kelas yang  membosankan, tetapi juga pada masa yang mana orang biasa mampu berjaga seperti ketika menonton cerita,  menulis surat, memandu, atau ketika sedang bercakap dengan orang lain.

Cataplexy

Cataplexy merujuk kepada kehilangan kawalan otot seketika. Simptom ini biasanya muncul selepas berbulan atau bertahun mengalami perasaan mengantuk.

Cataplexy biasanya dicetuskan oleh perasaan emosi yang kuat seperti ketawa, gembira, terkejut, dan kadang kala oleh perasaan marah. Kelemahan otot berbeza dari tahap sederhana di mana terdapat perasaan lemah seketika pada otot kaki – atau menyebabkan kehilangan kawalan otot sepenuhnya yang menyebabkan rebah.

Penghidap Cataplexy berada dalam keadaaan sedar sepenuhnya dan berbeza dengan mereka yang berasa hendak pitam. Terdapat kemungkinan mereka yang mengalami Cataplexy tidak menghidap narkolepsi.

Keadaan cataplexy disebabkan oleh perubahan mood

Lumpuh tidur (Sleep Paralysis)

Lumpuh tidur (Sleep Paralysis) merujuk kepada kehilangan kawalan otot ketika seseorang sedar dari tidur atau hampir tidur. Ia merupakan perasaan yang menakutkan disebabkan mereka menyedari apa yang berlaku disekeliling tetapi tidak mampu bergerak atau bercakap.

Berbeza dengan Cataplexy, mereka yang diserang lumpuh tidur sembuh apabila disentuh. Keadaan ini juga dikenali sebagai ditindih hantu dikalangan orang melayu. Ini disebabkan mangsa akan sedar apabila disentuh. Oleh itu mereka menganggap kejadian ini disebabkan perbuatan makhluk halus yang menindih orang tersebut.

Lumpuh tidur terasa seperti ditindih

Khayalan Hypnagogic (Hypnagogic Hallucinations)

Khayalan Hypnagogic (Hypnagogic Hallucinations) merupakan pengalaman mimpi nyata yang berlaku ketika seseorang dalam keadaan mengantuk ketika hampir tidur atau terjaga. Pengalaman mimpi nyata ini mungkin melibatkan gambaran atau bunyi yang mengganggu lebih menakutkan lagi sekiranya pengalaman ini disalah tafsir sebagai penyakit mental.

Ramai penghidap Khayalan Hypnagogic melapurkan seseorang atau sesuatu berada di dalam bilik atau diluar bilik mereka. Pengalaman ini lebih menakutkan disebabkan mereka hanya separuh sedar dan tidak dapat mengawal keadaan.

Tanda-tanda tambahan narkolepsi termasuk perbuatan automatik (tugas yang biasa dilakukan tanpa mengingati  atau sedar perbuatan tersebut), kesukaran untuk tidur walaupun tertidur awal pada waktu malam.

Penghidap narkolepsi juga melaporkan masalah penglihatan berganda, tidak mampu munumpukan perhatian, dan hilang ingatan.

Punca Narkolepsi

Punca sebenar narkolepsi tidak diketahui pada masa ini, tetapi narkolepsi kelihatannya disebabkan oleh masalah sistem saraf tunjang yang mengawal tidur dan jaga.

Ketika bermimpi, manusia normal mengalami kehilangan kawalan otot sama seperti cataplexy dan lumpuh tidur sebagai melindungi diri daripada melakukan perbuatan yang boleh merbahayakan diri sendiri.

Penghidap narkolepsi pula mengalami kehilangan kawalan otot dan pengalaman seperti bermimpi yang berlaku pada ketika yang tidak bersesuaian. Kadang-kala narkolepsi berlaku dalam keluarga, tetapi terdapat penghidap narkolepsi dikalangan keluarga yang tidak mempunyai sejarah masalah narkolepsi.

Kajian yang sedang dijalankan menunjukkan terdapat gen, yang digabung dengan faktor lain dalam kehidupan seseorang mencetuskan narkolepsi.

Rawatan Narkolepsi

Untuk memastikan seseorang menghidapi narkolepsi, kajian tidur malam dan Multiple Sleep Latency Test (MSLT) akan dijalankan. Setelah didiagnosa, pesakit dan pakar tidur perlu bekerjasama untuk memastikan rawatan yang paling berkesan.

Penghidap narkolepsi masih belum boleh sembuh sepenuhnya, tetapi tanda-tanda narkolepsi boleh dikawal dengan ubat, rawatan tingkahlaku, dan pengawalan persekitaran.

Mereka yang menghidap narkolepsi biasanya berasa lebih lega apabila menyedari masalah mereka juga dihidapi oleh orang lain dan mereka bukannya sakit jiwa atau mengalami masalah mental seperti yang difikirkan sebelumnya.

Ujian MSLT sedang dijalankan

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.