Glioblastoma – Punca, Tanda dan Rawatan

Sehingga hari ini masih tiada rawatan untuk menyembuhkan GBM. Rawatan yang ada hanya bertujuan untuk membuang atau mengecilkan tumor bagi mengurangkan gejala.

Glioblastoma multiforme (GBM) merupakan ketumbuhan otak jenis malignan (kanser) dan ianya kerap berlaku dalam kalangan orang dewasa. Sel kanser dalam tumor GBM selalunya tumbuh dengan sangat cepat. Kanser ini boleh merebak ke bahagian lain dalam otak, dan dalam kes yang jarang berlaku, ianya juga boleh merebak dari otak ke bahagian tubuh yang lain.

Tumor glioma seperti GBM bermula pada sel glia. Sel glia penting untuk menjalankan fungsi-fungsi sel saraf. GBM secara khususnya terbentuk dalam sel glia yang dipanggil astrocytes. GBM merupakan jenis astrocytoma (tumor pada astrocytes) yang paling cepat berkembang.

Statistik

Lebih daripada 13,000 rakyat Amerika didiagnosis dengan GBM setiap tahun. GBM merangkumi hampir separuh daripada kesemua kanser otak jenis malignan.

Faktor Risiko

GBM biasanya dihidapi oleh individu berumur diantara 45 hingga 70 tahun. Purata umur ketika GBM dikesan pula ialah pada umur 64 tahun. Risiko GBM lebih tinggi sedikit untuk lelaki, tetapi penyakit ini boleh berlaku pada semua peringkat umur dan jantina.

Faktor yang boleh meningkatkan risiko mendapat GBM termasuklah:

  • Pendedahan kepada bahan kimia seperti racun perosak, petroleum, getah sintetik dan vinil klorida.
  • Keadaan genetik yang menyebabkan tumor, seperti neurofibromatosis, sindrom Li-Fraumeni dan sindrom Turcot.
  • Pernah menjalani terapi radiasi pada bahagian kepala.

Punca

Saintis masih belum mengetahui punca sebenar mengapa sesetengah individu lebih berisiko mendapat kanser otak, termasuk GBM.

Tanda dan Gejala

Gejala GBM biasanya muncul dengan cepat. Ketumbuhan yang semakin membesar ini akan memberi tekanan pada otak lalu menyebabkan:

  • Penglihatan kabur atau berganda.
  • Sakit kepala.
  • Hilang selera makan.
  • Masalah ingatan.
  • Perubahan mood atau personaliti.
  • Kelemahan otot atau masalah keseimbangan badan.
  • Loya dan muntah.
  • Sawan.
  • Masalah pertuturan.
  • Perubahan pada deria, rasa kebas atau rasa mencucuk.

Pengesanan

Jika doktor mengesyaki anda mempunyai ketumbuhan dalam otak, anda mungkin akan menjalani ujian berikut:

  • Imbasan MRI atau CT untuk mengesan ketumbuhan otak.
  • Biopsi untuk mengambil sampel tisu ketumbuhan dan memeriksa untuk sel kanser di makmal.

Jenis dan Tahap

Doktor selalunya menggunakan sistem tahap 1 hingga 4 untuk menunjukkan tahap keterukan kanser otak.

  • Gred 1 tumbuh perlahan dan paling kurang agresif.
  • Gred 4 tumbuh sangat cepat dan paling agresif.

GBM secara definisi ialah gred 4.

GBM juga boleh dibahagikan mengikut jenis primer atau sekunder:

  • GBM primer bermula terus daripada sel glia.
  • GBM sekunder berlaku apabila tumor glia gred 1 berkembang menjadi GBM.

Komplikasi

GBM termasuk rawatannya boleh menjejaskan fungsi otak. Pesakit mungkin akan mengalami perubahan mood dan juga masalah ingatan. Kebanyakan pesakit akhirnya perlu berhenti bekerja, memandu dan aktiviti lain yang berisiko membahayakan diri dan orang ramai.

Ada pesakit yang memerlukan penjagaan sepenuh masa. Perubahan ini boleh menyebabkan rasa risau atau kemurungan kepada pesakit dan juga keluarga pesakit.

Rawatan

Sehingga hari ini masih tiada rawatan untuk menyembuhkan GBM. Rawatan yang ada hanya bertujuan untuk membuang atau mengecilkan tumor bagi mengurangkan gejala.

Langkah pertama biasanya pembedahan (kraniotomi) untuk membuang tumor, diikuti dengan radiasi dan kemoterapi. Jika pembedahan tidak sesuai kerana keadaan kesihatan atau lokasi tumor, radiasi dan kemoterapi digunakan untuk mengawal pembesaran tumor.

Jenis rawatan termasuk:

Terapi radiasi

Menggunakan sinar-X untuk menghapuskan sel kanser. Pesakit mungkin memerlukan sehingga 30 sesi radiasi harian dalam tempoh enam minggu.

Terapi radiasi termodulasi intensiti (IMRT)

Membolehkan penyampaian radiasi tepat ke tumor sambil mengurangkan pendedahan kepada tisu otak yang sihat.

Radiosurgeri stereotaktik

Contohnya Gamma Knife. Walaupun namanya “pembedahan”, ia bukan pembedahan sebenar. Sinar-X fokus tinggi disasarkan tepat kepada tumor. Teknik ini kadangkala digunakan jika GBM tumbuh semula selepas IMRT.

Kemoterapi

Ubat yang diambil bertujuan untuk membunuh sel kanser. Ianya boleh diberikan serentak dengan rawatan radiasi atau selepas rawatan radiasi selesai.

Terapi disasarkan (targeted therapy)

Menumpukan pada perubahan tertentu dalam sel kanser yang mendorong pertumbuhan tumor.

Gelombang rawatan tumor (TTF)

Melibatkan pemakaian peranti yang akan menghantar medan elektrik intensiti rendah ke tumor melalui elektrod pada kulit kepala. TTF akan mengganggu pertumbuhan sel-sel kanser. Biasanya rawatan ini akan dipertimbangkan selepas terapi kemoradiasi.

Kelangsungan Hidup

GBM ialah kanser yang sangat agresif dan sukar dirawat. Ianya tiada penawar, tetapi rawatan yang dijalankan dapat mengurangkan gejala, meningkatkan keselesaan hidup dan memanjangkan hayat pesakit.

Banyak kajian klinikal sedang dijalankan untuk mencari rawatan baharu GBM. Terapi yang menyasarkan gen tertentu dalam sel kanser menunjukkan potensi. Penyelidik juga sedang mengkaji kaedah untuk menyampaikan kemoterapi terus ke tumor otak.

Secara purata, pesakit hidup selama 12 hingga 18 bulan selepas diagnosis. Hanya kira-kira 7% pesakit hidup selepas lima tahun penyakit ini dikesan.

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Dapatkan rawatan jika anda mengalami:

  • Masalah ingatan.
  • Sawan.
  • Sakit kepala teruk atau masalah penglihatan.
  • Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau loya dan muntah.

Soalan untuk Ditanya kepada Doktor

Anda mungkin ingin bertanya:

  • Mengapa saya mendapat glioblastoma?
  • Apakah rawatan terbaik untuk keadaan saya?
  • Apakah risiko dan kesan sampingan rawatan?
  • Apakah jenis rawatan susulan yang diperlukan?
  • Apakah kebarangkalian kanser kembali atau merebak?
  • Apakah tanda komplikasi yang perlu saya perhatikan?

Kesimpulan

Menerima diagnosis GBM boleh menjadi sangat sukar untuk pesakit dan keluarga pesakit. Penyakit ini boleh tumbuh dengan cepat dan rawatannya pula sangat mencabar. Walaubagaimanapun, para penyelidik sedang berusaha untuk mencari rawatan baharu yang lebih berkesan bagi menyembuhkan penyakit ini.

Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.