Sakit Tapak Kaki – Punca, Pemeriksaan & Rawatan

Sakit tapak kaki boleh disebabkan pelbagai punca seperti kecederaan dan masalah struktural, jom ketahui punca dan rawatan bagi sakit tapak kaki.

Sakit tapak kaki boleh disebabkan oleh beberapa jenis penyakit. Punca yang paling kerap berlaku adalah disebabkan oleh plantar fasciitis, tetapi ianya juga boleh disebabkan penyakit-penyakit yang lain seperti tendon posterior tibial tidak berfungsi, kaki kavus dan lain-lain.

Sakit tapak kaki merupakan masalah yang merisaukan. Ianya boleh terjadi kepada sesiapa sahaja terutamanya kepada pelari dan atlet. Tapak kaki terdiri daripada kawasan pangkal jari kaki sehingga ke tumit, dan memainkan peranan penting untuk kesemua pergerakan yang melibatkan kaki.

Tapak kaki berfungsi untuk:

  • menyerap hentakan
  • menanggung berat badan
  • menyeimbangkan badan
  • menstabilkan pergerakan
  • menyesuaikan diri dengan perubahan muka bumi

Sakit tapak kaki boleh juga melibatkan pangkal jari dan tumit. Selain itu, kesakitan tersebut mungkin menjalar sehingga ke atas kaki, buku lali, lutut, pinggul dan juga bahagian belakang.

Bergantung kepada punca kesakitan, ianya boleh menjadi lebih teruk dengan melakukan aktiviti seperti berjalan, berdiri atau apa-apa aktiviti yang melibatkan kaki. Ianya juga mungkin lebih teruk pada waktu pagi selepas bangun daripada tidur.

Punca sakit tapak kaki

Sakit tapak kaki boleh berlaku jika terdapat kecederaan pada otot, tulang, ligamen atau tendon pada tapak kaki. Ianya juga boleh berlaku disebabkan oleh masalah struktur kaki, dan ini boleh bertambah teruk lagi apabila seseorang itu:

  • terlebih berat badan atau obes
  • semakin berumur
  • penggunaan kaki yang kerap
  • masalah neurologikal
  • tekanan fizikal

Tapak kaki rata dan lengkungan tapak kaki yang tinggi merupakan contoh masalah struktural yang boleh menyebabkan sakit tapak kaki.

Berikut merupakan punca utama yang menyebabkan sakit tapak kaki:

Plantar fasciitis 

Plantar faschiitis merupakan punca utama sakit pada tapak kaki dan juga antara salah satu masalah ortopedik yang kerap berlaku. Ianya disebaabkan oleh keradangan, penggunaan berlebihan atau kecederaan kepada plantar fascia. Plantar fascia merupakan ligamen yang menghubungkan bahagian depan kaki kepada tumit. Ianya selalu terjadi kepada pelari tetapi boleh berlaku ke atas sesiapa sahaja.

Jika anda mengalami plantar fasciitis, anda akan berasa sakit dan sukar bergerak pada tapak kaki dan tumit. Sakit ini lebih teruk apabila bangun dari tidur dan menjadi lebih teruk apabila berdiri lama atau melakukan aktiviti menggunakan kaki.

Jika anda kerap mengalami plantar fasciitis, anda mungkin perlu menukar kasut atau menggunakan pad dalam kasut yang boleh menyokong dan memberi keselesaan kepada tapak kaki. Melakukan regangan juga dapat membantu melegakan sakit akibat plantar fasciitis.

Tendon posterior tibial tidak berfungsi (PTTD)

PTTD atau dikenali juga sebagai masalah tapak kaki rata orang dewasa boleh berlaku disebabkan kecederaan atau keradangan pada tendon posterior tibial. Tendon ini menghubungkan bahagian dalaman kaki kepada otot di betis. PTTD boleh menyebabkan sakit tapak kaki jika tendon posterior tibial tidak lagi mampu menyokong bahagian dalaman tapak kaki.

Sakit tapak kaki yang disebabkan PTTD boleh berlaku dari tapak kaki sehingga betis dan bahagian dalam buku lali. Pesakit juga boleh mengalami bengkak pada buku lali. Kesakitan ini akan bertambah semasa melakukan aktiviti seperti berlari dan berkurang ketika rehat.

Pesakit perlu memakai penyokong buku lali atau kasut khas bagi merawat PTTD. Terapi fizikal juga boleh membantu. Jika semua rawatan tidak berkesan, pembedahan mungkin perlu dilakukan.

Terlebih pronasi ketika berjalan

Terlebih pronasi merujuk kepada pergerakan kaki ketika sedang berjalan. Mereka yang terlebih pronasi ketika berjalan akan memijak menggunakan bahagian luar tumit terlebih dahulu, kemudian baru diikuti bahagian dalam tumit dan tapak kaki. Lama kelamaan, cara berjalan sebegini boleh mencederakan otot, tendon dan ligamen dan menyebabkan sakit tapak kaki.

Jika seseorang berjalan terlebih pronasi, mereka juga mungkin akan mengalami:

Selain itu, kesan terlebih pronasi juga dapat dilihat pada tapak kasut atau dalam kasut yang lebih cepat haus pada bahagian tumit dan pangkal jari.

Gaya berjalan normal dan tidak normal

Jika seseorang berjalan seperti ini, mereka mungkin perlu mendapatkan kasut penstabil khas. Kasut ini dapat membantu memperbetulkan langkahan ketika berjalan. Selain itu terdapat juga alat pelapik dalam kasut bagi membantu menangani masalah ini.

Anda boleh bertanya kepada pakar kaki (podiatrist) atau pakar ortopedik bagi mengetahui di mana anda boleh mendapatkan kasut khas ini di kawasan anda. Selain itu senaman dan regangan juga boleh membantu.

Kaki kavus

Kaki kavus merupakan keadaan di mana lengkungan pada tapak kaki terlalu tinggi. Ianya mungkin disebabkan keturunan atau masalah neuurologikal seperti palsi serebral, strok atau penyakit Charcot-Marie-Tooth.

Sakit tapak kaki selalunya akan dirasai apabila sedang berjalan atau berdiri. Antara gejala yang lain untuk kaki kavus termasuklah:

  • jari kaki berbentuk tukul
  • jari kaki berbentuk cakar
  • kalus

Penghidap juga lebih cenderung untuk terseliuh pada buku lali kerana pergerakan yang kurang stabil.

Perbandingan tapak kaki normal dan kaki kavus

Pelapik dalaman kasut khas mungkin dapat membantu melegakan kesakitan. Pesakit juga mungkin boleh mendapatkan kasut dengan sokongan tambahan pada buku lali, terutamanya ketika bersukan atau bersenam. Jika kesakitan masih tidak berkurang, pembedahan mungkin perlu dilakukan.

Bila perlu berjumpa doktor

Sakit tapak kaki yang datang dan pergi selalunya tidak merbahaya. Untuk keadaan ini, anda boleh melakukan rawatan di rumah seperti merendam kaki dalam air suam, mengurut atau berehat dari melakukan sebarang aktiviti.

Jika sakit tapak kaki berterusan atau semakin kerap, dan tidak berkurang dengan rawatan di rumah, dapatkan pemeriksaan doktor. Sakit tapak kaki boleh menjadi bertambah teruk jika ianya disebabkan penyakit seperti di atas dan boleh menyebabkan komplikasi kesakitan pada bahagian belakang, lutut dan buku lali.

Jika anda penghidap kencing manis, adalah sangat penting bagi mengenalpasti kesakitan dan kecederaan pada kaki dengan mendapatkan pemeriksaan segera.

Pemeriksaan

Doktor akan mengambil sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal bagi menentukan lokasi kesakitan. Doktor juga akan mengarahkan anda melakukan pergerakan tertentu pada kaki. Doktor juga akan melihat jika terdapat tanda-tanda keradangan seperti kemerahan dan bengkak. Pemeriksaan refleks, koordinasi, keseimbangan dan tona otot juga akan dilakukan jika perlu.

Selepas itu, doktor mungkin akan melakukan ujian-ujian seperti berikut:

Kesemua pemeriksaan di atas adalah penting bagi mencari punca kesakitan pada tapak kaki.

Rawatan di rumah

Anda mungkin boleh melegakan sakit tapak kaki di rumah dengan melakukan beberapa perubahan gaya hidup. Dalam keadaan tertentu, perubahan ini juga dapat membantu walaupun anda telah berjumpa dengan doktor.

Rehat

Apabila anda mula terasa sakit pada tapak kaki, dapatkan rehat dari sebarang aktiviti yang boleh memberikan tekanan pada kaki seperti berlari atau bersukan yang memerlukan banyak lompatan. Elakkan juga aktiviti berat selama beberapa hari atau sehingga sakit berkurang.

Anda juga boleh meletakkan ais pada kaki. Balut ais dengan kain dan letakkan selama 10 ke 15 minit dua kali sehari sehinggalah sakit berkurang.

Regangan

Jika anda mengasyaki mengalami plantar fasciitis, anda boleh mencuba regangan ini:

  • Letakkan buku lali di atas peha dan pegang jari kaki menggunakan sebelah tangan.
  • Tangan sebelah lagi digunakan untuk menekan kaki ke arah tumit seperti ingin melipat kaki ke bawah.
  • Tekan perlahan-lahan selama 3 ke 5 minit.
  • Lakukan sehari sekali atau apabila mengalami kesakitan.

Ini pula merupakan regangan yang boleh dilakukan di tempat kerja. Anda memerlukan bola kecil atau peralatan lain seperti roller atau botol air.

  • Duduk di atas kerusi dan buka kasut.
  • Letakkan bola di bawah tapak kaki.
  • Gerakkan bola tersebut menggunakan tapak kaki dari jari kaki ke arah tumit dan ke jari semula.
  • Lakukan berulang kali selama 5 ke 10 minit.

Melakukan regangan pada betis juga dapat membantu melegakan sakit pada tapak kaki. Lakukan aktiviti berikut:

  • Berdiri lebih kurang 1 meter dari dinding. Letakkan kedua-dua tangan pada dinding.
  • Letakkan kaki kanan dibelakang kaki kiri.
  • Pastikan lutut kanan adalah tegak dan buku lali kanan berada di atas lantai. Seterusnya bengkokkan kaki kiri perlahan-lahan.
  • Anda boleh merasakan regangan pada betis kanan. Tahan selama 15 ke 30 saat dan luruskan semula kaki kiri.
  • Ulang sebanyak tiga kali dan tukar kaki.

Alat & ubat dari farmasi

Alat sokongan dan kasut dengan penyokong tapak kaki boleh membantu mengurangkan atau mencegah kecederaan tapak kaki. Kasut ini boleh didapati di sesetengah farmasi.

Selain itu ubat tahan sakit seperti NSAIDs (nonsteroidal anti-inflammatory drugs), seperti ibuprofen (Advil, Motrin) juga dapat membantu mengurangkan keradangan dan kesakitan. 

Elakkan kasut yang tiada sokongan

Berjalan dengan kaki ayam atau memakai kasut tanpa penyokong seperti selipar jepun boleh menyebabkan kesakitan menjadi lebih teruk. Anda juga boleh cuba memakai selipar dengan sokongan ketika berjalan di dalam rumah.

Rawatan perubatan

Rawatan perubatan adalah bergantung kepada punca kesakitan. Antara rawatan yang boleh diberikan termasuklah:

  • kasut khas dengan mengikut saiz tapak kaki termasuk pelapik sokongan
  • anduh, pendakap atau simen untuk sokongan
  • ubat tahan sakit yang lebih kuat
  • suntikan kortison
  • terapi fizikal
  • pembedahan

Selain itu doktor juga akan mencadangkan untuk mengurangkan berat badan atau berehat dari sebarang aktiviti fizikal seperti berdiri terlalu lama, berlari atau sukan berimpak tinggi.

Pemulihan

Tempoh pemulihan adalah bergantung kepada punca kesakitan tapak kaki. Ianya boleh mengambil masa sehingga 3 ke 12 bulan untuk pulih dari sesetengah penyakti seperti plantar fasciitis walaupun dengan rawatan perubatan.

Jika pembedahan perlu dilakukan, ianya boleh mengambil masa sehingga setahun sebelum boleh kembali normal. Kadangkala simen atau pendakap perlu dipakai selama beberapa minggu atau bulan. Kasut khas mungkin perlu dipakai sampai bila-bila bagi mencegah sakit tapak kaki berulang.

Pencegahan sakit tapak kaki

Kebanyakan rawatan di rumah untuk sakit tapak kaki juga boleh mencegah ianya daripada berulang:

  • Pakai kasut dengan pelapik sokongan untuk tapak kaki, elakkan berjalan dengan kaki ayam atau memakai kasut tanpa penyokong. Memakai kasut tanpa penyokong pada permukaan keras untuk jangkamasa yang lama boleh menyebabkan sakit tapak kaki kronik.
  • Lakukan regangan. Amalkan regangan sebelum melakukan sebarang aktiviti. Regangan pada betis juga dapat mencegah sakit tapak kaki. Anda juga boleh mendapatkan tikar atau karpet khas (anti-fatigue mat) yang boleh mengurangkan risiko kecederaan pada kaki jika anda perlu berdiri untuk tempoh yang lama. Tikar ini boleh diletakkan di tempat yang anda kerap berdiri seperti di dapur.

Kesimpulan

Sakit tapak kaki selalunya merupakan gejala kepada penyakit yang melibatkan kaki. Jika dibiarkan ianya mungkin boleh berlaku untuk tempoh yang lama atau menjadi kronik. Adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan doktor untuk sakit tapak kaki yang berterusan selama beberapa hari supaya punca kesakitan dapat dikenalpasti. Diagnosis yang tepat adalah penting dalam menentukan rawatan yang paling sesuai.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.