Goiter atau beguk adalah keadaan di mana kelenjar tiroid seseorang itu membesar. Kelenjar tiroid ini boleh membesar secara keseluruhan atau munculnya satu atau lebih ketulan kecil yang dipanggil sebagai nodul tiroid.
Kelenjar tiroid adalah kelenjar endokrin kecil berbentuk rama-rama yang terletak pada bahagian leher di bawah halkum. Ianya menghasilkan hormon tiroksin (T4) dan triiodotironin (T3).
Hormon-hormon ini memainkan peranan penting dalam beberapa fungsi badan, termasuklah:
- Metabolisme
- Mengawal suhu badan
- Mood dan tahap rangsangan badan
- Kadar denyutan jantung
- Pencernaan
Goiter boleh berlaku apabila hormon tiroid dihasilkan terlalu banyak (hipertiroidisme) atau terlalu sedikit (hipotiroidisme), ataupun normal (eutiroid).
Terdapat banyak punca goiter dan rawatan untuk penyakit goiter adalah bergantung kepada puncanya.
Jenis-Jenis Goiter
Goiter boleh diklasifikasikan berdasarkan cara ianya membesar dan tahap hormon tiroid.
Berdasarkan cara pembesaran:
- Goiter ringkas (keseluruhan):
Seluruh kelenjar tiroid akan membengkak dan terasa licin apabila disentuh. - Goiter nodular:
Berlaku apabila satu ketulan (nodul) sama ada pepejal atau berisi cecair terbentuk di dalam tiroid, menjadikannya terasa berbonjol. - Goiter multinodular:
Terdapat banyak nodul dalam tiroid, sama ada boleh dilihat atau hanya dikesan melalui pemeriksaan fizikal ataupun imbasan.
Berdasarkan tahap hormon tiroid:
- Goiter toksik:
Kelenjar tiroid membesar dan menghasilkan hormon tiroid yang berlebihan. - Goiter tidak toksik:
Tiroid membesar tetapi tahap hormon adalah normal (eutiroid), bermakna tiada hipertiroidisme atau hipotiroidisme.
Doktor selalunya akan menggabungkan klasifikasi ini, contohnya: goiter multinodular toksik yang berlaku apabila terdapat banyak nodul yang menghasilkan hormon tiroid secara berlebihan.
Siapakah yang Berisiko Mendapat Goiter?
Sesiapa sahaja boleh mendapat goiter, namun ianya 4 kali lebih kerap berlaku pada wanita berbanding lelaki. Risiko ini semakin meningkat dengan usia, terutama selepas umur 40 tahun.
Faktor lain yang boleh meningkatkan risiko termasuklah:
- Obesiti
- Rintangan insulin
- Sindrom metabolik
Risiko juga akan meningkat jika:
- Pernah menerima rawatan radiasi pada bahagian kepala atau leher
- Mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit tiroid
Kekerapan Goiter
Goiter adalah masalah yang agak biasa berlaku — kira-kira 5% populasi di Amerika Syarikat pernah mengalaminya.
Di seluruh dunia, punca paling utama adalah disebabkan kekurangan iodin, yang menjejaskan kira-kira 2.2 bilion orang.
Kadar goiter akan meningkat mengikut tahap kekurangan iodin:
- Kekurangan ringan: 5%–20% risiko goiter
- Kekurangan sederhana: 20%–30% risiko goiter
- Kekurangan teruk: >30% risiko goiter
Tanda dan gejala
Saiz goiter boleh jadi sama ada kecil ataupun sangat besar. Kebanyakannya tidak sakit, tetapi jika puncanya disebabkan oleh keradangan (tiroiditis), ianya boleh menyebabkan kesakitan.
Gejala utama:
- Benjolan di bahagian depan leher, di bawah halkum
- Rasa sempit pada bahagian tekak
- Suara menjadi serak
- Salur darah pada leher membengkak
- Pening ketika mengangkat tangan ke atas kepala
Gejala kurang biasa berlaku:
- Sukar bernafas
- Batuk
- Nafas berbunyi (wheezing) yang disebabkan tekanan pada saluran pernafasan
- Sukar menelan kerana tekanan pada esofagus
Sesetengah pesakit goiter juga mengalami hipertiroidisme, dengan gejala seperti:
- Degupan jantung laju
- Berat badan turun tanpa sebab
- Cirit-birit
- Berpeluh tanpa sebab
- Menggigil
- Gelisah
Ada juga pesakit goiter yang mengalami hipotiroidisme, dengan gejala seperti:
- Letih
- Sembelit
- Kulit kering
- Pertambahan berat badan tanpa sebab
- Haid tidak teratur
Punca-punca Goiter
Goiter berlaku apabila sel tiroid memberi tindak balas terhadap apa-apa keadaan yang mengganggu penghasilan hormon tiroid.
Punca-punca ini termasuklah:
1. Kekurangan iodin
Tiroid memerlukan iodin untuk menghasilkan hormon. Jika tidak cukup iodin, tiroid akan membesar untuk cuba menghasilkan lebih banyak hormon.
Sumber iodin: makanan laut, produk tenusu, garam beriodin.
Di Malaysia, kekurangan iodin jarang berlaku.
2. Penyakit Graves
Penyakit autoimun yang menyebabkan tiroid diserang sistem imun badan sendiri sehingga ianya membesar dan menghasilkan hormon berlebihan.
3. Penyakit Hashimoto
Penyakit autoimun yang menyebabkan keradangan tiroid. Sesetengah pesakit mengalami pembesaran tiroid sebagai tindak balas.
4. Kanser tiroid
Kanser boleh menyebabkan pembesaran kelenjar tiroid.
5. Kehamilan
Hormon hCG yang dihasilkan semasa kehamilan boleh merangsang pembesaran tiroid.
6. Tiroiditis (keradangan tiroid)
Keradangan tiroid daripada pelbagai sebab.
Goiter sporadik
Sesetengah kes goiter tidak diketahui puncanya. Sesetengah ubat seperti lithium boleh menyebabkan goiter jenis ini.
Pengesanan
Untuk membuat diagnosis goiter, doktor akan melakukan beberapa ujian:
Ujian yang digunakan:
- Pemeriksaan fizikal: Memeriksa pembesaran tiroid, nodul, atau kesakitan.
- Ujian darah mengesan hormon tiroid: Menilai fungsi tiroid dalam badan.
- Ujian antibodi: Mengesan penyakit autoimun.
- Ultrasound tiroid: Melihat saiz dan kewujudan nodul.
- Biopsi: Mengambil sampel tisu untuk memastikannya bukan kanser.
- Imbasan uptake tiroid: Melihat fungsi dan saiz tiroid.
- CT scan atau MRI: Jika goiter sangat besar atau masuk ke kebahagian dada.
Rawatan
Adakah Goiter Boleh Hilang Dengan Sendiri?
Ya, goiter ringkas boleh hilang tanpa rawatan.
Goiter multinodular yang tidak mengganggu fungsi hormon biasanya tidak memerlukan rawatan, tetapi memerlukan pemantauan berkala.
Bagaimana Goiter Dirawat?
Bergantung kepada punca, saiz dan gejala.
Pilihan rawatan:
- Tanpa rawatan / pemerhatian berkala:
Jika kecil dan tidak mengganggu kehidupan. - Ubat-ubatan:
- Levothyroxine — untuk hipotiroidisme.
- Methimazole & propylthiouracil — untuk hipertiroidisme.
- Aspirin atau kortikosteroid — jika goiter yang disebabkan keradangan.
- Terapi iodin radioaktif:
Digunakan untuk tiroid yang terlalu aktif. Ianya boleh mengecilkan kelenjar tiroid. Pesakit biasanya perlu mengambil hormon tiroid sepanjang hayat selepas itu. - Pembedahan (tiroidektomi):
Dijalankan untuk goiter besar yang mengganggu pernafasan / menelan, jika terdapat nodul mencurigakan, atau disebabkan kanser. Penggantian hormon sepanjang hayat mungkin diperlukan.
Prognosis
Prognosis bergantung kepada jenis dan punca goiter.
- Goiter ringkas biasanya mempunyai prognosis yang baik.
- Jika pembesaran tiroid berterusan, ianya boleh menekan pada struktur di leher dan menyebabkan masalah pernafasan, suara serak atau kesukaran menelan.
- Jika disebabkan penyakit Graves atau Hashimoto, prognosis bergantung kepada rawatan penyakit asas tersebut.
Pencegahan
Satu-satunya goiter yang boleh dicegah ialah goiter akibat kekurangan iodin.
Anda boleh mencegahnya dengan:
- Memakan ikan dan makanan laut
- Mengambil produk tenusu
- Menggunakan garam beriodin dalam jumlah yang sihat
Suplemen iodin tidak digalakkan kecuali diarahkan oleh doktor kerana ianya boleh memudaratkan.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Jika anda telah didiagnosis dengan goiter, anda perlu membuat pemeriksaan susulan sekurang-kurangnya setahun sekali.
Segera berjumpa doktor jika muncul gejala baharu seperti:
- Sesak nafas
- Kesukaran menelan
- Pembesaran ketara pada leher
Kesimpulan
Tiroid memainkan peranan penting dalam banyak fungsi badan. Jika ianya membesar, itu mungkin adalah tanda penyakit yang memerlukan perhatian. Berita baiknya adalah goiter boleh dirawat dan kadangkala hilang dengan sendiri.
Jika anda melihat benjolan di bahagian hadapan leher, berjumpalah doktor dengan segara untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan yang sewajarnya.

























Tulis Komen