Bahaya Dadah Syabu atau Metamfetamin

Syabu sering disalahgunakan di pesta liar, kelab malam, disko, dan lain-lain tempat hiburan untuk menaikkan mood dan daya ketahanan fizikal.

Syabu atau nama kimianya methamphetamine, adalah dadah perangsang jenis amfetamin (Amphetamine-Type Stimulants, ATS).

Syabu dihasilkan di makmal haram dari bahan prekursor seperti ephedrine, pseudoephedrine dan phenylpropanolamine. Apabila kawalan yang ketat dikenakan ke atas prekursor, pengilang haram ini mula mencuba resipi baru dengan menggunakan bahan-bahan lain yang merbahaya, seperti asid bateri dan pencuci longkang. Bahan-bahan ini meningkatkan lagi risiko pendedahan pengguna kepada kesan buruk dan kematian.

Nama syabu yang lain

Syabu juga dikenali sebagai “speed”, “meth”, “chalk”, dan “china white”. Syabu yang dihisap secara “chasing the dragon” disebut sebagai “ice”, “crystal”, “crank” , dan “glass”. Syabu gred satu yang berkualiti berwarna putih kristal sementara syabu gred dua warna putih kemerahan dan gred tiga pula rendah kualitinya serta mempunyai rasa yang pahit.

Syabu berbentuk kristal.

Statistik penyalahgunaan syabu

Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada Sidang Khas mengenai masalah dadah sedunia, 8-10 Jun 1998, terdapat 2,400 kematian berkaitan dengan methamphetamine di Amerika Syarikat untuk tempoh 1991-1995; di Jepun hampir 90% pelanggaran undang-undang kawalan dadah adalah yang berkaitan dengan methamphetamine; di Filipina, methamphetamine adalah dadah yang paling banyak disalahgunakan sejak awal 1950’an; dan di Republik Korea dan Australia, methamphetamine adalah dadah kedua yang paling banyak disalahgunakan selepas ganja.

Kadar penyalahgunaan sebenar methamphetamine di Malaysia tidak diketahui tetapi dipercayai sedang meningkat. Jumlah syabu yang dirampas oleh pihak penguatkuasa didapati meningkat dari 1.81kg pada tahun 1996 kepada 5.41kg pada tahun 1999. Pada tahun ini untuk tempoh 5 bulan pertama sahaja 14.66kg syabu telah dirampas.

Kegunaan dalam perubatan

Dadah jenis ini dihasilkan pada abad lalu dari dadah induknya amphetamine, yang dahulunya diguna untuk melegakan pernafasan akibat hidung tersumbat. Walaubagaimanapun, pada hari ini kegunaannya terhad untuk keadaan-keadaan tertentu seperti untuk rawatan narkolepsi ( satu keadaan di mana seseorang rasa mengantuk dan tertidur secara spontan), penyakit ADHD (hiperaktif), dan kegemukan yang teruk (untuk kegunaan bagi jangkamasa singkat).

Penyalahgunaan syabu

Syabu, seperti Ecstacy, dilaporkan disalahgunakan oleh remaja selalunya di pesta-pesta liar, di pesta tari-menari , di kelab-kelab malam, disko, tempat karaoke dan lain-lain tempat hiburan untuk menaikkan mood seseorang dan daya ketahanan fizikal. 

Syabu boleh didapati dalam berbagai-bagai bentuk dan boleh digunakan secara suntikan, dihisap secara merokok, ditelan atau disedut melalui hidung. 

Penggunaan secara suntikan atau dihisap secara “chasing the dragon” mendatangkan kesan segera keseronokan. Penggunaan secara disedut melalui hidung memberikan kesan dalam 3 ke 5 minit sementara jika ditelan kesannya diperolehi selepasa 15 ke 20 minit. Kedua-dua cara pengambilan dadah jenis ini iaitu dengan cara disedut atau dimakan akan menghasilkan euforia dan mengkhayalkan tetapi tidak dengan kesan segera. Kesan dadah ini akan bertahan sehingga 4 ke 24 jam.

Kesan toleran ke atas dadah ini terjadi dengan cepat – iaitu kesan seronok akibat dadah ini lenyap sebelum kandungan dadah berkurangan dalam darah – penggunanya akan cuba meneruskan kesan khayal dengan penggunaan dadah ini secara berulangkali (dikenali sebagai “bingeing”). Walaubagaimanapun, setiap episod kekhayalan ini semakin kurang keseronokannya dan lebih banyak syabu diperlukan untuk mencapai kekhayalan. Pengguna dadah ini yang dahulunya memakan atau menyedut dadah ini akan bertukar kepada menghisap atau menyuntik dadah ini untuk mendapatkan kesan seronok yang lebih dan cepat.

Kesan khayal dan keseronokan ini dipercayai akibat pengeluaran dopamine, penghantar neuro di otak yang mengawal perasaan seronok atau gembira.

Kesan-kesan syabu

Syabu ialah stimulan yang poten. Pengguna menggemarinya kerana ia memberi rasa euforia iaitu rasa gembira dan menyeronokkan; rasa lebih bertenaga dengan peningkatan aktiviti fizikal, hilang mengantuk, peningkatan tumpuan perhatian, berjaga-jaga dan pengurangan selera.

Walaubagaimanapun, pengguna syabu akan mengalami kesan buruk seperti mulut kering, berpeluh berlebihan, anak mata menjadi besar, menggeletar dan sakit kepala.

Selepas kesan khayal, seseorang itu merasa gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan boleh bersifat ganas.

Pada dos yang tinggi dadah ini menaikkan suhu badan kepada tahap yang membahayakan, mengakibatkan sawan dan akhirnya maut.

Keadaan gigi yang mereput dan rosak akibat pengambilan syabu.

Bahaya syabu

Penggunaan syabu memudaratkan kesihatan kerana: 

  • Toleran – kesan toleran terjadi dengan cepat mengakibatkan penggunanya mengambil dos lebih dan berulang untuk meneruskan kesan khayal yang dialaminya. Dalam keadaan tertentu, pengguna tidak makan atau tidur tetapi pada masa yang sama terus menyuntik dadah ini sehingga 1 gram setiap 2 ke 3 jam dalam jangkamasa beberapa hari sehingga bekalannya habis atau sehingga mereka tidak berupaya meneruskannya. Terdapat juga pengguna yang tahan tidak tidur dari 3 ke 15 hari akibat dadah ini. 
  • Penagihan – Pengguna dadah ini akan mengalami ketagihan dan juga penggantungan psikologi akibat pengambilan syabu. Ketagihan ini akan berada pada tahap kronik dan berulang. Pemberhentian pengambilan dadah ini akan menyebabkan kemurungan, kegelisahan, keletihan, syak wasangka tanpa sebab, sifat ganas dan menagih untuk mendapatkan dadah tersebut. 
  • Pengabaian diri – Apabila di bawah pengaruh syabu, pengguna tidak makan, tidur dan mengabaikan diri sendiri. Penggunaan pada dos tinggi akan menyebabkan hilang berat badan yang ketara, muka menjadi pucat, pengabaian kesihatan diri dengan perpeluhan , badan berbau, gigi kekuningan, berparut dan luka-luka di badan. Kudis jelas kelihatan akibat pengguna syabu menggaru kulit untuk menghapus bayangan serangga yang disangka berada pada kulitnya. 
  • Kurang daya tahan kepada penyakit – Pengguna syabu yang mengabaikan pemakanan dan tidur yang sempurna akan menjadi lemah dan kurang daya tahan melawan penyakit. 
  • Kerosakan pada otak dan sistem saraf seseorang – Penggunaan kronik mengakibatkan berkelakuan terlalu aktif, susah tidur, kemurungan yang teruk, khayal, syak wasangka tanpa sebab, bersikap garang, keganasan tidak terkawal, dan perlakuan psikotik seperti halusinasi. Penyelidik-penyelidik mendapati kerosakan pada sistem saraf dan otak yang boleh menyebabkan gejala-gejala seperti penyakit Parkinson (dengan gangguan pergerakan anggota-anggota badan) dan penyakit Alzheimer (dengan kehilangan ingatan dan kekurangan daya berfikir). 
  • Gangguan metabolisma badan – dadah ini menyebabkan hilang selera yang ketara, kurang pemakanan, kehilangan berat badan yang jelas, kurus dan lain-lain masalah akibat metabolisma badan yang terjejas. 
  • Kerosakan pada jantung dan sistem pendarahan – dadah ini menyebabkan degupan kencang, tidak menentu dan tekanan darah meningkat, yang mengakibatkan sakit jantung dan maut. Kerosakan pada saluran darah menyebabkan strok atau angin ahmar
  • Kerosakan pada sistem pernafasan – dadah ini, lebih-lebih lagi jika dicemarkan dengan bahan berbahaya, akan menyebabkan masalah pernafasan.
  • Gangguan kepada saluran makanan – Kebuluran berlanjutan sebab tidak makan semasa pengambilan syabu, serta bahan toksik dalam dadah yang dicampur dengan bahan lain menyebabkan gangguan kepada perut dan sistem penghadaman. Gigi juga boleh rosak dan mereput disebabkan pengambilan syabu.
  • Bahaya semasa mengandung – penggunaan methamphetamine semasa mengandung akan menjejaskan pembentukan bayi, kelahiran sebelum cukup tempoh atau keguguran. Bayi yang dilahirkan adalah kecil, terlalu aktif dan mudah gelisah. Dikhuatiri juga bayi ini akan mengalami masalah mental dan masalah tumbesaran . 
  • Kemalangan jalanraya – pengguna syabu boleh terlibat dalam kemalangan jalanraya akibat kesan kebingungan, khayal, paranoia, keganasan dan kelakuan psikotik. 
  • Bahaya daripada exploitasi seks dan seks bebas – Hasil penyelidikan mendapati pengguna methamphetamine menjadi lebih berahi. Penggunaan dadah ini sering dikaitkan dengan hubungan seks yang lebih ganas menyebabkan pendarahan dan luka. Remaja terutama gadis-gadis di bawah pengaruh syabu akan terdedah kepada bahaya ekploitasi seks serta hubungan jenis tidak selamat yang boleh menyebabkan jangkitan HIV, hepatitis dan lain-lain penyakit kelamin. Penggunaan methamphetamine dalam jangkamasa panjang menyebabkan lelaki menghadapi masalah fungsi seks mereka.
  • Bahaya akibat HIV, Hepatitis dan lain-lain penyakit berjangkit – penyakit-penyakit ini mungkin dijangkiti akibat amalan seks bebas atau tanpa perlindungan semasa di bawah pengaruh dadah ini, dan juga dari penggunaan alat-alat suntikan yang tercemar dan dikongsi. 
  • Masalah-masalah sosial lain – Semua aspek kehidupan seseorang termasuk keluarganya, hubungan dengan orang lain dan kerja akan terjejas akibat dadah ini. Pengguna akan menghadapi pertelingkahan kerana masalah dadah dan kewangan akibat ketagihan dadah. Di tempat kerja penyalahguna dadah ini akan bermasalah disebabkan sifatnya yang cepat marah, tidak mesra dan kecenderungan kepada keganasan. Pengguna syabu juga mungkin terlibat dengan kejadian jenayah spontan seperti meragut beg bimbit dan serangan untuk menampung ketagihan mereka. Sifat paranoia dan ganas ini bolih menyebabkan pengguna membunuh diri atau melakukan pembunuhan. Di California, terdapat seorang lelaki yang semasa dibawah pengaruh syabu mencuri sebuah kereta perisai milik agensi keselamatan “National Guard” dan merosakkan beberapa kereta di jalanraya San Diego sebelum dia akhirnya ditembak oleh polis.

Hukuman kepada pemilik dan pengguna syabu

Sebelum 29.11.97, methamphetamine dikawal sebagai bahan psikotropik di bawah Akta Racun 1952 (Disemak 1989) di mana pemilikan, penjualan atau bekalan tanpa kuasa atau kebenaran (lesen) boleh dikenakan tindakan mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau pemenjaraan sehingga 4 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Pada 29.11.97 methamphetamine diwartakan sebagai dadah berbahaya melalui P.U.(A) 500. Pada masa itu di bawah Seksyen 12 sesiapa yang didapati mengimport, mengeksport atau memiliki methamphetamine tanpa kuasa atau kebenaran sah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menyedari hukuman di atas yang nyata adalah ringan berbanding dengan bahaya dadah ini, Kementerian Kesihatan telah mencadangkan Pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Pindaan ini telah diluluskan oleh Parlimen pada 1.7.1998 untuk meningkatkan hukuman berkaitan dadah berbahaya dan meningkatkan kawalan ke atas dadah peransang jenis Amfetamina termasuk syabu. Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 1998 ini berkuatkuasa 15.9.1998.

Di bawah Pindaan ini:

Pemilik 50g dan lebih methamphetamine dianggap sebagai mengedar dadah dan akan dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pemilik lebih 30g tetapi kurang dari 50g methamphetamine boleh dikenakan hukuman penjara 5 tahun sehingga seumur hidup dan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan.

Pemilik lebih 5g tetapi kurang dari 30g methamphetamine boleh dikenakan hukuman penjara 2-5 tahun dan sebatan 3-9 sebatan.

Pemilik kurang dari 5g methamphetamine boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau pemenjaraan sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengguna yang menggunakan methamphetamine ke atas diri sendiri boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya.

Tahun Berat syabu yang dirampas 
1996 1.81 kg 
1997 2.09 kg 
1998 6.43 kg 
1999 5.41 kg 
2000 (sehingga Mei) 14.66 kg 
Rampasan syabu, 1996-2000
1998 1999 Jan-Mei 2000 
Seksyen 39B 31 48 18 
Seksyen 39A(2) 50 
Seksyen 39A(1) 56 
Lain-lain 268 498 395 
Jumlah 299 609 468 

Data tangkapan pemilikan syabu

Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.