Ibnu an-Nafis – Tokoh Ulung Perubatan Islam

Meskipun bidang utama beliau adalah perubatan, namun Ibn al-Nafis tetap mendalami ilmu-ilmu lain seperti bahasa, fiqh, falsafah dan ilmu kalam.

Nama penuh Ibnu an-Nafis ialah ‘Ala’uddin abu al-Hasan ali ibn abi al-Hazam al-Qrasyi, seorang Arab berketurunan Quraisy. Beliau telah dilahirkan di pinggir Bandar Damsyik pada tahun 607H (1210M). Di situlah kemudiannya beliau hidup dan berguru dengan ahli perubatan, termasuk al-Syiekh Radhiuddin Abu al-Hajjaj Yusuf Ibn Hidrah al-Rahibi. Antara guru beliau yang lain dalam bidang perubatan ini termasuklah al-Hakim Muhazzibuddin Abu Muhammad Abdul Rahim ibn Ali al-Dakhwar dan ‘Imran al-Isra’ili.

Ibnu a-Nafis ialah rakan sepengajian dengan Maufiquddin Abu AL-Abbas Ahmad Iibnal-Qasim yang terkenal dengan nama Ibn Abi Usaiba’ah, penulis buku yang masyhur yang menceritakan tentang kedudukan dan kesarjanaan para ahli perubatan. Mereka kemudiannya berpindah ke Kaherah dan sama-sama bekerja di al-Nasiri.

Di hospital inilah Ibn al-Nafis telah mencapai kemajuan menjadi ketua hospital berkenaan, sementara Ibn Abi Usaiba’ah menumpukan perubatannya kepada perubatan mata. Beliau telah menetap di Kaherah sehingga beliau meninggal dunia pada 686 H(1288 M) sewaktu umur beliau 80 tahun.

Meskipun bidang utama beliau adalah perubatan, namun Ibn al-Nafis tetap mendalami ilmu-ilmu yang lain seperti bahasa, fiqh, falsafah dan ilmu kalam. Dalam bidang perubatan, ada orang yang menyamakan beliau dengan Ibnu Sina. Malahan ada juga yang berpendapat bahawa beliau adalah lebih terserlah dan terkemuka di kalangan para sarjana Islam yang ada ketika itu.

Sumbangan

Dalam bidang perubatan, secara khususnya Ibnu al-Nafis mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang pembedahan. Penemuan sistem peredaran darah kecil juga telah membuatkan Ibnu al-Nafis terkenal sebagai tokoh perubatan. Selain itu juga Ibnu al-Nafis telah melancarkan kempen memerangi wabak. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah membina sebuah hospital.

Bidang Pembedahan

Dalam bidang pembedahan, beliau sangat berminat dengan pembedahan jantung dan kerongkong, kerana kerana beliau telah percaya pada wujudnya pertalian yang rapat antara pernafasan dan denyutan jantung. Bagi memajukan lagi bidang pembedahan ini, Ibnu al-Nafis menasihatkan supaya pembedahan perbandingan dibuat dengan melakukannya ke atas binatang. Menurut beliau, langkah seperti ini boleh membantu kita memahami dengan lebih mendalam tentang tubuh manusia dan fungsi semua organ yang terdapat dalam tubuh manusia.

Memerangi Wabak

Ibnu al-Nafis bersama doktor-doktor Mesir yang lain melancarkan kempen memerangi wabak yang tidak mengenal mangsa sama ada kanak-kanak mahupun kaum dewasa. Wabak ini merebak selama enam bulan dan akhirnya ia berjaya dikawal oleh Ibnu al-Nafis. Dengan kejayaan ini Ibnu al-Nafis telah digelar al-Misri oleh penduduk di negara Mesir.

Penemuan Sistem Peredaran Darah Kecil

Perkara baru yang terpenting yang diajukan oleh Ibnu al-Nafis dalam syarahnya dalam kitab anatomi ibn Sina ialah tentang teori pergerakan darah iaitu pergerakan dalam kitaran. Peredaran darah ini dikenali pada zaman sekarang sebagai “sistem sirkulasi pulmonari”.

Orang zaman dahulu mempercayai bahawa darah bergerak daripada jantung ke dalam jasad menerusi pembuluh dan saluran darah mengikut denyutan nadi. Kemudian datang Galen iaitu sarjana perubatan Yunani yang mengatakan bahawa darah tersebar ke dalam badan daripada jantung menerusi pergerakan seperti alunan ombak melalui arteri itu sendiri. Para doktor aliran Iskandariah merujuk semula kepada teori perubatan Mesir kuno.

Ibnu Sina mengikuti teori doktor Yunani iaitu Galen tentang peredaran darah. Ibnu al-Nafis pula dalam syarahannya dalam kitab anatomi Ibnu Sina mangesahkan pendapat ini. Menurut Ibnu al-Nafis ruang jantung mempunyai dua sahaja tidak seperti yang didakwa oleh Ibnu Sina.

Katanya, aliran edaran darah ialah daripada ventrikal kanan kepada paru-paru. Dalam paru-paru, udara bertemu dengan darah. Darah itu kemudiannya meninggalkan paru-paru dengan mengikuti arteri paru-paru lalu masuk ke dalam ventrikal kiri dalam jantung dan dari sini, darah disebar keseluruh badan.

Pendapat yang diajukan oleh Ibnu al-Nafis dalam ilmu perubatan adalah teori yang baru. Teori ini menegaskan bahawa wujudnya peredaran darah dari jantung ke paru-paru dan dari paru-paru kepada jantung. Oleh itu, beliau telah mengasaskan teori sirkulasi pulmonari. Akan tetapi Ibnu al-Nafis tidak sempat untuk mengkaji sistem peredaran darah keseluruh tubuh dalam waktu yang sama.

Membina Sebuah Hospital

Semasa umur beliau mencecah lingkungan 74 tahun, beliau telah ditugaskan oleh Sultan Qalawun untuk membina sebuah hospital baru di Kaherah. Beliau menyelia pembinaan ini menurut keperluan perubatan berkenaan bahagian-bahagian hospital tersebut seperti wad, farmasi, perpustakaan, ruang menunggu, dan bilik khas untuk doktor.

Ibn Al-Nafis menjadi Pengarah pertama untuk Hospital Al-Mansouri yang dibina oleh Sultan Qalaoun al Mansour, di Kaherah. Selain itu juga, beliau memperkenalkan konsep hospital mengajar. Hospital itu telah dirasmikan oleh Sultan Qalawun dan dinamakannya dengan ‘al-Mansuri’.

Penulisan

Sebagaimana para sarjana islam yang lain, Ibnu al-Nafis telah menulis banyak buku-buku dan rencana. Walaubagaimana pun, kebanyakannya telah hilang. Antara buku beliau yang masih ada termasuklah al-Kitab al-Syamil Fi al-Tibb tentang ensiklopedia perubatan, Kitab al-Muhadhdhab fi al-Kuhl mengenai oftalmologi, al-Muhazzab berkenaan tentang perubatan mata, al-Mukhtar yang mengatakan tentang pemakanan, Syarh al-Hidayah adalah ulasan terhadap karangan Ibnu Sina tentang perubatan, al-Risalah al-Kamiliyyah fi al-Sirah al-nobawiyyah yang menyatakan tentang kisah hidup Nabi Muhammad.

Manuskrip Kitab Sharh Tashrih Al-Qanun

Kitab Sharh Tashrih Al-Qanun ditulis oleh Ibn Al-Nafis (1210-1288 AD) dan mengandungi penjelasan pertama tentang sistem peredaran darah dan penjelasan pertama tentang mengenai pembuluh darah disamping beberapa penemuan asli yang lain.

Selain itu al-Mujaziaiti ringkasan daripada kitab Ibnu Sina, al-Qanun. Fi‘I-Tahibbi dan beberapa kritikan terhadap karya Hipokrotes, Ibnu Sina dan Humaym Ibnu Ishaq. Beliau juga menulis buku ringkas karya Aristotles tentang logik.

Bidang Lain

Ibnu al-Nafis adalah seorang lagi tokoh kesarjanaan islam yang mendahului zamannya pada waktu itu. Beliau seorang yang mempunyai pandangan yang luas dan juga berfikiran kreatif dalam membuat kerjanya. Di dalam kerjayanya sebagai seorang doktor, beliau sering dilantik sebagai doktor peribadi oleh pemerintah-pemerintah.

Beliau banyak menguasai bidang ilmu agama iaitu ilmu akhirat meskipun lebih terkenal dalam bidang perubatan dan beliau juga merupakan seorang ahli fizik yang terkemuka di Mesir dan di negara-negara Islam yang lain.

Sumbangan beliau kepada pembangunan ilmu dan tamadun manusia adalah sangat besar sekali kepada dunia islam pada zaman dahulu sehingga sekarang. Tidak hairanlah mengapa beliau antara tokoh yang sentiasa disebut-sebut dalam sejarah tamadun Islam.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.