Kanser usus besar juga dikenali sebagai kanser kolorektal dan merupakan kanser yang berlaku pada usus besar (kolon) atau rektum. Usus besar dan rektum merupakan organ yang membentuk sebahagian besar sistem pencernaan badan manusia.
Menurut statistik daripada Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) dari tahun 2012 ke 2016, secara keseluruhannya kanser kolorektal merupakan kanser yang kedua paling kerap berlaku di Malaysia selepas kanser payudara. Dari segi jantina pula, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki dan kanser kedua paling kerap berlaku dalam kalangan wanita di Malaysia.
Gejala, rawatan dan kesan kanser usus besar selalunya bergantung kepada tahap kanser itu apabila ianya mula-mula dikesan.
Artikel ini akan membincangkan mengenai punca, faktor risiko dan tahap-tahap kanser usus besar serta rawatannya.
Tahap kanser usus besar
Doktor akan menggunakan tahap kanser ini sebagai garispanduan untuk menentukan keadaan semasa penyakit. Adalah penting untuk mengetahui tahap kanser kerana ianya akan menentukan pelan rawatan terbaik yang boleh diberikan kepada pesakit. Ianya juga digunakan untuk membuat anggaran perkembangan penyakit.
Tahap 0 untuk kanser usus besar merupakan tahap paling awal, dan tahap 4 merupakan tahap paling teruk. Berikut meupakan maksud tahap-tahap ini:
- Tahap 0. Juga dikenali sebagai karsinoma in situ, pada tahap ini sel yang tidak nomal hanya didapati pada lapisan dalam usus besar atau rektum.
- Tahap 1. Kanser telah menembusi lapisan dalaman (mukosa) pada usus besar atau rektum dan mungkin telah tumbuh dalam lapisan otot. Ianya masih belum merebak kepada kelenjar limfatik atau bahagian badan yang lain.
- Tahap 2. Kanser telah merebak pada dinding usus besar atau rektum atau menembusi dinding tisu terdekat tetapi belum melibatkan kelenjar limfatik.
- Tahap 3. Kanser telah masuk ke dalam kelenjar limfatik tetapi belum pergi ke bahagian badan yang lain.
- Tahap 4. Kanser telah merebak kepada organ-organ yang lain seperti hati atau paru-paru.
Tanda dan gejala
Seseorang mungkin tidak mengalami sebarang gejala terutamanya pada peringkat awal kanser. Antara tanda dan gejala kanser usus besar yang boleh berlaku pada tahap 0 sehingga 2 termasuklah:
- sembelit
- cirit-birit
- perubahan warna najis
- perubahan bentuk najis, seperti menjadi lebih halus
- darah dalam najis
- darah menitik dari lubang punggung
- penghasilan gas berlebihan
- kekejangan abdomen
- sakit abdomen
Kebanyakan gejala di atas juga boleh disebabkan keadaan lain yang kurang berbahaya. Walaubagaimanapun anda dinasihatkan berjumpa doktor jika mengalami gejala-gejala tersebut melebihi tempoh seminggu atau dua minggu. Doktor akan mencadangkan jika ujian saringan kanser usus besar patut dilakukan atau tidak.
Gejala tahap 3 atau 4 (gejala lewat)
Gejala-gejala kanser usus besar lebih kerap berlaku pada tahap 3 dan 4. Selain tanda-tanda kanser yang sama seperti peringkat awal, seseorang juga boleh mengalami gejala berikut:
- cepat penat
- lemah badan tanpa sebab
- hilang berat badan tanpa sebab
- perubahan najis yang berlaku melebihi tempoh sebulan
- rasa perut tidak dikosongkan selepas membuang air besar
- muntah
Jika kanser usus besar telah merebak ke bahagian badan yang lain, seseorang boleh mengalami gejala seperti:
- jaundis, atau mata dan kulit berwarna kuning
- bengkak pada kaki dan tangan
- sesak nafas
- sakit kepala berpanjangan
- penglihatan kabur
- tulang patah atau retak
Gejala mengikut tahap
Gejala tahap 1 | Gejala tahap 2 | Gejala tahap 3 | Gejala tahap 4 |
---|---|---|---|
sembelit | sembelit | gejala tahap 1 dan 2 | gejala tahap 1 dan 2 |
cirit-birit | cirit-birit | lemah badan | bengkak tangan dan kaki |
perubahan warna dan bentuk najis | perubahan warna dan bentuk najis | hilang berat badan | sesak nafas |
darah dalam najis | darah dalam najis | perubahan pada najis melebihi sebulan | sakit kepala |
darah dari punggung | darah dari punggung | perut masih penuh selepas berak | mata kabur |
gas berlebihan | gas berlebihan | muntah | tulang rapuh |
kejang perut | kejang perut | cepat penat | jaundis – kuning pada mata dan kulit |
sakit perut | sakit perut |
Jenis kanser usus besar
Sebenarnya terdapat beberapa jenis kanser usus besar. Ini kerana terdapat beberapa jenis sel berbeza pada usus yang boleh bertukar menjadi kanser dan terdapat juga sel yang berbeza mengikut lokasi bahagian usus dan ianya juga boleh bertukar menjadi sel kanser.
Antara jenis kanser usus besar yang paling kerap berlaku adalah adenokarsinoma. Adenokarsinoma terdiri daripada sel yang menghasilkan mukus di dalam usus besar atau rektum. Mengikut statistik, kebanyakan kanser usus besar yang berlaku adalah dari jenis adenokarsinoma.
Antara jenis kanser usus besar yang jarang berlaku termasuklah:
- Limfoma, yang boleh berlaku di dalam kelenjar limfatik atau usus besar dahulu
- Karsinoid, yang bermula dari sel yang menghasilkan hormon dalam usus kecil
- Sarkoma, berasal daripada tisu lembut pada usus besar seperti tisu otot
- Tumor stromal gastrointestinal, yang boleh bermula sebagai ketumbuhan benign (bukan kanser) dan kemudian menjadi kanser, selalunya berlaku pada usus kecil dan jarang pada usus besar
Punca kanser
Punca sebenar kanser usus besar masih di dalam kajian.
Kanser ini mungkin disebabkan oleh mutasi genetik yang boleh diwarisi atau diperolehi. Mutasi ini kadangkala tidak menyebabkan kanser, tetapi boleh meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat kanser.
Sesetengah mutasi boleh menyebabkan sel yang tidak normal berkumpul pada lapisan dalaman usus besar lalu membentuk polyp. Polyp adalah sejenis ketumbuhan bukan kanser yang kecil. Walaubagaimanapun jika tidak dirawat ianya boleh berubah menjadi kanser.
Pembuangan polyp melalui pembedahan merupakan salah satu cara untuk mencegah kanser.
Faktor risiko
Terdapat beberapa faktor risiko yang dapat meningkatkan peluang seseorang untuk menghidap kanser usus besar. Walaubagaimanapun ianya tidak bermaksud anda pasti akan mendapat kanser ini, cuma risikonya lebih tinggi berbanding mereka yang tiada faktor risiko.
Faktor risiko yang tidak boleh diubah
Terdapat sesetengah faktor risiko ini adalah perkara yang tidak boleh diubah. Sebagai contoh seperti umur, etnik, dan sejarah keluarga boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat kanser usus besar.
Antara faktor risiko yang tidak boleh diubah termasuklah:
- umur melebihi 50 tahun
- pernah mengalami polyp pada usus besar
- pernah mengalami penyakit usus besar
- sejarah keluarga yang menghidap kanser usus besar
- menghidap sindrom genetik seperti FAP (familial adenomatous polyposis)
- berketurunan Afrika atau Yahudi Ashkenazi
Faktor risiko yang boleh diubah
Terdapat juga faktor risiko yang boleh dielakkan. Ini bermaksud anda boleh melakukan perubahan bagi mengurangkan risiko mendapat kanser usus besar. Antara faktor risiko yang boleh diubah termasuklah:
- terlebih berat badan atau obesiti
- merokok
- minum alkohol dengan banyak
- menghidap kencing manis jenis 2
- kehidupan tidak aktif
- mengambil terlalu banyak daging yang diproses dalam pemakanan
Pengesanan kanser
Pengesanan kanser usus besar dari awal boleh meningkatkan peluang pesakit untuk sembuh. Namun ianya agak sukar dikesan pada peringkat awal kerana tiada gejala, jadi pengesanan peringkat awal selalunya adalah melalui ujian saringan.
Ujian saringan kanser usus besar kini dicadangkan untuk dilakukan bermula pada umur 45 tahun, kerana semakin ramai mereka yang lebih muda telah dikesan menghidap kanser usus besar ini.
Terdapat juga garispanduan yang mencadangkan ianya dilakukan seawal umur 40 tahun.
Doktor akan mula mengambil sejarah perubatan dan sejarah keluarga sebelum pemeriksaan fizikal dilakukan. Pemeriksaan abdomen juga perlu dilakukan termasuk pemeriksaan rektum jika perlu bagi melihat jika terdapat sebarang ketumbuhan atau polyp.
Ujian najis
Ujian najis tahunan adalah disarankan. Ianya bagi melihat jika terdapat darah di dalam najis. Terdapat dua jenis ujian najis iaitu gFOBT (guaiac-based fecal occult blood test) dan ujian najis imunokimia (FIT).
gFOBT – Guaiac-based fecal occult blood test
Guaiac merupakan bahan berasaskan tumbuhan yang digunakan untuk melapisi kad khas yang diletakkan najis untuk diuji. Jika terdapat kehadiran darah dalam najis, kad ini akan bertukar warna.
Sebelum ujian, seseorang perlu mengelakkan dari mengambil sesetengah makanan seperti daging merah dan ubat NSAIDs (nonsteroidal anti-inflammatory drugs) kerana boleh mengganggu keputusan ujian.
Ujian najis imunokimia (FIT)
Ujian FIT pula dilakukan untuk mengesan hemoglobin, iaitu sejenis protein dalam darah. Ianya lebih tepat berbanding ujian berasaskan guaiac.
Ini kerana ujian FIT selalunya tidak mengesan pendarahan dari saluran pencernaan atas iaitu saluran yang tidak berkaitan dengan kanser usus besar. Selain itu keputusan ujian ini juga tidak terganggu oleh makanan dan ubat yang diambil.
Ujian di rumah
Kerana beberapa sampel najis diperlukan untuk ujian najis dijalankan, doktor mungkin akan membekalkan alat ujian untuk dibawa ke rumah.
Selain itu alat ujian ini juga boleh didapati di sesetengah farmasi.
Alat ini memerlukan anda untuk menghantar semula sampel najis bagi diuji di makmal. Selalunya keputusan akan keluar dalam masa beberapa hari. Anda kemudian akan dihubungi semula oleh doktor bagi konsultasi seterusnya.
Terdapat juga alat ujian terkini yang tidak perlu dihantar semula ke makmal di mana keputusan akan keluar dalam masa 5 minit. Namun keputusan ini masih perlu diterangkan oleh doktor anda.
Ujian darah
Doktor mungkin akan menjalankan ujian darah bagi mengenalpasti jika terdapat punca lain bagi gejala yang berlaku. Antara ujian darah yang boleh dilakukan termasuklah ujian fungsi hati dan ujian kiraan darah penuh.
Sigmoidoskopi
Sigmoidoskopi merupakan satu prosedur yang membolehkan doktor memeriksa bahagian dalaman usus sigmoid, iaitu bahagian hujung usus besar bagi melihat sebarang kejanggalan. Prosedur ini juga dikenali sebagai sigmoidoskopi fleksibel menggunakan tiub fleksibel yang dilengkapi kamera dan lampu dan dimasukkan melalui lubang punggung.
Ujian saringan menggunakan sigmoidoskopi ini boleh dilakukan setiap 5 ke 10 tahun dengan ujian FIT tahunan.
Kolonoskopi
Kolonoskopi melibatkan penggunaan tiub panjang yang dilengkapi kamera. Prosedur ini boleh membantu doktor untuk melihat bahagian dalaman usus besar dan rektum jika terdapat sebarang kejanggalan. Ianya selalu dilakukan jika terdapat ujian-ujian yang menunjukkan anda mungkin menghidap kanser usus besar.
Ketika prosedur kolonoskopi dijalankan, doktor juga boleh mengambil sampel tisu dari kawasan yang tidak normal. Tisu ini kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk diuji.
Sigmoidoskopi dan kolonoskopi merupakan ujian yang paling efektif bagi mengesan sebarang ketumbuhan dan kanser yang berlaku di dalam usus.
X-ray
Doktor juuga mungkin akan melakukan x-ray menggunakan cecair kontras yang mengandungi barium.
Cecair ini akan dimasukkan ke dalam usus menggunakan enema barium. Cecair barium ini akan melapisi lapisan dalaman usus dan boleh dilihat dengan jelas pada x-ray yang dilakukan pada abdomen.
Imbasan CT
Imbasan CT dilakukan bagi melihat dengan lebih jelas gambaran usus. Imbasan CT yang digunakan untuk mengesan kanser usus besar ini juga dikenali sebagai kolonoskopi virtual.
Rawatan kanser usus besar
Rawatan kanser usus besar bergantung kepada beberapa faktor. Doktor akan menentukan pelan rawatan terbaik bergantung kepada keadaan kesihatan pesakit secara keseluruhan dan juga tahap kanser usus besar.
Pembedahan
Pada peringkat awal kanser usus besar, pakar bedah boleh membuang polyp yang disyaki kanser melalui pembedahan. Jika polyp tersebut tidak melekat pada dinding usus, selalunya pesakit lebih mudah sembuh.
Pakar bedah juga mungkin perlu membuang sebahagian daripada usus besar atau rektum dan juga kelenjar limfatik di sekeliling kawasan terlibat jika kanser itu telah melibatkan dinding usus.
Pakar bedah juga boleh menyambung semula bahagian usus yang sihat kepada rektum. Jika tidak boleh disambung semula, prosedur kolostomi akan dilakukan. Ini melibatkan pembentukan lubang pada dinding abdomen bagi membuang najis. Terdapat kolostomi jenis sementara dan juga jenis kekal.
Kemoterapi
Kemoterapi melibatkan penggunaan ubat-ubatan untuk membunuh sel kanser. Bagi penghidap kanser usus besar, kemoterapi selalunya dilakukan selepas pembedahan dan bertujuan untuk menghapuskan sel kanser yang masih tertinggal. Kemoterapi juga boleh mengawal pertumbuhan kanser.
Antara ubat kemoterapi yang digunakan dalam rawatan kanser usus besar termasuklah:
- capecitabine (Xeloda)
- fluorouracil
- oxaliplatin (Eloxatin)
- irinotecan (Camptosar)
Kemoterapi selalunya menyebabkan banyak kesan sampingan yang perlu dikawal melalui pemantauan dan ubat-ubat yang lain.
Terapi radiasi
Terapi radiasi melibatkan penggunaan pancaran tenaga, sama seperti yang digunakan dalam X-ray, untuk memusnahkan sel kanser yang boleh diberikan sebelum dan selepas pembedahan. Terapi radiasi juga selalunya dijalankan bersama-sama dengan kemoterapi.
Rawatan lain
Terapi bersasar dan imunoterapi juga boleh diberikan kepada pesakit. Antara ubat yang telah diluluskan bagi merawat kanser usus besar termasuklah:
- bevacizumab (Avastin)
- ramucirumab (Cyramza)
- ziv-aflibercept (Zaltrap)
- cetuximab (Erbitux)
- panitumumab (Vectibix)
- regorafenib (Stivarga)
- pembrolizumab (Keytruda)
- nivolumab (Opdivo)
- ipilimumab (Yervoy)
Ianya boleh digunakan untuk merawat kanser usus besar tahap akhir atau yang telah merebak jika rawatan-rawatan lain yang telah dilakukan adalah tidak berkesan.
Hidup dengan kanser usus besar
Ianya boleh menjadi suatu pengalaman yang menakutkan dan mencemaskan apabila dikesan menghidap kanser usus besar. Walaubagaimanapun kanser ini masih boleh dirawat, terutamanya jika dikesan pada peringkat awal.
Menurut kajian, pesakit kanser usus besar yang dikesan sebelum ianya merebak melepasi usus besar dan rektum mempunyai kadar kelansungan hidup 5 tahun sehingga 91%. Ianya mungkin lebih tinggi dengan rawatan yang terkini.
Namun sejak akhir-akhir ini, semakin ramai yang dikesan menghidap kanser usus besar pada umur yang lebih muda. Kadar kematian dikalangan penghidap kanser usus besar di bawah umur 50 tahun juga didapati semakin meningkat berbanding dahulu.
Tahap kanser ketika dikesan | Kadar kelangsungan hidup |
---|---|
Tahap 0 dan Tahap 1 | 91% |
Tahap 2 dan Tahap 3 | 72% |
Tahap 4 | 14% |
Keseluruhan | 63% |
Pencegahan kanser
Sesetengah faktor risiko kanser usus besar seperti sejarah keluarga dan umur sememangnya tidak boleh diubah.
Namun, faktor gaya hidup yang menyumbang kepada kanser ini boleh dicegah, dan jika diubah dengan segera mungkin dapat mengurangkan risiko anda menghidap kanser ini.
Antara langkah yang boleh diambil bagi mencegah kanser usus besar termasuklah:
- mengurangkan pengambilan daging merah
- mengelakkan daging yang diproses seperti sosej
- mengambil lebih banyak makanan berasaskan tumbuhan
- mangurangkan lemak dalam pemakanan
- kerap bersenam
- mengurangkan berat badan
- berhenti merokok
- mengurangkan pengambilan alkohol
- mengurangkan tekanan
- mengawal penyakit kencing manis
Selain itu jika anda mempunyai faktor risiko, anda mungkin ingin mendapatkan ujian saringan seperti ujian najis dan prosedur kolonoskopi apabila sudah mencapai umur 45 tahun. Lebih awal kanser ini dikesan, peluang untuk sembuh adalah lebih tinggi.
Langkah seterusnya
Pembedahan merupakan antara rawatan utama kanser usus besar. Selepas itu ianya bergantung kepada bagaimana badan anda bertindakbalas dan juga rawatan seterusnya yang dirancang oleh doktor.
Tidak kira apapun yang anda alami sepanjang perjalanan untuk pulih, anda sentiasa memerlukan sokongan. Adalah penting untuk berbincang dengan pasukan perubatan dan juga orang ynag tersayang bagi memastikan anda sentiasa bersemangat ketika sedang menerima rawatan.
Tulis Komen