Pulmonary edema ialah keadaan di mana paru-paru dipenuhi cecair. Ia juga dikenali sebagai kesesakan paru-paru (lung congestion, pulmonary congestion) atau paru-paru berair (lung water). Apabila keadaan ini berlaku, tubuh sukar mendapatkan oksigen yang mencukupi dan pesakit akan mula mengalami sesak nafas.
Rawatan segera terhadap paru-paru berair serta punca asalnya dapat meningkatkan peluang pemulihan pesakit.
Punca Paru-Paru Berair
Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan paru-paru berair.
1. Kegagalan Jantung Kongestif
Punca paling biasa untuk paru-paru berair ialah kegagalan jantung kongestif (CHF). Kegagalan jantung ini berlaku apabila jantung tidak lagi mampu mengepam darah dengan baik ke seluruh anggota badan. Ini akan menyebabkan tekanan meningkat dalam saluran darah kecil pada paru-paru sehingga cecair akan mula bocor ke dalam tisu paru-paru.
Bagi orang normal, paru-paru mengambil oksigen daripada udara yang disedut dan memasukkannya ke dalam darah yang mengalir. Tetapi apabila paru-paru dipenuhi cecair, keupayaan ini terjejas dan tubuh akan kekurangan oksigen.
2. Masalah Perubatan Lain
Antara punca lain termasuklah:
- serangan jantung atau penyakit jantung yang lain
- injap jantung bocor, sempit atau rosak
- tekanan darah tinggi yang mendadak
- pneumonia (jangkitan paru-paru)
- kegagalan buah pinggang
- kerosakan paru-paru akibat jangkitan teruk
- sepsis atau keracunan darah akibat jangkitan
3. Faktor Luaran
Beberapa faktor luaran juga boleh memberi tekanan tambahan kepada jantung dan paru-paru:
- berada di kawasan beraltitud tinggi
- penggunaan dadah terlarang atau overdos ubat
- kerosakan paru-paru akibat menghidu bahan toksik
- trauma atau kecederaan teruk
- kejadian hampir lemas
Tanda dan Gejala
Dalam kes paru-paru berair, tubuh bergelut untuk mendapatkan oksigen kerana cecair yang semakin bertambah dalam paru-paru menghalang oksigen dari memasuki saluran darah. Gejala ini akan menjadi semakin teruk tanpa rawatan.
Gejala juga bergantung kepada jenis paru-paru berair.
Paru-Paru Berair Jangka Panjang
- sesak nafas ketika melakukan aktiviti
- sukar bernafas ketika berbaring
- pernafasan berbunyi (wheezing)
- terjaga pada waktu malam kerana sesak nafas tetapi lega apabila duduk
- peningkatan berat badan dengan cepat, terutamanya pada bahagian kaki
- bengkak pada bahagian bawah badan
- keletihan
Paru-Paru Berair Altitud Tinggi
Disebabkan oleh penyakit altitud atau kekurangan oksigen dalam udara:
- sakit kepala
- degupan jantung tidak teratur dan laju
- sesak nafas ketika bersenam atau ketika berehat
- batuk
- demam
- sukar berjalan di kawasan berbukit atau permukaan rata
Dapatkan rawatan kecemasan dengan segera jika gejala bertambah teruk. Jangan memandu sendiri ke hospital.
Pengesanan
Doktor akan memeriksa sama ada terdapat cecair dalam paru-paru. Pemeriksaan fizikal asas akan dilakukan dan doktor akan mendengar bunyi pada bahagian dada menggunakan stetoskop untuk mengesan:
- degupan jantung yang laju
- pernafasan yang cepat
- bunyi pada paru-paru
- bunyi jantung yang tidak normal
Doktor juga akan memeriksa bahagian leher untuk melihat tanda cecair berlebihan, bengkak pada kaki dan abdomen, serta perubahan pada warna kulit.
Jika paru-paru berair disyaki, ujian tambahan akan dijalankan seperti:
- ujian darah penuh
- ekokardiogram (ultrasound jantung)
- X-ray bahagian dada
- ujian darah untuk mengukur tahap oksigen
- elektrokardiogram (ECG)
Rawatan
Paru-paru berair ialah keadaan serius yang memerlukan rawatan segera. Oksigen adalah rawatan pertama yang selalu diberikan samada melalui topeng oksigen, kanula hidung atau alat tekanan positif.
Selain itu, rawatan juga bergantung kepada punca paru-paru berair.
Antara rawatan tambahan ini termasuklah:
- Pengurang preload – termasuk ubat diuretik untuk mengurangkan tekanan dalam salur darah dan membuang cecair melalui air kencing.
- Pengurang afterload – melegakan tekanan dalam saluran darah bagi mengurangkan beban pada jantung.
- Ubat jantung – membantu mengawal denyutan jantung, tekanan darah dan tekanan dalam arteri serta vena.
- Morfin – untuk mengurangkan perasaan bimbang dan sesak nafas (kurang digunakan kini kerana berisiko).
Dalam sesetengah kes yang lebih teruk, pesakit mungkin memerlukan rawatan rapi di ICU.
Sesetengah pesakit memerlukan bantuan pernafasan seperti CPAP atau tiub endotrakeal dengan ventilator mekanikal.
Paru-Paru Berair vs Efusi Pleura
Sesetengah orang keliru antara paru-paru berair dan efusi pleura.
Pulmonary edema (paru-paru berair) – cecair berkumpul di dalam tisu paru-paru.
Pleural effusion – cecair berkumpul dalam ruang pleura, iaitu lapisan luar paru-paru dan bahagian dalam dinding dada.
Punca efusi pleura termasuk juga CHF, kekurangan zat makanan, pneumonia, atau kanser.
Gejalanya:
- kesukaran bernafas
- batuk yang kering
- sesak nafas
- sakit dada
Paru-Paru Berair vs Pneumonia
Pneumonia berlaku akibat jangkitan virus, kulat atau bakteria yang menyebabkan cecair berkumpul dalam ruang udara paru-paru (alveoli).
Walaupun kedua-duanya melibatkan cecair dalam paru-paru, punca utama pneumonia ialah jangkitan, manakala paru-paru berair selalunya disebabkan oleh CHF.
Gejala pneumonia termasuklah:
- demam panas dan menggigil
- batuk berkahak yang semakin teruk
- sakit dada
- sesak nafas
- loya atau muntah
- cirit-birit
Jika tidak dirawat, pneumonia boleh menyebabkan:
- efusi pleura
- abses paru-paru
- kegagalan pernafasan
- renjatan septik (septic shock)
- kegagalan buah pinggang
Bila Perlu Berjumpa Doktor
Dapatkan rawatan kecemasan segera jika mengalami:
- sesak nafas teruk yang terasa seperti hampir lemas
- tidak dapat bernafas
- cemas kerana sukar bernafas
- batuk yang mengeluarkan kahak bercampur buih merah jambu
- sakit dada
- denyutan jantung yang laju atau tidak teratur
- kulit kebiruan atau kelabu
- berpeluh bersekali dengan kesukaran bernafas
Ini mungkin tanda paru-paru berair akut, yang boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan segera.
Faktor Risiko
Risiko akan menjadi lebih tinggi jika seseorang itu mempunyai:
- masalah jantung atau kegagalan jantung
- sejarah paru-paru berair
- penyakit paru-paru seperti tuberkulosis atau COPD
- penyakit berkaitan saluran darah
Pencegahan
Tidak ada cara untuk mencegah paru-paru berair sepenuhnya. Individu yang berisiko tinggi perlulah mendapatkan rawatan segera jika muncul tanda-tanda awal.
Antara langkah pencegahan yang boleh diambil termasuklah:
- Pengambilan vaksin pneumonia.
- Pengambilan vaksin influenza, terutama untuk warga emas atau pesakit jantung.
- Teruskan ubat diuretik selepas episod paru-paru berair.
Kurangkan risiko kegagalan jantung dengan:
- melakukan pemeriksaan kesihatan berkala
- tidak merokok atau mengambil dadah rekreasi
- bersenam secara kerap
- menjaga pemakanan
- mengekalkan berat badan sihat
Hidup Dengan Paru-Paru Berair
Prognosis bergantung kepada tahap keterukan paru-paru berair. Kes sederhana yang dirawat dengan segera biasanya akan pulih sepenuhnya. Kes yang teruk boleh membawa maut jika rawatan ditangguhkan.
Pastikan anda berjumpa doktor secara berkala dan dapatkan rawatan segera jika gejala muncul.
























Tulis Komen