Sukan Lompat Jauh – Teknik, Gaya dan Latihan

Secara amnya peserta akan mendapat beberapa kali cubaan untuk membuat lompatan dan lompatan yang terpanjang akan dikira.

Lompat jauh adalah sejenis acara olahraga di mana seseorang ahli sukan atau atlit cuba mendarat sejauh yang boleh dari tempat pelepasan. Mereka yang bertanding akan berlari di laluan (pada tahap elit, biasanya mempunyai permukaan yang sama dengan trek larian) dan melompat sejauh yang boleh dengan memijak sepintas pada papan kayu ke bahagian yang diisi pasir atau tanah. Jarak minimum dari papan ke tanda yang dibuat oleh atlit pada pasir diukur.

Jika seseorang itu memulakan lompatannya dengan mana-mana bahagian kakinya di depan atau melebihi papan (satu lapisan plastisin diletakkan dengan segera di depan papan untuk mengesan ketepatan ini), lompatannya diisytiharkan salah atau batal dan tiada jarak akan direkodkan.

Papan berlepas.

Format sebenar pertandingan ini berbeza, tetapi secara amnya peserta akan mendapat beberapa kali cubaan untuk membuat lompatan dan hanya lompatan yang terpanjang akan dikira sebagai keputusan. Peserta dengan lompatan sah yang paling jauh pada akhir pertandingan akan dikira sebagai juara. Kelajuan semasa berlari dan tinggi lonjakan merupakan kunci lompatan yang jauh. Oleh itu tidak hairanlah jika atlet lari pecut turut bertanding dan memenangi acara ini.

Lompat jauh telah dijadikan sebagai sebahagian daripada Sukan Olimpik. Acara ini juga dicatat sebagai dua daripada rekod dunia yang paling lama berdiri dalam sebarang acara balapan dan padang. Pada 1935, Jesse Owens mencatatkan rekod dunia yang tidak dipecahkan sehingga 1960 oleh Ralph Boston. Lompat jauh adalah salah satu daripada acara Olimpik pada Yunani Purba.

Ukuran kawasan lompat jauh.

Seseorang atlit akan memegang beban pada kedua-dua tangan yang dipanggil halteres. Beban ini akan dilayangkan ke hadapan seiring apabila atlet melompat untuk menambah momentum dan dibaling ke belakang apabila berada di udara untuk menolaknya ke hadapan. Paling dingati dalam acara purba adalah seorang lelaki dipanggil Chionis di mana pada Olimpik 656 SM mencatatkan lompatan sejauh 7 m 5 cm.

Teknik dan gaya lompat jauh

Pada amnya terdapat tiga gaya lompatan iaitu:

  1. Gaya layar – biasanya digunakan oleh pelompat yang baru menceburkan diri dalam acara ini.
  2. Gaya gantung – digunakan oleh novis dan juga pakar.
  3. Gaya tendang kayuh – gaya yang hanya digunakan oleh pakar sahaja.

Rajah 3.2.1. Membuat pelepasan lompatan

Fasa pergerakan lompat jauh

Lompat jauh boleh dibahagikan kepada empat fasa seperti :

  1. Fasa penujuan – terdapat beberapa cara untuk memulakan fasa ini iaitu fasa berlari dari tempat permulaan ke papan lonjak. Seorang atlet mula berdiri dengan kaki segaris atau kaki depan belakang. Perkara yang paling penting ialah langkah pertama dari titik permulan mestilah bermula dengan kaki melonjak. Bilangan langkah ke papan lonjak berbeza, 11- 15 langkah untuk pelompat novis, 17-19 langkah untuk pelompat wanita pakar dan 23 langkah untuk pelompat lelaki pakar.
  2. Fasa lonjakan – setibanya di papan lonjak, pelompat pelompat seharusnya mencapai kelajuan larian maksimum. Bila kaki memijak papan lonjak, badan direndahkan sedikit untuk memberi keanjalan dari papan lonjakan itu. Kemudian badan ditegakkan dengan mengangkat dada ke atas.
  3. Fasa penerbangan/layangan – dalam fasa ini pelompat tidak ada peluang untuk meningkatkan kederasan. Pelompat menggerakkan kaki dan tangan ke belakang. Untuk gaya tendang kayuh kaki digerakkan seperti mengayuh basikal.
  4. Fasa pendaratan – apabila badan mula jatuh, tangan dan kaki dirapatkan; tangan dan kaki digerakkan ke hadapan. Bila tumit mula mencecah tanah, tangan digerakkan ke belakang dan kemudian ke hadapan.

Bahagian otot yang terlibat

Pergerakan dalam acara lompat jauh lebih tertumpu kepada bahagian bawah anggota badan. Walau bagaimanapun bahagian lain badan turut berperanan untuk menghasilkan lompatan yang baik terutamanya ketika fasa penujuan dan layangan.

  1. Fasa Penujuan
    • Otot Kuadrisep
    • Otot triseps dan biseps.
    • Otot yang terdapat diantara tendon dan patella.
    • Vastus lateralis, vastus intermedius, vastus medialis dan rectus femoris (femur).
  2. 2. Fasa Lonjakan
    • Otot kuadrisep.
    • Otot di bahagian betis seperti Fibularis Longus (Fibula), Tibialis anterior (Tibia)
  3. Fasa Layangan
    • Otot Kuadrisep, Otot triseps dan biseps.
    • Bantu kayuhan sewaktu berada di udara. Gastrocnemius, Calcaneal
  4. Fasa pendaratan
    • Otot Kuadrisep, gluteus medius, gluteus Maximus
    • Calcaneal, Metatarsal, gluteus medius, gluteus Maximus

Latihan dan drill ansur maju

Ansur Maju Lari Landas Berpasangan

A berlari dari tempat permulaan ke papan lonjakan. B berdiri berhampiran papan lonjakan sambil memerhatikan kaki lonjak A menapak di papan lonjak. Sekiranya A menapak lebih atau kurang di papan lonjakan, ubah suai jarak ukuran di tempat permulaan. Jika kaki lonjakan manapak melebihi papan lonjakan, anjakkan tempat permulaan ke belakang satu atau dua langkah. Jika menapak sebelum papan lonjakan, anjakkan tempat permulaan satu atau dua langkah ke hadapan. Ulang sebanyak 6 kali di tempat permulaan yang baru.

Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ketika lari landas:

  • Kawal kelajuan semasa berlari.
  • Jarak langkah yang kosisten dalam setiap larian. Langkah pertama adalah sangat penting dijaga jaraknya supaya sekata dalam setiap larian.
  • Kederasan didapati selepas langkah keempat, kelima dan keenam.
  • Larian sama dengan lari pecut tetapi badan perlu ditegakkan sedikit dan lutut diangkat tinggi.
  • Penggunaan penanda di tempat permulaan dan di tempat yang tidak kurang dari jarak empat langkah dari papan lonjakan.
  • Ketika berada di penanda yang terakhir, pelompat mestilah mencapai kelajuan yang terkawal.
  • Mulakan larian dengan kaki yang akan melonjak jika jumlah jarak langkah angka ganjil.

Ansur Maju Lonjakan

  1. Lonjak dari papan lonjakan. Bengkokkan lutut dan bongkokkan badan rendah. Ayunkan kedua belah tangan untuk mendapatkan daya lonjakan. Lonjak dengan kuat menggunakan kaki lonjak dari papan lonjakan dan mendarat dengan rumit.
  2. Melonjak dari hujung bangku. Bergerak dengan dua atau tiga langkah ke hujung bangku. Lonjak dengan kuat dan ayunkan lutut kaki bebas seberapa tinggi yang termampu. Ayun kedua-dua belah tangan ke atas hadapan. Mendarat dengan tumit.
  3. Berlari, melonjak melepasi kayu atau tali. Rentangkan seutas tali di atas pasir berjarak 1-1.5 meter dari papan lonjakan. Lari sejauh lima hingga enam langkah. Melonjak melintasi tali atau kayu dan mendarat.

Ansur Maju Layangan dan Mendarat

  1. Melonjak dengan kaki lonjakan melintasi benteng pasir. Berlari lima hingga enam langkah, melonjak dengan kaki lonjakan dari papan lonjakan dan melepasi benteng pasir untuk mendarat dengan tumit.
  2. Mencecah bola dengan hujung tangan. Gantung sebiji bola pada jarak 1-2 meter dari papan lonjakan di kawasan mendarat dengan ketinggian yang boleh dicapai. Lari 5-6 langkah dan melonjak dengan kaki lonjakan. Cuba mencecah bola dengan hujung tangan. Mendarat dengan tumit.
  3. Mencecah bola dengan dahi. Gantungkan bola pada jarak 1-2 meter dari papan lonjakan di kawasan mendarat dengan ketinggian yang boleh disentuh. Lari lima hingga enam langkah, melonjak dengan kaki lonjakan. Lakukan layangan setinggi yang boleh dan lentikkan badan serta tangan ke atas. Cuba sentuh bola dengan dahi. Ulang lakuan. Berlari, melonjak, lentikkan badan serta dongakkan kepala ke atas. Mendarat dengan tumit dahulu.Hulurkan tangan ke hadapan dan hamburkan badan ke hadapan.

Undang-undang dan peraturan asas

  1. Setiap peserta hanya dibenarkan melakukan tiga atau enam lompatan sahaja berdasarkan keputusan yang telah dibuat. Biasanya, jika bilangan peserta yang ramai, hanya tiga lompatan perlu di buat.
  2. Lompatan yang terbaik iaitu lompatan yang paling jauh akan dikira sebagai pencapaian terbaik dan pemenang.
  3. Peserta perlu membuat lompatan pada papan pelepas yang disediakan dan peserta tidak dibenarkan membuat lonjakan sebelum kaki sampai ke papan pelepasan.
  4. Lompatan dikira batak jika peserta melakukan perkara-perkara seperti berikut; Memijak atau menyentuh kawasan hadapan papan pelepasan melepasi tanda yang dibenarkan. Semasa mendarat, seluruh badan peserta berada di luar kawasan mendarat.
  5. Jarak larian untuk membuat lompatan tidak dihadkan dan kebiasaannya jarak yang digunakan adalah antara 15 hingga 40 meter.
  6. Jarak lompatan diukur dari kesan atau tanda yang terdapat di kawasan mendarat. Ukuran dilakukan antara dari hujung papan pelepasan dengan hujung kawasan mendarat iaitu pada sudut tegak daripada tempat paling hampir yang disentuh oleh peserta.
  7. Penggunaan sebarang alat bantuan tambahan dalah dilarang.
  8. Sekurang-kurangnya tiga orang pegawai atau pengadil diperlukan untuk mengawasi lompatan iaitu mengawasi papan pelepasan, tempat mendarat dan sebagai pencatat.

Penutup

Secara kesimpulannya, pengajaran lompat jauh penting dalam pembelajaran murid di sekolah. Selepas mempelajari aktiviti sukan ini, murid-murid dapat melakukan aktiviti kecergasan yang melibatkan daya tahan kardiovaskular, kelenturan dan sebagainya.

Hal ini membolehkan murid-murid lebih memahami bahagian otot yang terlibat dalam lompat jauh. Sebelum memulakan latihan lompat jauh, semua individu haruslah memanaskan badan kerana ia dapat meregangkan otot-otot badan dengan sempurna.

Kelengkapan yang diperlukan bagi lompat jauh juga harus diperiksa untuk memastikan bahawa ia dapat berfungsi dengan baik dalam latihan lompat jauh. Semua fasa latihan dalam lompat jauh seperti fasa penujuan, fasa lonjakan, fasa penerbangan dan fasa pendaratan hendaklah dikuasai oleh setiap individu untuk menjadi seorang atlet yang baik.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.