Penyakit Kulit – Punca, Tanda dan Rawatan

Artikel ini akan membincangkan mengenai penyakit-penyakit kulit yang sering berlaku, disusun mengikut gejala penyakit dan kawasan yang biasa berlaku.

Terdapat beratus-ratus jenis penyakit kulit yang boleh dialami oleh seseorang. Selalunya kebanyakan penyakit kulit mempunyai gejala yang hampir sama, namun terdapat gejala khusus yang membolehkan penyakit-penyakit kulit ini dibezakan.

Penyakit kulit menyebabkan lebih kurang 1.79% beban kesihatan di seluruh dunia. Lebih kurang satu daripada empat orang pernah menghidap penyakit kulit.

Adalah penting untuk mendapatkan rawatan bagi setiap penyakit kulit kerana terdapat penyakit yang boleh menjadi lebih teruk jika dibiarkan sehingga boleh mengancam nyawa.

Artikel ini akan membincangkan mengenai penyakit-penyakit kulit yang sering berlaku, disusun mengikut tempoh penyakit, bila ianya menyerang dan kawasan yang biasa berlaku. Artikel ini juga akan membincangkan ciri-ciri dan perbezaan diantara setiap penyakit kulit ini.

Penyakit kulit kekal

Terdapat penyakit kulit yang berlaku sepanjang hayat. Ada yang bermula ketika kanak-kanak dan berterusan sehingga dewasa. Dalam kes tertentu, terdapat gejala yang hanya muncul sekali-sekala atau dipanggil “flare up“.

Seborrheic dermatitis

Seborrheic dermatitis boleh berlaku pada bayi dan dipanggil juga sebagai kerak kepala atau “cradle cap.” Ianya berbentuk kuping yan berminyak pada kulit bayi terutamanya kulit kepala.

Pada orang dewasa, seborrheic dermatitis boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan. Penyakit ini boleh datang dan pergi sepanjang hayat. Kulit yang terlibat akan menjadi kemerahan dan berminyak. Kuping berwarna kuning juga mungkin terbentuk pada permukaan kulit.

Mereka yang berkulit lebih gelap mungkin perasan kuping yang berbentuk seperti bunga. Kadangkala kulit yang terkesan akan kelihatan lebih gelap atau cerah dari kulit yang normal.

Rawatan boleh membantu mengurangkan gejala. Antara rawatan yang boleh diberikan termasuklah penggunaan syampu khas dan menyapu krim ubat pada kulit yang bermasalah.

Seborrheic dermatitis pada kulit kepala.

Tahi lalat

Tahi lalat merupakan ketumbuhan yang berlaku apabila sel kulit bergabung dengan sel-sel lain di sekeliling. Kebanyakan tahi lalat adalah tidak berbahaya dan tidak memerlukan rawatan.

Kebanyakan orang mempunyai tahi lalat dan ada yang mempunyai sehingga berpuluh-puluh tahi lalat di seluruh badan.

Periksa tahi lalat anda dengan kerap untuk melihat jika terdapat perubahan, seperti saiz semakin membesar atau perubahan warna. Jika terdapat perubahan pada tahi lalat anda, sila berjumpa doktor dengan segera untuk melihat kemungkinan ianya boleh menjadi kanser.

Tahi lalat pada kulit.

Rosacea

Rosacea selalunya akan menyebabkan kemerahan pada muka. Bagi mereka yang berkulit gelap, kawasan yang terlibat akan menjadi lebih gelap dan panas apabila disentuh.

Terdapat empat jenis rosacea yang boleh menyebabkan gejala yang berbeza:

  • Rosacea erythematotelangiectatic boleh menyebabkan: 
    • Kemerahan pada kulit
    • Saluran darah menjadi lebih jelas
    • Muka menjadi merah dan panas
  • Rosacea okular boleh menyebabkan:
    • Mata menjadi merah dan pedih
    • Bengkak pada kelopak mata
    • Ketumbit pada mata
    • Terasa seperti ada sesuatu pada mata
  • Rosacea papulopustular boleh menyebabkan:
    • Bengkak
    • Kulit tidak sekata
    • Bintik pada muka seperti jerawat
  • Rosacea phymatous boleh menyebabkan:
    • Kulit menebal
    • Tekstur kulit tidak sekata

Rosacea tidak dapat disembuhkan tetapi gejalanya boleh dikawal menggunakan ubat sapu atau ubat anti-keradangan.

Rosacea pada muka.

Lupus

Lupus merupakan sejenis penyakit autoimun. Ianya akan menyebabkan keradangan dan kesakitan, gejala lupus pula berbeza-beza diantara pesakit.

Lupus boleh menyebabkan gejala pada seluruh badan. Gejala pada kulit termasuklah tompokan merah atau berbentuk gelang, seperti sunburn pada hidung, pipi dan ruam berbentuk bulat yang tidak sakit atau gatal. Gejala lain pula termasuklah sakit kepala, demam, keletihan, sakit sendi dan sukar bergerak.

Sembilan dari 10 pesakit lupus adalah wanita dan wanita yang berkulit gelap tiga kali ganda lebih berisiko mendapat lupus.

Selain itu gejala pada pesakit berbangsa Afrika selalunya lebih teruk berbanding yang lain. Punca sebenar lupus masih dalam kajian. Rawatan lupus termasuklah ubat-ubatan dan rawatan alternatif yang lain.

Ruam lupus berbentuk rama-rama pada muka.

Psoriasis

Psoriasis juga merupakan masalah autoimun. Gejalanya termasuklah tompokan pada kulit yang gatal dan tidak sekata.

Kawasan-kawasan yang terkesan dengan psoriasis berbeza dari segi saiz dan tahap keterukan. Pada mereka yang berkulit cerah, selalunya terdapat tompokan merah atau pink dengan kuping berwarna putih. Bagi mereka yang berkulit gelap pula tompokan boleh berwarna kelabu atau coklat gelap yang lebih sukar dilihat.

Terdapat lima jenis psoriasis:

  • Psoriasis plak yang menyebabkan tompokan tebal pada kulit.
  • Psoriasis pustular yang menyebabkan pustule kemerahan pada kulit.
  • Psoriasis erythrodermik yang menyebabkan ruam seperti terbakar pada seluruh badan.
  • Psoriasis terbalik yang akan menyebabkan tompokan berkilat pada bahagian lipatan kulit seperti ketiak dan sekeliling kemaluan.
  • Psoriasis guttate yang menyebabkan tompokan kecil pada kulit kepala, muka, dada dan tangan serta kaki.

Rawatan boleh diberikan melalui ubat sapu atau makan. Dapatkan pemeriksaan segera jika anda mengalami gejala psoriasis.

Psoriasis menyebabkan ruam berkuping.

Ekzema

Ekzema selalunya terjadi ketika kanak-kanak tetapi boleh juga bermula apabia sudah dewasa. Terdapat beberapa jenis ekzema termasuklah dermatitis atopik dan dermatitis sentuhan.

Ekzema boleh menyebabkan ruam pada atau sekeliling muka, kulit kepala, siku, leher, buku lali dan betis. Ruam yang terjadi akan menyebabkan kegatalan dan permukaan kulit tidak rata, bertukar warna atau menebal. Pada orang dewasa ruam ini boleh melibatkan lebih banyak bahagian badan.

Gejala yang berlaku mungkin lebih sukar dilihat pada mereka yang berkulit gelap namun kadangkala ekzema boleh menyebabkan kehilangan warna kulit. Perubahan warna kulit yang berlaku mungkin akan kekal walaupun gejala ekzema telah hilang.

Masih belum ada rawatan untuk menyembuhkan ekzama. Gejala ekzema boleh hilang dengan sendiri atau dengan bantuan ubat-ubatan.

Ekzema pada tangan.

Vitiligo atau sopak

Penyakit sopak atau vitiligo akan menyebabkan kehilangan warna kulit. Terdapat beberapa jenis penyakit sopak, tetapi secara umumnya sopak akan menyebabkan tompokan putih pada kulit terutamanya bahagian yang terdedah kepada cahaya matahari.

Pesakit sopak juga selalunya akan kehilangan warna rambut lebih awal. Terdapat sesetengah pesakit yang kehilangan warna kulit sedikit demi sedikit (bertahun-tahun).

Sehingga kini masih tiada rawatan yang dapat menyembuhkan sopak namun terdapat rawatan untuk mengurangkan gejalanya seperti ubat-ubatan dan terapi cahaya. Pembedahan dan rawatan alternatif yang lain juga boleh dilakukan.

Sopak atau vitiligo pada tangan.

Penyakit kulit sementara

Terdapat beberapa penyakit kulit yang boleh sembuh selepas beberapa tempoh atau dengan rawatan yang betul.

Jerawat

Jerawat merupakan masalah kulit yang paling kerap berlaku. Antara gejalanya adalah:

  • Pustules, iaitu jerawat yang mempunyai nanah di hujungnya
  • Papules, iaitu jerawat yang berbentuk bintik keras yang disebabkan oleh jangkitan kuman pada folikel rambut
  • Nodules, sejenis jerawat yang menyebabkan bintik yang menyakitkan pada permukaan kulit
  • Cysts, yang merupakan jerawat bersaiz besar, menyakitkan dan mengandungi nanah di bawah kulit

Sesiapa sahaja boleh mendapat jerawat, dan kadangkala warna kulit boleh berubah selepas berlakunya jerawat yang dipanggil sebagai hiperpigmentasi disebabkan keradangan.

Jerawat boleh dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan. Untuk wanita, rawatan terapi hormon boleh dilakukan. Rawatan cahaya juga berkesan untuk merawat jerawat.

Jerawat pada muka.

Gegata 

Gegata merupakan ruam pada kulit yang gatal. Ianya berwarna merah jambu atau kemerahan pada mereka yang berkulit cerah.

Selalunya gegata disebabkan oleh reaksi alergik. Ianya juga boleh disebabkan stres, kesakitan, dan juga geseran contohnya apabila memakai pakaian ketat.

Gegata biasanya berlaku secara berkumpulan. Ianya akan hilang pada satu bahagian badan tetapi muncul pada bahagian yang lain. Rawatan melibatkan pengambilan antihistamin dan kortikosteroid.

Gegata pada lengan.

Ketuat

Ketuat selalunya disebabkan oleh virus HPV (human papillomavirus), yang boleh berjangkit dari seseorang kepada orang yang lain.

Ketuat boleh muncul pada mana-mana sahaja bahagian badan, selalunya pada tangan, kaki dan sendi. Selalunya warna ketuat adalah mengikut warna kulit seseorang ataupun lebih gelap sedikit.

Kadangkala ianya boleh hilang dengan sendiri namun biasanya doktor akan mencadangkan ianya dibuang, bergantung kepada jenis dan lokasi.

Ketuat pada kulit.

Jangkitan kulat pada kuku

Kulat boleh tumbuh berdekatan, di bawah atau disekeliling kuku. Selalunya kulat akan menyerang kuku jari kaki.

Hujung kuku akan mudah tercabut dan permukaan kuku bertukar menjadi warna putih kekuningan dan boleh merekah atau rapuh.

Terdapat beberapa jenis kulat yang boleh menyebabkan jangkitan ini, dan rawatan adalah bergantung kepada jenis kulat. Ubat boleh diberikan dalam bentuk sapu atau makan. Jika terlalu teruk, kuku yang terlibat mungkin perlu dibuang.

Jangkitan kulat pada kuku kaki.

Ruam sejuk (cold sore)

Ruam sejuk merupakan lepuh kemerahan pada kulit yang berisi cecair. Selalunya ia terjadi berdekatan mulut dan kulit yang terlibat akan berasa sakit dan sensitif. Sebelum lepuh tersebut terjadi, kulit selalunya terasa gatal dan pedih.

Ruam sejuk disebabkan oleh virus herpes simplex yang boleh menyerang sehingga 2 minggu dan kembali semua secara tiba-tiba. Walau tiada penawar, namun rawatan mampu mengurangkan serangan.

Ruam sejuk pada bibir.

Kandidiasis 

Kandidiasis adalah disebabkan oleh kulat Candida albicans yang membiak dengan tidak terkawal pada kulit. Jangkitan kandidiasis pada kulit juga dikenali sebagai kutaneous Kandidiasis atau kutaneous Moniliasis.

Kawasan yang dijangkiti akan terasa gatal dan terdapat ruam atau pustule. Kandidiasis selalunya berlaku pada bahagian lipatan kulit seperti ketiak atau peha. Kadangkala ianya juga boleh berlaku pada muka.

Kandidiasis boleh dicegah dengan menjaga kebersihan badan dan mengelakkan penggunaan antibiotik secara berlebihan. Rawatan kandidiasis melibatkan pengambilan ubat antifungus dan krim kortikosteroid.

Kandidiasis pada kulit.

Jangkitan kulat pada kaki

Jangkitan kulat pada kulit juga dikenali sebagai kaki atlet. Kulat yang menyerang selalunya suka pada kawasan yang lembap dan hangat seperti bahagian dalam kasut.

Antara gejalanya termasukah kulit kering dan mengelupas serta kegatalan. Kadangkala boleh berlaku lepuh atau pendarahan, dan kulit di celah jari kaki juga sentiasa lembap, pucat, berkerak atau berkuping.

Rawatan yang boleh diberikan termasuklah krim atau spray antifungal.

Jangkitan kulat pada kaki.

Kanser kulit

Kanser bermaksud pertumbuhan sel badan di luar kawalan dan boleh berlaku pada mana-mana sahaja bahagian badan. Apabila ianya berlaku pada kulit, doktor memanggilnya sebagai kanser kulit. Kanser kulit boleh mengancam nyawa, namun pengesanan dan rawatan awal mampu merawat kanser kulit.

Kanser kulit sealunya berlaku disebabkan pendedahan berterusan kepada cahaya matahari. Mereka yang berkulit gelap menghasilkan lebih banyak melanin yang mampu memberi perlindungan daripada cahaya matahari.

Walaubagaimanapun kanser kulit boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk mereka yang berkulit gelap. Terdapat beberapa jenis kanser kulit.

Perbezaan kanser kulit.

Karsinoma sel basal

Ianya merupakan kanser kulit yang paling kerap berlaku. Selalunya berlaku di bahagian leher, lengan dan kepala namun boleh juga berlaku pada bahagian lain.

Untuk orang yang berkulit cerah, karsinoma sel basal akan kelihatan berwarna merah jambu, berbentuk tompokan bulat. Untuk mereka yang berkulit gelap pula, ianya boleh kelihatan seperti tahi lalat berwarna coklat atau hitam.

Karsinoma sel skuamous

Karsinoma sel skuamous merupakan kanser kedua paling kerap berlaku. Selalunya bermula sebagai tompokan kering dan berkuping dipanggil sebagai keratoses aktinik. Jika tidak dikesan pada peringkat awal, ianya akan tumbuh ke dalam kulit dan menyebabkan kerosakan.

Mereka yang berkulit cerah selalunya mengalami kanser ini pada kawasan yang terdedah dengan cahaya matahari. Mereka yang berkulit gelap pula selalunya berlaku pada bahagian betis, kemaluan dan sekeliling dubur.

Jika terdapat sebarang tompokan, ketumbuhan atau tompokan pada kulit, jumpa doktor dengan segera untuk memastikan puncanya.

Melanoma

Melanoma merupakan kanser kulit yang paling berbahaya kerana ianya senang merebak kepada bahagian badan yang lain. Ianya boleh terjadi daripada tahi lalat atau bahagian kulit yang gelap. Jika terdapat tahi lalat yang berbentuk tidak sekata, pinggir yang kasar, berwarna tidak sekata atau mengalami perubahan saiz, jumpa doktor dengan segera.

Pada mereka yang berkulit gelap, melanoma lebih senang dilihat dan diperiksa. Melanoma juga boleh berlaku di bawah kuku tangan dan kaki. Antara rawatannya termasuklah pembedahan, kemoterapi atau terapi radiasi.

Penyakit kulit lapisan dalam

Terdapat sesetengah penyakit kulit yang melibatkan lapisan kulit yang lebih dalam.

Bisul atau karbunkel

Bisul atau karbunkel adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria Staphylococcus aureus pada folikel rambut. Jangkitan tersebut akan menyebabkan iritasi di bawah kulit yang berwarna merah dan bahagian tengahnya berwarna kuning atau putih. Mungkin juga terdapat nanah atau kuping pada bisul tersebut.

Bisul yang mengandungi nanah boleh membesar dengan cepat. Gejala lain termasuklah kepenatan, kegatalan dan demam.

Bisul selalunya dirawat dengan ubat antibiotik dan nanah akan disedut serta luka dibersihkan.

Karbunkel pada kulit.

Selulitis

Selulitis merupakan jangkitan bakteria pada lapisan dalam kulit. Ianya boleh terjadi dan merebak dengan pantas.

Bahagian kulit yang terlibat akan menjadi merah, bengkak, panas dan sakit apabila disentuh. Ianya selalu berlaku pada betis tetapi boleh berlaku pada mana-mana sahaja bahagian badan.

Selulitis yang teruk boleh membahayakan nyawa dan rawatannya melibatkan pemberian antibiotik.

Selulitis pada betis kiri.

Penyakit kulit berkaitan umur

Terdapat sesetengah penyakit kulit yang berlaku pada peringkat umur yang berbeza.

Pada kanak-kanak

Impetigo dan demam campak merupakan dua jenis penyakit yang kerap berlaku kepada kanak-kanak.

Hemangioma

Hemangioma merupakan ketumbuhan tidak berbahaya yang selalunya terjadi di bahagian leher, kepala dan muka kanak-kanak. Ianya bermula dengan tompokan atau garisan halus yang lama kelamaan semakin membesar.

Hemangioma juga boleh berlaku pada organ yang lain selain kulit, dan biasanya berlaku pada hati. Ianya akan hilang dengan sendiri sebelum berumur 10 tahun. Sesetengah orang memilih untuk membuangnya.

Hemangioma pada kulit.

Demam campak

Demam campak merupakan sejenis penyakit disebabkan virus yang boleh berjangkit melalui udara. Di Malaysia, vaksin untuk demam campak telah dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan. Namun terdapat mereka yang tidak boleh diberikan vaksinasi seperti bayi yang belum mencapai umur vaksinasi, wanita mengandung, dan mereka yang mengalami masalah imuniti masih lagi boleh dijangkiti.

Antara gejala demam campak adalah ruam merah atau coklat yang merebak ke seluruh badan. Gejala lain pula termasuklah demam, mata dan hidung berair, batuk dan bintik merah di dalam mulut.

Rawatan selalunya melibatkan rawatan sokongan seperti pengawalan gejala dan pemerhatian jika berlaku komplikasi.

Ruam demam campak.

Impetigo 

Impetigo merupakan penyakit kulit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria dan sering berlaku pada kanak-kanak. Ianya akan menyebabkan ruam gatal dan lepuh pada sekeliling mulut atau muka.

Lepuh ini akan pecah dan menyebabkan kuping. Kuping yang telah kering akan menjadi merah dan hilang tanpa parut. Rawatan selalunya melibatkan pengambilan antibiotik.

Impetigo pada dagu.

Dermatomyositis 

Dermatomyositis merupakan penyakit keradangan kulit yang jarang berlaku dan melibatkan kanak-kanak berumur di antara 5 ke 15 tahun dan orang dewasa berumur 40 ke 60 tahun.

Antara gejalanya adalah ruam berwarna merah atau merah jambu pada dada, muka, kuku atau siku di samping lemah otot dan bengkak. Rawatannya adalah melibatkan pengawalan gejala.

Dermatomyositis pada leher dan muka.

Pada orang dewasa

Kemungkinan untuk menghidap penyakit di bawah semakin meningkat dengan umur.

Kayap

Kayap adalah disebabkan oleh virus varicella-zoster yang boleh juga menyebabkan cacar air. Apabila seseorang telah sembuh dari cacar air, selalunya ketika kanak-kanak, virus akan kekal di dalam badan pada bahagian saraf. Pada umur dewasa, ianya boleh menjadi aktif semula dan menyebabkan kayap. Kayap selalunya berlaku pada umur lanjut.

Ianya bermula dengan rasa sakit, dan 2 hari selepas itu ruam merah yang melepuh dan semakin membesar akan terjadi. Ruam ini lebih sukar dilihat pada orang berkulit gelap. Rawatan menggunakan ubat antiviral dalam masa 48 jam selepas ruam muncul boleh mengurangkan gejala kesakitan.

Terdapat vaksin untuk mencegah kayap yang boleh didapati di klinik.

Kayap pada dada.

Seborrheic keratosis 

Bintik yang tidak berbahaya ini selalunya berlaku pada mereka yang berumur. Ianya boleh berwarna hitam, coklat gelap atau kekuningan dan menyebabkan tompokan pada kulit.

Ianya mungkin sukar untuk dibezakan dengan kanser kulit, jadi dapatkan pemeriksaan dan pengesahan doktor.

Seborrheic keratoses boleh dibuang dengan rawatan kryoterapi atau elektrosurgeri.

Seborrheic keratoses pada kulit.

Bintik penuaan

Bintik penuaan atau bintik hati merupakan bintik gelap yang rata. Mereka yang berkulit cerah selalunya mendapat bintik ini selepas terdedah kepada cahaya matahari untuk tempoh yang lama (bertahun-tahun).

Mereka yang berkulit gelap pula mendapat bintik penuaan melalui pendedahan kepada pencetus daripada persekitaran yang menyebabkan kulit menghasilkan lebihan melanin. Antara contohnya adalah kulit yang tercedera, jerawat, perubahan hormon atau iritasi pada kulit akibat penggunaan produk penjagaan kulit.

Bintik ini tidak perlu dirawat tetapi boleh dibuang.

Bintik penuaan pada muka.

Kesimpulan

Sesetengah penyakit kulit adalah tidak berbahaya, manakala sesetengahnya pula boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada pesakit. Adalah penting untuk anda menyedari bahawa anda tidak perlu menghadapi masalah penyakit kulit ini dengan bersendirian. Dapatkan sokongan dan rawatan daripada doktor untuk memastikan diagnosis yang tepat boleh dilakukan dan rawatan terbaik dapat diberikan.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.