Menurut anggaran, masalah berdengkur memberi kesan kepada lebih kurang 57% lelaki dan 40% wanita di Amerika Syarikat. Selain itu ianya juga berlaku kepada sehingga lebih kurang 27% kanak-kanak.
Statistik ini menunjukkan masalah berdengkur merupakan masalah yang meluas, namun tahap keterukan dan implikasinya kepada kesihatan adalah berbeza-beza. Berdengkur boleh jadi ringan, jarang-jarang dan tidak menyebabkan apa-apa masalah. Namun kadangkala ianya boleh menjadi tanda kepada masalah pernafasan yang serius ketika tidur.
Artikel ini akan membincangkan punca berdengkur, kenapa ianya berbahaya, rawatan berdengkur serta bagaimana untuk hidup dengan masalah ini. Dengan pengetahuan ini, anda boleh meningkatkan taraf kesihatan serta kualiti hidup.
Punca berdengkur
Berdengkur adalah disebabkan oleh pergerakan dan gegaran pada tisu berdekatan laluan udara pada bahagian tenggorok. Ketika tidur, otot akan kendur dan menyebabkan laluan udara menjadi sempit. Ketika sesorang itu sedang menarik dan menghembus nafas, pergerakan udara akan menyebabkan tissue bergetar dan menghasilkan bunyi seperti yang berlaku apabila bendera sedang ditiup angin.
Sesetengah orang cenderung untuk berdengkur kerana saiz dan bentuk otot serta tisu pada tenggorok mereka. Dalam kes yang lain, pengenduran tisu atau penyempitan laluan udara yang berlebihan menyebabkan berdengkur.
Antara faktor risiko yang menyebabkan seseorang itu lebih berisiko untuk berdengkur termasuklah:
- Obesiti
- Pengambilan alkohol
- Penggunaan ubat tidur
- Hidung tersumbat yang kronik
- Tonsil, lidah dan lelangit yang besar
- Septum beralih kedudukan atau polyp dalam hidung
- Rahang yang kecil atau terkebelakang
- Hamil
Walaupun semua peringkat umur boleh berdengkur, termasuk kanak-kanak, namun ianya lebih banyak berlaku pada mereka yang berumur. Lelaki lebih kerap berdengkur berbanding wanita.
Perbezaan berdengkur dan apnea tidur
Apnea tidur obstruktif (tersumbat) atau OSA merupakan masalah pernafasan di mana laluan udara tersumbat atau menjadi sempit ketika tidur, yang akan menyebabkan kesukaran bernafas berulang.
Berdengkur merupakan salah satu gejala utama penyakit OSA, tetapi tidak semua mereka yang berdengkur menghidap OSA. Bunyi berdengkur yang disebabkan penyakit OSA biasanya kuat dan seperti seseorang itu sedang tercekik, berdengus atau tidak cukup nafas.
OSA boleh mengganggu aktiviti tidur serta menyebabkan ketidakseimbangan oksigen dan karbon dioksida dalam badan pesakit. Dengkuran ringan (jenis primer) yang lebih kerap terjadi selalunya tidak menyebabkan masalah ini.
Tahap berdengkur
Sama ada dengkuran itu berbahaya kepada seseorang bergantung kepada jenis, tahap keterukan dan kekerapan.
- Dengkuran yang ringan dan jarang adalah normal dan tidak memerlukan pemeriksaan perubatan serta rawatan. Walaubagaimanapun ianya boleh memberi kesan kepada pasangan sekatil atau teman sebilik yang mungkin berasa terganggu.
- Dengkuran primer berlaku melebihi tiga malam dalam seminggu. Disebabkan kekerapannya, ianya lebih mengganggu pasangan sekatil; walaubagaimanapun ia selalunya tidak memberi kesan kepada kesihatan melainkan terdapat tanda tidak cukup tidur atau apnea tidur, dan dalam kes ini pemeriksaan lanjut perlu dilakukan.
- Dengkuran yang dikaitkan dengan OSA adalah lebih berbahaya dari sudut perubatan. Jika OSA tidak dirawat, ianya boleh memberi kesan kepada tidur dan kesihatan seseorang. OSA yang tidak mendapat rawatan lanjut dikaitkan dengan mengantuk pada waktu siang, dan masalah perubatan lain seperti isu kardiovaskular, tekanan darah tinggi, kencing manis, angin ahmar dan kemurungan.
Bila perlu berjumpa doktor
Kebanyakan kes berdengkur selalunya tidak berbahaya, tetapi penting untuk berjumpa doktor jika terdapat tanda-tanda berpotensi apnea tidur. Antara tanda-tanda tersebut adalah:
- Berdengkur tiga kali atau lebih dalam seminggu
- Berdengkur dengan sangat kuat atau mengganggu orang lain
- Berdengkur disertai bunyi tercekik, nafas terhenti, atau tersedak
- Obesiti atau peningkatan berat badan baru-baru ini
- Mengantuk pada waktu siang hari
- Hilang fokus atau kurang ketajaman mental
- Sakit kepala dan hidung tersumbat pada waktu pagi
- Tekanan darah tinggi
- Menggigit gigi pada waktu malam (bruxisme)
- Kerap kencing pada waktu malam (nokturia)
Jika anda perasan salah satu daripada tanda-tanda ini, penting untuk berbincang dengan doktor bagi menentukan sama ada ujian atau rawatan lanjut diperlukan.
Pengesanan
Kebanyakan orang yang berdengkur selalunya tidak menyedarinya kecuali diberitahu oleh orang lain, dan inilah sebabnya apnea tidur sukar untuk didiagnosis.
Jika tidur bersendirian, pilihan terbaik ialah menggunakan alat peranti rakaman—sama ada perakam pita jenis lama atau aplikasi dalam telefon pintar. Aplikasi telefon pintar mempunyai kelebihan kerana boleh menganalisis corak bunyi untuk mengesan episod berdengkur. Rakaman sebaiknya dibuat beberapa malam kerana aktiviti berdengkur mungkin tidak berlaku setiap malam. Walaubagaimanapun, aplikasi ini tidak membantu dalam diagnosis OSA.
Jika rakaman tidak dapat dilakukan, perhatikan tanda-tanda gangguan tidur yang lain seperti mengantuk pada siang hari, keletihan, masalah tumpuan atau berfikir, atau perubahan emosi yang tidak dapat dijelaskan.
Rawatan
Rawatan bergantung kepada jenis berdengkur dan masalah yang timbul daripadanya.
Bagi yang jarang berdengkur atau berdengkur jenis primer, rawatan mungkin tidak diperlukan kecuali ianya mengganggu tidur diri sendiri atau pasangan sebilik. Dalam kes ini, rawatan biasanya lebih mudah dan kurang invasif. Pesakit apnea tidur biasanya memerlukan rawatan yang lebih lanjut.
Jenis rawatan ini termasuklah:
- Perubahan gaya hidup
- Alat anti-berdengkur
- Senaman mulut
- Peranti tekanan udara positif (CPAP, APAP, BiPAP)
- Pembedahan
Doktor adalah orang terbaik untuk menerangkan kepada anda tentang kebaikan dan keburukan rawatan mengikut kesesuaian individu.
Perubahan Gaya Hidup
Perubahan gaya hidup boleh membantu menghentikan berdengkur, dan dalam sesetengah kes rawatan lain tidak diperlukan. Walaupun rawatan lain diberikan, perubahan gaya hidup tetap digalakkan. Contohnya seperti:
- Kekalkan berat badan sihat – Kegemukan ialah faktor risiko utama berdengkur dan apnea tidur.
- Hadkan alkohol dan ubat tidur – Kedua-duanya boleh mencetuskan dengkur.
- Ubah posisi tidur – Tidur terlentang memudahkan saluran pernafasan tersumbat. Boleh cuba alat khas atau teknik seperti menjahit bola tenis pada baju tidur.
- Tinggikan bahagian kepala katil – Gunakan penahan, bantal berbentuk baji, atau rangka katil boleh laras. Elakkan hanya menambah bantal biasa.
- Kurangkan hidung tersumbat – Rawat alahan atau punca kesesakan hidung yang lain. Salur pernafasan hidung atau pengembang dalaman hidung boleh membantu.
Alat Anti-Berdengkur
Alat ini menahan lidah atau rahang agar tidak menutup saluran pernafasan ketika tidur.
- Mandibular Advancement Device – Menahan rahang bawah untuk bergerak ke hadapan, biasanya boleh dilaraskan.
- Tongue Retaining Device – Mengekalkan lidah agar tidak jatuh ke belakang kerongkong.

Senaman Mulut
Otot yang lemah di sekitar saluran pernafasan boleh meningkatkan lagi risiko berdengkur. Senaman untuk menguatkan otot pada mulut, lidah, dan tekak boleh mengurangkan berdengkur.
Senaman ini paling berkesan untuk berdengkur jenis ringan dan biasanya perlu dilakukan setiap hari selama 2 ke 3 bulan.
Alat Tekanan Udara Positif (CPAP, BiPAP, APAP)
- CPAP – Memberi tekanan udara berterusan melalui topeng muka untuk memastikan saluran pernafasan terbuka.
- BiPAP – Memberi tekanan berbeza semasa menyedut dan menghembus nafas.
- APAP – Mesin pintar yang dapat melaraskan tekanan secara automatik.
Peranti ini memerlukan preskripsi dan penyelarasan oleh juruteknik tidur. Ramai pesakit mendapati ia berkesan mengurangkan berdengkur dan meningkatkan kualiti tidur.
Pembedahan
Jarang menjadi rawatan pertama, tetapi boleh dipertimbangkan jika rawatan lain gagal.
- Uvulopalatopharyngoplasty – Mengeluarkan tisu berdekatan untuk meluaskan saluran pernafasan.
- Pembedahan lain – Merawat polyp hidung, septum hidung bengkok, atau halangan saluran pernafasan yang lain.
Bukti klinikal bagi pembedahan invasif minima masih terhad.
Tidur Dengan Penghidap Masalah Berdengkur
Masalah berdengkur yang berpanjangan boleh menjejaskan tidur pasangan pesakit dan menyebabkan ketegangan dalam kehidupan berumahtangga.
Jika masalah berdengkur ini tidak dapat dihentikan, penggunaan penyumbat telinga, mesin white noise, aplikasi telefon, atau kipas boleh membantu mengurangkan gangguan bunyi daripada berdengkur.
























Tulis Komen